TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (8) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (2) Al-Quran (2) Alam (9) Alam Ghaib (4) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (13) Amal Soleh (3) Aqidah (15) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (4) Bab Tauhid (3) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (4) Bid'ah (3) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cuti-Cuti Malaysia (64) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (2) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (14) Guru Mursyid (16) Guru Tariqat (17) guruku (13) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (13) Hakikat (2) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (6) Ibadat Haji (6) ilmu kebatinan (2) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (20) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (1) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (7) Isu Yaqazah (8) Jalan-Jalan (101) Jihad Ekonomi (28) Jom Makan (15) Karamah (2) Karya Sendiri (15) kebenaran (6) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (27) Kisah Nabi (2) Koleksi (1) Kosong (3) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (6) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (41) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Martabat Tujuh (4) Masjid (35) Masjid Lama (20) Masjid Utama (25) Maulidur Rasul (15) Mekah (2) Melayu (12) Mengenal Diri (7) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (13) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (15) nostalgia (1) Nur Muhammad (3) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (3) Pahlawan Melayu (9) Pelancongan Tanah Tinggi (4) Peluang Perniagaan (1) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (3) Perubatan tradisional (1) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (17) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (16) Rezeki (1) RSAW (8) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (4) Selawat (4) Senibina Islam (6) Sifat 20 (1) Solat (5) Solat Sunat (8) Sumpah (1) Sunnah RSAW (8) Tamadun Islam (7) Tariqat (4) Tasawuf (12) Tawassul (3) Tulisanku (277) Ulamak Islam (6) Ulamak Nusantara (16) Ulamak Tanah Melayu (13) Universiti (5) Usahawan Muslim (8) Usuluddin (1) wahdatul wujud (3) Wali Allah (54) Wali Melayu (27) Wali Songo (10) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Rabu, 2 Mac 2011

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(5)


http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/108
 
Beliau seterusnya menulis:

            “Antara faedah-faedah ‘yaqazah’ untuk tarekat kesufian ialah:

            Ia akan menaikkan nama syeikh tarekat mereka sekaligus mempopularkan nama tarekat mereka kerana mereka mempunyai ‘yaqazah’ dan orang lain tidak.

            Ia akan meyakinkan orang ramai tentang benarnya tarekat yang mereka amalkan kerana Rasulullah SAW telah memberi ‘pengiktirafan’ khas terhadap pengasas tarekat mereka.

            Siapa yang berani mempertikaikan kebenaran mereka apabila Rasulullah SAW telah menyokong mereka?

            Ia akan mempopularkan zikir tertentu dan selawat tertentu yang didakwa kononnya disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada syeikh mereka.

            Ini akan menjimatkan masa mereka beramal kerana selalunya selawat dan zikir yang mereka dapat melalui ‘yaqazah’ mempunyai fadhilat yang amat besar sehingga mengatasi fadhilat membaca Al-Quran di sisi sesetengah tarekat!

            Manusia sukakan perkara yang pelik dan inginkan ‘superpower’ bagi mengatasi manusia lain. Inilah yang akan diperolehi dengan ‘yaqazah’.

            Ia seolah-olah memberikan kekebalan kepada tarekat tersebut untuk melakukan perkara yang salah kerana mereka telah pun diiktiraf oleh Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’.

            Oleh itu kita dapati di antara ajaran sebahagian tarekat kesufian ialah ‘jangan persoalkan perbuatan syeikh walaupun pada zahirnya kelihatan melanggar perintah Allah’.

            Adakah anda dan saya ingin membantah perbuatan orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW secara jaga??

            Ketahuilah saudaraku yang adil. Sesungguhnya tidak pernah seseorang ulama’ sufi yang muktabar pun, yang mengatakan sedemikian, sebagai faedah-faedah dari bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah. Mereka bukanlah suatu golongan yang mengejar populariti kerana tujuan mereka hidup di dunia ini hanya untuk Ilahi dan keranaNya.

            Hatta, Ibn Taimiyah sendiri mengatakan bahawa: “golongan muhaqqiq sufi merupakan mereka yang paling jujur disetiap  zaman mereka (dalam beramal dengan Islam).

            Jadi, atas dasar ilmiah, kami menyeru beliau dan konco-konconya menukilkan juga rujukan, di manakah ulama’-ulama’ sufi muktabar memperkatakan tentang faedah-faedah dari bertemu dengan Rasulullah s.a.w. secara yaqazah seperti yang dinukilkan oleh saudara penulis.

            Apa yang didapati, beliau sekadar mebuat andaian dan prasangka negatif terhadap golongan tarekat sufi yang menepati Al-Qur’an dan As-Sunnah. Marilah kita analisis “prasangka-prasangka” beliau (takkala membayangkan diri sebagai ahli sufi kerana mengetengahkan faedah-faedah yaqazah bagi ahli tarekat berdasarkan pemikirannya) mengenai faedah-faedah tersebut.
            “Ia akan menaikkan nama syeikh tarekat mereka sekaligus mempopularkan nama tarekat mereka kerana mereka mempunyai ‘yaqazah’ dan orang lain tidak.”
            Apabila kita merenungi prasangka beliau tersebut, kita sendiri dapat fahami bahawa, pemikiran ini bukanlah dari seorang yang mengamalkan tarekat yang sebenar. Ini kerana, dalam tarbiah sufiyah sendiri, tidak ada budaya ta’asub kepada sesuatu tarekat dan memandang rendah tarekat yang lain. Ini bukanlah adab seseorang murid yang mengambil manhaj tarbiah tarekat sufiyah yang sebenar.
            Tapi, tidak mustahillah saudara penulis berfikiran seperti ini, kerana beliau bukanlah termasuk dari kalangan orang-orang yang menerima tarbiah sufiyah yang sebenar, jadi tidak hairanlah andaian yang dibuat oleh penulis tersebut bersifat sedemikian, kemudian menisbahkannya kepada golongan sufi. Silalah rujuk buku-buku karangan ulama’-ulama’ sufi, termasuklah para sheikh yang mengatakan bahawa mereka mengambil sesuatu zikir dari Nabi s.a.w., adakah mereka memperkatakan tentang faedah-faedah yang disebutkan oleh saudara penulis tersebut?
            Kalau saudara perhatikan, para ulama’ sufi tidak pernah mengangkat diri, apatah lagi mempromosikan diri sebagai lebih baik dari orang lain, terutamanya jika kita merujuk kepada karangan-karangan mereka.
            Seterusnya:
           
            Ia akan meyakinkan orang ramai tentang benarnya tarekat yang mereka amalkan kerana Rasulullah SAW telah memberi ‘pengiktirafan’ khas terhadap pengasas tarekat mereka.

            Hal ini juga tidak benar. Ini kerana, setiap para sheikh tarekat yang muhaqqiq, tidak pernah mengatakan mereka ini diakui oleh Rasulullah s.a.w., apatah lagi memaksa orang lain menerima manhaj tarbiah mereka. Carilah dalam buku-buku para ulama’ sufi muktabar, tidak terdapatpun perkataan yang menjurus kepada “berusaha meyakinka orang dengan amalan mereka berdasarkan pernah berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah.

            Sedangkah Abu Jahal yang pernah berjumpa Nabi s.a.w. secara live di waktu kehidupan Baginda s.a.w. pun bukanlah suatu pengiktirafan bahawa dia akan selamat.

            Para sufi dan sheikh tarekat muktabar sering mengajar anak-anak murid mereka menilai sesuatu dengan neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah, bukan taqlid buta, seperti dakwaan sesetengah pihak.

            Mereka amat menitik beratkan soal keselarasan sesuatu dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Oleh yang demikian, Sidi Abu Al-Hasan As-Syazuli sering mengingatkan bahawa:

            “Jika anda mendapat sesuatu ilham, maka timbangilah ia dengan neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kalau didapati tidak bertentangan, maka lakukanlah. Andainya didapati bertentangan, maka tinggalkanlah. Sesungguhnya Allah s.w.t. menjamin kebenaran di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah, tetapi tidak menjaminnya di dalam ilham.”

            Jadi, kenyataan bahawa, mereka menggunakan pengalaman berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah untuk meyakinkan seseorang mengenai apa yang dilakukan oleh para sheikh tarekat, maka ianya suatu tuduhan dusta yang berat terhadap mereka, sedangkan yang mereka pentingkan ialah, menilai sesuatu dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah.

            Seterusnya, penulis menulis:

            Ia akan mempopularkan zikir tertentu dan selawat tertentu yang didakwa kononnya disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada syeikh mereka.

            Bukan juga menjadi niat mereka untuk “mempolularkan” zikir, kerana buku-buku yang mempopularkan zikir-zikir Nabi s.a.w. telahpun banyak di pasaran, seperti Al-Azkar Imam An-Nawawi yang jelas di mana, zikir-zikir tersebut bersanadkan sehingga sampai kepada Rasulullah s.a.w..

            Adapun perbahasan mengenai “bolehkah Rasulullah s.a.w. mengajar zikir kepada seseorang secara yaqazah atau dalam mimpi”, akan dibincangkan selepas ini, insya Allah.

            Seterusnya, penulis menulis:

            Ini akan menjimatkan masa mereka beramal kerana selalunya selawat dan zikir yang mereka dapat melalui ‘yaqazah’ mempunyai fadhilat yang amat besar sehingga mengatasi fadhilat membaca Al-Quran di sisi sesetengah tarekat!

            Ini suatu lagi pertuduhan yang amat berat terhadap ahli tarekat. Silalah nyatakan sumber rujukan yang dirujuk, mengenai tarekat manakah yang mengatakan zikir yang mereka amalkan dari guru-guru mereka lebih fadhilatnya dari membaca Al-Qur’an?

            Sedangkan Imam As-Sya’rani dalam pelbagai bukunya menulis, bahawa telah bersepakat para shiekh sufi yang muktabar bahawa, amalan yang paling banyak fadhilatnya adalah membaca Al-Qur’an, dan tidak ada yang mengatakan bahawa, membaca zikir-zikir dan aurad lebih tiggi fadhilatnya dari membaca Al-Qur’an.

            Jadi, kita minta saudara penulis yang menuduh ada sebahagian tarekat yang mengatakan, fadhilat berzikir dengan aurad-aurad tarekat lebih besar fadhilatnya dari membaca Al-Qur’an, ataupun para penolong  dan penyokong beliau, menukilkan dengan sumber rujukan yang sahih, mengenai siapakah gerangan ahli tarekat dan sheikh tarekat yang berkata sedemikian?

            Ini kerana, sudah jelas dalam pelbagai hadis, kebaikan membaca Al-Qur’an tidak ternilai tingginya, kerana setiap satu hurufnya menyamai 10 kebaikan. Tidak terdapat seorang pun sheikh tarekat yang mendakwa bahawa, baca satu huruf dari zikir sesuatu tarekat mendapat kelebihan 10 kebaikan, dan sebagainya. Jadi, ini merupakan satu fitnah dari beliau, ataupun buruk sangka beliau terhadap sesetengah ahli tarekat.

            Seterusnya, beliau berkata lagi:

            Ia seolah-olah memberikan kekebalan kepada tarekat tersebut untuk melakukan perkara yang salah kerana mereka telah pun diiktiraf oleh Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’.

            Oleh itu kita dapati di antara ajaran sebahagian tarekat kesufian ialah ‘jangan persoalkan perbuatan syeikh walaupun pada zahirnya kelihatan melanggar perintah Allah’.

            Adakah anda dan saya ingin membantah perbuatan orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW secara jaga??”

            Tiada satupun tarekat mendakwa “kekebalan” atau sebagainya, dengan konsep “bertemu dengan Nabi s.a.w. secara jaga tersebut”. Bahkan, telah diriyawatkan juga, ada di kalangan mereka yang mendakwa pernah bertemu Nabi s.a.w. secara jaga (yaqazah) turut menerima teguran dari orang lain.

            Para sufi dan sheikh tarekat tidak pernah mendakwa mereka ma’shum seperti ma’shumnya seorang Nabi.

            Lihatlah satu lagi pertuduhan tidak berasas beliau seraya berkata:

            Oleh itu kita dapati di antara ajaran sebahagian tarekat kesufian ialah ‘jangan persoalkan perbuatan syeikh walaupun pada zahirnya kelihatan melanggar perintah Allah’.”

            Dia mendakwa, seseorang tidak boleh menegur atau mempersoalkan perbuatan sheikh tarekat walaupun pada zahirnya kelihatan melanggar perintah Allah s.w.t . melanggar syarak.

            Ini bukanlah satu ajaran tarekat sufiyah, (ak tahulah, kalau-kalau tarekat beliau sedemikian, Wallahu a’lam). Bahkan, menurut para ulama’ sufi dan sheikh tarekat yang muktabar, ciri-ciri seseorang mursyid yang kamil itu antaranya juga ialah, penampilan zahirnya tidak bercanggah dengan syarak (sila rujuk setiap buku para sufi yang muktabar seperti Ar-Risalah Al-Qusyairiyah, Al-Ihya’, Haqo’qi ani At-Tasawuf dan sebagainya, dalam tajuk, ciri-ciri seorang mursyid tarekat).

            Sedangkan, Imam Al-Ghazali r.a. (ulama’ yang amat mempengaruhi perkembangan tarekat sufiyah) menegaskan bahawa:

            “Kalaulah anda melihat sesorang berjalan di atas air, terbang di udara, tetapi melakukan sesuatu yang bercanggah dengan syariat, maka ketahuilah bahawasanya dia ialah syaitan”.

            Sidi Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a. dan Sidi Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli r.a. juga menegaskan sedemikian dalam karangan-karangan dan ucapan mereka.

            Jadi, seseorang yang suka menuduh tanpa asas, sememangnya sering mempertikaikan mengenai perkara tersebut, sedangkan para sheikh tarekat yang utama sering menegaskan kepada anak-anak murid mereka supaya mengukur sesuatu dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah.

            Kalau dalam konsep berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah juga, sememangnya ada sandaran dari hadis yang sahih, kecualilah bagi mereka yang tidak mengetahuinya, maka janganlah kerana jahil mengenainya, tergesa-gesa mempertikaikannya. Kalau jahil, seelok-eloknya bertanya, bukan mempertikaikan.

            Seterusnya, kata penulis lagi:

            Adakah anda dan saya ingin membantah perbuatan orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW secara jaga??”

            Ini suatu persoalan yang tidak wajar bagi seorang yang berlatar belakangkan ilmu agama walaupun sedikit. Ini kerana, sekadar bertemu dengan Rasulullah s.a.w. secara jaga semata-mata, tidak menjadikan seseorang itu ma’shum dan tidak boleh membantah atau mempersoalkan tindakannya, jika didapati bercanggah dengan ajaran Islam.

            Sekurang-kurangnya, kalau jahil sekalipun mengenainya, minta penjelasan, bukan serta merta mempertikai seseorang sewenang-wenangnya.

            Saidina Umar r.a. sendiri pernah berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah, namun beliau sendiri sentiasa meminta para sahabat menegur kesalahannya, sehinggakan beliau pernah ditegur oleh seorang perempuan dan sebagainya. Jadi, prasangka yang menanggap seseorang pernah berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara jaga tidak boleh dibantah, dipertikai dan dipersoalkan, bukan dari ajaran tarekat, tetapi dari ajaran diri penulis sendiri, kerana golongan tarekat tidak pernah berkata sedemikian (mengenai kekebalan sesuatu tarekat dan orang yang pernah berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah).

            Seterusnya, penulis menulis lagi:

            Membolehkan tarekat tersebut menambah amalan-amalan bid’ah kerana mereka mendakwa Rasulullah SAW yang membolehkan amalan-amalan ditambah walaupun setelah Baginda wafat. Ini akan membuka pintu yang luas kepada pertambahan amalan baru atas alasan ‘yaqazah’.”

            Apa makna bid’ah di sisi beliau? Kalaulah makna bid’ah yang dipakai oleh beliau bererti, sesuatu yang tidak dilakukan pada zaman Nabi s.a.w., dalam ibadah. Maka, bagi jumhur ulama’, takrif tersebut tidak mani’ dan jami’ kerana menurut jumhur, bid’ah dari sudut syariat ialah, suatu perkara baru yang diada-adakan tanpa sebarang sandaran dari syariat, dan ianya bertentangan dengan syariat Islam kaedah-kaedah istinbat hukum yang lain.

            Kalaulah penulis dikalangan mereka yang mengatakan: “buat maulid Nabi s.a.w. suatu bid’ah, zikir berjemaah selepas solat suatu bid’ah, dan baca yasiin malam Jumaat itu bid’ah”, maka sebenarnya penulislah yang tidak memahami mafhum bid’ah yang sebenar menurut jumhur ulama’.

            Setelah kita nukilkan takrifan yang sebenar mengenai bid’ah di sisi jumhur ulama’, maka kita katakan, tidak ada sumber hukum dalam Islam selain masadir asyarah (yang dibincangkan dalam usul fiqh), yang dapat diambil sesuatu hukum syarak mengenainya.

            Adapun mendapat sesuatu lafaz zikir dan selawat dari mimpi bertemu Rasulullah s.a.w., ataupun mendapatkannya secara yaqazah, tidak termasuk dalam mengadakan sesuatu syariat yang baru. Hal ini gagal difahami oleh mereka yang sewenang-wenangnya mempertikaikan masalah tersebut.

            Ini kerana, segala bentuk lafaz zikir yang baru diada-adakan, ataupun lafaz-lafaz selawat yang diada-adakan, tidak termasuk dalam bid’ah, kerana hal ini pernah berlaku di mana seorang sahabat menambah zikir di dalam solat, lantaran itu Nabi s.a.w. tidak mengingkari beliau.

            Jadi, penambahan atau olahan berbentuk lafaz-lafaz zikir, selawat dan sebagainya, samada diperolehi secara ilham, atau secara mimpi bertemu dengan Nabi s.a.w., ataupun diperolehi dari Nabi s.a.w. secara jaga, maka ianya bukanlah sesuatu yang bid’ah, kerana tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

            Kalau seseorang itu berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa, tidak boleh menambah-nambah sesuatu lafaz zikir yang baru, kerana ia adalah bid’ah, maka dia sebenarnya tidak faham apa bid’ah itu sendiri, dan tidak juga mengetahui hadis sahih mengenai seorang sahabat menambah lafaz zikir di dalam solat. Kalau begitu, silalah rujuk buku-buku fiqh sebelum “pandai-pandai” mengkritik apatah lagi menuduh orang sebagai bid’ah.

            Pendapat beliau bahawa, konsep yaqazah ini membuka ruang orang melakukan bid’ah, merupakan satu bentuk buruk sangka beliau terhadap konsep itu sendiri, ataupun salah faham beliau terhadap konsep bid’ah itu sendiri.

            Dr. Al-Qaradhawi telahpun menjelaskan bahawa: “…Semuanya (apa yang dikatakan oleh Nabi s.a.w. di dalam mimpi tersebut) hendaklah dibentangkan terlebih dahulu kepada syariat yang ma’shum. Jika ia bertepatan, maka ia boleh diterima, tetapi jika sebaliknya, yang menjadi hujjah tetap syariat (bukan perkataan dalam mimpi tersebut)”.

            Perihal mendapat sesuatu dari perkataan Nabi s.a.w. secara yaqazah samalah seperti perihal mendapat sesuatu dari perkataan Nabi s.a.w. secara mimpi, kerana kedua-duanya disebut di dalam hadis sahih Al-Bukhari yang disebutkan awal tadi.

            Oleh yang demikian, kalaulah sesuatu yang disampaikan oleh Nabi s.a.w., samada sewaktu tidur mahupun secara yaqazah, maka perlulah dinilai dengan syariat terlebih dahulu. Kalaulah ianya tidak bercanggah dengan syariat (seperti lafaz-lafaz zikir tertentu yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam), maka ianya boleh diterima. Adapun jika ianya bertentangan dengan syariat (seperti melakukan ibadah haji di Kuala Lumpur, menambah solat fardhu kepada tujuh solat, dan sebagainya), maka sudah tentu ianya tertolak.

            Jadi, golongan yang keliru mengenainya sudah tentu mempertikaikan konsep “bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah berfaktorkan salah satu perkara (atau kesemuanya):

            Tidak mengetahui tentang hadis sahih Al-Bukhari yang berbunyi: “Sesiapa yang melihatKu di dalam mimpi, akan melihatku secara yaqazah

            Buruk sangka terhadap umat Islam yang mempercayainya.

            Salah faham mengenai perihal berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah itu sendiri.

            Salah faham terhadap makna syariat Islam itu sendiri.

            Salah faham mengenai mafhum bid’ah dalam syariat Islam itu sendiri.

            Kecetekan ilmu mengenai perbahasan ulama’ mengenainya dan sebagainya.

            Oleh yang demikian, hendaklah diukur sesuatu yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. tersebut secara yaqazah mahupun secara mimpi, dengan syariat Islam. Kalau bersesuaian, maka boleh diamalkan dan sekiranya tidak, maka perlulah perkara tersebut ditinggalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan