Khamis, 30 Jun 2011

Perbezaan pendapat tentang Israk Mikraj

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Perbezaan pendapat tentang Israk Mikraj


 


ISRAK MIKRAJ adalah peristiwa spiritual yang dialami Nabi Muhammad SAW. Ia difahamkan sebagai perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan terus menerus menembusi dinginnya langit menuju sebuah puncak yang disebut Sidratul Muntaha.

Diriwayatkan, ketika Rasulullah sedang tidur malam bersama para sahabatnya di Masjidil Haram, tiba-tiba Jibril datang membangunkan dan membawanya untuk Israk Mikraj. Dalam konteks ini Thabathaba'i (Tafsir al-Mizan), menyebut bahawa di antara sahabat yang sedang bersama Nabi SAW saat itu adalah Hamzah Ibnu Abdul Muttalib, Jaafar Ibnu Abi Talib, dan Ali Ibnu Abi Talib.

Namun suatu riwayat seperti dipetik Fakh al-Din al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, menyatakan bahawa Israk Mikraj tidak dimulai dari dalam Masjidil Haram, melainkan dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Yang lain lagi menyatakan, bahawa mulai Israk Mikraj itu adalah dari sebuah ruangan dalam rumah Abu Talib r.a.

Beberapa kenyataan Islam menyebutkan bahawa Israk Mikraj itu ditempuh hanya dalam satu malam. Perjalanan yang panjang ini dimulai setelah selesai waktu Isyak dan diakhiri pada waktu fajar menyingsing.
Demikian jauhnya jarak perjalanan ini, maka Aisyah dan Muawiyah berpendapat bahawa Israk Mikraj merupakan perjalanan rohani dan bukan perjalanan fizik jasmani.

Menurut Aisyah, roh Nabi Muhammad bergerak membelah semesta alam untuk berjumpa dengan Allah, sementara jasadnya bersemayam di bumi.

Pendapat itu ditolak oleh jumhur ulama yang mengatakan Israk Mikraj melibatkan jasmani rohani Nabi Muhammad secara sekali gus.

Bagaimana mungkin benda seperti jasad manusia boleh berjalan lebih cepat daripada gerakan cahaya.
Menurut teori Einstein, jika ada benda berjalan secepat cahaya, maka benda itu akan terurai dan hancur lebur. Kemudian jumhur ulama berkata, bahawa Israk Mikraj adalah untuk dipercayai dan diyakinkan, bukan untuk diperdebatkan.

Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj itu? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat yang berbeza. Ulama yang berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Inilah pandangan paling popular di kalangan umat Islam.

Namun sebahagian lain berpendapat peristiwa Israk Mikraj itu terjadi di awal dan bukan di akhir bulan Rejab.
Menurut pendapat al-Harbi, seperti dipetik oleh al-Qurtubi dalam Al-Jami'il lil Ahkam al-Qurtubi, Israk Mikraj terjadi pada 27 Rabiul Awal. Sama juga pendapat seperti yang dikatakan oleh az-Zuhri dan Urwah.
Ibnu Abbas berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal.

Sebabnya pada hari, tarikh dan bulan itulah Rasulullah dilahirkan, diangkat menjadi Nabi, di Israk Mikrajkan, berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia.

As-Suddi pula berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada bulan Zulkaedah (Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Bukan hanya bulan yang diperselisihkan, melainkan juga tahun peristiwa itu. Ada ulama berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi satu tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Sebahagian lain berkata bahawa Israk Mikraj diperkirakan terjadi 18 bulan sebelum peristiwa hijrah.
Sementara yang lain lagi berkesimpulan bahawa Israk Mikraj terjadi ketika Khadijah masih hidup.

Menurut Yunus Ibnu Bukair, pasca Israk Mikraj, Khadijah masih sempat melaksanakan solat. Ini kerana Israk Mikraj terjadi pada tahun kelima dari kenabian, beberapa bulan sebelum Khadijah meninggal dunia. Bahkan seperti dikutip oleh Thabathaba'i, Ibnu Abbas berkata bahawa Israk Mikraj terjadi pada tahun kedua dari kenabian.

Intisarinya bermacam pendapat, yang berkata tahun ketiga kenabian, 10 tahun tiga bulan dari kenabian, 12 tahun dari kenabian, satu tahun lima bulan sebelum hijrah, satu tahun tiga bulan sebelum hijrah, dan enam bulan sebelum berhijrah.

Mengapa berlaku perselisihan? Sebabnya, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku tidak ada orang yang mencatat dan merekodkannya secara betul. Rasulullah pun dikisahkan tidak boleh membaca dan menulis.
Mengenai hari, tarikh, bulan, dan tahun peristiwa Israk Mikraj di atas sepenuhnya didasarkan pada ingatan para sahabat, dan bukan pada data rakaman tertulis.

Kasih ibu bawa kepada Islam

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

kasih ibu bawa kepada Islam

ISLAM! Aku benci Islam... Kerana Islamlah keluarga kami porak peranda. Islamlah yang telah menyebabkan ibu bapa aku berpisah dan kehidupan kami sudah tidak seceria dan sesempurna dahulu lagi..."

Peristiwa tragis yang menimpa keluarga bahagia gadis dari Kerala, India ini meninggalkan parut yang begitu dalam. Sekali gus menjadikan anak sulung daripada tiga adik-beradik itu anti-Islam.

Peliknya, jauh di sudut hati kecilnya, Sariya begitu terpesona acap kali mendengarkan laungan azan meskipun tidak mengetahui maksud di sebalik panggilan mengerjakan solat ke atas umat Islam itu.

Pun begitu, keterujaan itu pudar sedikit dan persepsi bertukar negatif rentetan peristiwa hitam yang melanda keluarganya. Malah sejak itu, Sariya bertekad untuk tidak sekali-kali bergelar Muslim.

Walau apa pun yang terjadi dalam kehidupannya, seperkara diakui Sariya yang tidak dapat mengubah pendiriannya ialah kekaguman terhadap ibunya.

"Walaupun ibu yang menjadi punca kepada segala hura-hara dalam keluarga kami kerana keputusannya untuk memeluk Islam. Lebih teruk lagi, kerana terlalu kecewa dan sedih, bapa mengambil keputusan untuk meninggalkan kami terkontang-kanting.

"Namun, aku tetap memandang tinggi, mengagumi malahan kasihku kepada ibu tidak pernah berbelah bahagi. Aku cuba untuk memahami dan bertanyakan kepada diri apakah yang menarik sangat tentang Islam sehingga ibu sanggup membelakangkan agama Kristian yang dihayati dan diamalkan sepenuh hati selama ini.

"Aku memberanikan diri dan pada suatu hari terpacul satu soalan yang mungkin dianggap kasar apabila seorang anak mempersoalkan keputusan insan mulia bergelar ibu. Ringkas sahaja jawapan ibu: "Bacalah Bible muka ke muka."

Akui Sariya, sejak itu pencariannya bermula. Pada masa itu usianya baru menjangkau ke 13 tahun. Namun, dalam usia semuda itu, Sariya telah dikurniakan dengan sifat matang dan faham apa yang dibacanya daripada Bible.

Jelas Sariya, dia mula menemui fakta-fakta yang tidak konsisten dan salah di dalamnya. Ada perkara yang disebutkan tetapi tidak langsung dipraktikkan oleh penganutnya. Ada perjanjian yang telah diingkari.

Malah dalam membuat kajian itu dia juga ada menemui dan mendapati kitab Bible ada menyebutkan perihal Rasulullah SAW, tetapi kerana terlalu keras hati dan degil, semua kebenaran itu dinafikan.

Walaupun ada keperluan mendesak untuk dia membuat perbandingan agama Kristian dengan agama lain tetapi kerana keegoan yang tinggi menyebabkan Islam tidak tersenarai sebagai salah satu agama yang mesti dijadikan perbandingan.

"Pada masa dan ketika itu juga, ibu telah mengirimkan sepucuk surat yang disertakan sekali terjemahan surah al-Ikhlas. Entah macam mana, saya begitu obses dengan surah ini dan ia menjadi rutin bacaan saya setiap hari.
"Akhirnya, keterujaan untuk mencari menyebabkan saya kembali kepada kitab suci umat Islam iaitu al-Quran.
Ia bagaikan satu kejutan hebat. Apabila saya mula membaca al-Quran. Inilah kebenaran sebenar yang saya cari selama ini. Kitab inilah yang telah menjawab segala kemusykilan yang wujud selama ini.

"Saat itu saya sedar inilah takdir saya. Ia mengambil masa dua tahun untuk saya mengkaji tentang Islam. Alhamdulillah...," kata Sariya yang pada ketika itu berusia 15 tahun.

Kemudiannya, Sariya ke Lapangan Terbang Bombay menunggu ketibaan ibunya, sekali gus mahu ibunya menjadi saksi kepada pengislamannya.

Si Ibu akhirnya membuat pengakuan yang dia sebenarnya sentiasa memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar Sariya diberikan hidayah Ilahi.

Kata Si ibu lagi, dia perlukan sokongan satu-satunya anak sulungnya itu. Alhamdulillah Allah SWT telah makbulkan doanya itu.

Selasa, 28 Jun 2011

Meraikan Israk - Mikraj

Assalamu'alaikum,

Malam ini apabila bermulanya Maghrib maka bermulalah Israk Mikraj. Kita dapat melihat ramai umat Islam di seluruh dunia 'meraikan' Hari Kebesaran ini dengan pelbagai sambutan dan acara. Antaranya adalah mendengar ceramah/kuliah berkaitan Israk Mikraj, jualan buku/kitab, majlis berzikir di masjid dan pelbagai lagi. Memandangkan esoknya bukan cuti rasmi di kebanyakan negeri di Malaysia, ia masih bukan penghalang untuk kita sama-sama 'meraikan' hari yang penuh keberkatan ini dengan majlis amal terutamanya. Kemungkinan memang ada segelintir manusia yang meraikannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan ilmu masing-masing, tetapi hamba sendiri mengikut kalendar rasmi Tahun Hijrah yang kita gunakan di Malaysia. Kemungkinan ada juga umat Islam di dunia yang menyambutnya pada hari yang berbeza kerana perbezaan pendapat ulamak tentang tarikhnya yang tepat. Namun, hamba kekal meraikannya pada 27 Rejab setiap tahun sebagaimana lazimnya umat Islam di Malaysia. Namun kesyukuran kita meraikan Israk Mikraj juga janganlah menyebabkan kita hanya meraikan Hari-Hari Kebesaran Islam sahaja sedangkan setiap hari adalah hari yang bermakna, jika kita mengetahui, memahami dan menginsafi (Lihat surah al-Asr).

Barangsiapa yang mampu, tiada salahnya untuk beramal dari Maghrib sampai Subuh esoknya...Kalau kurang mampu, dari tengah malam sampai Subuhnya...Kalau kurang2 mampu lagi, dari jam 3 pagi ke Subuhnya... Hamba pun belum tahu mampu ke tidak, dari jam berapa mampu beramal, sehingga jam berapa mampu bertahan. Hanya kepada-NYA, hamba memohon pertolongan dan bantuan agar dapat memanfaatkan masa di hari kebesaran  ini sebaik-baiknya...Jika kita mengkaji Al-Quran dan As-Sunnah, waktu  malam ada rahmat, keberkatan dan kelebihan yang tersendiri yang siangnya tiada. 

Jika kita mengkaji al-Quran, Al-Hadis dan kitab para ulamak, pelbagai kelebihan dan rahmat ada pada Israk Mikraj ini.  Peristiwa Israk Mikraj amatlah penting kerana 1001 asbab yang telah dihuraikan dan dibincangkan oleh para ulamak. Hamba yang bukan ulamak dan masih jahil ini, tidaklah perlu mengulas lebih lanjut lagi. Peristiwa ini telah disebut dalam Al-Quran, diriwayatkan dalam Al-Hadis dan dibincangkan, dikitabkan oleh para ulamak. Sebab itulah hamba salin dan tampal beberapa artikel sebelum artikel ini yang membicarakan tentang Israk Mikraj ini, sekurang-kurangnya kita ada kefahaman asas akan apa peristiwa yang amat bersejarah ini (Bukit Tursina, teladan dan peringatan, urutan ringkas peristiwamaklumat ringkaspengajaran, Rejab dan Israk Mikraj, dan peristiwa Israk Mikraj). Kalau anda hendak tahu dengan lebih terperinci, pergilah ke kedai buku, dan belilah buku-buku yang khusus membicarakan tentang peristiwa bersejarah ini. Ataupun dengarlah pelbagai ceramah dan syarahan para ulamak tentang peristiwa bersejarah ini.

Antara intipati Israk Mikraj adalah solat fardhu sehari semalam lima kali yang 'diterima oleh Rasulullah SAW daripada Allah Taala'. Solat merupakan tiang agama, 'jika kukuh dan mantap solat, maka teguhlah agama kita'. Jika lalai kita dalam bersolat, maka 'goyanglah kita dalam beragama'. RSAW menyuruh kita bersolat sebagaimana baginda bersolat. Dapatkah kita bersolat sebagaimana RSAW bersolat,  zahir dan batinnya? Inilah antara perkara utama yang perlu kita kaji, teliti dan perbaiki agar kita dapat bersolat sebagaimana RSAW bersolat. Solat juga mampu mencegah kita dari perbuatan yang keji dan mungkar. Persoalannya mengapa ramai yang bersolat tetapi masih mengamalkan, berbuat kelakuan dan perbuatan keji dan mungkar? Sudah pasti solat mereka tidak sebagaimana solat yang disarankan dalam agama. Sudah pasti solat mereka tidak sebagaimana solat RSAW.

Solat juga 'satu mikraj' bagi orang mukmin, sebagaimana maksud hadis. Inilah ilmu yang perlu dicari, diterokai dan diamalkan.   Mengapa dinisbahkan solat itu satu 'mikraj' bagi orang yang beriman? Balasan neraka juga kepada mereka yang lalai dalam solat. Ini disebut dalam Al-Quran. Mengapa dibalas neraka kepada mereka yang lalai dalam bersolat? Anda boleh baca kitab-kitab tafsir untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini. Namun dalam masa yang sama, tiada rugi untuk bertanyakan guru mursyid yang murabbi akan hakikat sebenarnya.
 

Mengapakah khalifah Islam yang lalu mohon dicabut senjata yang menikam diri mereka ketika solat? Apakah rahsianya sehingga menjadi sebegitu rupa? Mengapakah sebahagian kecil umat Islam mampu bersolat berjam-jam lamanya, berpuluh atau beratus rakaat semalam? Apakah rahsianya? Bagaimanakah seorang hamba Allah dapat bersujud berjam-jam lamanya sedangkan kalau kita, lima minit bersujud dah 'rasa macam2'... Bagaimanakah mereka-mereka ini dapat bersolat sedemikian rupa?  Bagi orang awam selain solat itu satu kefardhuan, ia juga seperti 'satu yang perlu dibereskan'. Sedangkan bagi mereka yang khusus, solat itu sebenarnya satu kenikmatan, anugerah, keasyikan dan..... Hamba yakin, perkara utama dalam fardhu ain yang wajib kita perhalusi dan sentiasa ditambahbaik adalah solat kerana ia tiang agama. Moga-moga kita sama-sama berusaha membaiki solat kita dan berusaha bersolat sebagaimana Rasulullah SAW bersolat.

Wassalam.


Isnin, 27 Jun 2011

Peristiwa Israk Mikraj


Peristiwa Israk Mikraj

PENGENALAN
Ketika tulisan ini ditulis menunjukkan bahawa bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Tarikh hari ini adalah 22 Rejab 1429 bersamaan 25 Julai 2008. Maka semakin terasa dekatnya diri ini untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat iaitu Ramadhan al-Mubarak. Namun seringkali dilupai bahawa di penghujung bulan Rejab ini berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat Islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama. 

Terdapatnya sedikit khilaf dalam menentukan tarikh dan waktu sebenar berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini sebenarnya. Namun itu bukanlah suatu perkara yang perlu dipanjangkan pedebatannya. Apa yang terlebih penting adalah peristiwa ini benar-benar berlaku kepada Rasulullah S.A.W. kerana ia ada dinyatakan oleh al-Quran al-Karim dan diceritakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang telah diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi. 

Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah S.A.W. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.

Sungguhpun peristiwa luar biasa Israk Mikraj yang terjadi itu nampak mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia namun selaku umat Islam maka wajib percaya dan yakin bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Imam Nawawi menyatakan bahawa perkara sebenar yang telah disepakati para ulama dan begitu juga para sahabat bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala dengan roh dan jasadnya sekali.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah Taala kepada baginda untuk memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaanNya. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Israa: ayat 1).

Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.
(Surah an-Najm: ayat 13-18). 

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ
Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi. 

Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.

PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ
Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.
Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.

KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:
Baginda melihat orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU
Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi. 

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.

Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

PERTIKAIAN KAFIR QURAISY
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.

Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.

Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut. 

Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang ahli sihir.

Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.

Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.

PENUTUP
Dari segala apa yang telah saya nyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah.

Bulan Rejab dan Peristiwa Isra' Mikraj

sumber : http://www.masjidnegara.gov.my/portal/index.php?option=com_content&view=article&id=341:tazkirah-bulan-rejab-dan-peristiwa-isra-mikraj-&catid=1:latest

Bulan Rejab dan Peristiwa Isra' Mikraj
Betapa benarnya ulama’ tersebut tatkala beliau mengungkapkan kata-kata di atas. Masa lebih berharga dari emas, tidak mampu dijual beli dan tiada gantinya.

Detik masa akan sentiasa berlalu. Hari bertukar bulan, dan bulan bertukar tahun. Dan kini, samada kita sedar ataupun tidak, kita sudah menghampiri ke penghujung bulan Rejab. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama muhasabah diri, sejauh mana penghayatan kita terhadap sempena-sempena yang telah Allah sediakan untuk kita.



Bulan Rejab

Bulan rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram dalam kalendar Islam.

‘Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram.’
At-Taubah : 36

Selain Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram, Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan mulia, dimana diharamkan pertumpahan darah padanya. Juga sebagaimana bulan-bulan Islam yang lain, bulan Rejab dihiasi dengan ukiran peristiwa-peristiwa perjuangan Rasulallah dan Umat Islam. Bulan Rejab menjadi saksi kepada  Hijrah pertama ke Habsyah, peristiwa Isra’ Mikraj, Perang Tabuk, pembukaan semula Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dan beberapa peristiwa yang lain.


Isra’ Mikraj

Peristiwa Israa’ Mikraj merupakan antara peristiwa yang paling istimewa dan luar biasa dalam hidup Baginda s.a.w. Beliau telah menjadi undangan Allah s.w.t. Dari Makkah ke Baitul Maqdis, dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, beliau telah dimuliakan dengan pertemuan langsung dengan Allah s.w.t, pada tempat yang mana malaikat sendiri tidak dapat hadir.

‘Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’
Al-Isra’ : 1

Luka kehilangan Abi Talib dan Khadijah masih merah di hati, tatkala Rasulallah dengan penuh harapan memilih untuk berdakwah ke Thoif. Alangkah sedihnya hati tatkala menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan oleh penduduk Thoif. Dalam pada itu, Rasulallah mengungkapkan kata-kata yang penuh bermakna;

‘Sekiranya engkau (wahai Allah) tidak murka kepadaku, maka aku tidak kisah.’

Betapa jelasnya Rasulallah s.a.w akan tugas yang dipikulnya. Beliau hanya penyampai dan Allah jualah pemberi hidayah. Para malaikat dan seluruh alam berkongsi kesedihan Rasulallah s.a.w, sehinggakan malaikat menawarkan untuk membinasakan penduduk Thoif.

Inilah suasana dimana berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj. Tatkala muslimin bersedih dan tertanya-tanya adakah masih ada sinar harapan untuk dakwah ini.

Allah telah memilih masa yang paling sesuai untuk menyeru kekasih-Nya. Pertemuan dengan Allah s.w.t telah mengubati kesedihan Rasulallah s.a.w. dan memberi semangat baru kepada Baginda.

Umat Islam telah dihadiahkan dengan kewajipan solat. Kewajipan utama yang bakal menjadi rahsia perpaduan dan kekuatan ummat Islam. Betapa pentingnya solat sehinggakan Rasulallah s.a.w sendiri naik ke langit untuk menerimanya, dan bukan melalui perantaraan Jibril seperti kewajipan-kewajipan yang lain.

Peristiwa Isra’ Mikraj juga menjadi petanda bahawa Islam akan menerajui tampuk pemerintahan dunia satu masa nanti. Dengan menyebut Masjidilharam dalam ayat pertama surah Al-Isra’, Allah telah menjanjikan Makkah untuk muslimin, sedangkan Kaabah ketika itu dipenuhi berhala. Perjalanan Rasulallah s.a.w yang aman dari Makkah ke Palestin juga menjadi tanda bahwa Islam akan menguasai tanah diantara kedua-duanya.

Perjalanan Rasulallah s.a.w ke Baitul Maqdis menjadi petanda akan kepentingan dan ketuanan bumi Palestin kepada umat Islam. Bumi yang menjadi rebutan dan sentiasa bergelojak ini akan hanya aman apabila muslimin kembali memerintahnya.


Rejab dan Ramadhan


Apabila tibanya bulan Rejab, Rasulallah s.a.w akan meningkatkan amalan beliau. Terutamanya puasa. Ini kerana Rejab merupakan titik tolak untuk menghadapi Ramadhan. Doa Rasulallah s.a.w ketika datang bulan Rejab;

'Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan pertemukanlah kami (panjangkan umur kami sehingga dapat berjumpa) dengan Ramadhan.’

Apabila tiba sahaja Ramadhan, Rasulallah s.a.w dan para sahabat akan mengucapkan selamat tinggal sesama mereka. Beruzlah dan bermunajat, masing-masing berusaha untuk mencapai tahap yang tertinggi di sisi Allah s.w.t. Jelas kelihatan kesungguhan mereka, kesungguhan yang bermula daripada Ramadhan yang lepas, ditiupkan pada awal Rejab, yang akhirnya membara dan terus meningkat di bulan Ramadhan.


Syaaban menanti

Rejab yang bersejarah dan penuh dengan kebaikan ini akan pergi meninggalkan kita. Sedangkan kita baru sahaja berkenalan dengan Isra’ Mikraj, kepentingan Al-Quds dan perjuangan saudara kita disana.

Ramadhan al-Mubarak semakin menghampiri, malangnya kita masih belum mengorak langkah kearahnya. Puasa sunat kita masih longlai.
Adakah begitu malang nasib kita?

Sahabat yang dikasihi sekalian, ketahuilah bahawa pintu kebaikan sentiasa terbuka luas. Dan Allah tidak akan sesekali mensia-siakan amalan hambanya yang ikhlas.

‘Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.’
Al-Kahfi : 30

Pedoman yang diambil dari kealpaan yang lalu,
Lebih bermakna dari ilmu yang dibiarkan membisu.
Sekiranya pemergian Rejab itu ditangisi,
Semoga Syaaban yang bakal menanti menghiburkan hati.
Sedikit peringatan buat semua,
Dalam keasyikan memburu cinta,
Jangan lupa perjuangan mereka disana.

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj


RKIB : 13/07/2009

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj


Solat adalah manifestasi pengabdian manusia kepada Allah dan wajib dilakukan walaupun di mana kita berada. - Gambar hiasan


PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.
Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.

Israk dan Mikraj

sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Isra_dan_Mi'raj

Israk dan Mikraj

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Isra dan Mi'raj)
 
Sebahagian dari siri berkaitan Allah-eser-green.png
Islam
Rukun Iman
Allah · Kitab · Malaikat · Nabi
Hari Akhirat · Qada dan Qadar
Rukun Islam
Syahadah · Solat · Puasa
Zakat · Haji
Kota Suci
Makkah · Madinah
Baitulmuqaddis
Hari Raya
Aidilfitri · Aidiladha
Hukum
Al-Quran · Sunnah · Hadis
Sejarah
Garis Masa Sejarah Islam
Khulafa al-Rasyidin
Khalifah · Khilafah
Tokoh Islam
Nabi Muhammad s.a.w
Ahlul Bait · Sahabat Nabi
Mazhab
Ahli Sunah Waljamaah
Hanafi · Syafie
Maliki · Hanbali
Budaya Dan Masyarakat
Akademik · Haiwan · Seni
Takwim · Kanak-kanak
Demografi · Perayaan
Masjid · Dakwah · Falsafah
Sains · Wanita · Politik
Lihat juga
Kritikan • Islamofobia
Glosari
Portal Islam
 p  b  s
Peristiwa Isra dan Mi'raj Nabi Muhammad s.a.w. terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian beliau, merupakan peristiwa penting yang selalu dirayakan setiap tahun oleh seluruh umat Islam. Tarikh ini bersamaan 662 M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum Hijrah dari Mekah ke Madinah. Tahun ini juga dikenali sebagai Tahun Dukacita kerana bapa saudaranya Abu Talib bin Abdul Mutalib dan isterinya Siti Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Nabi dan anak angkatnya Zaid bin Harisah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah .Peristiwa israk mikraj ini tercatat dalam surah al Isra ayat 1 (Al Quran:17:1). Surah al Najm ayat 60 juga menceritakan peristiwa ini .(al Quran:53:13-18)

Perjalanan selama 3/4 malam sahaja iaitu dari jam 6 malam hingga 6 pagi Nabi kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar . Baginda menunggang Buraq bersama Jibril dari Masjidil Haram ke Masjid Aqsa di Jerusalem / Baitul Maqdis di Israel / Palestin kini. Arah kiblat umat Islam ketika itu ialah Baitul Maqdis. Selepas peristiwa ini , arah kiblat ditukar ke Mekah. Di Tembok Barat masjid , buraq telah ditambat di suatu tempat. Nabi mengerjakan solat dua rokaat di beberapa tempat persinggahan seperti di Madinah, Madyan dan Bukit Thursina. Di Masjid Aqsa , Nabi sembahyang berjemaah dengan makmumnya ialah Nabi Adam , Nabi Musa dan Nabi Isa. Baginda ditawarkan minuman susu atau arak. Tetapi Nabi Muhamad memilih susu sebagai minumannya.

Seterusnya diangkat secara fizikal melalui mikraj (tangga emas dan perak) dari bumi ke langit ke-7 hingga ke Sidratul Muntaha dan bertemu dengan Allah di Arasy. Di Baitul Makmur, Nabi melihat malaikat bertawaf dan moyangnya Nabi Ibrahim bersandar di situ .Wajah Nabi Ibrahim persis wajahnya . Nabi juga 'dibedah' untuk kali kedua. Sebelum ini, semasa kanak-kanak , baginda pernah dibedah oleh dua malaikat semasa di perkampungan ibu susunya Halimatun Saadiah.

Nabi telah bertemu dan bercakap dengan Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa.

Peristiwa luar biasa ini paling penting dalam kalendar Islam kerana menandakan seseorang itu Islam atau kufur. Ia sebuah mukjizat dari Allah S.W.T bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah dilakukan oleh rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah S.W.T untuk melakukannya sebagai petanda betapa tingginya penghargaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam perjalanan Isra' mahupun Mikraj seperti tercantum dalam buku 'Muhammad Beraudiensi dengan Tuhan karya Moch. Abdai Rathomy (1983: 53), Nabi Muhammad didampingi Malaikat Jibril dan Mikail menunggang seekor haiwan yang disebut 'Buraq'.

Dalam masyarakat Islam, peristiwa ini tercatat dalam kalendar Islam. Umat Islam akan sembahyang sunat. Ceramah khas selalu diadakan bagi mengenang peristiwa tersebut.

Pelbagai peristiwa dilihat

Beberapa peristiwa yang terjadi selama Isra' berlangsung memberikan hikmah dan pelajaran yang sangat mendalam bagi Nabi Muhammad s.a.w. serta menjadi cermin bagi umat yang menjadi pengikutnya.
  1. Nabi memperoleh pelajaran tentang keadaan masa lalu dan masa yang akan datang yakni saat Jibril menyuruh beliau melakukan solat di Kota Thaibah (Madinah) dimana kelak Nabi akan berhijrah ke kota ini, di Thur Saina (Bukit Thursina), tempat Allah berfirman kepada Nabi Musa, serta di Bethelehem, tempat lahirnya Nabi Isa putera Maryam (Mary).
  2. Jibril juga mengajar Nabi bagaimana menghadapi Ifrit dari golongan jin yang mengganggunya dengan memberinya sebuah doa yang harus dibaca Nabi.
  3. Mengambil hikmah dari perjuangan seorang Muslimah sejati Masyitah dalam berjihad mempertahankan keyakinannya akan keesaan Allah.
  4. Mendapat pelajaran bagaimana akibatnya bagi orang-orang yang enggan solat, enggan berzakat, pemakan riba dan suka berbuat zina. Pengganggu jalan umum, pemimpin yang suka menumpuk-numpuk jabatan dan suka menjelek-jelekan orang lain.
  5. Gambaran umat yang terjebaknya dalam kemewahan dunia, perumpamaan umur dunia yang sudah tua, tamsil bermacam-macam minuman yang boleh dan tidak boleh (haram) diminum umat Nabi serta adanya pengakuan para nabi akan keberadaan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin utama.

Dalam perjalanan Mikraj banyak pula hal yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w. Namun yang paling penting adalah baginda mendapat keringanan solat fardu dari 50 kali menjadi 5 kali sehari semalam, sebuah kewajiban yang harus dikerjakan umatnya sampai kelak akhir zaman.

Bantahan orang Quraisy

Sekembali dari Israk dan Mikraj, Nabi Muhamad telah diragui dan ditertawakan oleh masyarakat Quraisy terutama pemimpinnya Abu Jahal dan Abu Lahab .Bagi Abu Jahal , inilah bukti Nabi Muhamad seorang yang gila dan ahli sihir kerana mana mungkin pergi ke Palestin hanya semalaman dan menjelang subuh sudah sampai di Mekah semula . Abu Jahal mempersendakan Rasulullah di Hijr Ismail di hadapan komuniti Bani Kaab bin Luay.

Namun Abu Bakar adalah orang pertama yang percaya dengan cerita itu kerana baginya Muhamad adalah seorang al Amin. Abu Bakar sentiasa membenarkan khbar langit yang Rasulullah bawa. Aisyah mencatatkan ada orang Islam yang murtad selepas peristikwa itu.

Setelah dicabar oleh Bani Kaab bin Luay, Nabi menceritakan keadaan Masjidil Aqsa hingga hampir keliru. Mujurlah saat itu Allah mendatangkan Masjid Aqsa dan diletakkan berdekatan rumah Uqail. Maka, mudahlah Nabi menceritakan masjid itu. Salah seorang dari mereka mengakui kebenaran gambaran itu kerana pernah pergi ke Masjidil Aqsa.

Khilaf(Perselisihan) tentang tarikh Israk Mikraj

Tarikh sebenar berlakunya peristiwa hebat itu masih lagi menjadi perselisihan di kalangan ulama.
Ada yang berpendapat ia berlaku sebelum menjadi Nabi. Ia merupakan pendapat yang janggal. Majoriti ulama berpendapat ia selepas menjadi Nabi. Ia diperkuatkan oleh banyak hadis yang sahih. Seterusnya mereka berbeza pendapat lagi tentang tahun kejadian selepas kebangkitan Nabi sebagai Nabi samada tahun ke 13, 12, 10 atau ke 8 Kenabian. Begitu juga bulan samada bulan Safar, Rabi`ul Awal, Rabi`ul Akhir, Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah.
  1. Menurut Ibn Sa`ad dan Nawawi serta Ibn Hazim ia berlaku setahun sebelum hijrah. Hijrah berlaku pada akhir Safar dan Awal Rabi`ul Awal. Ini bererti peristiwa ini berlaku pada bulan Safar atau Rabi`ul Awal.
  2. Menurut Ibn Jauzi, 8 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Rejab.
  3. Menurut Abu al-Rabi` bin Sali, 6 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Ramadhan
  4. Menurut Ibrahim al-Harbi, dan ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dalam Syrah al-Sirah oleh Ibn `Abd al-Barr, ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabi`ul Akhir
  5. Menurut Ibn `Abd al-Barr, Ia berlaku 13 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Safar.
  6. Menurut Ibn Faris, ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Zulhijjah.
  7. Menurut al-Sudiy sebagaimana diriwayatkan oleh Tabari dan Baihaqi dan di pegang oleh al-Waqidi, 17 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti ia berlaku pada bulan Syawal
  8. Menurut Ibn Qutaibah dan dihikayatkan oleh Ibn `Abd al-Barr serta disebut oleh Ibn Sa`ad daripada Ibn Abi Sirah, ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Ramadhan
  9. Menurut riwayat Ibn `Abd al-Barr dan dipegang oleh Nawawi dalam al-Raudah, ia berlaku pada bulan Rejab
  10. Menurut riwayat Ibn al-Athir, ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.
  11. Menurut riwayat `Iyad dan dituruti oleh Qurtubi dan Nawawi daripada al-Zuhri, ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah. `Iyad berhujah bahawa tiada perselisihan lagi bahawa Khadijah pernah solat bersama baginda saw selepas kefarduan Solat diturunkan. Juga tiada yang berselisih bahawa Khadjah mati sebelum hijrah samada 3 tahun atau 5 tahun sebelum hijrah. Tiada perselisihan juga bahawa kefarduan solat berlaku pada malam Isra’. Namun, hujahnya boleh diteliti kembali kerana menurut al-`Askari Khadijah mati 7 tahun sebelum hijrah. Ada pendapat menyatakan 4 tahun sebelum hijrah. Ibn al-A`rabi menyatakan beliau mati tahun berlakunya hijrah.

ISRAK MIKRAJ: URUTAN RINGKAS PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU


ISRAK MIKRAJ: URUTAN RINGKAS PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU
DALAM ISRAK MIKRAJ KE ATAS RASULULLAH SAW

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan
Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk pada 27 Rejab (20 Julai
2009) InsyaAllah. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang
sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama
Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah
kesempurnaan. Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku
pada diri baginda Rasulullah SAW.

Peristiwa ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang
kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW. Orang kafir
sendiri menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang
menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan
umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus
membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu
penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti
bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada
cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali
murtad daripada Islam. Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku di dua tempat utama di
bumi sebelum nabi dinaikkan ke Saidatul Muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin
malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi
Isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus
menjadi rebutan 3 agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan
Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan
tanpa perikemanusiaan.

Sejarah Perjalanan Israk Mikraj

Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail
dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam dibuang ketul
hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian
dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu,
dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai
pembedahan, didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah
dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah SAW ditemani oleh malaikat Jibrail dan
Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah)
Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah :

I. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.

II. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.

III. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan). Dalam perjalanan itu juga
Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat
menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib, antaranya:-

A. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka.
Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi
dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail:
Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

B. Tempat yang berbau harum, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan
anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman
ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak
mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

C. Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap
kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula.
Demikaan dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang
yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

D. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur)
dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka
makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orangorang
yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

E. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk
sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan
perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu
masing-masing mempunyai isteri dan suami.

F. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail:
Itulah orang yang makan riba.

G. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi
ditambah lagu kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tak dapat
menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

H. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan
penggunting besi berkali-kali. Setiap kali di gunting, lidah dan bibir mereka
kembali seperti biasa. Kata Jibrail: itulah orang yang membuat fitnah dan
mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

I. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.
Kata Jibrail: Itulah orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan
menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

J. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat
dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar
(takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat.

K. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan.
Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah
memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan
dunia daripada akhirat.

L. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah
berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang
yang mensiakan umurnya sampai tua.

M. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan
sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan
menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke
dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia’,
aulia’ dan mursalin menjadi makmum. Pad suatu tika Rasulullah SAW terasa dahaga,
lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu
diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih,
nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik
tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

a) Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu
jumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang
makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan
kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada
susu penzina perempuan.

b) Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan
bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

c) Langit Ketiga: Baginda naik langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

d) Langit Keempat: Baginda naik tangga keempat dan bertemu dengan Nabi
Idris AS.

e) Langit Kelima: Baginda naik tangga kelima dan bertemu dengan Nabi Harun
AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

f) Langit keenam: Baginda naik tangga langit keenam dan bertemu dengan
nabi-nabi.

g) Seterusnya dengan Nabi Musa AS, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh
oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk
70000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

h) Langit Ketujuh : Baginda naik tangga langit keyujuh dan masuk langit ketujuh
lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul
Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW Nabi
Ibrahim AS bersabda. “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini.
Umatmu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk
umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haulawala
Quwatta Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda :
“Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik
tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu :
Subhanallah, Walhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La
Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap
kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.

i) Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail
masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini
betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

j) Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban
pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan
sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah
warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas
emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.

k) Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang
terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat
neraka beserta dengan malaikat Malik penunggunya.

l) Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-
Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy,
iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu
penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

m) Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan
Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata
kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan
Muhammad, Rasul-Nya.

Allah SWT: Ya Muhammad

Rasullah: Labbaika

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah: Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau
berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau
kurniakan kerajaan Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa
pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.

Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat
menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati.
Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT : Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankan mu sebagai
penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu
dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri
keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada hari kiamat. Aku kurniakan
tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa
sebelum mu. Aku berikan mu ayat-ayat di akhir surah al Baqarah sebagai
suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”. Aku berikan habuan daripada
kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku
kurniakan panji-panji Liwa – ul – hamd. Maka Adam dan semua yang lainya di
bawah panji-panji mu. Dan aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu)
sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian nabi
Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah S.W.T
agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas
sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi
merayu kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan
sembahyang 5 waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak
50 waktu juga.

Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-
Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang
sama.

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh
fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa
dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang
diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah
tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di
Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya
terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi
Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh
dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama
surah al-Israk. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat
di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu
kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah
buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang
menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.
Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu
Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid
al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-
Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat
Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia
ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi
peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan
mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga
tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan
kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu beres dengan
Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang
muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua
masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan
penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia
terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk
menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan
peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran. Wallahua’lam.