Isnin, 27 Februari 2012

Beramal dengan ilmu tasawuf adalah untuk menjiwai dan merasai akan roh agama

Assalamu'alaikum,



Belajar dan beramal dengan ilmu tasawuf untuk menjiwai, merasai akan roh agama, bukan untuk cerita sana-sini, sembang kedai kopi, bicara tanpa adab...Jika beramal dengan fiqh itu dapat menzahirkan perbezaan orang Islam dengan orang bukan Islam, maka beramal dengan tasawuf itu dapat membezakan antara orang mukmin dengan orang Islam.

Akan sebab itu, berhati2lah dalam berbicara, ketika berbicara akan tasawuf kerana buah bicara itu adalah penzahiran roh agama si pengamal tasawuf. Sebagaimana isi, begitulah kulitnya.

Kalau kata-kata kesat, keji, umpatan dan fitnah yg dilemparkan, maka itulah gelodak rasa dan jiwa si pengamal tasawuf itu...

Kalau seronok cerita sembang sana-sini, maka cerita-cerita itulah pengabdian si salik dalam perjalanan tasawufnya, maksudnya, perjalanan ilmu dan amalnya adalah mencari cerita-ceriti utk disembang-sembangkan... Kalau bab amal yang banyak dibicarakan, maka itu lebih baik bagi si pengamal daripada kisah dan cerita yang 'tidak banyak isi amalnya'...

Kalau asbab politik menjadikan pengamal tasawuf berpecah atau tidak dapat 'bersama/bersatu' dengan rakan salik yang lain yang di sebelah puak politik yg lain, maka jiwa dan roh agamanya adalah jiwa politik dan roh politik, bukan berjiwa tasawuf, roh agamanya bukan tasawuf... Banyak pengamal tasawuf tersangkut dalam hal ini, politik itu dominan dalam dirinya, bukan amal-amal tasawuf yang bertujuan untuk membersihkan hati dan diri, mencantikkan akhlaknya...

Hatta pengamal tasawuf yang diberikan petunjuk Allah tentang kebenaran segelintir kecil ulamak dalam parti dokongan politiknya tidak boleh 'menyatakan ulamak di parti satu lagi' salah, tidak benar di sisi Allah kerana dia hanya diberikan petunjuk dan kebenaran tentang suatu perkara yang kecil, bukan keseluruhannya dan dia tidak diberikan petunjuk tentang kebenaran 'ulamak di parti satu lagi' .  Maka, dari itu berhati-hatilah. Ingatlah, kita hamba Allah, tidak diberikan, tidak dibukakan, tidak ditunjukkan dengan keseluruhan sifat maha mengetahui, maha bijaksana DIA dalam apa sahaja isu. Betapa ramai pengamal tasawuf yang menolak kebenaran yang datang dari ulamak yang bukannya dari parti mereka. Betapa ramai pengamal tasawuf fanatik dengan kebenaran mereka sahaja? Habis, apa bezanya mereka dengan orang awam? Apa najitah tasawuf pada diri mereka?

Kalau bahasa dan buah bicaranya mudah menyindir, mengata-ngata, amalan-amalan guru-guru, ulamak2 tasawuf dahulu, maka bermasalah lagilah perjalanan si salik itu...  

Kalau masih jalan kita saja yang betul, cepat, pantas dan seumpamanya, maka bermasalah lagilah perjalanan si salik itu...

Kalau asyik mencari salah dan silap jalan orang lain, maka bermasalah lagilah perjalanan si salik itu...

Betapa ramai ahli tasawuf, mereka yang mengaku beramal dengan ilmu tasawuf, jalan tariqat dan hakikat, terlupa atau cuai apabila berbicara di FB dengan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak mencerminkan akhlak pengamal tasawuf, Banyak pengamal tasawuf cuai, lupa bahawa akhlak mereka itu adalah cerminan akhlak gurunya...terlupa mereka bahawa mereka itu 'lambang akhlak' bagi gurunya...Apabila mereka menzahirkan buah bicara yang tidak selayaknya, mereka sebenarnya telah memperlihatkan bahawa akhlak itulah hasil bimbingan guru masing-masing. Lihatlah bagaimanasahabat-sahabat baginda SAW yang mencerminkan akhlak Junjungan Nabi SAW.  Dari itu, usahlah berbicara hal yang tinggi-tinggi jika akhlak kita sendiri masih bermasalah.


Yang susah bagi pengamal tasawuf hatta guru-guru tasawuf adalah mendapatkan tawadhuk.. Kalau dapat tawadhuk, banyak masalah perpecahan dan perbalahan antara jalan tasawuf dan tariqat dapat diatasi.

Setinggi mana bicara tentang hal ehwal alam jabarut, malakut dan lahut, apa ertinya jika akhlak kita tiada bezanya dengan akhlak orang ramai? Manakah tasawuf sebagai jiwa dan roh agama bagi diri kita?

Wassalam.
 
 

Sabtu, 25 Februari 2012

Renang, Silat dan Corus Paradise Resort, Port Diskcson

Assalamu'alaikum,


Pada 10-12 Februari 2012 yang lepas,  hamba menghadiri satu kursus anjuran majikan tempat hamba bekerja di Port Dickson. Hotel yang hamba menginap  adalah Corus Paradise Resort. Kalau sampai simpang tiga/lampu isyarat selepas kawasan kem tentera di PD, kena ambil simpang ke kanan, ke arah bandar. Selepas mendaftar masuk pada petang Jumaat (10 Februari 2012), hamba dan anak-anak 'serta isteri' pergi mandi di kolam renang di hotel ini. 

Alhamdulillah, anak sulung dan kedua hamba dah tahu berenang...Isteri belum tahu berenang, anak ketiga dan keempat belum tahu berenang. Berenang adalah salah satu 'sukan/aktiviti' yang disuruh oleh Junjungan Nabi SAW untuk diajarkan kepada anak-anak. Anak sulung dan kedua tahu berenang sebab diajarkan dalam kurikulum sekolah semasa kami menetap di luar negara tempohari. Kalau di Malaysia, anak-anak orang berada saja yang tahu berenang secara betul. Anak-anak kampung (macam hamba juga) berenang cara kampung saja. Hamba sendiri berenang cara kampung tetapi memandangkan banyak berlatih di kolam renang semasa menuntut di salah sebuah universiti tempatan (ijazah pertama) dulu, dan alhamdulillah, kira-kiranya sekarang tahu jugalah berenang ni, walau tak sama macam perenang profesional.     

Kalau kita perhatikan, suruhan Nabi SAW ini dimasukkan dalam kurikulum di negara-negara Barat, dari sekolah rendah sampai sekolah menengah. Kira-kiranya anak-anak di Barat 'mahu dipastikan' tahu berenang, menyelamatkan diri sendiri kalau apa-apa terjadi dan lain-lain sebab.  Bagaimana dengan negara kita? Sejauhmana kurikulum sekolah kerajaan, sejauhmana kurikulum sekolah berasrama penuh, sejauhmana kurikulum sekolah integrasi, sejauhmana kurikulum sekolah tahfiz, sejauhmana kurikulum sekolah pondok  memasukkan suruhan2 Nabi SAW dalam kurikulum semasa? Cukupkah sekadar mengajar ilmu? Mengapa kemahiran yang disuruh Nabi SAW tidak dimasukkan sekali dalam kurikulum semasa? Wujudkah sekolah pondok yang melatih pelajar-pelajarnya berenang di Malaysia? Wujudkan sekolah integrasi di bawah Jabatan Agama Islam Negeri yang menekankan pelajarnya supaya tahu berenang, selain memanah?

Jika renang/sukan suruhan RSAW tidak dimasukkan dalam kurikulum semasa, ini bermakna kita seperti 'puak sekular', yakni memisahkan agama dengan kehidupan. Islam adalah bersepadu, tidak terpisah  antara ibadat dan kehidupan. Sukan seperti renang, berkuda, bermain pedang, seni mempertahankan diri adalah sebahagian daripada kehidupan dan disuruh RSAW. Kita mengatakan orang lain sekular, adakah kita tidak sekular? Kita juga sekular jika memisahkan kehidupan dengan ibadat!!! Fikir-fikirkanlah!!! 

Kalau di bandar dan  anak mampu bersekolah di sekolah swasta, kemungkinan besar renang akan dimasukkan dalam kegiatan ko-kurikulum semasa....Isteri hamba walaupun dah 'besar panjang', peluang di hotel memang selalu hamba gunakan untuk 'ajar' beliau tentang berenang...Sekarang zaman dah berubah, pakaian renang yang menutupi aurat ada di pelbagai tempat. Apa salahnya berbelanja sikit membeli pakaian-pakaian ini untuk mengikut Sunnah RSAW...Dapat atau tidak beliau pandai berenang itu urusan kedua, urusan yang utama adalah ajar...

Begitu juga dengan seni mempertahankan diri...Sejauhmana ilmu persilatan diajar dalam kalangan anak-anak Melayu di sekolah rendah mahupun menengah? Tidak berbanggakah anak-anak kita dengan warisan ilmu mempertahankan diri yang cukup unik dan ampuh ini? Yang hamba terdengar, terdapat negeri yang 'menghalang' silat diajar di sekolah kerana pelbagai sebab. Malang sekali sebahagian anak Melayu hari ini, lebih bermegah dengan tae-kwon-do, karate, jujitsu, ninjutsu, tomoi, MMA, dan lain2nya sedangkan khazanah bangsa itu ditinggalkan!!! 

Anak hamba yang kedua, Alhamdulillah dah pandai berenang dan hamba tak benarkan dia ambil ko-k berenang lagi untuk tahun ini. Dan bersyukur ke hadrat Allah, ko-k silat ditawarkan kali pertama di sekolahnya dan hamba suruh beliau ambil ko-k silat. Takpalah belajarlah sikit-sikit, buah sikit-sikit, biar dia kenal akal-budi, asad-resam, seni dan budaya bangsanya. Tidak ada salahnya untuk memperkasakan jatidiri Melayu bagi orang Islam berbangsa Melayu, kerana itu juga 'rahmat Allah'.  Adakah kita mahu anak-cucu kita hanya tahu main permainan seni mempertahankan diri dalam PSP, Nintendo, Playstation dan XBox tetapi kaku apabila berhadapan dengan situasi sebenar??? 

Cukuplah celoteh hamba kali ini. Gambar-gambar seterusnya adalah hambar di hotel tempat hamba berkursus. 

Ada lagun buatan di pantai hotel ini 

Gambar dirakamkan dari bilik kami menginap 

Nak harap hamba sewa sendiri bilik sebegini? Tak perlu... 

Sebab dalam setahun paling kurang 4-8 kali hamba akan menginap di hotel atas urusan rasmi...:-)

 Rakan hamba kata kualiti hotel ini 'dah merudum'.....

Ada gim tetapi tidak dibuka kepada penginap... 'bermasalah' 

Lobi hotel 

Kawasan parkir 

Masih di lobi utama... 

Ada sangkar burung di hotel ini... 

 Untuk riadah tetapi tiada sambutan

 Lagun  buatan di kawasan pantai...

 Kolem renang untuk dewasa dan kanak-kanak

Tak ada yang menjaga tuala....tanda 'kualiti dah merudum'... 

 Banyak aktiviti kerja berpasukan yang sesuai di hotel ini

Kolam renang terdedah santapan mata penginap yang makan di restoran  

Sarapan pagi....biasa-biasa saja 

Bilik air..boleh tahan tapi dari 'perspektif Barat'!!! Masakan tidak pintu bilik mandi adalah berkaca telus!!!

Kamar tidur, hamba dah nak mendaftar keluar ni! 

Ruang tamu sebelah kamar tidur...Bilik ini memang luas dan sesuai untuk keluarga cuma persaingan di PD memungkinkan perkhidmatannya 'sedikit bermasalah'...

Khamis, 23 Februari 2012

Zakat urusan pemerintah?



Zakat urusan pemerintah?

Benarkah pendapat yang menyatakan zakat ini adalah urusan pemerintah? Apakah dalil-dalil yang menyokongnya? Harap penjelasan daripada pihak ustaz.

JAWAPAN
Terima kasih kerana bertanya. Memang ramai juga yang tidak memahami, bahawa zakat ini adalah ibadah yang amat erat perkaitannya dengan urusan pemerintahan. Jika dibandingkan dengan ibadah wajib dan rukun yang lain, solat, puasa dan haji misalnya, maka zakat adalah ibadah yang melibatkan kepentingan umum (maslahah ammah).

Dalam istilah lain disebut amalan ijtimaiyyah, yang mana jika ia tidak dilakukan dengan sempurna, maka kesan buruknya akan menimpa orang lain, yakni asnaf yang lapan.

Berbeza dengan solat, puasa dan haji, ia adalah amalan fardhiyyah, yang pelaksanaannya tidak melibatkan kepentingan umum umat Islam.

Orang yang enggan bersolat dikira berdosa; namun jirannya yang kelaparan kerana tiada makanan tidak menanggung kesannya. Tetapi jika dia kaya dan enggan berzakat, maka ramai fakir miskin akan terus hidup melarat.

Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran, betapa orang yang diberikan Allah kekuasaan di atas muka bumi ini, maka wajib ke atas mereka melaksanakan amanah kekuasaan itu, termasuklah memastikan zakat dilaksanakan dengan berkesan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (al-Hajj: 41)

Ulama tafsir, misalnya Sheikh Abdullah Basmeih menyatakan, apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah, mereka yang telah diberikan kekuasaan itu (yakni khalifah atau pemerintah), hendaklah melaksanakan segala hukum-hakam dan syariat Allah SWT.

Dalam hal ini, termasuklah memastikan ibadah dan urusan zakat dilaksanakan dengan sepenuhnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Maka, sudah jelas di sini bahawa pemerintah Islam wajib memastikan pelaksanaan zakat di dalam sistem pemerintahannya. Jika tidak, mereka termasuk dalam golongan yang mengingkari arahan Allah SWT.

Di samping itu, ada lagi ayat al-Quran yang menerangkan bahawa urusan mengelola zakat ini terletak di bahu pemerintah.

Misalnya, firman Allah SWT yang menegaskan: Ambillah sebahagian daripada harta mereka (muzakki) sebagai sedekah (zakat), dan juga ayat 60 surah yang sama: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin dan para amil...(at-Taubah: 103)

Menurut perbahasan ulama misalnya Imam ar-Razi dan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, ia adalah petunjuk jelas, bahawa hanya pihak pemerintah sahaja yang berhak melaksanakannya.

Ini kerana, bukan sembarangan orang boleh mengambil harta orang lain, hanya pemerintah dengan peruntukan kuasa yang ada padanya sahajalah yang mampu melakukannya.

Samalah dengan peruntukan kuasa-kuasa lain, yang mana tujuan akhirnya adalah demi menjamin maslahah ummah.

Mengulas lebih lanjut tentang ayat 103 dari surah at-Taubah di atas, Imam Ibn Katsir di dalam tafsirnya menjelaskan, ayat ini merupakan satu arahan daripada Allah SWT agar rasul-Nya, yakni Nabi Muhammad SAW mengutip zakat dalam kalangan umat Islam.

Maka, nabi pun melaksanakan peruntukan kuasa yang diberi oleh Allah SWT ini dengan mengutip zakat sebagaimana yang sepatutnya.

Imam Ibn Katsir turut menghuraikan, ayat ini juga dijadikan hujah oleh sebahagian umat Islam yang setelah kewafatan Rasulullah SAW telah enggan menyerahkan harta zakat mereka kepada Abu Bakar.

Alasan mereka, hanya Rasulullah SAW sahaja yang berhak mengutip zakat daripada mereka.

Fahaman mereka ini ditentang keras oleh Abu Bakar r.a, bahkan baginda telah mengisytiharkan perang ke atas golongan ini dan mereka juga dikelompokkan bersama-sama golongan ar-Riddah, yakni orang-orang yang murtad (yakni bersama dengan golongan nabi-nabi palsu dan orang yang mengisytiharkan diri mereka keluar daripada Islam).

Natijah daripada ketegasan Abu Bakar inilah, akhirnya golongan yang menolak zakat ini akhirnya kembali kepada Islam dan dapat menyelamatkan umat Islam dan Madinah daripada kekacauan (rujuk Terjemah Singkat Ibnu Katsir, Jilid IV, hal. 132-133).

Peristiwa ini juga menjadi pertunjuk penting, bahawa zakat adalah amanah kepada pemerintah untuk memastikannya sentiasa terlaksana.

Bahkan, dalam usaha melestarikan arahan Allah SWT di dalam ayat 103 di atas, Nabi Muhammad SAW turut mewakilkan urusan kutipan zakat kepada para sahabatnya, yakni para amil.

Di antara sahabat nabi yang terkenal sebagai amil zakat ialah Muadz bin Jabal, Umar Ibnul Lutbiah, Rawahah bin Abdullah al-Ansari dan Ubadah bin Somit (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 47-49).

Kepada mereka ini, Rasulullah SAW memberikan perincian tentang tugasan amil, seperti mana Nabi SAW pernah mengungkapkan kepada Muadz: Ambillah kekayaan daripada kalangan penduduk Yaman dan agihkan kembali kepada golongan fakir dalam kalangan mereka. (muttafaqun 'alaih).

Dalam kesempatan lain, Nabi SAW turut memberi amaran kepada para amil lantikan baginda, betapa tugas mereka perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

Misalnya: Sesiapa yang telah kami lantik sebagai amil zakat kemudian dia menyembunyikan sebatang jarum penjahit atau benda lain yang lebih berharga daripada (pengetahuan) kami, maka perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan yang akan dituntut tanggungjawabnya pada hari kiamat. (riwayat Muslim dan Abu Daud).

Bahkan Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat secara terang-terangan telah menukilkan, bahawa adalah menjadi kewajipan bagi pemerintah menugaskan para pemungut zakat, yakni sesuai dengan saranan sunnah dan mestilah menepati dengan segala kriteria yang telah pun ditetapkan oleh syarak.

Kesimpulannya, zakat sama ada urusan kutipan dan agihannya, adalah sebahagian daripada urusan pemerintahan.

Maka, menjadi satu kewajipan pemerintah untuk berlaku adil dan penuh tanggungjawab dalam memikul amanah zakat ini.

Seandainya mereka tidak adil dan cuai sehingga umat Islam yang memerlukan menderita, maka mereka dikira berdosa.

Ia sebagaimana pernah dinukilkan oleh Imam Abu Yusuf: "Wahai amirul mukminin, perintahkanlah para amil zakat untuk mengutip harta zakat dan bahagikannya kepada mereka yang berhak.

"Lakukanlah semua urusan itu sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW dan para khalifah selepas baginda...orang yang memulakan satu tradisi yang buruk, maka dia berdosa dan ditimpakan pula dosa ke atasnya bagi orang-orang yang mengikuti perbuatannya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun". (rujuk Yusuf al-Qaradawi, Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawab, hal. 52). Wallahu a'lam.

Rabu, 22 Februari 2012

Maqasid syariah dalam perbankan Islam




Maqasid syariah dalam perbankan islam




Sistem perbankan Islam di Malaysia semakin maju dan akan menyambut ulang tahun penubuhan Bank Islam yang ke-30 tahun hadapan. - Gambar hiasan



DUNIA mengiktiraf Malaysia sebagai hab paling aktif dalam perbankan dan kewangan Islam. Namun sejauh manakah institusi perbankan Islam berjaya menjaga kebajikan dan kepentingan pelanggannya?

Perbankan Islam yang bermula dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengorak langkah menjalankan muamalah Islam apabila ia diberi lesen oleh kerajaan untuk beroperasi sebagai sebuah bank.

Berbanding dengan Tabung Haji yang mempunyai matlamat membantu orang Islam menabung bagi menunaikan ibadah haji, bank-bank Islam menawarkan skim perbankan tanpa riba yang meliputi simpanan (Wadiah), pelaburan (Mudharabah) dan pembiayaan rumah dan kereta (Bai Bithaman Ajil - BBA dan Murabahah).

Bermula dengan konsep nyah riba atau dengan perkataan lain, perbankan tanpa faedah, di awal penubuhan Bank Islam, menyaksikan banyak halangan dan rintangan.

Rungutan orang ramai kononnya kadar keuntungan yang diambil dalam produk pembiayaan sistem perbankan Islam seperti BBA terlalu tinggi tidak sepatutnya kedengaran lagi kerana perbankan Islam akan menyambut ulang tahun ke 30 pada tahun 2013.

Perbankan Islam kemudiannya berkembang dengan penawaran skim perbankan tanpa faedah di kaunter bank konvensional yang dikenali sebagai Islamic windows oleh bank konvensional mulai tahun 1993.

Industri perbankan Islam bertambah kukuh dengan tertubuhnya Bank Muamalat pada tahun 1999 yang merupakan bank Islam kedua. Ia bergerak pantas dan mulai tahun 2003, banyak bank konvensional membuka anak syarikat perbankan Islam.

Ketika bank-bank tempatan mengambil tempat perbankan Islam di Malaysia, dua bank Timur Tengah seperti Kuwait Finance House (KFH) dan al-Rajhi membuka cawangan di Malaysia sekitar pertengahan tahun 2000.
Penerimaan pelanggan Malaysia terhadap dua bank Timur Tengah ini sangat memuaskan. Kedatangan KFH dan al-Rajhi mencorak landskap baru perbankan Islam di Malaysia.

Ini dapat dilihat dalam beberapa produk yang menjadi 'produk asas' bank Islam tempatan seperti BBA 'diganti' dengan Musyarakah Mutanaqisah, Bai' al-'Innah dan Bai' al-Dayn diganti dengan Tawarruq.

Produk baru ini menampakkan bahawa ia lebih menepati kehendak maqasid syariah (matlamat syariah) kerana keuntungan yang diambil oleh bank adalah berpatutan.

Malahan, ia mengurangkan kontroversial seperti 'produk asas' bank Islam tempatan seperti BBA, Bai' al-'Innah dan Bai' al-Dayn.

Melihat kepada definisi literal syariah itu sendiri iaitu jalan yang lurus dan sumber air, sudah tentu menggambarkan bahawa syariah itu membawa insan kepada satu sistem yang membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Malah secara teknikal, syariah membawa maksud satu sistem yang diturunkan oleh Allah merangkumi komponen akidah, akhlak dan fiqh (undang-undang).

Maka apa sahaja sistem yang dilaksanakan mestilah menepati kehendak ketiga-tiga komponen tersebut.

Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT mewajibkan ketiga-tiga komponen akidah, akhlak dan fiqh berintegrasi (integrated) yang menjadikan ia sebagi satu jalan hidup.

Justeru, sesuatu perkara atau mauduk yang mahu dilaksanakan mesti menepati kehendak syariah tersebut.

Maqasid syariah

Lantaran dari definisi syariah di atas, para sarjana dan fuqaha Islam menggariskan bahawa kehendak syariah itu mesti berlandaskan maqasid syariah yang meliputi tiga keutamaan:

Dharuriyyat (Essential).
Di bawah keutamaan ini, perkara yang menjadi sandaran manusia sama ada bersifat keagamaan dan keduniaan akan menjadi pincang seandainya ia tidak dilaksanakan.

Justeru memelihara agama, nyawa, intelek, keturunan dan maruah dan harta menjadi lima nilai keutamaan dalam segala tindak tanduk manusia di dunia.

Memelihara harta termasuk dalam muamalah perbankan Islam dan justeru itu ia tergolong di dalam keutamaan dharuriyyat yang menjadi asas keutamaan maqasid syariah.

Hajiyyat (Complimentary).
Keutamaan hajiyyat merupakan manfaat dan kepentingan di mana jika ia diabaikan boleh membawa kepada kesusahan dan kepayahan hidup manusia meskipun tidak akan membawa kepada kepincangan hidup.

Hajiyyah secara umumnya adalah sokongan terhadap lima nilai utama dalam keutamaan dharuriyyat. Ini dapat dilihat dalam kes rukhsah. Walaupun solat merupakan keutamaan di bawah dharuriyyat, kelonggaran diberi bagi mereka yang bermusafir melakukan jamak dan qasar.

Begitu juga dapat dilihat dalam persoalan melakukan solat dalam keadaan baring bagi pesakit yang tidak berkeupayaan berdiri.

Oleh kerana rukhsah bertujuan untuk mengelak kesusahan walaupun ia tidak penting, manusia masih boleh meneruskan kehidupan normal tanpa melakukannya.

Contoh dalam muamalah adalah pengharaman monopoli (ikhtikar) dan penerimaan syariah dalam kontrak Salam dan ijarah meskipun ia tidak menepati kehendak rukun kontrak.

Dalam kontrak salam, keperluan kepada subjek kontrak diberi kelonggaran walaupun ia merupakan satu dari rukun kontrak.

Bagi kontrak ijarah pula, manfaat barang (usufruct) diharuskan untuk disewakan kepada orang lain meskipun barang tersebut masih dimiliki oleh pemilik barang tersebut. Kedua-dua kontrak ini diharuskan kerana manusia sangat berhajat kepadanya.

Tahsiniyyat (Embellishment).
Keutamaan tahsiniyyat merupakan hierarki terbawah dalam susunan maqasid syariah. Ia merujuk kepada keselesaan yang akan dinikmati oleh manusia yang berkehendak kepadanya.

Perkara di bawah tahsiniyyat adalah satu pembaikan dan kesempurnaan hidup manusia dalam semua hierarki hidup.

Maka, tanpa melaksanakan tahsiniyyat, kehidupan manusia masih normal walaupun sedikit sebanyak mengganggu kesenangan hidup. Dalam muamalah Islam, ini dapat dilihat dalam pemberian 'ganjaran' oleh pemiutang kepada pemberi hutang dalam kes Qard al-Hasan sebagai membalas jasa baik pemberi hutang semasa pemiutang berada dalam keadaan kesusahan.

Begitu juga apabila syariah menggalakkan umat Islam memberi sedekah dan berkelakuan baik dalam percakapan dan tingkahlaku.

Menyedari keperluan maqasid syariah dalam perbankan Islam, bank-bank Islam di Malaysia perlu menilai semula beberapa produk dan transaksi yang nampak secara tersirat tidak menepati kehendak maqasid syariah walaupun secara tersurat menepati piawaian fiqh mengikut pandangan sesetengah fuqaha.

Pembayaran keseluruhan keuntungan dalam kontrak BBA hendaklah dinilai semula kerana pihak pembeli dikehendaki membayar keseluruhan jumlah harga jualan (pembiayaan) disebabkan kegagalan pembeli membayar ansuran.

Walaupun ia menepati kehendak asal kontrak yang termeterai dan berlandaskan syariah, daripada segi yang lain ia menampakkan seolah-olah bank Islam terlalu mengejar keuntungan berbanding dengan bank konvensional.

Contoh lain adalah dalam kontrak BBA di mana harga keuntungan yang dikenakan begitu tinggi berbanding Musyarakah Mutaqisah yang nampak memihak kepada pembeli.

Ini kerana dalam kontrak Musyarakah Mutaqisah, kedua-dua pihak iaitu bank dan pembeli mempunyai 'saham' dalam syarikat sebuah rumah.

Pihak pembeli seterusnya menambah 'saham' dalam syarikat rumah tersebut sehingga kesemua 'saham' dibeli oleh pembeli. Keuntungan yang diambil oleh pihak bank adalah munasabah.

Untuk itu, bank-bank Islam di Malaysia perlu menilai semula produk dan transaksi yang dikatakan lebih mementingkan keuntungan. Kehendak maqasid syariah hendaklah menjadi asas utama dalam penilaian sesebuah produk dan transaksi. Alasan yang mengatakan bahawa bank Islam perlu bersaing dengan bank konvensional bukanlah alasan baru.

Tahun 2013 akan melihat sistem perbankan Islam merayakan ulang tahun ke 30. Justeru, ia perlu membuat anjakan paradigma menawarkan perbankan Islam yang menepati kehendak maqasid syariah supaya ia dilihat berbeza dengan bank konvensional.

Selasa, 21 Februari 2012

Aisha bersyukur diberi peluang kedua


Aisha bersyukur diberi peluang kedua


Aisha Azra Jemal Abdullah (tiga dari kiri) bersama saudara Muslim ketika menghadiri kursus lanjutan anjuran MAIS di Pantai Remis, Kuala Selangor.



BERGELAR Muslim, itulah hasratnya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ditambah faktor pergaulan dengan teman-teman sekolah yang majoritinya beragama Islam.

Bahkan, nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat Islam sekitarnya, menambah keterujaan untuk memeluk Islam.

Sehinggakan laungan azan yang berkumandang, dirasakan bagai memanggil dirinya untuk melakukan syahadah.

Demikian gejolak jiwa yang dirasai Lais anak Jemal sebaik dirinya bertekad untuk memeluk agama Islam. Apatah lagi, keinginannya itu diiringi restu ibu tercinta.

Lantaran itu, penantian lebih lima tahun yang berakhir dengan lafaz kalimah syahadah tidak pelik jika diiringi air mata kegembiraan, sekali gus bertukar ke nama Aisha Azra Jemal Abdullah.

"Saya mengenali Islam sejak di tingkatan empat lagi. Dalam kelas Tamadun Islam, Ustazah Syarifah Hendon yang mengajar selalu menceritakan kisah-kisah nabi. Dari situlah minat saya kepada Islam bermula.

"Saya sendiri hairan bagaimana Islam boleh menjadi pilihan kerana saya juga terlibat secara aktif dengan gerakan mubaligh remaja Kristian.

"Selain itu, saya juga jadi suka dengan agama Islam apabila melihat akhlak dan penampilan yang ditunjukkan oleh kawan-kawan yang beragama Islam.

"Mereka ini saya lihat walaupun bertudung tetapi ia bukan kekangan untuk berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan," akui wanita dari suku kaum Iban, kelahiran Kuching, Sarawak.

Tambah Aisha, dia juga tertarik dengan Islam kerana mendapati agama tersebut mempunyai kaedah yang menarik dalam menghadapi masalah.

Tiada putus asa atau mencari jalan nekad seperti membunuh diri, kekuatan keimanan dan rasa kebergantungan kepada Allah semata-mata itulah yang kata Aisha tidak ada pada agama lain.

Aisha yang mula menjejakkan kaki di Semenanjung Malaysia pada 1999 kerana menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan sains politik.

Dia memeluk Islam pada 10 Disember 2002 di Majlis Agama Islam di Kuching, Sarawak dengan ditemani keluarga angkat.

Siapa sangka setahun kemudian, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini dipertemukan jodoh dengan lelaki Melayu yang juga berasal dari Sarawak. Mereka melangsungkan pernikahan pada 2003.

Pada pertemuan di Pusat Islam, baru-baru ini Aisha yang kini berusia 34 tahun membuat pengakuan dia hilang bimbingan sepanjang tempoh perkahwinannya.

Namun, bergelar ibu tunggal, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Syahira Natasha, 8, dan Danial Mustaqim, 7, menganggap dirinya mendapat hidayah kedua.

Kedua-dua anak Aisha kini menuntut di sebuah sekolah tahfiz di Jalan Kebun, Klang, Selangor sejak hampir dua tahun.

"Selepas bercerai saya mula bermuhasabah diri. Saya rasa hidup ini ada kekurangan. Ini kerana selama saya bergelar Muslim, saya tidak berpeluang mendalami agama Islam. Apatah lagi bila melihat anak-anak semakin membesar. Sampai bila saya harus Islam sekadar pada nama sahaja.

"Satu lagi yang mendorong saya mendalami ilmu agama adalah pembantu rumah yang banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya kepada anak-anak.

"Dialah yang mengajar anak-anak saya mengaji. Dialah pembakar semangat untuk saya hijrah keluar daripada kejahilan," kata Aisha bersyukur.

Kini dia sering mengunjungi Jabatan  Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Kata Aisha, selain mengikuti kelas-kelas pengajian pagi dan petang anjuran Jawi dan Perkim dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri kursus anjuran MAIS.

Jelasnya, setelah belajar secara istiqamah barulah dia lebih memahami bahawa ajaran Islam itu benar-benar serta amat selari dengan fitrah manusia.

Sekeluarga dapat hidayah



Sekeluarga dapat hidayah



SEBAGAI seorang gadis Kristian yang kemudiannya memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Muslim, itu sudah cukup luar biasa bagi Aisha Bhutta.

Namun apa yang telah dilakukan olehnya jauh lebih menakjubkan. Apa tidaknya, dia sebenarnya turut mengislamkan kedua ibu bapanya.

Malah hampir keseluruhan ahli keluarganya serta sekurang-kurangnya 30 orang daripada kalangan kawan dan jiran turut memeluk Islam.

Aisha yang sebelum ini dikenali sebagai Debbie Rogers duduk tenang di sebuah sofa di ruang tamu pangsapurinya yang terletak di Cowcaddens, Glasgow, United Kingdom.

Di dinding ruangan tersebut tergantung sebuah petikan ayat daripada al-Quran dan jam khas yang memberi peringatan kepada isi rumah tersebut akan waktu-waktu solat lima waktu. Poster kota Mekah turut menghiasi dinding ruang rumah berkenaan.

Kilauan mata biru Aisha yang mencerminkan keceriaan dan ketenangan bagai memancarkan cahaya keimanannya. Aisha yang memiliki raut wajah berdarah Scotland, masih ketara meskipun dilitupi hijab.

Keluarga Aisha merupakan pengikut kuat agama Kristian yang mana mereka selalu menghadiri perjumpaan yang dikenali sebagai Salvation Army.

Pada zaman remaja ketika rakan-rakannya yang lain hanya boleh melelapkan mata selepas memeluk dan mencium gambar artis pujaan mereka, namun bagi Aisha, dia lebih selesa menggantungkan gambar Nabi Isa di dinding bilik.

Pun begitu, dia tetap mendapati bahawa ajaran Kristian masih tidak cukup dan masih banyak persoalan yang tidak terjawab.

"Ada banyak lagi yang perlukan penjelasan," tegas Aisha dalam satu pengakuannya di sebuah laman sesawang.

Aisha pertama kali bertemu dengan bakal suaminya, Muhammad Bhutta ketika berusia 10 tahun dan menjadi pelanggan setia di kedai yang dimiliki bapa Muhammad.

Pada masa itu, dia selalu melihat Muhammad bersembahyang di belakang kedai.

"Ada semacam satu perasaan puas hati dan ketenangan dalam apa yang dilakukan Muhammad itu. Katanya dia seorang Muslim," kata Aisha.

Dengan bantuan Muhammad, Aisha mula mendalami tentang Islam. Ketika usianya mencecah 17 tahun, dia telah menghabiskan keseluruhan al-Quran dalam bahasa Arab.

"Semua yang saya baca adalah logik, benar dan diterima akal," akui Aisha yang mengambil keputusan untuk memeluk Islam pada usianya 16 tahun.

"Sebaik sahaja saya mengucapkan kata-kata itu atau melakukan syahadah terasa seperti batu berat yang berada di bahu, hilang serta merta. Saya seperti bayi yang baru dilahirkan," katanya.

Namun, di sebalik pengislamannya itu, ibu bapa Muhammad sebenarnya menentang hasrat perkahwinan mereka, terutamanya bapa Muhammad.

Aisha dilihat sebagai wanita Barat yang akan menyesatkan anak sulung mereka dan akan mengaibkan nama keluarga. Aisha dianggap oleh keluarga Muhammad sebagai musuh.

Walau bagaimanapun, dua sejoli itu tetap meneruskan perkahwinan mereka di sebuah masjid di situ. Aisha pada hari bahagia itu, cantik dengan pakaian pengantin yang dijahit oleh ibu dan adik Muhammad yang menyelinap secara senyap-senyap ke majlis mereka sungguhpun telah dilarang oleh bapanya yang menentang keras perkahwinan tersebut serta bertekad tidak mahu menghadiri majlis penuh bermakna bagi pasangan pengantin muda, Muhammad dan Aisha.

Nenek Muhammad merupakan orang yang bertanggungjawab membuka jalan bagi ikatan pernikahan itu.
Neneknya tiba dari Pakistan, di mana perkahwinan campur dianggap satu tabu, dan dia berharap sangat dapat bertemu dengan Aisha.

Akhirnya, nenek Muhammad begitu terkesan dengan kenyataan bahawa Aisha telah mempelajari al-Quran dan bahasa Punjabi dan dari situ timbul keyakinannya. Lama-kelamaan Aisha menjadi sebahagian daripada keluarga Muhammad.

Ibu bapa Aisha, Michael dan Marjory Rogers, walaupun menghadiri majlis perkahwinan tersebut, namun lebih mengambil berat dengan pakaian yang dipakai oleh anak gadis mereka itu iaitu pakaian tradisi masyarakat Punjabi yang dikenali dengan nama shalwaar kameez.

Jumaat, 17 Februari 2012

Maulidur Rasul UKM, Khazanah Fathaniyah dan Dato Laksamana Hang Tuah

Assalamu'alaikum,

Hari ini hari Jumaat, 17 Februari 2012, 24 Rabiulawal 1433. hari terbaik dalam seminggu mengikut kalendar Islam. Kita masih dalam bulan Rabiulawal 1433, bulan kelahiran RSAW. Minggu lepas, hari Khamis, 9 Februari 2013, 16 Rabiulawal 1433, hamba menyertai Perarakan Maulidur Rasul di UKM. Pada kebiasaannnya, setiap Fakulti dan Jabatan menghantar pasukan masing-masing dan dalam 17-20 pasukan biasanya berarak sempena Perarakan ini. Hamba sendiri dan beberapa tahun menyertai Perarakan ini, sebelum ke luar negara dan selepas kembali dari luar negara.  Sepertimana Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, penyertaan dalam perarakan ini adalah sukarela dan setiap peserta biasanya dibekalkan dengan Baju Melayu sepasang (bagi lelaki) dan baju kurung sepasang (bagi perempuan). Kalau di UKM, biasanya pihak Fakulti dan Jabatan menyediakan kainnya dan setiap peserta harus cari tukang jahit sendiri (upah jahit bayar sendiri, kain diberikan percuma) untuk siapkan pakaian masing-masing.  

Maksudnya dari segi ekonomi, banyak juga limpahan Perarakan ini kepada masyarakat Islam yang terlibat dalam menyediakan kain dan upah menjahit.  Anda bayangkan kalau di UKM sahaja, lebih 1,000 peserta terlibat. Katakan 50% lelaki, maka 500 peserta lelaki terlibat, jadi upah menjahit sahaja dah RM50,000. Itu belum ambil kira harga kain dan upah jahit untuk baju kurung. Kalau diambilkira sambutan ini diadakan di seluruh negara, maka Perarakan dan Sambutan Maulidur Rasul ini telah membawa limpahan ekonomi yang bernilai berjuta-juta ringgit kepada usahawan dan peniaga Muslim.  Itu belum kita bicarakan 'rahmat' yang kita tidak nampak apabila menyambut Maulidur Rasul dalam tatacaranya....

Yang menariknya selepas Majlis Forum di DECTAR, hamba melihat Khazanah Fathaniyah (http://khazanahfathaniyah.blogspot.com/  dan http://www.khazanahfathaniyah.com) mengadakan jualan buku sempena Maulidur Rasul ini. Hamba memang dah lama nak beli buku-buku terbitan Khazanah Fathaniyah, tetapi belum berkesempatan mengunjung ke pejabat mereka. Kesempatan ini hamba gunakan untuk membeli 17 buah buku terbitan Khazanah Fathaniyah. Walaupun berhabis lebih RM200, hamba kira amat berbaloi. Untuk yang berminat menghubungi Khazanah Fathaniyah atau Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji), boleh hubungi Ustaz Abd. Halim Muhamad (013-3564496).  Kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan umat Islam di Malaysia pada masa hadapan harus disandarkan juga kepada kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan umat Islam pada masa lalu.  Kalau dari segi ilmu, ulamak-ulamak Nusantara pada zaman dahulu telah banyak menyumbang dari segi dakwah, pengajaran, penulisan dan sebagainya.  Tiada siapa akan mengangkat khazanah lalu di Nusantara kalau kita sebagai umat Islam yang berbangsa Melayu tidak mengangkatnya. Berikut merupakan buku-buku yang hamba beli. Judulnya hamba ambil secara terus daripada apa yang tertulis di muka depannya...

  1. Al-Allamah Syeikh Ahmad Al-Fathani: Ahli Fikir Islam dan Dunia Melayu - Guru Kepada Hampir Semua Ulama dan Tokoh Asia Tenggara Abad Ke-19-20 (Jilid 1)
  2. Al-Ma'rifah - Pelbagai Aspek Tasawuf di Nusantara (Jilid 1) - HWM Shaghir Abdullah
  3. Al-Ma'rifah - Pelbagai Aspek Tasawuf di Nusantara (Jilid 2) - HWM Shaghir Abdullah 
  4. Al-Fatawal Fathaniyah (Jilid 1) Pemahaman Islam Dari Pelbagai Aspek: Bahasa, Sains dan Teknologi - Syeikh Ahmad Al-Fathani
  5. Al-Fatawal Fathaniyah (Jilid 2) Pemahaman Islam Dari Pelbagai Aspek: Bahasa, Sosiologi, Politik Dll - Syeikh Ahmad Al-Fathani 
  6. Al-Fatawal Fathaniyah (Jilid 3) Membicarakan Shufi, Hadits, Fiqh: Perbandingan Antara Dunia Nyata dan Ghaib  - Syeikh Ahmad Al-Fathani 
  7. Al-'Urwatul Wutsqa -  Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani - Pegangan Yang Kukuh Golongan Sufi
  8. Faridatul Faraid - Syeikh Ahmad al-Fatani - Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah Yang Sejati
  9. Hidayatus Salikin - Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani (Jilid 2)
  10. Hidayatus Salikin - Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani (Jilid 3)
  11. Mun-Yatul Mushalli - Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani
  12. Syeikh Abdul Shamad Palembang - Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu
  13. Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fatani - Ulama' dan Pengarang Terulung Asia Tenggara
  14. Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari - Pengarang Sabilal Muhtadin
  15. Penjelasan Nazham Syair Shufi - Syeikh Ahmad Al-Fathani -  Jawapan Surat Raja Kelantan Thariqat Ahmadiyah - Analisis Perbandingan Karya Beberapa Tokoh
  16. Tafsir Puisi Hamzah Fansuri  dan Karya-Karya Sufi - HWM Shaghir Abdullah
  17. Tarikh Fathani - Syeikh Faqih Ali Al-Fathani


Tiada siapa yang tidak kenal akan Dato Laksamana Hang Tuah ketika Nusantara gemilang suatu masa dulu. Hanya umat Islam berbangsa Melayu  yang tiada jati diri, yang tidak mengenal asal-usulnya, yang tidak tahu asal dan usul kepada kata-kata 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' sahaja yang menolak kewujudan Hang Tuah. Alangkah pelik bin ajaib apabila ada segelintir Melayu yang menyatakan  yang Hang Tuah itu berbangsa Cina atas hujah-hujah yang pelik bin hairan dan alangkah peliknya juga segelintir kecil orang Melayu yang percayakan Hang Tuah itu berbangsa Cina. Atas hujah nama 'Hang', ramai percayakan hipotesis Hang Tuah itu berbangsa Cina sedangkan nama 'Hang Tuah' itu adalah satu gelaran. Ramai juga yang percayakan kubur Hang Tuah digali dan DNA beliau dikenalpasti sebagai berbangsa Cina sedangkan Hang Tuah tidak dikuburkan di mana-mana tempat di Melaka, malah Hang Tuah itu sebenarnya.... Begitu cetek pemikiran kita, begitu dangkal akal kita mudah-mudah mempercayai cerita karut-marut ini yang tiada bukti saintifik, yang tiada hujah yang bernas yang sebenarnya dirangka untuk menjauhkan umat Islam berbangsa Melayu jauh dari jatiritinya, jauh dari mengenal kehebatan bangsanya di zaman silam, supaya lupa akan kehebatan pelaut Melayu di zaman dulu, supaya leka dari menyedari akan ketinggian budi dan akhlak bangsanya suatu ketika dulu,  semoga alpa bahawa bangsanya cukup digeruni dalam ilmu mempertahankan diri di seluruh dunia....leka dibuai ombak dunia.  Kita lihat sendiri bagaimana Amerika Syarikat mencipta ikon-ikon untuk mereka 'banggakan', ketengahkan sebagai hero mereka seperti Superman, Spiderman, Captain America yang sebenarnya hanya ilusi dan tidak wujud. Kita pula yang sudah mempunyai ikon Hang Tuah nak buang ikon ini dan terikut-ikut rentak orang dengan mengatakan ikon ini tidak wujudlah, orang Cinalah dan macam2....Ayuh, bangun segera, buka minda, lapangkan dada, sentiasa tautkan hati dengan Allah dan Rasul jika kita ingin mencari kebenaran.

Sedangkan Hang Tuah dan Sunan Gunung Jatilah yang 'menolong, membantu, merundingkan perdamaian antara  kerajaan China dengan orang-orang Rusia' apabila kerajaan China menghadapi satu masalah dengan orang-orang Rusia. Kalau dikiaskan dalam zaman moden ini, bak seperti seorang Menteri Pertahanan Malaysia yang merundingkan perdamaian antara China dan Amerika Syarikat!!! Itulah kehebatan Hang Tuah antaranya.  Hamba tak nafikan yang  kisah dan sejarah tentang Hang Tuah ada tokok-tambahnya. Tapi hakikatnya adalah Hang Tuah memang seorang Melayu, memang wujud, bukan dongeng dan khayalan, seorang  pahlawan Melayu yang terbilang. Kalau nak dikatakan Melayu terbilang, Hang Tuah adalah contohnya. Keterbilangan Hang Tuah diakui di pelbagai pelusuk dunia yang mencoretkan pelbagai kisah mengenai beliau, walaupun versinya pelbagai. Malah Hang Tuah diakui sebagai 'Dialah yang terbilang' oleh ...... maksudnya Dato Laksamana Hang Tuah itulah seorang Islam berbangsa Melayu yang terbilang.

Dari segi falsafah dan asas ilmu sejarah sendiri, kewujudan pelbagai kisah dan cerita mengenai Hang Tuah di merata pelusuk dunia telah menjadi suatu asas yang begitu kukuh mengenai susuk tubuh manusia yang hebat ini. Memang Hang Tuah ada kelemahannya, itu adat manusia.  Hang Tuah begitu taatkan Sultan yang telah memerintahkan dirinya/Hang Tuah dibunuh akibat fitnah oleh para pembesar yang hasad-dengki. Pembunuhan Hang Jebat merupakan antara perkara yang paling disesali Hang Tuah dalam hidupnya. Kita semua boleh fikir dan hayati sendiri apa rasanya apabila kita mengikut perintah Sultan yang pernah memerintahkan kita dibunuh kerana fitnah segelintir pihak untuk membunuh seorang sahabat sejati yang membela kita ketika kita difitnah.  Sememangnya gelodak rasa dan jiwa Hang Tuah selepas pembunuhan itu tak dapat  nak diulas dengan kata-kata. Suatu penyesalan yang begitu hebat...tapi itulah ketentuan Ilahi atas perkara yang berlaku suatu ketika dahulu. Hanya DIA sahaja yang dapat 'menyembuhkan penyesalan itu'. Selepas itulah Hang Tuah  membawa diri ke .......  mencampakkan Taming Sari ke dalam ..... dan kemudian beliau pun .....

Kalau kita lihat perkembangan masa kini, Masjid Kampung Duyung di Melaka telahpun ditukarkan ke nama Masjid Dato Laksamana Hang Tuah (baca di sini).  Kampung bersebelahan masjid ini diubah menjadi Desa Hang Tuah. Sepintas lalu nampak macam baik usaha kerajaan negeri Melaka ini tetapi janganlah jadikan ia semata-mata kerana projek pelancongan. Sejarah Hang Tuah bukan untuk dijaja sebagai produk pelancongan tetapi sepatutnya sebagai satu usaha meningkatkan jatidiri dan 'memperkasa rasa' umat Islam yang berbangsa Melayu.

Mungkin ada perkara baru dan perkara lama dalam coretan hamba mengenai Hang Tuah ini. Hamba sendiri bukanlah pemuja Hang Tuah, tetapi sejarah, peristiwa dan kehebatan Hang Tuah perlu kita hayati dan warisi untuk diri kita, anak-cucu kita dalam menggerakkan kebangkitan Islam akhir zaman. Kalau anda tak percaya, itu urusan anda tetapi sebaik-baiknya adalah memohon petunjuk Allah atas perkara ini.  Wassalam.

Untuk orang ramai, eloklah dikatakan ini Makam Hang Tuah atau sebagai makam tanda. Kalau tak ada makam, susah pula orang awam, masyarakat nak percaya bukti kewujudannya. Sedangkan  kewujudan sesebuah makam itu sendiri tidak dapat membuktikan kenyataan bahawa seseorang itu hidup, pernah hidup. Dalam Al-Quran sendiri, tidak semua para Rasul dan Nabi yang disebut  dalam A-Quran mempunyai makam, ataupun makam tanda.