Isnin, 12 Mei 2014

Tentang Asal-Usul Bangsa Melayu


sumber : https://www.facebook.com/afifah.zahratunnur?fref=ts

BANGSA MELAYU



(Sejarah sebenar Melayu seperti yang Disampaikan Ulama Muktabar tanpa bercampur dengan sejarah rekaan atau hasil kajian Penjajah, bukti Melayu-Islam Islam-Melayu, Makna Melayu, Syarat bergelar Bangsa Melayu)

Satu-satunya bangsa didunia yang apabila dinamakan oleh ulama' (Sheikh Abdullah Al-Qumairy, anak Murid Sultanul Auliya Ghaus ul Azam Syed Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani Q.S), Ketika menamakan bangsa ini, Beliau menyatakan syarat seseorang menjadi bangsa Melayu adalah WAJIB BERAGAMA ISLAM (AHLUS SUNNAH WAL JAMA'AH), DAN HIDUP CARA ISLAM. Jika tidak, GUGUR KALMAH MELAYU Keatas Mereka.

Petikan Ucapan Mufti pertama Tanah Melayu Syed Sheikh Abdullah Al Qumairi R.A: 

" Kepada mana-mana org dari keturunan ini yg meninggalkan Agama Islam atau menerima Agama yg lain atau berpaling tadah kpd kefahaman nenek moyang yg dahulu (Dubar/Derdar) atau tidak lagi menerima pakai cara hidup Islam, di kala itu dengan sendirinya gugurlah kalimah melayu pd diri mereka itu."

( kitab Hadiqatul Azhar War Rayahin jilid 1, Al Alim Allamah Az Zaki Asy Sheikh Wan Ahmad Bin Sheikh Wan Muhammad Zain Al Fathani R.A, ulama tersohor bangsa Melayu di Makkah dan Nusantara)

Makna bagi Melayu ialah:-:
الرؤسأ سمو بذلك لأنهم ملأ بما يحتاج أليه

“ Pemimpin-pemimpin, dinamakan dengan demikian itu kerana pemimpin ini mereka mampu memenuhi hajat orang lain.” Lisanul Arab.

والملأ: ألخلق الملئ بما يحتاج أليه
“ Memiliki akhlak yang memenuhi keperluan orang lain. ” Imam Abu Manzur.

والملأ: الجماعة أشراف القوم

... “ Satu al jamaah, Bangsa yang mulia ”- Qamus al ma’ani.

والملأ : الأشراف من الناس

“ Manusia yang paling mulia di kalangan Manusia”- tafsir Qurtubi.

Bangsa ini dikenali sebagai “Islam Melayu, Melayu Islam” yang tidak boleh dipisahkan sama sekali iaitu mereka yang beragama Islam dan bermastautin disini atau orang-orang Islam dari rata-rata yang berhijrah dan bermastautin disini rata-rata dipanggil Melayu.

Sedemikian sejarah ini telah direalisasikan dan termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia 160(2), syarat untuk menjadi melayu wajiblah seseorang itu:-

1 Beragama Islam.
2 Bertutur di dalam bahasa melayu.
3 Berbudaya dengan budaya melayu.

Sejarah Melayu seperti yang dipegang dan sampaikan oleh Ulama Muktabar sepeti Almarhum Al Alim Allamah Asy Sheikh Muhammad Yusof Al-Kenali (Tok Kenali), Almarhum Al Alim Allamah Az Zaki Asy Sheikh Wan Ahmad Bin Sheikh Wan Muhammad Zain Al-Fathani R.A (Mufti berbangsa Melayu di Makkah Al Mukarramah) dan lain-lain Ulama Warisatul Anbiya yang Muktabar lagi :-

Sekitar kurun ke 10 dan 11 Masihi, Kumpulan berfahaman Syiah di Iran telah memulakan gerakan memburu dan menghapuskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada di bumi Iran ketika itu. Golongan Sunni adalah dari kalangan suku kaum Kurdis (Kalahar) (1)

(Nota 1) Dipercayai gelaran Kalahar kepada Kedah Tua telah diletakkan bersempena kedatangan kaum Kurdis ke sini.

Oleh kerana keadaan amat terdesak, golongan Ahli Sunnah Kurdis terpaksa berhijrah secara besar-besaran ke Afrika, India, Timur Tengah, Timur Jauh dan New Zealand. Sebahagian daripada mereka juga telah tiba di Nusantara dan membuka penempatan baru di Kedah yang juga dinamakan mereka sebagai Kalahar (sempena mengambil nama suku kaum Kurdis Sunni) yang pada masa itu baru sahaja menerima kesan serangan Raja Rajendra Chola (2).

(Nota 2) Ini dikaitkan dengan serangan tentera Islam ke atas sebuah Kerajaan Hindi di Pantai Koromandel bernama Chola. Raja Rajendra juga tidak berpuas hati dengan penguasaan Sri Vijaya di Nusantara. Baginda telah menghantar ratusan kapal perang untuk memusnahkan Empayar Sri Vijaya termasuk Kadaram (Kedah) Dalam tahun 1027 -1030M Rajendra Chola 1 [1018-1044M] melancarkan serangan ke atas Sriwijaya dan Sampugita dengan membawa balik harta rampasan Raja Kadaram [Kedah], Sangrama Vijayattung –varman tanpa membangunkan pemerentahan di Negara-negara yang diserangnya. Walau bagaimanapun ia telah menimpakan kemusnahan yang teruk ke atas Sriwijaya dan Sampugita. Antara negeri yang turut dimusnah akibat serangan itu ialah Gangga Negara [Perak] dan Medang Bhumi [Kelantan]. Sriwijaya yang berpusat di Palembang pada masa itu bersama Sampugita termasuk Jawa menyerang balas Negara Pandya di India Selatan dan Ceylon. Rajendra Chola 1 akhirnya dibunuh [1044] oleh tentera-tentera Melayu dari Negara bersekutu itu. Pada 1068-1069M Vira Rajendradeva putera Rajendra Chola 1 menyerang Kandaram yang dibawah jajahan Sriwijaya Palembang dan kemudian menyerah kembali lepada rajanya [serangan ini merupakan pertolongan lepada seorang raja yang menuntut takhta]. Selepas ini tidak ada tanda-tanda bahawa kerajaan Sampugita jatuh ke tangan Chola.

Ketika itu, Maharaja Durbar I iaitu Merong Mahawangsa (Sri Vijaya) menjadi duta Maharaja Rom (Keturunan Iskandar Zulkarnain - Macedonia)(3) untuk membawa Putera Raja Rom bagi mengahwini Puteri Maharaja China. Baginda berasal dari Gumarun (3), Parsi dan pernah ditewaskan oleh angkatan suku Iran lain yang lebih kuat.

(Nota 3) Rom yang dimaksudkan ialah Wilayah Empayar Parsi atau Iran yang pada suatu masa adalah sebahagian dari Empayar Rom Timur yang telah lama menerima agama Islam dari zaman Khulafa Ar-Rashidin. Gumarun juga dikenali sebagai Pelabuhan Gambroon di Laut Kaspian.

Rombongan pelayaran Merong Mahawangsa ini telah diserang oleh satu angkatan perang Hindu yang mempunyai kapal berlambangkan burung garuda (lambang kenderaan Dewa Wisnu). (4)

(Nota 4) Sumber yang menyatakan bahawa "Kedah dilanggar Garuda" bukanlah bermaksud sejenis burung yang besar tetapi lambang kapal perang Hindu yang menyerang Seri Vijaya ketika itu. Ilmuwan agama dan sejahrawan yakin bahawa kenyataan yang dimaksudkan sejenis burung "dewa" adalah bercampurbaur dengan elemen mistik yang datang dari pengaruh kepercayaan Hindu)

Serangan yang begitu kuat ini telah memaksa kapal Raja Merong Mahawangsa mendarat di kaki Gunung Jerai dan tidak lama kemudian baginda telah diangkat menjadi raja oleh penduduk tempatan sebagai Raja (Kedah) Kalahar 1.

Baginda juga telah mengahwini seorang gadis Orang Laut dari suku gergasi kerana ingin menggalakkan perkahwinan campuran di samping memperbesarkan lagi keturunan dan kaum kerabat.

Raja Merong Mahawangsa telah memperkenalkan nobat di istana baginda (5) mengambil sempena bunyi-bunyian dari istana Khalifah Harun Ar-Rashid di Baghdad.

(Nota 5) Istana baginda dibina di Kota Langkasuka di Sok, kira-kira 96 km ke timur Gunung Jerai berhampiran persimpangan jalan perdagangan Kalaha dan Langkasuka. Baginda juga dikatakan mendirikan sebuah lagi istana di timur Gunung Jerai berhampiran Kuala Merbok iaitu tapak permulaan jalan menuju ke Langkasuka dan Pantai Timur.

Sayyid Syeikh Abdullah Al-Qumairy

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Osmani (6) telah menceritakan kepada murid-muridnya bahawa Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairy (atau Syeikh (Sayyid) Abdullah Al-Qumairy atau Syekh Abdullah Al-Yamani) berasal dari Syahir, Yaman. Beliau adalah Ahlul Bait dari keturunan Rasulullah S.A.W. yang juga merupakan murid kanan Ulama Terkenal Sultan Aulia Sayyidi Syeikh Maulana Maududin Ariffin Qutb Rabbani Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Qadasallah Sirruh.

(Nota 6) Kisah ini diambil oleh Syeikh Mahmud Nasri Othmani daripada Ulama terkenal Kelantan Tuan Guru Waliyulllah Maulana Syeikh Yusof Kenali (Tok Kenali) yang diterima dari gurunya, ulama nusantara,Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Mustaffa Al-Fathani sebagaimana isi kandungan beberapa buah kitab seperti Hadiqatul Al-Azhar yang menceritakan kembali kisah sebenar Melayu-Islam, Islam-Melayu.

Pada suatu hari, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menerima arahan dari Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani untuk berangkat ke Negeri Kalaha (Kedah) dalam Wilayah Asia Tenggara - Dinasti Nusantara bersama-sama 11 orang rakan-rakannya.

- Ketika itu terdapat 6 orang utusan lain (murid-murid Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani yang terkenal) telah dihantar ke lokasi-lokasi yang berbeza iaitu

i) Syeikh Abu Hassan Syazili ke Mesir, Perancis hingga ke Itali,
ii) Syeikh Ahmad Badawi ke Sudan, Morocco hingga ke Afrika,
iii)Syeikh Abi Madyan Al-Maghribi ke Afrika Barat,
iv) Syeikh Ahmad Khabir Ar-Rifai ke Syria, Turki dan Balkan,
v) Syeikh Muhammad Ali Ridha ke Parsi
vi) Syeikh Sahabuddin Al-Syahid ke India, Afghanistan dan Nepal

Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menggunakan jalan karamah di mana dia berjalan sekelip mata (lipat bumi) dari Baghdad ke Kalaha ( 7 ) dengan izin Allah SWT bersama-sama 11 orang rakannya) Syeikh Abdullah tiba di Negeri Kalaha pada tahun 531 Hijrah (1136 Masehi) – (Lihat Nota 4) dan telah mengadap Maharaja Durbar II Raja Phra Ong Mahawanser, Raja Kalaha yang ke-9 di Istana Bukit Meriam. Ketika itu istana sedang mengadakan satu majlis keramaian yang mempamerkan pertunjukan seni mempertahankan diri yang berpaksikan pemujaan dewata, sihir, istidraj dan lain-lain.

(Nota 7) – Sumber Hikayat Merong Mahawangsa versi yang ada kini yang mengaitkan kisah Syeikh Abdullah Al-Qumairy menggunakan atau merampas tongkat Azazil untuk atau setelah tiba di Kalaha. Beberapa ilmuwan agama dan pengkaji sejarah setelah membaca kitab-kitab karangan Ulama Nusantara menyatakan bahawa tidak mungkin seorang ulama besar lagi ahlul bayt akan bersekutu dengan syaitan, ramai yang berpendapat bahawa versi Hikayat ini juga telah dicampurbaur dengan elemen mistik atau mungkin telah dipinda oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merendah-rendahkan maruah ulama muktabar ini.

Walaubagaimanapun ada satu versi lagi menyatakan bahawa tongkat berkenaan adalah sebenarnya milik Sultan Aulia Sayyidi Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir JIlani yang menganugerahkannya kepada Syed Syeikh Abdullah Al-Qumairy yang kemudiannya dihadiahkan pula kepada DYMM Sultan Muzaffar 1. Dipercayai tongkat berkenaan (kini digelar cokmar) adalah tongkat yang sama yang berada di Muzium Kedah masakini

Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya telah mempamerkan satu kehebatan seni mempertahankan diri (silat) sehingga semua hulubalang-hulubalang Raja Phra Ong terpaksa mengaku kalah dan akur dengan kehebatan Syeikh Abdullah.

Baginda amat kagum dengan kehebatan yang ditonjolkan oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya serta ingin mengetahui secara lanjut mengenai rahsia kekuatan ini. Setelah mendengar penerangan Syeikh Abdullah, akhirnya baginda sangat terpegun dan terus memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah 3X (ada versi yang menyatakan 9X) di tangan Syeikh Abdullah Al-Qumairy diikuti semua para pembesar dan pegawai-pegawai Istana.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah memasyhurkan gelaran dan nama baru kepada Raja Phra Ong Maha Wanser iaitu Sultan Muzaffar Shah 1.

Tidak lama kemudian seluruh rakyat Kedah juga telah memeluk agama Islam. Pengislaman secara massal ini berlaku dalam tempoh yang begitu cepat dengan berkat usaha yang jujur dan ikhlas seorang Waliyullah iaitu Syeikh Abdullah Al-Qumairy.

Rakyat Kedah juga terdiri daripada pelbagai kelompok yang berasal daripada Arab, Iran, India, Parsi, Al-Sin (China) (8) dan lain-lain yang mana mereka kebanyakannya telah lama memeluk Islam di negara asal masing-masing. Mereka juga terkenal dengan kemahiran berdagang. Umat Islam dari China juga rata-rata memakai nama pangkal ‘Pu’ iaitu Abu.

(Nota 8) – Saudagar-saudagar Islam dari Arab, Iran dan lain-lain berkumpul pelabuhan Kanton (Guangzhou). Sayyidina Uthman bin Affan r.a. pernah menghantar Saad Abi Waqqas bersama-sama 15 orang ahli rombongan untuk mengembangkan dakwah di Negeri China. Rekod di Negeri China pada tahun 651 menunjukkan bahawa mereka telah menerima utusan dari Han Mimo Moni (Amirul Mukminin) dan dalam kurun Masihi ke 7, Raja China Tai Ti Sung telah memeluk Islam.

Sekitar 877 Masihi, saudagar-saudagar Arab dan Iran di Kanton telah diserang dan dibunuh beramai-ramai oleh sekumpulan pemberontak anti kerajaan China. Inilah penyebabkan sebahagian dari mereka menjadi pelarian dan tiba di Kalaha.

Kebanyakan dari mereka ini telah memutuskan untuk terus tinggal bersama-sama umat Islam di Kedah dan menjadi satu warga atau bangsa yang baru di negeri Islam di bawah bimbingan (Ulama) Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan payung pemerintahan (Umara) Sultan Muzaffar Syah 1 (Gandingan Kepimpinan Ulama-Umara) (9)

Nota 9 : Sejarah membuktikan bahawa Islam telah datang ke Nusantara berkurun lebih dahulu daripada zaman pengislaman Phra Ong Mahawanser. Ulama Nusantara dan sejahrawan tidak menolak fakta ini tetapi apa yang dibincangkan dalam artikel ini adalah BILAKAH agama Islam (dan bangsa Melayu) diisytihar setelah diijmakkan oleh Ulama dan Sultannya menjadi agama rasmi Nusantara (dan bangsa rasmi Nusantara).

Pemerintahan di zaman ini tidak mengenepikan agama-agama lain tetapi mereka yang bukan Islam (tidak dipanggil 'Mala-u') tetapi tidak memerangi Islam - dikenakan jizyah dan mereka yang masih langsung tidak menerima corak pemerintahan ini termasuk tidak mahu membayar jizyah telah melari dan memencilkan diri ke dalam hutan dan bukit bukau.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menamakan gagasan bangsa yang baru sebagai AL-MALA-U (9) bersempena satu kalimah Arab yang bermaksud ‘(berkembang-biak) memenuhi ruang’ kerana cepatnya berkembang pengaruh agama Islam di Kalaha. Lama-kelamaan, pengaruh dialek dan sebutan berbilang bangsa ini telah menerbitkan perkataan “MELAYU” seperti yang dikenali hari ini.

(Nota 9)

Syed Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah meletakkan nama 'bangsa yang baru' ini sebagai "Al-Mala-u' sempena Firman Allah SWT :

Surah Saad : Ayat 69

مَا كَانَ لِي مِنْ عِلْمٍ بِالْمَلَإِ الْأَعْلَى إِذْ يَخْتَصِمُونَ

Tiadalah bagiku sebarang pengetahuan tentang penduduk alam yang tinggi (Al-Mala-ul'A'la) semasa mereka bersoal jawab.

Hadis Nabi S.A.W :

ثنا عبد الرزاق أنا معمر عن أيوب عن أبي قلابة عن بن عباس ان النبي صلى الله عليه و سلم قال أتاني ربي عز و جل الليلة في أحسن صورة أحسبه يعني في النوم فقال يا محمد هل تدري فيم يختصم الملأ الأعلى قال قلت لا قال النبي صلى الله عليه و سلم فوضع يده... بين كتفي حتى وجدت بردها بين ثديي أو قال نحري فعلمت ما في السماوات وما في الأرض ثم قال يا محمد هل تدري فيم يختصم الملأ الأعلى قال قلت نعم يختصمون في الكفارات والدرجات قال وما الكفارات والدرجات قال المكث في المساجد والمشي على الاقدام إلى الجمعات وإبلاغ الوضوء في المكاره ومن فعل ذلك عاش بخير ومات بخير وكان من خطيئته كيوم ولدته أمه وقل يا محمد إذا صليت اللهم اني أسألك الخيرات وترك المنكرات وحب المساكين وإذا أردت بعبادك فتنة ان تقبضني إليك غير مفتون قال والدرجات بذل الطعام وإفشاء السلام والصلاة بالليل والناس نيام

Telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq yang berkata telah menceritakan kepada kami Ma’mar dari Ayub dari Abi Qilabah dari Ibnu Abbas bahwa Nabi SAW bersabda “RabbKu Azza wa Jalla datang kepadaku malam tadi dalam sebaik-baik bentuk” –Aku mengira maksudnya adalah dalam tidur- Lalu Dia berfirman “Wahai Muhammad, apakah kamu tahu mengenai apa Al Mala’ul A’la yang menjadi perbalahan? Baginda bersabda “tidak”. Nabi SAW bersabda “Lalu Dia meletakkan tangan-Nya di antara dua bahuku hingga aku dapati dinginnya antara dua dadaku. Atau Baginda bersabda “antara tenggorokanku”. Maka tahulah aku apa yang ada di langit dan di bumi. Kemudian Dia berfirman “Wahai Muhammad, apakah kamu tahu mengenai apa Al Mala’ul A’la (yang menjadi punca) pertengkaran?”. Baginda bersabda ‘Aku berkata “ya , mereka bertengkar mengenai Al Kafarat dan Ad Darajat?”. Apa itu Al Kafarat dan Ad Darajat?. Diam di masjid, berjalan kaki untuk berjema’ah, menyempurnakan wudhu dalam suasana/keadaan tidak menyenangkan, barangsiapa melakukan hal itu maka ia hidup dengan baik dan mati dengan baik. Dia bersih dari dosa seperti baru dilahirkan Ibunya. Dan katakanlah wahai Muhammad bila kamu selesai solat “Ya Allah sesungguhnya aku memohon KepadaMu kebaikan-kebaikan, meninggalkan hal yang mungkar dan cinta kepada orang-orang miskin. Dan bila Engkau menginginkan fitnah bagi para hambamu maka cabutlah nyawaku kepadaMu dengan tanpa fitnah”. Dan Ad Darajah adalah dengan memberikan makanan, menyebarkan salam dan solat malam saat manusia tidur”. [Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 1/368 no 3484 dan Sunan Tirmidzi 5/366 no 3233]

'Al-Mala-u' juga disebut di banyak tempat dalam Al-Qur'anul Karim dan juga Hadis. Mengikut Kamus Bahasa Arab- Al-Mala-u bererti :

a) Budi pekerti yang tinggi (husnulkhuluqa (akhlak yang mulia) yakni makna kepada agama sebagaimana satu Sabda Rasulullah S.A.W.)
b) Pemimpin
c) Cahaya (Iman dan Taat) yang memenuhi ruang dan masa

Gelaran ini diberikan bagi mengesahkan bahawa warga ini adalah :

a) Ahli (warga yang menerima Talkin kalimah Taqwa dan Tarbiah)
b) Jawi (penulisan bangsa Arab asal iaitu Jawi Qadim (Asia Barat) – manakala Bangsa Melayu asal pula menggunakan Jawi Jadid (Asia Tenggara) yang menambahkan titik pada beberapa huruf)
c) Melayu (yang berkembang-biak memenuhi ruang)
d) Asal (yang asli atau yang yang tulin menerima agama Islam dari Seruan Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.)
e) Bangsa (rasmi) kebangsaan (Warga Angin Bawah Bayu Merdeka)
f) Pegang Teguh Agama Islam – berpaut kukuh kepada agama Samawi.

(AHLI JAWI MELAYU ASAL BANGSA KEBANGSAAN PEGANG TEGUH AGAMA ISLAM – Sekira-kiranya pewaris asabah kepada satu bangsa beragama) (menyamai dengan zaman kegemilangan Islam lampau) atau ringkasnya Pemimpin Yang Berbudi Pekerti Mulia dan Nurnya Meliputi Alam (Khalifah) Kemudian Sultan Muzaffar 1 memperkenalkan kepada mata dunia bahawa ISLAM ITU MELAYU dan MELAYU ITU ISLAM.) (10)

(Nota 10) – Ada pendapat yang menyatakan bahawa perkataan "Melayu" itu adalah perkataan "Sanskrit" dan "bangsa atau keturunan Melayu" itu adalah dari India, China, Kemboja dsb. Dari segi keturunan pertalian darah dan sejarah asal-usul, kenyataan ini mungkin ada kebenarannya tetapi penamaan bangsa "Melayu" pada SEBELUM zaman Phra Ong Mahawanser telah dinafikan oleh ulama-ulama Nusantara serta menegaskan bahawa "Al-Mala-u" itu adalah dari kalam Lughatul Qur'an dan digunakan hanya semasa pemasyhuran nama bangsa yang baru di Nusantara setelah Phra Ong Mahawanser memeluk Islam dan ditukar gelaran kepada Sultan Muzaffar 1.

Ilmuwan Melayu Islam juga menyatakan gelaran "Al-Mala-u" diberikan kerana untuk memberikan peringatan kepada seluruh manusia adalah :

a. dari keturunan Nabi Allah Adam a.s. yang dijadikan Allah SWT di syurga Jannah drpd 14 (ada yang menyatakan 13) jenis tanah & telah dilantik menjadi Khalifatullah*

(di syurga atau di langit ketika itu dan akhirnya di bumi setelah Nabi Allah Adam a.s. bertaubat dengan mengucapkan dua kalimah syahadah) sehinggakan

b. malaikat juga diperintahkan sujud kpd. Nabi Allah Adam a.s. yang juga "Al-Mala-ul a'la" (penduduk langit) kerana semasa itu baginda berada di Syurga (di langit)

Ianya juga untuk mengingatkan umat Islam betapa mulianya makhluk yang bernama manusia bukan sahaja turun dari sulbi Adam a.s. yang berasal dari syurga malah

c. Seorang lagi bangsa manusia teragung di langit dan di bumi iaitu Nabi Muhammad S.A.W. telah diisrak-mikrajkan pula sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah Azzawajalla (laitsakamithlihi syai-un)

d. Kerana zaman khalaf ini adalah zaman khalifah manhaj nubuwwah iaitu zaman yang terakhir sebelum kiamat dan umat Islam Melayu perlu diingatkan bahawa orang-orang beriman akan pulang ke tempat asalnya Adam a.s. dijadikan dan diberikan balasan syurga selepas Hari Qiamat dan Hari Pembalasan.

Hadis Qudsi di atas juga jelas bahawa Al-Mala-ul-a'la yang dimaksudkan adalah MANUSIA "yang diam di masjid, berjalan kaki untuk berjema’ah, menyempurnakan wudhu dalam suasana/keadaan tidak menyenangkan, barangsiapa melakukan hal itu maka ia hidup dengan baik dan mati dengan baik. Dia bersih dari dosa seperti baru dilahirkan Ibunya. Dan katakanlah wahai Muhammad bila kamu selesai solat “Ya Allah sesungguhnya aku memohon KepadaMu kebaikan-kebaikan, meninggalkan hal yang mungkar dan cinta kepada orang-orang miskin. Dan bila Engkau menginginkan fitnah bagi para hambamu maka cabutlah nyawaku kepadaMu dengan tanpa fitnah”. Dan Ad Darajah adalah dengan memberikan makanan, menyebarkan salam* dan solat malam saat manusia tidur”
*salam di sini bermaksud "Islam" (agama) - agama yang selamat (salam)

Selain itu Baginda Sultan Muzaffar telah bertaubat nasuha bersama-sama semua pembesar Istana dan para hulubalangnya termasuk seluruh rakyat jelata Kalaha di bawah bimbingan Syeikh Abdullah Al-Qumairy.

Akhirnya Negeri yang bernama Kalaha juga telah ditukar oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairy kepada nama Kedah Darul Aman iaitu sebuah negeri yang aman dan merdeka dari segala bentuk kesyirikan, kekufuran dan keengkaran. Penamaan ini juga bersempena “Baldatun Thayyibah Wa Rabbun Ghafur” yang dipetik dari Firman Allah S.W.T. dalam Surah Saba: Ayat 15 yang bermaksud “Negeri yang baik (indah lagi makmur) dan Tuhan Maha Pengampun” (ke atas taubat hambaNya)

Sultan Muzaffar Syah 1 sangat mengasihi Syeikh Abdullah Al-Qumairy sehingga baginda telah melantik Syeikh Abdullah Al-Qumairy sebagai Guru dan Penasihat agama Islam baginda, kaum kerabat diraja dan juga seluruh Istana. Sultan Muzaffar Syah 1 juga telah mengangkat Syeikh Abdullah Al-Qumairy sebagai ayahanda angkat baginda.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah menyarankan agar candi di puncak Gunung Jerai dimusnahkan dan diganti dengan sebuah menara untuk dijadikan tempat azan bagi menyeru umat Islam Kedah untuk bersolat. Sultan Muzaffar Syah 1 telah menitahkan agar permintaan Syeikh Abdullah Al-Qumairy dilaksanakan.

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah jatuh gering dan ditakdirkan wafat beberapa hari selepas itu. Sebelum kewafatannya, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di kawasan lapang berdekatan dengan binaan menara berkenaan. Kawasan itu dikenali kini sebagai Padang Tok Sheikh (mengambil sempena nama Syeikh Abdullah Al-Qumairy)

Guru Syeikh Abdullah iaitu Sayyidi Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani (wafat pada 561 Hijrah/1166 Masehi) pernah tiba beberapa kali di Gunung Jerai untuk menziarahi maqam muridnya, Syeikh Abdullah Al-Qumairy serta pernah bersolat di kawasan tanah lapang berkenaan di samping melantik Sultan Muzaffar Shah 1 sebagai pengganti kepada Syeikh Abdullah Al-Qumairy. (11)
--------------------
(Nota 11) : Sultan Aulia Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani telah mengesahkan pemakaian gelaran 'Sultan' ke atas Sultan Muzaffar Shah 1 yang membawa maksud 'Amirul Mukminin' (Pemimpin Orang-Orang Beriman) dan gelaran 'Shah' yang mirip maksudnya dengan 'Sayyid' - manusia terpilih yang diyakini pembela agama yang mempunyai akhlak yang tinggi.

Kisah ini disahkan oleh DYMM Sultan Badlishah, Raja Negeri Kedah Darul Aman yang ke 26, pernah memberitahu Syeikh Mahmud Nasri Osmani (12) bahawa baginda pernah mendengar cerita ayahandanya DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Raja Kedah 25) bahawa Sultan Muzaffar Shah 1 adalah :

"Raja Pemerintahan Negeri Kedah Tua, Pendiri Kekuatan Kuasa Pemerintahan Membentuk Wilayah Gugusan Selat Kepulauan Melayu terletak di antara India dan China disebut sebagai 'Alam Melayu'."

Baginda Sultan Muzaffar Shah 1 telah disahkan untuk memakai gelaran "Sultan" daripada Sultan Aulia Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani sekaligus meletakkan Sultan Muzaffar Shah 1 sebagai Sultan Pertama di Alam Melayu.

(Nota 12 - Syeikh Mahmud Nasri Osmani telah diminta oleh Tuan Guru Syeikh Yahya Toha, Kg. Pisang, Kupang (yang dititahkan oleh DYMM Sultan Badlishah) untuk mengetuai operasi menyelamatkan DO Baling dan Residennya - Syed Abu Bakar dan Tuan Adam yang ditangkap oleh Komunis (semasa pemerintahan Jepun hampir berakhir) bagi memaksa DYMM Sultan Badlishah menyerah diri) Syeikh Mahmud Nasri dibantu oleh Tuan Haji Ahmad Bok Bak dan Tuan Haji Daud Bongor. Mereka telah pergi tanpa menggunakan sebarang senjata. Dengan Izin Allah, komunis yang diketuai oleh Chin Peng menjadi seperti terpukau dan melihat sahaja Syeikh Mahmud dan rakan-rakannya melarikan Syed Abu Bakar/Tuan Adam sehingga jarak 30 meter. Komunis tiba-tiba menembak pasukan penyelamat tetapi sekali lagi dengan izin Allah SWT, tidak ada satu pun peluru yang mengena mereka)
--------------------

Kemakmuran Melayu Islam di bawah kepimpiman Kedah Darulaman (Nusantara) termasuk Zaman Kesultanan Melaka, Perlak Pasai, Deli dan seluruh Nusantara yang dikecapi akhirnya musnah disebabkan percakaran sesama sendiri yang juga telah memudahkan lagi serangan serta penjajahan Belanda, Portugis dan Inggeris ke atas Nusantara. Dipercayai kerajaan Islam terakhir yang dimusnahkan oleh Siam dengan pertolongan Inggeris ialah Kerajaan Islam Reman/Pattani sekitar tahun 1785 setelah berlaku peperangan jihad fii-sabilillah yang sangat hebat.

Penjajah akhirnya memusnahkan dan merungkai-rungkaikan akar umbi kekuatan Melayu Islam dengan memisahkan maksud bangsa dan agamanya dan menggantikannya dengan faham sekular. (13)

Nota 13 : Faham Sekular ini bermaksud ialah "perungkaian kesyumulan agama atau pemisahan agama dengan perkara-perkara lain seperti sains dan teknologi dsb. dengan hati, lidah dan perbuatan yang menyatakan contohnya "Sains tidak ada dalam Al-Qur'an" atau "Sains itu tidak ada dalam Agama" dengan sendirinya merendahkan taraf Al-Qur'anul Karim. Perbuatan yang sama telah berlaku antara para Paderi Kristian dan kaum saintis (Illuminati) yang saling bermusuhan antara satu sama lain sehingga terpisah agama dan sains.

Sekular dalam konteks artikel ini ialah "pemisahan agama dan bangsa" (memisahkan Islam dan Melayu) dengan mendakwa bahawa "bangsa itu tidak disebut dalam Al-Qur'an" dengan sendirinya menggambarkan agama itu tidak syumul dan pastinya akan gugur akidah seorang Islam apabila menolak apa yang ada dalam Al-Qur'an.

KEBANGKITAN ISLAM, MELAYU DAN MUJADDID

Kebangkitan pertama yang direkodkan menentang penjajah dan faham Zionist serta usaha menaikkan kembali kegemilangan Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam telah bermula sebelum 1940an. Gerakan yang memimpin ulama dan ahlul bait (mentajdid kembali Dua Kalimah Syahadah*) telah dipelopori oleh Ulama Terkenal Nusantara iaitu :

a) Ulama Jawi Anak Melayu Negeri Kelantan Darulnaim/Tuan Guru Pondok Atas Banggol - Kota Bharu Kelantan iaitu :

Maulana Syeikh Wan Ahmad bin Syeikh Wan Mohammad Zain bin Dato Panglima Kaya Syeikh Wan Mustafa bin Syeikh Wan Mohammad bin Syeikh Wan Mohammad Zainal Abidin (Fakih Wan Musa Al-Jambusi As-Sanawi Al-Fathani),

telah dilantik menjadi Ulama besar Masjidil Haram, Mufti Tarim Kerajaan Othmaniah Turki (yang dilantik oleh Sultan Abdul Hamid Turki ketika itu) dan juga Kerajaan Melayu Islam Asia Tenggara. Ulama besar ini (juga guru kepada Syeikh Yusof Kenali – Tok Kenali) juga telah membuat satu himpunan raksaksa Ahli Jawi Melayu Asal Bangsa Kebangsaan Pegang Teguh Agama islam di Madrasah Darul Ulum Makkatul Mukarramah yang dihadiri lebih lima ribu ulama Nusantara,

(Di dalam Kitab Hadiqatul Azhar War Rayaihin Edisi Bahasa Arab, Syeikh Wan Ahmad Fathani telah berdoa - maksudnya "Ya Allah, perkuatkanlah orang-orang Islam Melayu atas bangsa-bangsa kafir dan kembalikanlah negeri-negeri kami kepada kami, perkenankanlah Ya Allah, Ya Rabbal 'Aalamiin

b) Syeikh Abdul Rahman Fathani - seorang lagi Ulama Besar juga seorang guru di Masjidil Haram/Makkatul Mukarramah dilantik menjadi Duta Besar Islam Melayu Markaz Serambi Mekah berpusat di Pondok Atas Banggol, Kota Bharu, Kelantan Darulnaim

Perjuangan kemudian diteruskan oleh Al-Allamah Tuan Guru Maulana Syeikh Yusof Al-Kenali (Tok Kenali) kemudiannya muridnya Syeikh Mahmud Nasri Osmani dan akhirnya kini Tuan Guru Haji Ahmad Che Din (Junaiddin).

KEBANGKITAN SEJURUS SELEPAS ZAMAN KEMERDEKAAN

Perjuangan memertabatkan Melayu Islam dipelopori pula oleh muridnya Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Osmani dan tokoh-tokoh ulama berikut :

1) Tuan Guru Syeikh Umar Zuhdi Soleh - Madrasah Misbah Al-Falah, Banggol Berangan,
2) Tuan Guru Syeikh Othman Yunusi - Madrasah An-Nadhoh, Bukit Besar,
3) Tuan Guru Syeikh Abdul Aziz Ibrahim - Madrasah Al-Islah, Pendang, dan
4) Tuan Guru Syeikh Ramli Senik - Pondok Batu Hampar, Pendang

(Selain itu, tokoh politik Dato' Onn bin Jaafar juga turut berjuang menerusi PEKEMBER - (15)

Resolusi telah tercapai semasa muqabalah tokoh-tokoh Ulama ini antara lain untuk menyeru umat Islam Melayu segera kembali tajdid mewarisi semula segala ilmu dan amalan hidup/kehidupan yang diwarisi dari Rasulullah S.A.W. (bersanad yang sah) menerusi talqin dan tajdid (memperbaharui) dua kalimah syahadah bagi membersihkan jiwa raga dari segala bentuk kekufuran, kesyirikan dan keengkaran yang telah lama merosakkan aqidah umat Islam Melayu hasil peninggalan penjajahan

Isnin, 5 Mei 2014

Masih Dengan Isu Telaga Barahut


sumber : http://www.malaysiakini.com/columns/260402  (Penulis MAZA)

Nilai munasabah cerita

Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis mengutip semua cerita yang dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai kemunasabahannya. Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu, menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih.

Terbaru kita dengar ada pihak mempopularkan cerita memanggil arwah di Telaga Barahut (Barahut atau disebut juga Burhut seperti yang dinyatakan dalam Lisan al-‘Arab).  Kononnya, ada orang memanggil roh dari telaga berkenaan untuk mengetahui di mana hartanya disimpan oleh kawannya sebelum dia meninggal.

Mungkin niatnya ikhlas, tapi cerita itu tak berasas dan ‘kartun’ sekalipun disebut dalam beberapa kitab. Saya terbayang, jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang.

Sahih
    
Walaupun asas nama Telaga Barahut itu disebut dalam hadis yang thabit riwayat al-Tabarani dan selainnya sebagai seburuk-buruk telaga, namun cerita si fulan memanggil roh kawannya dari telaga itu tiada asas yang sabit. Mudah untuk difahami seperti cerita Nabi Khidir.

Kisah itu ada dalam al-Quran dalam Surah al-Kahf. Nama Khidir itu pula disebut dalam Sahih al-Bukhari. Namun cerita dalam Hikayat Melayu Lama bahawa Hang Tuah bertemu Khidir tiada asas yang boleh dipercayai.
    
Menggunakan kewujudan cerita itu dalam al-Quran dan as-Sunnah sebagai dalil untuk membenarkan cerita yang direka kemudian adalah satu kaedah yang tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali.

Cerita yang datang kemudian, jika pun hendak diterima, hendaklah dinilai dari segi keselarasan dengan dengan al-Quran dan as-Sunnah serta lojik yang kukuh.
    
Menjadikan alasan ia wujud dalam sesebuah kitab (dalam bahasa Melayu kitab bermaksud buku) bukan alasan yang diterima di sisi ahli riwayat. Kewujudan sesebuah cerita dalam sesebuah kitab tidak menjadi bukti kesahihannya.

Bahkan banyak riwayat dalam kitab-kitab terdahulu yang tidak sahih. Dalam kitab-kitab tafsir ada pelbagai riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Tidak boleh semuanya dipercayai. Ada disiplin ilmu yang mesti diikuti sebelum memetik kisah-kisah itu.

Benar seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin."(Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Palsu
    
Dalam kitab-kitab hadis, banyak hadis yang palsu. Para ulama hadis menyuruh kita menyemak sanad dan matan sebelum sesuatu hadis diterima. Bahkan para sarjana hadis telah bertungkus-lumus melakukan klasifikasi hadis bagi membezakan yang sabit dari selainnya.

Kata al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H): “Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah." (Ibn al-Salah, 'Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir)    
    
Dalam membaca bahan sejarah juga demikian. Bukan semua yang ada dalam buku sejarah itu boleh dipetik tanpa menyemak sanad dan matannya. Empunya kitab sejarah terbesar al-Imam al-Tabari (meninggal 310) sendiri mengingatkan hal ini pada mukadimah kitabnya:

“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”. (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi)
    
Saya petik kata-kata Syeikh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi dalam membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari:

“Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi-perawi bagi setiap sanad. Selain itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah." (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, ms 7)

Malangnya apabila kedangkalan disiplin ini tidak dikuasai, ada yang menceduk apa sahaja yang dia jumpa tanpa menghayati disiplin dalam periwayatan.

Lojik
    
Perkara yang tidak lojik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak dikaitkan dengan Islam. Inilah yang kita ulang apa yang disebut oleh sesetengah sarjana hadis:

Apabila engkau melihat sesebuah hadis menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ia hadis yang palsu. (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr)
    
Ilmuwan al-Azhar sendiri, Dr al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah juga menyebut:

“Sepertimana para ulama hadis mengambil berat berhubung analisa kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda-tanda hadis palsu ialah percanggahannya dengan akal, atau al-musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss (apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin (untuk diselaraskan). Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan dengan al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah yang diketahui, sedangkan ia tidak mampu untuk diharmonikan." (Abu Syahbah,  Difa’ an al-Sunnah, m.s. 31. Kaherah: Maktabah al-Sunnah)
    
Buku-buku memang banyak. Pun begitu, mensahihkan sesuatu perlukan kaedah yang betul. Bukan salah untuk mengutip cerita-cerita yang lemah sekadar iktibar, tapi hendaklah jangan disandarkan kepada agama Allah yang maha mulia ini.

Jangan pula cerita itu menjatuhkan mertabat Islam sebagai agama yang rasional dan penuh dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara nanti orang bersalah sangka kepada agama.
    
Kisah-kisah pengajaran orang soleh dan para wali boleh dipetik tapi pasti ia seiras dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Juga agama tidak mungkin membawa sesuatu yang tidak dapat disaksikan kebenarannya oleh akal yang waras.

Jangan kita main ceduk semua benda dan masukkan ke dalam bakul agama.



Jawapan  Balas

sumber : http://www.malaysiakini.com/columns/260402   (Penulis Zainudindamin Damin )


Assalamualaikum WB 
Segala Puji Bagi Allah, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar SAW. Semalam saya baru bertafaquh mengulangkaji kitab hadis an-Nawawi. Seorang Doktor Phd menjadi pembimbingnya. Apa yang menarik sempat juga dia menyentuh tentang ‘kisah Ustaz Don’ berkaitan kisah seorang hamba Allah berseru di Mekah dan berseru di telaga Barahut. Urusan syurga dan neraka adalah perkara ghaib katanya; mana boleh berlaku begitu. Sebagai hadirin, kami pun diam tanda hormat dan kenal diri. Namun pada pandangan saya seseorang yang ‘berilmu’ tidak akan memperpanjangkan pertikaian di khalayak awam; sebaliknya orang yang jahil akan mendengar dan mengatakan ia atau tidak tahu. Hanya orang yang benar-benar alim dan berakhlak akan menjaga mulutnya (atau tulisannya).

Berkait dengan tulisan Dr Maza, tentulah bagi orang awam, atau sebahagian orang yang berilmu akan rasa tulisan ini begitu ilmiah sebab ada nota kaki atau rujukan. Sebahagian daripada rujukannya pula bukan semua orang boleh baca, malah menyentuhpun tak pernah. Kaedah penulisan ilmiah sebegini (nota kaki, rujukan) adalah sebahagian cara penulisan ilmiah yang diperkenalkan oleh sarjana Barat yang mungkin kita boleh terima. Namun kembali kepada topik yang diperkatakan dalam tulisan tersebut dan kesediaan penulis, termasuk penyanjungnya untuk menerima buah fikiran orang lain; maka beberapa komentar saya cuba ajukan.

Pertama; memberikan nilai dan gambaran yang begitu hodoh kepada hasil penulisan kitab-kitab lama di mata awam dengan menyamakan istilah ‘kitab’ (Arab) dengan ‘buku’ (book), dengan nada yang menghinakan atau memandang rendah atau curiga; termasuklah menggunakan bahasa yang menghilangkan rasa hormat khalayak kepada penuturnya bukanlah cara dan akhlak Islam. Kitab-kitab itu bukan saja telah berusia puluhan tahun malah sesetengahnya berusia ratusan tahun. Walaupun usia kitab bukan syarat kebenarannya, dan fokus kesangsian yang dibincangkan adalah berkaitan dengan satu andaian peristiwa atau seumpamanya, rasa curiga disematkan pada persepsi awam secara tangkap borong, dengan alasan tiada nilai ilmiah - sekadar berdasarkan peristiwa ‘seruan di telaga’ adalah tidak adil. Kadang-kadang biadap itu pun tidak semestinya ada sandaran nasnya, seperti meletakkan kaki di atas meja waktu berbicara dengan orang lain.
Kedua, teguran itu boleh disampaikan atau sekurang-kurangnya bertanya kepada penuturnya untuk mendapatkan suatu penjelasan atau menjernihkan keadaan atau mencari muafakat. Itu disebut akhlak alim ulama, bukan dengan mengeruhkan keadaan, menjatuhkan maruah walau soal benar atau tidak menjadi keutamaan. Ini seakan masing-masing berebut khalayak dan pengaruh dengan menzahirkan kebenaran yang tidak pasti; atau sekadar pasti kebenarannya pada bibir sendiri dan lingkungan kita sahaja; di sebalik statusquo kita sebagai sarjana kononnya.

Ketiga, berapa ramai ulama silam yang menulis tanpa rujukan (nota kaki), malah memang ramai penulis yang menulis berbagai hukum dan kisah tanpa menyebut sanadnya; malah berapa ramai pula yang menghasilkan hasil tulisan tanpa menulis nama pengarangnya. Terdapat juga ulama yang kitab-kitabnya bukan daripada hasil tulisannya; sebaliknya hasil pembukuan oleh murid-muridnya seperti Imam Hanafi. Apa yang mereka tulis dan apa yang mereka ungkap melalui kata-kata adalah hasil luahan daripada dada mereka sendiri. Ungkapan kata mereka adalah hasil keilmuan mereka sendiri termasuk apa-apa yang mereka riwayatkan – bukan hafal dan petik di sana sini; sebaliknya mereka telah amal dengan apa yang mereka tahu. Apa yang mereka tulis adalah kerana Allah semata-mata, bukan bertujuan supaya diikut orang dan bukan untuk tujuan mengkartunkan orang lain atau untuk memperlekeh orang-orang yang tidak setaraf dengannya.

Keempat, saya rasa kita perlu beringat bahawa bukan kita sahaja yang berhasrat menjadikan agama ini sebagai suatu yang murni; tidak lari dari asal usulnya. Bebas daripada tahyul, khurafat dan kartun. Namun, kita tidak pula boleh merasakan tulisan dan kata-kata kita sahaja yang paling murni, bersih daripada kelemahan, khoto’ dan khilaf; sehingga secara tersurat menuduh orang lain cuai mengagamakan sampah dan perkara tidak masuk akal (orang lain : khususnya ‘ulama’ yang selalunya disinonimkan sebagai orang biasa yang banyak kelemahan dan kesilapan, tidak berhati-hati dalam menukil hukum dan kisah; atau melakukan tipudaya untuk kepentingan diri dan mendapatkan pengaruh; kolot dan fanatik)

Kalau agama ini semata-mata berlandaskan kepada perkara yang diterima akal, rasional; maka para rasul dan para nabi (A.S) tidak pernah dituduh ‘gila’ oleh orang yang tidak beriman. Hatta perbuatan Nabi Noh (AS) membina kapal di daratanpun dikata gila begitu juga dengan kisah unta Nabi Syuib (AS). Apatah lagi perbuatan Nabi Khidir (AS) ketika bermusafir bersama Nabi Musa (AS) memenggal kepala seorang budak lelaki, sudah tentu mereka menganggap karut. Sefaham saya, rasional di dalam Islam tidaklah setaraf dengan ‘kajian empirikal’ dalam sosiologi Barat yang menolak wahyu dan karomah.

Kelima, perkara khawariqul adat memang tidak boleh diterima akal kerana ia berlaku di luar batas akal. Itu yang disebut sebagai di luar kebiasaan atau luar biasa. Ia berlaku sekali dan mungkin tidak berlaku lagi. Kata-kata penulis ‘..jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang’ secara tersiratnya adalah bertujuan mempersenda atau menghina. Bukan sahaja menghina sipencerita, malah menghina pengarang-pengarang kitab yang berkenaan. Naifnya, pengarang-pengarang itu sudah tidak boleh bangun untuk memberi hujahnya atau mempertahankan diri kecuali di Mahsar nanti. Kisah-kisah seperti riwayat Syeikh Ahmad Khuza’i yang telah dihukum pancung oleh Khalifah al-Wasiq, kepalanya telah digantung berhari-hari tetapi mulutnya masih boleh bertutur malah membaca al-Quran merupakan riwayat luar biasa dan ‘tidak masuk akal’. Begitu juga kisah seluar Imam Ahmad Ibnu Hanbal terangkat sendiri menutupi auratnya sewaktu jatuh terlondeh ketika sedang menjalani hukuman rotan adalah peristiwa luar biasa. Adakah berbaloi kalau kita kata contoh-contoh peristiwa itu dan lain-lain yang ditulis atau diceritakan oleh seseorang yang jasanya besar di dalam sejarah tamadun keilmuan Islam sebagai kartun? Penulisan buku dan periwayatan cerita adalah nikmat bid’ah yang sangat besar.

Keenam, pesan diri saya dan semua ikhwan, binalah kekuatan sendiri dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT bukan dengan menjatuhkan orang lain. Sebaik-baik kita adalah orang yang memberi munafaat kepada orang lain – berfaedah kepada orang kebanyakan atau kepada orang alim. Wallahua’lam