Selasa, 13 Oktober 2015

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (Kuala Lumpur International Book Fair)

Assalamu'alaikum,

Hamba sekeluarga mengambil berkesempatan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (24 April - 3 Mei 2015) di PWTC, Kuala Lumpur.  Hamba kalau masuk kedai buku, paling kurang sejam, inikan pula Pesta Buku Antarabangsa. Seharian kami di PWTC, menanam, mendidik, memupuk, minat membaca, nilai membaca, manfaat membaca, menyayangi ilmu, menghargai khazanah ilmu, mencintai ilmu dalam kalangan anak-anak. Kalau ke tempat sebegini, hamba sediakan bajet khusus untuk anak-anak. Masing-masing dah tahu bajet mereka, tetapi perlu tunjukkan dulu buku mana hendak dibeli.  Anak hamba yang bongsu, yang berusia 6 tahun, sejak tahu membaca, tak mahu buku-buku tadika. Buku cerita untuk mereka yang berusia 10-12 tahun juga yang beliau hendak. 

Dalam 20 tahun ini, satu perkembangan positif adalah pertumbuhan penerbit-penerbit buku dalam kalangan orang Islam.  Selain itu, judul buku berkaitan Islam juga meningkat dengan banyaknya. Statistik bilangan buku yang dibaca setahun oleh rakyat Malaysia juga meningkat, walaupun tidak setanding dengan negara maju.  Banyak syarikat Muslim masuk ke industri ini, satu usaha yang baik. Jenis dan cara buku diterbitkan juga meningkat walaupun masih tidak sekreatif masyarakat Barat. Kalau tahun 1970-an dan 1980-an, penerbit Muslim boleh bilang dengan jari, kini sudah banyak. Dulu-dulu, penerbitan buku berkisar Peperiksaan UPSR, SRP/PMR, SPM, STPM, kini macam-macam ada. Teknologi bagi membantu orang membaca Al-Quran juga berkembang baik.   Teknologi tidak berguna jika kita tidak memiliki ilmunya. 

Kemajuan sesebuah negara berkaitan dengan penguasaan ilmu, bukannya penguasaan senjata. Satu yang baik dari segi dasar adalah bajet untuk pendidikan sentiasa 20%-25%, maksudnya pemerintah mengetahui peri pentingnya menguasai ilmu. Cuma perlu ada anjakan dalam masyarakat dan dasar, agar pendidikan tidak hanya menekankan peperiksaan dan teori, tetapi pengamalan ilmu, praktikal, keseimbangan jasad, rohani, intelektual dan emosi. Pendidikan seharusnya melahirkan insan yang seimbang dan berakhlak mulia, bukannya roask akhlak dan  mengejar kebendaan semata-mata. Inilah jihad yang penting sekarang dalam kalangan orang Islam, iaitu jihad menuntut ilmu, bukannya berperang. Dengan ilmu, maka yang lainnya akan dapat dikuasai. Renungi kata-kata Saidina Ali k.w.h tentang peri pentingnya ilmu berbanding harta....Wassalam.