Selasa, 28 Disember 2010

Bukannya Mudah Berjalan Bersendirian

Assalamu'alaikum,

Bukannya mudah berjalan bersendirian pada zahirnya walaupun tidak bersendirian pada batinnya. Selepas kami bermufaraqah dengan jemaah, masalah melanda jemaah. Penyerapan ilmu dan unsur yang tidak baik daripada jemaah baru, semakin meninggalkan amalan-amalan utama dan penting, semakin sibuk dengan keduniaan dalam bicara dan tuturkata, matlamat dan arah haluan mula terpesong.  Angan-angan kosong mula menjadi cerita-cerita penyedap kata. Jemaah berpecah, suatu ketentuan yang tidak dapat dielak.  Maka dengan izin-Nya dan petunjuk-Nya, aku dan si isteri, walaupun di luar jemaah ambil peranan dan tanggungjawab. Arah haluan wajib diperbetulkan. Amalan-amalan harus diselidik, guna menjauhi pengaruh-pengaruh batil yang halus lagi tersembunyi. Mereka yang memegang tanggungjawab utama perlu disedarkan. Maka 'misi menawan kembali' digerakkan. Dengan bantuan ahli lama yang masih sedar, maka seorang demi seorang ditawan kembali, sekeluarga demi sekeluarga kembali ke pangkal jalan. Alhamdulillah, misi berjaya, jemaah kembali bertaut, matlamat dan arah haluan kembali disebut dan majlis pulih seperti sedia kala.

Ketentuan-Nya, ada jemaah yang tidak sehaluan dan dipinggirkan. Ahli baru yang membawa 1001 masalah disingkirkan. Malangnya, masih ada jemaah lama yang terikut-ikut dengan ahli baru yang disingkirkan yang membawa onak dan duri. Sehinggakan yang haq dan batil dalam syariat pun jadi tak keruan sedangkan hukum-Nya sudah jelas dan wajib menjadi panduan dan pedoman. Itulah ketentuan Ilahi, dari jumlah yang ramai, saiz semakin mengecil.

Sebelum ke luar negara, sekurang-kurangnya dua kali aku dan isteri ambil peranan dan tanggungjawab menyelesaikan masalah mereka, menyatukan semula mereka, menyegarkan semula obor perjuangan, mengingatkan semula amanat dan warisan si Mursyid.  Dalam hal ini, aku bersyukur ke hadrat Ilahi. Mufaraqah itu banyak hikmahnya, tidak terusik aku dan keluarga dengan permasalahan mereka. Perjalanan bersama-Nya pasti ada hikmahnya, pasti banyak kenangannya.

Beruzlah di luar negara memutuskan sekejap urusan jemaah dengan aku dan keluarga. Apatah lagi, kami tinggal di kawasan tiada orang Malaysia, tidak ramai komuniti Muslim. Kehidupan kami sekeluarga benar-benar urusan kami sekeluarga sahaja. Ia satu peluang untuk lebih rapat dengan anak-anak kerana 'tiada kerja rasmi' memberikan masa dan ruang yang banyak untukku di rumah. Kehidupan di luar negara tidak semudah yang disangka. Tahun pertama dengan wang biasiswa yang 'nyawa-nyawa ikan' benar-benar mendidik keluargaku akan berhemah dalam berbelanja. Banyak yang boleh kucerita, tapi di lain masa dalam tajuk yang berbeza.

Dalam terputus sementara hubungan itu, berita-berita dari Malaysia sampai juga akhirnya ke telinga. Tidak sampai setahun kami meninggalkan mereka, jemaah mula bermasalah. Kehadiran guru luar yang 'tidak ditapis dan tidak diminta petunjuk Ilahi' benar-benar merosakkan kembali jemaah. Memang mereka rindu dengan cerita-cerita hakikat yang sudah lama tidak didengar semenjak pemergian Sang Mursyid, tetapi perkara utama adalah mereka tidak memohon petunjuk Ilahi tentang guru luar ini. Dengan jemaah hampir-hampir musnah, petunjuk Allah dan Rasul-Nya menyebabkan aku dan isteri masuk campur entah kali ke berapa demi menyelamatkan sebuah perjuangan, demi meneruskan amanat Guru Mursyid. Walaupun jarak memisahkan kami, tetapi dengan pertolongan-Nya dan bantuan-Nya, dengan segala usaha dan doa, segala puji bagi Allah, mereka bermufaraqah dengan guru luar ini yang benar-benar telah memesongkan aqidah pengikut-pengikutnya dan kembali bersatu.

Alhamdulillah, jemaah dapat diselamatkan. Berjalan semula di atas landasan perjuangan. Kepulangan sementara hamba sekeluarga pada tahun 2008 amat ditunggu-tunggu mereka. Aktiviti dan majlis ilmu dan amal begitu kerap dan kesibukan hampir setiap minggu mengeratkan semual perhubungan sesama mereka dan kami sekeluarga.

Dalam kalangan jemaah ini, ada ayah dan anak mereka itu berbaiah dengan hamba dan isteri tercinta. Ada antara mereka, suami dan isteri, berkeluarga yang mengenal-Nya dengan jalan yang dibuka oleh-Nya melalui kami berdua.  Dalam mereka itu, betapa susah usaha kami berdua menghubungkan semula silaturrahim  sesama mereka yang tercacat-cela. Dalam mereka itu, kereta kami sendiri kami berikan guna tanpa mengharapkan apa-apa. Dalam ramai-ramai mereka itu, banyak yang kutolong wang ringgit, masa dan tenaga tanpa mengharapkan apa-apa.

Namun, ketentuan Ilahi memang berbeza dan ternyata berbeza.  Laut yang tenang jangan disangka tiada tsunami yang bakal melanda. Kepulangan kami ke Malaysia tahun 2010 disambut dengan cara yang agak berbeza. Tiada lagi pelukan kasih-sayang, kemeriahan dan riang ria seperti sebelumnya. Bagaikan mereka ada agenda mereka yang tersendiri. Memang aku dan isteri 'sedikit tercalar' dengan kehidupan di luar negara. Apatah ujian-ujian besar aku di luar negara tiada siapa yang tahu kecuali  Dia dan isteri tercinta. Memang, ambil masa untuk diriku pulih dan sembuh seperti sediakala. Bergelumang di tempat musuh, tinggal dalam negara kafir tidak sama dan jauh berbeza dengan tinggal di Tanah Melayu, tanah leluhur, tanah bertuah, tanah para awliya', tanah yang dijanjikan.

Fitnah-fitnah mula melanda kami sekeluarga. Benarlah petunjuk-Nya sebelum pulang ke Malaysia, fitnah Dajjal akan melanda kami sekeluarga. Bukan datangnya dari orang lain, dari jemaah yang kusayang, yang mereka-mereka itu sahabat-sahabat  paling dekat, saudara-mara terapat. Anda bayangkanlah..... Macam-macam umpatan dan fitnah untuk kami sekeluarga disebar-sebarkan. Sehinggakan perkara yang tiada kaitan pun, kami juga yang disalahkan. 'Banyak batil-batil yang kami bawakan, sehingga tiada sesiapa boleh bertemu, nanti dipengaruhi/dimasuki dek batil-batil kami'. Sedangkan aku lontarkan ayat Al-Quran, 'Apabila datang kebenaran, maka lenyaplah kebatilan dan sesungguhnya yang batil itu akan musnah'. Aku tanya lagi 'Mengapa tidak mahu berjumpa dan berlapang dada mencari kebenaran, tidak cukupkah ilmu dan anugerah tuan-tuan dari yang Haq untuk menghapuskan batil-batil pada kami berdua/sekeluarga?' Semuanya tidak berjawab, malah dari yang kecil ke yang besar habis dikeluarkan dan disalahkan pada aku dan isteri, menurut kata si pemberi maklumat misteri. Kami yang berusaha membawa mereka ke pangkal jalan pula dituduh tidak betul dan 1001 tuduhan lain.

Sedang aku tabah, sabar dan redha menghadapi ujian-Nya, si isteri kelihatan 'sedikit tergugat' dengan perkembangan yang melanda. Sering kupesan pada dirinya, 'Jangan risau apa-apa selagi Allah dan Rasul bersama kita'. Memang sedikit sukar bagi dirinya kerana melibatkan saudara-mara sebelahnya. Begitulah ujian-Nya yang sebenarnya kusyukuri kerana mendekatkan lagi aku pada-Nya, menguatkan lagi diriku untuk berhadapan realiti semasa.  Apatah lagi kami sekeluarga telah biasa hidup tanpa orang lain. Setakat dipulau jemaah, ahli keluarga dan sebahagian manusia, alah bisa tegal biasa. Guru-guru mursyid dan ahli-ahli sufi yang lain menghadapi ujian yang jauh lebih besar dari ini.

Itulah realiti semasa, bukan mudah berjalan bersendirian. Tetapi hatiku tenang kerana Dia sentiasa bersama kami. Kesabaranku masih tinggi, belum sampai ke tahap aku mendoakan, mengadu sesuatu kepada Tuhanku atas perbuatan dan kelakuan mereka pada kami sekeluarga. Begitu juga petunjuk-Nya, 'sabar atas apa yang berlaku, jangan buat apa-apa'. 'Suatu hari nanti, mereka akan tahu, mereka akan menyesal'....Siapa sangka? Mereka itu umpama adik-beradikku sendiri, kasih-sayangku kepada mereka dan anak mereka, Allah sahaja yang tahu, ambil-berat dan bantuanku pada mereka suatu ketika dahulu Allah sahaja yang tahu, berpecah mereka berkali-kali dan usaha aku isteri menyatukan semula mereka Allah sahaja yang tahu, magfirah mereka itu atas jalan-Nya melalui aku dan isteri, Allah sahaja yang tahu, buah tangan untuk setiap dari mereka sekembalinya dari luar negara sebagai tanda ingatan kami pada mereka, Allah sahaja yang tahu. Ingatnya aku pada mereka, sayangnya aku pada mereka, Allah sahaja yang tahu.   

Aku tidak mengharapkan apa-apa dari mereka, cuma mendoakan mereka menjaga amanah Si Mursyid  dengan jaya, itu sahaja, cukuplah Allah dan Rasul pada diriku, pada isteriku dan pada anak-anakku.  Biarlah apa mereka nak kata, masa akan menentukannya. Jika aku dan isteri yang bersalah, biarlah Dia menghukum kami dan membetulkan kami. Jika mereka bersalah, aku serahkan pada Yang Maha Kuasa kerana Dia maha teliti perancangan-Nya.

Kutulis catatan ini sebagai antara bibit-bibit pengajaran dan teladan kepada anak-anakku kerana usia mereka masih amat muda, kerana perjuangan dan pengorbanan mereka kelak jauh lebih besar dan tidak terduga berbanding ujian aku dan isteri ini, kerana kalau tidak kutuliskata, ia akan hilang ditelan masa....

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan