Isnin, 28 Mac 2011

Jalan Kebatinan atau Jalan Ketuhanan atau ???

Assalamu'alaikum,

Ada pembaca yang bertanya kepada hamba akan perbezaan antara jalan kebatinan dengan jalan ketuhanan. Dalam masa yang sama, hamba memang dah tulis tajuk dalam blog hamba ini tentang perkara itu, cuma belum siap penulisannya...Dari segi maksud dan makna secara umum, jalan kebatinan dan ahli kebatinan adalah mereka yang belajar dan beramal dengan ilmu-ilmu kebatinan. Apakah ilmu kebatinan? Umumnya ilmu kebatinan berkaitan perkara yang batin, perkara yang tidak zahir, perkara di alam ghaib, perkara metafizik, berkaitan ilmu persilatan, dan ada ilmu kebatinan yang tidak berkaitan dengan ilmu persilatan seperti ilmu perubatan.

Di atas jalan persilatan, jarang silat yang tiada ilmu batin, ilmu kebatinan.  Seni Gayong dengan Ibu Gayongnya, Silat Cekak dengan Ibu Cekaknya, ada Ibu Gerak, ada Ilmu Selisih, dan lain-lain ilmu kebatinan seperti pelbagai jurus kebatinan yang ada dalam Gerak Kilat (hamba pernah belajar dan mengamalkan Gerak Kilat waktu berusia 17-19 tahun), Kipas Nandung, Raja Kipas Nandung, Cuca, Pendinding Diri, Penderas, Pelimun, Garis Laksamana dan pelbagai amalan kebatinan. Pembaca boleh layari laman sesawang ilmu persilatan dan boleh baca peringkat-peringkat ilmu kebatinan dalam setiap ilmu persilatan.

Pada peringkat awal ilmu persilatan, biasanya jarang anak murid didedahkan dengan ilmu kebatinan. Apatah lagi kalau masih sekolah rendah dan sekolah menengah rendah. Peringkat umur sebegini tidak sesuai didedahkan dengan ilmu kebatinan, silap jadinya. Guru Silat juga arif dalam menilai anak muridnya, yang mana sesuai menerima kebatinan dan yang mana tidak sesuai menerima ilmu kebatinan.

Pada hakikatnya anak murid dah didedahkan dengan ilmu kebatinan secara tidak langsung semasa belajar silat. Kalau Gayung Pusaka (hamba belajar juga waktu Tingkatan 2 dan 3), ada mandi limau untuk jadi ahli. Mandi limau ni sebenarnya ada 'unsur kebatinan', cuma guru beritahu atau tidak saja, cuma guru tahu atau tidak sahaja.  Kalau macam Gerak Kilat, memang belajar jurus dan belajar jurus itu adalah ilmu kebatinan.  Dalam membuka gelanggang untuk pertunjukan contohnya, guru yang mengiring ada bacaan2nya, bukan main atas gelanggang kosong saja. 'Kalau tidak nahas'..

Kalau ilmu perubatan, kebatinan adalah perkara biasa.  Tok bomoh dengan jampi-serapahnya, khadamnya, dan lain2. Masakan tidak, nak berentap dengan macam2 pasti kena ada persediaan.  Kalau tok bomoh tak bersedia, tok bomoh yang 'kena cekik'...:-)...Ilmu kebatinan juga dikaitkan dengan petigeni, bertapa, beramal di bukit, gunung dan tempat-tempat tertentu seperti Gunung Jerai, Gunung Ledang, Bukit Panau dan sebagainya. Mereka yang 'tamat' atau khatam akan memperolehi natijah beramal seperti beroleh ilmu perubatan, beroleh ilmu kebal, beroleh batu tertentu seperti geliga sekian2, boleh terbang, boleh menghilangkan diri dan sebagainya.  Hamba membezakan petigeni, dan bertapa dengan berkhalwat dan suluk kerana tujuan/niat beramal adalah berbeza dan natihah beramal adalah berbeza.  Berkhalwat adalah Sunnah Rasul, berkehendak mendekatkan diri dengan Maha Pencipta, bertujuan mencari keredhaan Allah, bukan mencari 1001 barang hikmah dan sakti.

Dalam ilmu persilatan, ilmu kebatinan biasanya diajar pada murid yang dah lama, yang makin matang, yang meningkat maju dalam ilmu persilatannya. Ada yang nak kena habiskan surah Al-Ikhlas di tempat-tempat menakutkan, ada yg kena mandi minyak, ada yang khatamnya di Gunung Ledang, ada yg khatamnya di Gunung Jerai, ada yang khatamnya di Pulau Besar, Melaka dan pelbagai lagi.  Murid persilatan diberikan amalan-amalan berupa ayat Al-Quran, bacaan-bacaan tertentu yang perlu diamalkan. Ada juga amalan yang bersangkut dengan perlu puasa pada hari sekian2, selama sekian, perlu memutih, perlu makan bertih saja sepanjang berpuasa dan pelbagai lagi.  Dalam sesetengah persilatan yang gurunya mengamalkan tariqat, ada zikir-zikir tertentu yang perlu diamalkan ketika bersilat, berjurus dan sebagainya.

Dalam ilmu kebatinan yang dibawa oleh Tok Bomoh, Pawang, Dukun dan seumpamanya, persoalan kebenaran atau kepalsuan atau dampingan mereka terletak utamanya pada hati mereka sendiri, pada amal mereka sendiri, pada nafsu mereka sendiri. Jika Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun itu sendiri tiada jalan ketuhanan, jika mereka sendiri bernafsu ammarah, jika hati mereka sendiri tidak ingatkan Tuhan, jika hati mereka sendiri gelap, apakah anda yakin mereka berada di atas jalan yang lurus?  Jika Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun itu sendiri tidak mendirikan solat, tidak menjaga hukum-hakam Islam, mengambil mudah perkara syariat, adakah anda masih yakin bahawa mereka benar disisi Allah? Bagi Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun sebegini, dampingan mereka adalah jin, syaitan dan Iblis Laknatullah...Hati yang tidak menyebut nama-Nya yang agung tidak ditakuti oleh jin, syaitan dan Iblis Laknatullah. Inilah antara yang menyebabkan berlaku beberapa 'kes perkosaan/pencabulan' ke atas mangsa, si pesakit. Pendapatan mereka adalah bersumberkan kerja mereka sebagai Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun.

Malangnya masyarakat hari ini mencari Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun yang 'dengar-dengarnya Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun tu pandailah, hebatlah, ramai orang berubat dengan dialah, dia ubat baiklah dan 1001 dengar-dengar'...Asalkan baik, asalkan sembuh berubat sajalah, persendakan 'syirik' ke atas diri sendiri, biarkan syirik ke atas anak-pinak, 'sebarkan syirik' ke atas orang lain dengan merekomenkan Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun tersebut.  Ini menunjukkan sifat taqwa, percaya kepada Qada dan Qadar (sebahagian daripada Rukun Iman),  redha atas ketentuan Ilahi sudah jauh benar dari hati-hati manusia hari ini. 

Satu lagi golongan  Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun kelihatannya mematuhi hukum-hakam, mengubat dengan menggunakan  ayat-ayat al-Quran, berpuasa dan sebagainya. Ada juga yang boleh 'bedah cara zahir', tetapi tidak berdarah, pakai telur dan sebagainya. Perbezaan mereka ini dengan mereka yang di atas jalan ketuhanan adalah mereka mengenakan caj, dan ada juga yang pakai caj tetap. Dan kekadangnya bayarannya memang tinggi. Ramai orang mengunjungi mereka, mereka ada iklan di akhbar tabloid, ramai orang datang mengunjungi mereka (kena ambil nombor !). Nasihat hamba adalah jauhkan diri dari berubat dengan  Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun yang mempunyai/mengenakan caj, ada caj tetap....Walaupun mereka tidak seperti golongan mensyirikkan Allah Taala, niat mereka lain, mereka berubat untuk tujuan kebendaan, bukan lillahi taala. ....Berhati-hatilah, sebaik2nya solat sunat Istikharah dahulu sebelum datang berubat dengan golongan ini.

Ada golongan kebatinan yang mereka itu mampu menzahirkan kesaktian. Mereka mampu berjalan menembusi dinding, hilang, 'ghaib', orang tak nampak, memegang benda panas dengan selamba, menghilangkan orang dalam peti (macam silap mata tu), yg biasanya ditunjuki di pasar-pasar malam, mampu terbang, tetak dengan pedang tajam tak lut, 'bersilat apa saja jenis silat', dan 1001 kesaktian. Dalam zaman internet ini, mereka menawarkan pelbagai ilmu dan kesaktian dengan pelbagai yuran dan caj. Implikasinya mudah, bayar mahal, mudah dapat ilmu, mudah dapat kesaktian. Ilmu mereka 'diturunkan dengan mudah' kepada mereka yang berminat. Ramai pulak orang yang berminat tu....:-(  Nasihat hamba, tinggalkanlah orang-orang sebegini. Kalau dah 'ambil', bukan senang nak buang. Tidak ada jalan mudah memperolehi ilmu kebatinan yang hak.  Ilmu yang benar disisi Allah, bukan boleh dijual-beli dengan wang ringgit.

Berbalik kepada orang-orang di jalan persilatan dengan ilmu kebatinan mereka, yang tidak disepadukan dengan jalan tariqat, dengan jalan ketuhanan, maka persoalan hamba adalah apa niat mereka mengambil ilmu kebatinan itu? Apakah mereka mengamalkan amalan kebatinan mereka kerana Allah Taala, lillahi taala?  Apakah mereka tidak menuntut faedah, natijah, kesan daripada amalan kebatinan itu?  Contohnya jika mereka mengamalkan ilmu kebal, adakah mereka mengamalkannya kerana Allah Taala atau kerana nak kebal?  Apakah tauhid mereka, iktiqad mereka semasa mengamalkan ilmu kebal itu? Semasa mereka mengamalkan ilmu pendinding, apa tujuan mereka memakai ilmu pendinding tersebut? Adakah mereka berfaham bahawa ilmu pendinding itu boleh melindungi mereka daripada sekian-sekian. Justeru itulah, ilmu kebatinan dalam jalan persilatan 'banyak masalahnya' jika tidak dibimbing oleh guru yang arif, bukan saja tentang silat tetapi arif tentang ilmu tauhid, tentang ilmu tasawuf. Berapa ramai ahli persilatan yang tidak sedar mereka memakai dampingan daripada jin, syaitan dan dewa-dewi dalam amalan persilatan mereka. Berapa ramai ahli persilatan yang tidak tahu mereka mensyirikkan Allah Taala dengan amalan kebatinan mereka itu...

Tidak adakah Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun yang benar disisi Allah? Ada, malah Ustaz Ahmad Janggut sendiri menyatakan adalah menjadi Fardhu Kifayah bagi pengamal perubatan Islam untuk jadi Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun sebab banyak sangat yang sesat (yang sesat lebih ramai dari yang benar)....Tak adakah jalan persilatan yang mengamalkan kebatinan yang benar disisi Allah? Ada, kan Wali Songo itu hebat-hebat ilmu persilatan dan kebatinan mereka. Cuma kita sebagai orang biasa, sebagai orang awam jangan mudah terpengaruh dengan cadangan, pandangan orang ramai tentang bab mengubat ni. Rugikah kita jika kita mendirikan Solat Sunat Istikharah sebelum pergi berubat dan menjurumuskan diri ke arah lembah kesyirikan? Yang mana lebih penting, kesihatan atau kesyirikan? Yang mana lebih baik, sihat dalam kesyirikan atau sakit dalam rahmat Allah?

Ingatlah sakit juga ada kebaikannya. Selain harus diusahakan dengan berubat, harus juga tahu bahawa sakit itu menghapuskan dosa. Hamba terbaca dalam Futuhul Ghaib, demam sehari itu boleh menghapuskan dosa setahun (Sabda Nabi SAW)...

Hamba akhiri dahulu tajuk ini sebagai permulaan bicara yang konteks awalnya adalah umum dan tidak hamba khususkan kepada mana-mana Tok Bomoh @ Pawang @ Dukun, tidak hamba khususkan ke atas mana-mana jalan persilatan. Kalau dah terlajak jalan, boleh berpatah balik, berpatah baliklah....Insya-Allah, akan ada sambungan tentang jalan ketuhanan yang benar yakni mereka yang menjadi ahli ketuhanan dan juga ahli kebatinan...

wassalam.

8 ulasan:

  1. Ilmu kerohanian apa pula tuan? (KS)

    BalasPadam
  2. Hamba lebih memandang ilmu kerohanian ini sbg sbhgn drp ilmu tasawuf kerana ia berkaitan amalan roh, amalan untuk diri-diri yang ghaib...rohani kotor jadi kena cuci le...

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah Tuan QAH
    Terima kasih atas perkongsian ilmu ini. Satu article yg padat dgn maklumat.
    Seperti tuan dpt membaca segala kemusykilan yg lama bersarang dlm hati hamba.
    Mmg benar tuan, tersangat sukar utk mencari perawat yg benar di sisi Allah swt. hingga hamba redha atas ketentuanNya.
    Hamba nantikn sambungan article ini...

    Anon 9.49 pm @ KC

    BalasPadam
  4. Salam Anon 1212am...Hamba tak dapat membaca kemusykilan hati tuan hamba, sekadar usaha dakwah yg kecil, mana yg boleh utk para pembaca...Semoga tuan hamba disembuhkan Allah Taala...

    BalasPadam
  5. Salam tuan
    Apa pendapat tuan berkenaan ilmu hikmah?
    Adakah ia termasuk ilmu yg diredhai Allah swt?
    Boleh tuan elaborate kn berkenaan ilmu ini?

    Tq.

    BalasPadam
  6. Salam Anon 1248am..

    Panjang nak cerita bab ilmu hikmah ini. Ada mereka yg di jalan yg benar yg mengamalkan ilmu hikmah ini. Ilmu hikmah hamba kiaskan di sebelah kanan jalan, apabila kita berjalan menuju Allah. Umumnya jika diambil ilmu ini, ia akan 'menjejaskan' perjalanan kita menuju Allah, kerana dikhuatiri kita akan leka dengan manfaat/natijah drpa amalan ilmu hikmah ini. Contohnya kita beramal satu ayat Quran dan merasai/mendapat akan natijahnya, maka kita mungkin leka dgn amalan ini dan mencari lagi amalan2 lain utk mendapat natijah lain spt kebal,pelaris dll.. sedangkan kita dituntut mengenal Allah pada awal agama... Tidak salah kita beramal dgn ilmu hikmah jika kita dibimbing oleh guru mursyid yg murabbi. Masalah umum adalah org ramai mengamalkan hikmah kerana di jalan persilatan. Apabila kita beramal hikmah, kita berkehendak sesuatu natijah. Sedangkan kita dituntut beramal apa saja lillahi taala (rujuk doa Iftitah dlm solat). Dgn berjalan menuju Allah dam sampai/wusul kepada Allah, insya-Allah maka barulah kita dapat beramal sesuatu lillahi taala...Dlm jalan hamba, ilmu hikmah diizinkan setelah wusul dgn Allah... Namun hamba tidak menyatakan jalan hikmah2 lain itu tidak betul, cuma kita sbg org Islam wajib berhati2 dgn macam2 jenis ilmu, supaya tidak terlibat dgn syirik.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semakin beriman semakin diuji.. tu natijah awal.. natijah akhir.. Maha Menghendaki Allah Taala..

      Padam
    2. Semakin beriman semakin diuji.. tu natijah awal.. natijah akhir.. Maha Menghendaki Allah Taala..

      Padam