Rabu, 4 Mei 2011

Aku Seorang Anak Miskin

Assalamu'alaikum,

Masih dengan buku catatan lama....Terjumpa satu sajak lama yang hamba karang ketika di tahun pertama melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan.  Itu cerita lebih 18 tahun dulu...Hamba memang jarang mengarang sajak.  Hamba lihat balik sajak ini, suatu suara hati yang hamba kira masih relevan sehingga hari ini. Walaupun zahirnya hamba sekarang tidak tergolong dalam golongan miskin, hamba kira kita sebagai hamba Allah sememangnya miskin, kerana semua yang ada pada kita bukan milik kita, semuanya milik Allah. Kita dilahirkan dengan tidak punya apa2, diazan, diqamat, dibalut dengan kain,  dimandi, maka apabila kita balik kelak, kita akan melalui proses yang hakikatnya sama. Dan hamba bersyukur ke hadrat Allah kerana membesar sebagai seorang anak yang miskin, yang tidak pernah mengungkit tentang baju baru sehingga menjejak masuk universiti, yang baju raya hamba ketika di universiti pun, abang hamba (yang ketika itu bergelar kerani) yang membelinya, kerana diketahuinya adiknya itu tidak pernah risau dan memikirkan tentang baju baru. Dan ketika itu, menerima baju atau seluar yang orang lain tak mahu pakai pun dah amat bersyukur kerana dapat juga 'pakaian baru'...

Hamba bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dibesarkan dalam suasana kemiskinan, yang kenderaan kami sekeluarga hanyalah sebuah basikal sehingga tahun 1991/1992, yang dengan sebuah basikal itulah kami sama-sama menggunakannya ke sana-sini, kekadang berebut untuk menggunakannya, dengan basikal itu kami mengenali erti kehidupan di kampung, mandi sungai, tangkap ikan, masuk bendang dan sebagainya. Yang dengan sebuah basikal Raleigh milik arwah bapa saudara kami itulah, kami jaga baik2 kerana ia adalah permata paling berharga dalam keluarga kami. Dengan Raleigh itulah, kami ke sekolah, beli ikan dan sayur di pasar, pi ngaji Al-Quran, hantar mak ke sana-sini dan sebagainya.

Hamba bersyukur ke hadrat Allah 'Azza Wajalla kerana kemiskinan itu begitu banyak mempengaruhi pembentukan jati diri, harga diri, integriti diri hamba. Anak sekarang mungkin tidak memahami bagaimana seekor ikan kembung dimakan sebelahnya ramai-ramai untuk makan tengahari dan dimakan sebelah lagi ramai-ramai untuk makan malam kerana mereka boleh makan seekor ikan seorang.  Anak-anak bandar yang agak senang (mungkin anak hamba juga) tidak memahami bagaimana kehidupan di kampung tanpa PSP, Nintendo, computer game, tanpa sebarang alat mainan tetapi kami masih boleh bermain riang dengan kreativiti sendiri mencipta pelbagai alat mainan dan permainan.

Kemiskinan mengajar erti kesyukuran. Walaupun rumah kami antara yang terakhir di kampung 'buat rumah bawah', hamba bersyukur atas ketentuan-Nya.  Hamba teringat lagi, sekitar tahun 1992/1993 rasanya, kami sekeluarga baru dapat membeli (abang dan adik hamba yang membelinya; hamba tak beli sebab masih belajar) sebuah kipas, radio minicassette, dan beberapa peralatan elektrik, kami poskan gambar mak dengan peralatan elektrik ini kepada abang di luar negara (sambung ngaji)....nak bagitau adalah sikit tambah barang di rumah...

Banyak lagi nak dicerita tentang erti dan makna sebuah kesusahan, suatu kemiskinan...insya-Allah di lain kali....Hamba sertakan sajak lama 'Aku Seorang Anak Miskin'....

Aku Seorang Anak Miskin

Manusia,
Kaya, miskin, papa dan sederhana
Tapi aku anak seorang miskin

Yang kaya terus kaya
Yang miskin menjadi papa
Yang papa dianggap hina

Hidup di daerah sepi ini
Yang kaya mengejar harta
Yang miskin ditelan gelombang dunia
Yang papa hampir ke Batu Dua

Yang kaya dengan lagaknya
Baju YSL, kereta Ferrari, harta berhektar
Yang miskin sekangkang kera
Yang papa melata-lata

Aku seorang anak miskin
Cemburukan orang kaya
Kerana...
Hidup mereka hanya untuk mereka
Makanku ala kadar
Bukan untuk sarapan tong sampah
Baju baru???
Tidak pernah kuungkitkan
Kerana aku seorang anak miskin

Namun, 
Aku bersyukur jadi seorang anak miskin
Hidupku tenang dan jiwaku bahagia
Dan...
Aku punya aspirasi keluarga dan bangsa
Bukan aspirasi harta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan