Jumaat, 17 Jun 2011

Makam Tuan Tabal, Kubur Banggol, Kelantan

Assalamu'alaikum,

Ahad, 5 Jun 2011, bersamaan 3 Rejab 1432, kami keluar dari bilik sewa di jalan PCB jam 10 lebih. Sebelum keluar, hamba dah pergi ke kedai berhampiran untuk sarapan pagi dan beli sarapan pagi untuk anak-isteri di bilik sewa. Semasa di kedai itu, hamba dah tanya tentang Kubur Banggol, di mana letaknya. Orang di kedai memberitahu jalan menghala ke arah Kota Bharu, dalam pertengahan jalan, selepas Masjid Sultan Ismail Petra di sebelah kiri. Selepas bersiap, kami pun menuju ke Kubur Banggol. Selepas masjid, ada sebuah jalan masuk ke dalam kampung di belah kiri, iaitu sebelum Restoran Nasi Kandar. Kiranya popular juga Restoran Nasi Kandar ni...Jadinya, perlu melalui sebatang jalan antara Restoran Nasi Kandar dan Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol dan Kubur Banggol terletak di dalamnya.

Masuk ke dalam, hamba berhentikan kereta di bawah sebuah pokok. Bertanya kepada orang di situ tentang Makam Tuan Tabal, tak ada yang tahu. Hamba jalan kaki lagi ke dalam, dalam 200 meter, tanya orang di kedai, juga tak ada orang yang tahu. Terus jalan kaki lagi ke sebuah kedai, tanya makcik di situ, dia pun tak tahu sangat tapi dia kata kawasan perkuburan inilah, ada juga orang luar datang cari Makam Tuan Tabal, belah-belah situ, menunjukkan kawasan perkuburan yang ada tangga...

Kelihatan sebuah kereta sedang berhenti dan seorang pemuda sedang baca surah Yaasin di atas sebuah kubur...ehmmm, hamba tak mahu konsentrasi pemuda tersebut...nampaknya memang tak ramai orang kampung tahu tentang Makam Tuan Tabal ni...Hamba teringat pernah terlihat Makam Tuan Tabal ada bumbung, jadi kena cari kubur yang ada bumbung...Kalau anda biasa dengan kawasan Kubur Banggol ini, kawasan perkuburan ini memamg panjang, rasanya lebih 1 kilometer menghala ke dalam dan ada banyak pagar...Puas juga nak cari mana makamnya...Akhirnya ternampak satu makam di sebelah sana yang berbumbung biru dan kayunya bercat kuning. Yang ni kot...Betullah tu, yg ini saja nampak terjaga, tapi tak boleh masuk melalui jalan sini, kena pusing ke jalan sana.

Alhamdulillah, setelah setengah jam mencari berjumpa juga. Tapi hamba perlu berjalan kaki ke kereta dulu dan parkir kereta berhampiran kawasan makam. Jadi jika anda dari jalan utama, setelah melalui jalan ini, kubur di sebelah kiri jalan, anda akan sampai di satu simpang dan ambil simpang kiri dan berbalik semula ke kawasan kubur. Dalam 1120 pagi, hamba sampai ke Makam Tuan Tabal. Cuaca memang panas tapi kerja kena buat. Alhamdulillah, tak lama kemudian, matahari ditutupi awan, maka redup sikitlah sampai hamba habis kerja dalam jam 12 tengahari. Makam Tuan Tabal terletak dalam 'Perkuburan Tuan Tabal' iaitu perkuburan untuk anak cucu Tuan Tabal. Jadi kawasan ini dipagari sempadannya dan begitu juga dengan perkuburan lain di kawasan ini. Hamba merasakan keluarga di sini telah membeli tanah dan mewakafkan tanah/kawasan perkuburan di situ untuk anak-cucu-cicit mereka. Sebab itulah dalam kawasan perkuburan yang luas ini, anda akan dapat lihat berpuluh pagar, untuk keluarga masing2, firasat hambalah.

Tuan Tabal ataupun nama sebenarnya Hj Abdus Samad Bin Muhammad Saleh merupakan pengamal dan dikatakan penyebar pertama Tariqat Ahmadiyah Idrissiah di Tanah Melayu/Nusantara. Beliau juga telah menghasilkan beberapa manuskrip/karya. Hamba meninggalkan Makam Tuan Tabal dalam jam 1205 tengahari dan menuju ke Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, slot untuk isteri dana anak-anak...

Ini makamnya, kena cari bumbung biru, kayu kuning.

Batu nisannya mungkin dari batu serpihan atau ???

Semua kubur di sini adalah anak-cucu keluarga Tuan Tabal

Memandangkan setiap kubur mempunyai kerangkanya, maka ia menjimatkan kawasan

Pagar di belakang menandakan kawasan perkuburan di belakang adalah milik keluarga lain

Yang depan2 ni, masih baru usia kuburnya

Perkuburan Tuan Tabal - Hj Abdul Samad Bin Muhammad Saleh (1840-1894)...dah dekat 120 tahun usia makam ini

Catatan itu terletak pada binaan ini yang menjadi pintu pagar kepada Perkuburan Tuan Tabal

Perlu melalui lorong ini untuk ke Perkuburan Tuan Tabal



sumber: http://ulama.blogspot.com/2005/03/tuan-tabal.html

TUAN TABAL

PENYEBAR THARIQAT AHMADIYAH PERTAMA DI NUSANTARA

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan. Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN
Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.

Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur. Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa'id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.

AKTIVITI
Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,''... orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal ...'' Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau. Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.

PENULISAN
Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:

1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.

2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.

3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.

4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis ``... al-Awbah ...'' bukan `` ... Auwab ...''. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).

5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.

6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.

7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.

8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.

Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad, Mufti Haji Wan Musa dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya.


sumber:  http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Samad_bin_Muhammad_Saleh

Abdul Samad bin Muhammad Saleh (1840 - 1894) atau lebih dikenali sebagai Tuan Tabal merupakan salah seorang tokoh ulamak di nusantara yang terkemuka.

Abdul Samad bin Muhammad Saleh atau nama penuhnya Haji Abdul Samad bin Muhammad Saleh merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara.

Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Mereka yang bertaraf ulamak biasanya pernah melanjutkan penggajian ke Semenanjung Arab seperti di Mekah, atau Universiti Al-Azhar. Di sana mereka juga terdedah kepada kebudayaan Parsi, Rom dan Turki sebagaimana yang dapat dikesan dalam sastera golongan istana seperti Hikayat Amir Hamzah, dan juga oleh kebudayaan China seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, dan Syair Siti Zubaidah.
Pengetahuan ugama dan politik dunia ini menjadikan mereka seseorang yang berpengaruh sekembalinya mereka ke nusantara ketika itu.

Rujukan

1 ulasan:

  1. Kawasan perkuburan tu lebih terkenal dengan kubur yg didakwa kubur cik siti wan kembang..kubur tuan tabal tak ramai yang tahu.

    BalasPadam