Isnin, 4 Julai 2011

Israk dan Mikraj bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh

Assalamu'alaikum,

Hamba salin dan tampal dari blog yang dinyatakan di bawah. Hamba tidak terlibat dengan politik, tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak bergiat aktif dengan apa-apa kegiatan politik.  Namun begitu, walaupun Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh bergiat dalam PAS, beliau merupakan antara segelintir ulamak PAS yang hamba amat hormati, kagumi dan kasihi.  Anda boleh baca dalam blog di bawah bagaimana ramai orang UMNO sendiri menghormati Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh.  Pasti ada keistimewaan pada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh yang begitu dihormati dan disegani rakan dan lawan, disenangi atas dan bawah.  Darul Syifa yang diasaskannya menerima kehadiran pesakit dari pelbagai lapisan umat Islam tanpa mengira fahaman parti politik. Moga2 Allah Taala memberi kesihatan yang berpanjangan, rezeki yang murah, masa yang lapang dalam menabur bakti di tanah bertuah ini kepada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh.

sumber : http://almukminun.blogspot.com/2011/07/israk-dan-mikraj-bersama-tuan-guru-dato.html



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


Israk dan Mikraj bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh
30 Jun 2011
Tulisan : alfaqirillah ; almukminun


alfaqir tiba di rumah jam 1800pm setelah 4 hari berbengkel bersama agensi-agensi kerajaan seeprti PDRM, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunana Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan JAKIM di Port Dickson membincangkan pendekatan terbaik dalam mengani isu keganasan rumah tangga. Al faqir disapa oleh isteri tercinta yang mengajak ke majlis Isra’ dan Mikraj di Masjid As-Sobirin Bukit Changang Banting di bawah pimpinan Tuan Guru yang dikasihi Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh.

Kiri dan kanan jalan dipenuhi kenderaan menunjukkan betapa besarnya pengaruh Tuan Guru yang dikasihi ummah ini. Beliau setahu saya didalam mana-mana pengajiannya amat cermat tanpa menyentuh keaiban individu. Contoh-contoh dibawa oleh beliau amat tepat dan disenangi. Malah, saya sempat berbual mesra dengan salah seorang jamaah yang hadir, beliau mengaku : “saya ni orang UMNO, saya kalau Tuan Guru Haron Din datang bagi kuliah saya mesti datang, tu sebelah sana yang ramai-ramai [merujuk di kalangan lelaki yang berusia dan anak muda,kira-kira puluhan orang semuannya] tu semua ahli UMNO, ramai lagi yang datang....”. Bukti menunjukkan uslub dakwah daripada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh amat terkesan di kalangan kawan dan lawan. Beliau merupakan tokoh ulama PAS yang amat digeruni kerana keilmuan dan kewarakan yang dimilikinya. Berkata Tuan Guru Dato’ Dr. Harun Din : Tiada seorang Nabi dan Rasul yang menjalani pengalaman ruhani sebagaimana yang dialami oleh Sayyiduna Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Malah, ALLAH Subhanahu Wa Taala menegaskan bahawa perjalanan yang dilalui Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam dalam surah khusus diberi nama al-Isra’:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

"Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Ini merupakan tanda penghormatan buat junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam yang merupakan Nabi dan Rasul agung buat kita umat Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam di akhir zaman. “Subhana” disyarahkan oleh Tuan Guru betapa kesucian ALLAH Subhanahu Wa Taala daripada sebarang sifat atau tempat yang dimiliki oleh makhluk ciptaan NYA.

Lafaz “Subhana” juga dimiliki di dalam ayat akhir surah Yassin :

“Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

Disini, penegasan bahawa “Maha Suci ALLAH” yakni dengan segala kebesaran dan kemampuan mencipta dan melaksanakan sesuatu luar dari upaya pemikiran cetek manusia yang sibuk dengan melogikkan agama dengan upaya nafsu yang terbatas. SUBHANALLAH.

Ia juga menggambarkan betapa ALLAH Subhanahu Wa Taala memberi gambaran jelas betapa kesahihan perjalanan ini bagi menjawab penipuan golongan kufar dan munafik yang cuba mendustakan kebenaran perjalanan Isra’ dan Mikraj Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.

Tuan Guru membuat perumpamaan : apabila ikan didalam sebuah perigi diambil lalu diletakkan ke dalam galas berkaca, kemudian ikan tersebut dibawa berjalan-jalan didalam kereta ke Banting-Sijangkang-Morib-Port Kelang kemudian ia dimasukkan kembali di perigi Bukit Changgang. Maka, ikat itu akan mewar-warkan kepada rakan-rakan ikan yang lain, aku telah merasai pengalaman Isra’ dan Mikraj! Maka, sudah pasti ikan itu akan dikatakan gila oleh rakan-rakan ikan yang lain. Ketika ini kelihatan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menahan sebak. Begitulah yang dialami oleh Sayyiduna Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Tetap tabah berjuang, berdakwah walau dihambur fitnah.

Merentas Alam
Sayyiduna Muhammad Shollalahu Alaihi Wassalam telah dibawa melintasi kepelbagaian alam daripada Makkah al-Mukaramah Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam dibawa menuju ke Baitulmaqdis, inilah alam adabu syahadah yakni alam yang dapat dilihat oleh manusia awam. Tetapi, perjalanan yang dilalui oleh Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam merupakan perjalanan yang merentasi alam batin.

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam ditemani oleh malaikat Jibrail A.S dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam telah dijemput oleh Jibrail A.S untuk berhenti dan menunaikan solat sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah dan Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan);

Ketika ini, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam melintasi wanita tua yang dihiasi dengan perhiasan cantik. Kata Jibrail Alaihi Salam, itulah dunia. Semakin berusia, ia tetap menggambarkan kecantikan nikmatnya kepada manusia. Seru Tuan Guru : apabila diperhatikan dunia, dihiasi dengan kecanggihan teknologi, bangunan semakin tinggi. Manusia bercita-cita mengambarkan bahawa dunia ini tidak pernah akan mati dan berakhir riwayatnya selagi ada manusia-manusia bijak mendiami bumi. Sedangkan, kebenarannya dunia ini telah berusia jutaan tahun dan sunnahtullah, yang muda pasti akan tua dan akhirnya mati “kiamat”.ALLAHU ALLAH. Malang, akhir-akhir usia dunia ini menampakkan bertambahnya kecintaan manusia kepada isi dunia.

ALLAH Subhanahu Wa Taala mengarahkan malaikat Jibrail A.S membawa Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam ke alam arwah. Sebagaimana yang dinyatakan didalam tafsir al-Tobari, al-Qurtubi, al-Manar, ALLAH Subhanahu Wa Taala telah mencipta 18000 alam dan salah satu darinya ialah dunia. Al-Qatadah menyatakan pula, kewujudan alam ini berjumlah 80000, beliau mensyarahkan didunia sahaja memiliki alam haiwan, alam manusia, alam serangga, alam tumbuh-tumbuhan, alam laut dan lain-lain.

Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam telah bertemu dengan kesemua anbiya yang telah wafat kecuali Nabi Isa A.S. Perjalanan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam melalui alam yang dihuni para malaikat [alam malakut] dijelaskan dengan jelas dalam surah al-Ma’arij 3-4 :

Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik.

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan maksud ayat ini, para malaikat naik dan turun berulang alik dari alam malakut ke alam dunia dalam masa yang sangat singkat.

Keindahan Para Malaikat
Ketika Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam didekati oleh Jibrail A.S semasa peristiwa wahyu pertama al-Quran al-Kareem pada 17 Ramadhan, Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam melihat cahaya yang menerangi bumi Makkah, cahaya yang tidak pernah disaksikan olehnya. Malaikat Jibrail A.S mendekati Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam dengan rupa tubuh manusia. Mengikut kitab al- Anwaarul Bahiyyah Min Israa’ Wa Mikraj Khoiril Bariyyah.

Tuan Guru dengan penuh hikmah menyentuh isu arasy, dimana kalangan ahlu bid’ah menyatakan keberadaan ALLAH Subhanahu Wa Taala duduk dilangit. Jibrail berkata kepada Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bahawa jika ALLAH izinkan untuk melihat malaikat Israfil yang memiliki 6 ribu sayap dikiri dan kanan. Jika dibuka sahaja 2 sayap, ia akan menutupi bumi, bayangkan jika ia buka kesemua sekali sayap, mana mungkin malaikat Israfil berada di dunia ini. Arasy memang wujud, tetapi Tuan Guru menggambarkan alam ini amat luas, teramat luas sehingga tidak terjangkau dalam akal fikir manusia.

Tuan Guru menyatakan mengenai rekaan terbaru “Mount Baroma” sebuah teleskop galaksi terbaru yang memiliki jarak penglihatan sejauh 36 angka kosong. Tuan Guru menyulam pengkisahan beliau dengan surah az-Zariyat [47] : 

Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya. “

Kerusi ALLAH & Sidratul Muntaha

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menegaskan bahawa makhluk paling berani di bumi ini ialah manusia. Malaikat sangat patuh kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala sehingga apabila mendengar sahaja nama ALLAH, mereka akan ketakutan. Tetapi tidak kepada manusia, walaupun berbuat dosa dan dikhabarkan bahawa neraka adalah tempat untuk pelaku dosa mereka tidak merasa apa-apa. [kitab al-Aini syarah kepada Sahih Bukhari]

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” [Surah al-Hajj : 35]
Jibrail A.S terus membawa Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam ke Sidratul Muntaha. Sidrah ialah pokok bidara dan muntaha [daun]. Sehelai daun tersebut mampu memayungi seluruh umat Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.

Sidratul Muntaha ini juga hanya diistimewakan kepada junjungan mulia umat akhir zaman, Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam kerana tiada Nabi atau Rasul selain Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam diizinkan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala untuk tiba di Sidratul Muntaha.

Bertepatan dengan kemuliaan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam yang digelar sebagai cahaya atas segala cahaya. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh menjelaskan mengapa beliau membaca surah al-Hasyar ayat 21-24 ketika mengimamkan solat fardhu Maghrib sebentar tadi. Ketika ini, alfaqir melihat Tuan Guru terdiam seketika dengan ucapan yang teresekat-sekat sebak ternyata kerinduan beliau kepada Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam tidak dapat dibendung dihadapan para hadirin.

Sambung Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh, Jibrail A.S mempersilakan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam untuk melewati Sidratul Muntaha, namun kesantunan akhlak Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam menjemput Jibrail A.S untuk mendahului Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam. Jibrail A.S menolak dan menyatakan dengan satu langkahnya ke Sidratul Muntaha pasti akan menghancurkan seluruh jasadnya kerana makam yang dimiliki oleh Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam melayakkannya untuk melintasi Sidratul Muntaha.

Seruan ALLAH Subhanahu Wa Taala
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan ALLAH Subhanahu Wa Taala lantas bersujud. Kemudian berlakulah dialog antara ALLAH Subhanahu Wa Taala dan Muhammad, Rasul-Nya:

ALLAH Subhanahu Wa Taala : Ya Muhammad.
Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam : Labbaika. 

ALLAH Subhanahu Wa Taala : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 

Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam : Ya, Rabb. Ibrahim dikenali sebagai Khalilullah dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa dan dia digelar kalimullah. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan dan dia dikenali sebagai Ruhullah.

Maka, ketika ketiaadaanku gelarlah aku sebagai Muhammad Yatiman wal Faqiran [Muhammad anak yatim dan faqir miskin]. Ketika membahaskan kalam ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh kelihatan kembali sebak. Bagaimana tawadhunya seorang pensuruh ALLAH yang telah begitu rapat kepada Penciptanya. Maka ALLAH Subhanahu Wa Taala menjawab ; “engkaulah kekasih KU [Anta Habibi]”. Itulah kemuliaan pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj yang wajib hidup pada dada nurani umat Islam sehingga akhir hayat mereka.

Itulah kemuncak maqam Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam yang terlalu dekat, telalu hampir dengan ALLAH Subhanahu Wa Taala sehingga Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menerima wahyu secara langsung daripada ALLAH Subhanahu Wa Taala.

ALLAH Subhanahu Wa Taala : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan bersihkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada dirimu dan umatmu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak Aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.


Solat
Tuan Guru menyambung : “Sesungguhnya solat difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang tertentu, dan sabda junjungan Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam :
فرض على أمتي ليلة الإسراء خمسين صلاة فلم ازل اراجعه واسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة
Yang bermaksud : Telah memfardhukan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala ke atas umatku pada malam Israk Miikraj solat 50 waktu , oleh itu aku berulang-ulang mengadap ALLAH Subhanahu Wa Taala dan meminta kurangkan solat sehingga dikurangkan kepada 5 waktu sehari semalam.

...Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang”
[Surah Al-Muddatstsir: 42-43]

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron din Hafizhulloh menegaskan :


..Sesungguhnya perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka sesungguhnya dia kafir.
[Hadits riwayat an-Nasa’ie dan at- Tarmidzi]


[Manusia bersifat serba lemah]. Manusia yang beriman kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala amat sedikit, manakala yang bersyukur kepada ALLAH amat kecil bilangannya.

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.” [Surah al-Hajj : 38]

Kesimpulan

ALLAH Subhanahu Wa Taala melalui peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan kepada manusia bahawa seluruh makhluknya tunduk dan patuh kepadaNYA. Wa katsirun minnanass (ramai manusia yang patuh kepadaKU), namun ramai juga yang menderhaka kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala.

Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain”. (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’ al Zawaid (1/291)).

Jelas Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Hafizhulloh : Israk dan Mikraj merupakan sebentuk ujian keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan ALLAH Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.


WALLAHU’alam

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir illa ALLAH Al-Ghaniy:
Al-Mukminun
1 Syaaban 1432H / 03072011
BBST, Sepang, Selangor, Malaysia.

Rujukan :
Kitab Al Anwaarul Bahiyyah dan Dzikrayaat wa Munaasabaat
Kitab Al Anwaarul Bahiyyah Min Israa’ Wa Mi’raaj Khoiril Bariyyah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan