Isnin, 1 Ogos 2011

Keistimewaan Bulan Ramadhan Dan Beramal Di Dalamnya

sumber : http://disertasi.blogspot.com/2007/09/keistimewaan-bulan-ramadhan-dan-beramal.html

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN DAN BERAMAL DI DALAMNYA

Sesungguhnya bulan Ramadhan juga disebut sebagai bulan ibadat bagi umat Islam. Ini diperkuatkan dengan terdapat banyak hadis yang menyebut tentang keutamaan dan keistimewaan beramal di bulan Ramadhan ini. Antaranya ialah:

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Ketika datang bulan Ramadhan: sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka diharamkan kebaikannya bagi siapa yang tidak beramal baik di dalamnya, sesungguhnya tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini”.  (Hadis riwayat Ahmad, Nasai dan Baihaqi)

Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadhan sampai puasa Ramadhan berikutnya, adalah menutup dosa-dosa (kecil) yang diperbuat di antara keduanya, bila dosa-dosa besar dijauhi”. (Hadis riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Amru, bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Puasa dan Al-Quran itu memintakan syafaat bagi seseorang hamba di hari kiamat. Puasa berkata: Wahai Tuhanku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Dan berkata pula al-Quran: Wahai Rabbku aku telah mencegah dia tidur di malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Maka keduanya diberi hak untuk memintakan syafaat”.   (Hadis riwayat Ahmad)

Dari Sahal bin Sa’ad, sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Bahawa sesungguhnya bagi Jannah itu ada sebuah pintu yang disebut “Rayyaan”. Pada hari kiamat dikatakan: Di mana orang yang berpuasa? (untuk masuk jannah melalui pintu itu), jika yang terakhir antara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu itu”.   (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa puasa Ramadhan kerana beriman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu dan yang sekarang”.  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka”.  (Hadis Riwayat Ahmad)
Sebagai kesimpulan daripada kesemua hadis di atas, dapatlah dikatakan bahawa ia memberi pengajaran kepada kita tentang keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan serta keistimewaan beramal di dalamnya bagi mereka yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Di antaranya ialah:

Keistimewaan Bulan Ramadhan

>Bulan yang penuh Barakah

>Pada bulan ini pintu Jannah di buka dan pintu Neraka ditutup

>Pada bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu

>Dalam bulan ini ada suatu malam yang keberkatan beramal di dalamnya adalah lebih baik dari beramal selama seribu bulan, iaitu Malam Al-Qadar.

>Pada bulan ini juga setiap hari akan ada malaikat yang menyeru dan menasihati umat Islam supaya berbuat baik dan menjauhi perkara maksiat

Keistimewaan beramal di bulan Ramadhan

>Amal itu dapat menutup dosa-dosa kecil antara Ramadhan ini sehingga bertemu Ramadhan berikutnya

>Menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan memintakan syafaat daripada amalan membaca al-Quran dan puasa itu sendiri dan perisai siksaan neraka

>Bagi orang yang berpuasa disediakan pintu khusus baginya untuk memasuki Jannah iaitu yang dinamakan “Rayyaan”
Ihsan Mimbar Ulama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan