Isnin, 1 Ogos 2011

Persoalan dan Garis Panduan Berkaitan Ibadah Di Bulan Ramadhan


Datuk Wira Hj. Rashid Redza bin Hj. Md. Saleh
Mufti Negeri Melaka

Muqaddimah
Islam merupakan ad-din yang syumul dan serasi dengan fitrah kejadian manusia. Kesyumulan dan keserasian ini dapat dilihat pada peraturan dan garis panduan yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah yang meliputi selutuh aspek kehidupan manusia sama ada tuntutan rohani, jasmani mahupun akli. Dalam melengkapi peredaran bulan mengelilingi bumi sebanyak 12 kali dalam tempoh satu tahun, Ramadhan telah ditentukan oleh Allah Ta’ala sebagai bulan suci untuk melatih hambaNya membersihkan jiwa dan mencapai ketakwaan melalui ibadah puasa. Oleh kerana tetamu yang mulia ini mengunjungi kita setahun sekali maka sudah pasti ada perkara-perkara yang kita terlupa mengenainya dan perlu mengulangkaji dan memperbaharui ingatan tersebut serta berusaha mendapatkan pedoman yang sewajarnya melalui majlis-majlis ilmu seumpama ini supaya dengan itu kita dapat menjalani ibadah tersebut dengan lebih sempurna berbanding tahun-tahun yang lalu, insyaAllah. Justeru itu kertas ini akan membincangkan tentang beberapa kemusykilan berkaitan ibadah yang sering timbul di kalangan umat Islam setiap kali menjelang Ramadhan dan Syawal. Pembentangan akan terus menjurus kepada isu yang dipilih. Mudah-mudahan pembentangan ini akan dapat memberi sedikit pedoman yang sewajarnya untuk dikongsi bersama.
1

Kemusykilan Sekitar Ibadah Puasa
1) Tidak sah puasa apabila sesorang lupa berniat puasa di malam hari hingga terbit fajar kerana ia adalah syarat sah puasa. Namun begitu dia masih diwajibkan imsak di siang hari dan wajib qadha.

2) Menurut Mazhab Syafie, niat puasa Ramadhan perlu dilakukan tiap-tiap hari sebagai syarat sah puasa. Namun begitu untuk lebih berhati-hati dan jika khuatir terlupa, maka digalakkan berniat puasa Ramadhan pada malam pertama Ramadhan dengan berniat puasa seluruh Ramadhan dengan mengikut pendapat Imam Malik.

3) Sah puasa jika makan dan minum (bersahur) selepas waktu imsak sehingga pasti terbit fajar (masuk waktu subuh) kerana permulaan puasa ialah bermula dengan terbit fajar sadiq. Namun begitu berhenti makan dan minum sebelum waktu imsak adalah afdhal kerana mengikut sunnah dan sebagai langkah berhati-hati dan bersedia mempersiapkan diri untuk memulakan ibadah puasa. Yang dimaksud dengan waktu Imsak adalah waktu untuk menahan diri dari melakukan perkara-pekara yang membatalkan puasa, maka sebaiknya kita berhenti makan ketika waktu Imsak telah masuk. Rasulullah SAW dalam satu riwayat yang sahih menyebutkan, baginda setelah sahur sempat membaca 50 ayat Quran kemudian baru masuk waktu azan Subuh. Ini membuktikan bahawa tidak makan sahur hingga sampai saat azan subuh berkumandang. Wallahu A'lam.
2

4) Sah puasa seseorang yang bersahur meluahkan makanan yang ada dalam mulutnya ketika terbit fajar (azan Subuh). Batal jika ditelan dengan sengaja.

5) Sah puasa seseorang yang berada dalam keadaan berhadath besar dan belum mandi ketika masuk waktu subuh. Makruh jika melewatkan mandi hadath besar hingga selepas terbit fajar.

6) Batal puasa jika menelan dengan sengaja sesuatu walau sebesar biji sawi atau sisa makanan di gigi.

7) Orang yang berpuasa tetapi melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat dengan sengaja seperti meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat, mengumpat, berbohong, menonton acara hiburan yang melalaikan, melihat, membaca atau berbicara tentang perkara yang menimbulkan syahwat secara langsung atau tidak seperti melalui telefon, sms, internet, televisyen dan sebagainya adalah sah tetapi dikhuatiri tidak diterima oleh Allah kerana mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa. Puasa yang berfaedah dan diterima adalah puasa yang dapat mendidik jiwa dan mampu menggerakkan diri untuk mengerjakan kebaikan serta dapat membuahkan ketakwaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)
3

8) Isu waktu berbuka puasa :
Hukum syara’ menetapkan bahawa waktu berbuka puasa adalah apabila terbenamnya keseluruhan bulatan matahari di ufuk barat (masuk waktu maghrib) tidak kira di mana seseorang itu berada. Penentuan terbenamnya matahari boleh diketahui melalui pandangan mata kasar atau kaedah perkiraan falak berdasarkan ukuran jam yang membentuk Kalender Waktu Berbuka Puasa/Imsak yang dipaparkan di akhbar, televisyen, laman web atau alat telekomunikasi. Pengumuman waktu berbuka lazimnya diketahui melalui laungan azan sama ada di masjid/surau atau di corong radio dan televisyen. Sumber maklumat yang pelbagai ini kadangkala menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai apabila berlaku perbezaan pengumuman waktu berbuka puasa. Orang yang berbuka puasa berdasarkan khabar yang diterimanya dari orang yang tidak adil bahwa waktu maghrib sudah masuk, tetapi sebetulnya waktu maghrib belum masuk, sedangkan ia mampu meneliti kebenaran khabar tersebut maka puasanya batal dan wajib ke atasnya qadha’.

Bagi mengelak daripada berlaku perkara ini dan mengatasi kekeliruan maka panduan berikut harus diikuti:

a) Jawatankuasa masjid hendaklah memastikan jam yang digunapakai sebagai rujukan di masjid/surau hendaklah tepat perkiraannya dengan membuat semakan dari masa ke semasa kepada pihak berkaitan. Sebaik-baiknya ada lebih dari sebuah jam dalam masjid/surau supaya boleh buat semakan dan mengesan perbezaan jika ada.
4

b) Muazzin yang bertugas hendaklah melaungkan azan tepat pada waktunya atau lewat sedikit dan jangan terawal.

c) Penduduk setempat hendaklah menyedari bahawa waktu berbuka puasa rasmi adalah berpandukan Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Melaka. Penetapan waktu tersebut adalah berdasarkan perkiraan falak yang diperakukan dengan merujuk kepada titik rujukan paling barat iaitu Kg. Nelayan, Kuala Sungai Baru.

d) Pengumuman waktu berbuka puasa di radio Melaka.fm juga boleh dijadikan panduan kerana berpandukan jadual rasmi yang dibekalkan.

e) Bagi penduduk yang boleh melihat sendiri seluruh bulatan matahari terbenam di ufuk terutama yang tinggal di sebelah pantai barat, bolehlah menjadi ia sebagai panduan menentukan masuknya waktu berbuka puasa/maghrib.

9) Seseorang itu bolehlah memulai puasanya apabila dia telah melihat hilal atau anak bulan Ramadhan tidak kira di negara mana ia berada ketika itu. Kemudian seseorang itu boleh berbuka atau berhari raya ketika melihat hilal atau anak bulan Syawal walau di mana dia berada. Dalam sebuah hadis ada di jelaskan maksudnya: "Berpuasalah kamu kerana telah melihatnya (hilal Ramadhan) dan berbukalah kamu kerana telah melihatnya (hilal Syawal)". (Riwayat Bukhari dan Muslim).
5

Jika awal puasa di Makkah bermula sehari lebih awal dari negara kita, maka seseorang yang berada di Makkah pada ketika itu wajib berpuasa kerana telah melihat anak bulan Ramadhan. Setelah beliau kembali ke tanah air maka ikutlah kaedah di sini iaitu jika diisytiharkan anak bulan Syawal telah kelihatan berdasarkan rukyah atau hisab maka berbukalah (menyambut hari raya). Tidak perlu dikira jumlah bilangan hari dia berpuasa sama ada kurang atau lebih dari 29 atau 30 hari lantaran proses pertukaran tempat, tetapi sebaliknya bersyukurlah atas rahmat yang Allah berikan itu. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sekiranya ummatku mengetahui apa yang ada pada Ramadhan itu, sudah pasti mereka akan sentiasa mengharapkan agar semua bulan yang lain menjadi Ramadhan" (Maksud Hadis)
10) Tidak boleh berbuka dan berhari raya bagi orang yang memulakan puasa Ramadhan di Mekah lebih awal satu hari dari Malaysia, di mana apabila beliau balik, puasanya sudah cukup 30 hari dan penduduk di Malaysia masih berpuasa lagi. Dalam hal ini, dia hendaklah tunggu bersama berbuka dan berhari raya dengan penduduk Malaysia. Demikian juga jika seseorang pergi ke negara di mana telah lebih awal berpuasa Ramadhan berbanding Malaysia dan mereka berhari raya sedangkan beliau bepuasa baru 28 hari, maka wajib atasnya berbuka puasa dan berhari raya mengikut negara berkenaan. Bagi mereka yang tidak cukup puasanya sebanyak 29 hari maka wajib mengqadha'kannya kemudian.
6

11) Tidak harus memulai puasa Ramadhan atau mengakhirinya dengan mengikuti penduduk Mekah kerana kita tidak berada dalam satu matla’. Begitu juga tidak harus mengikuti negara yang berdekatan kecuali berada dalam satu matla’ dan mengikut keputusan pemerintah.

Berubat Ketika Puasa
1) Orang yang lelah (asma) ketika puasa dan terpaksa menyedut ubat gas ventolin inhaler ke dalam mulutnya sekadar perlu untuk mengelakkan kemudharatan yang boleh mengancam nyawa maka dibolehkan sebagai keringanan baginya dan tidak batal puasanya. Penggunaan dalam keadaan biasa bolek membatalkan puasa kerana cecair gas itu boleh terasa di kerongkongan.

2) Tiadak batal puasa orang yang menderma darah ketika berpuasa tetapi makruh, begitu juga berbekam.

3) Tidak batal puasa orang yang terpaksa mendapatkan suntikan daripada doctor bagi tujuan perubatan kerana darurah.

4) Batal puasa orang yang menjalani pemindahan darah atau memasukkan cecair gelukosa dan sebagainya ke dalam badan melalui suntikan pada urat kerana ‘ain benda itu akan masuk ke rongga perut dan mengalir ke seluruh tubuh badan serta menyebabkan rasa kenyang.

5) Tidak batal puasa orang yang memakai contact lens (kanta lekap) pada matanya.
7

6) Tidak batal puasa orang yang menitiskan cecair ubat mata pada mata ketika puasa kecuali jika diyakini cecair yang dititiskan itu terasa masuk sampai ke kerongkong dan ditelan, maka batal puasa. Tetapi jika diludahkan maka tidak membatalkan puasa.

Solat Tarawih
1) Mengerjakan solat tarawih secara berjemaah adalah afdhal daripada mengerjakannya bersendirian.

2) Bilangan rakaat solat tarawih beserta witir boleh dilakukan samada 11, 13 atau 23 rakaat kerana masing-masing ada hujjah tersendiri yang menyokong. Bahkan sebahagian kaum muslimin ada yan mengejakan lebih daripada itu menurut yang disanggupi kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menetapkan bilangan yang tertentu. Setiap kali seseorang itu membanyakkan bilangan rakaatnya kerana melaksanakan anjuran menghidupkan malam Ramadhan maka semakin banyak pula pahalanya. Namun begitu, menurut amalan kelaziman di negeri ini bagi memelihara keseragaman dan persefahaman serta mengimarahkan majid dan surau dengan qiyam Ramadhan, maka dianjurkan supaya melaksanakan 23 rakaat secara bejemaah. Hal ini tidak perlu dipanjangkan perbahasannya. Apa yang lebih penting solat tarawih dan witir dapat dilaksanakan dengan penuh ketenangan dan khusyu’ mudah-mudahan diterima oleh Allah Ta’ala dan mndapat ganjaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alahi wasallam yang bermaksud :
8

“Barangsiapa yang berdiri solat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka ia akan diampuni dari dosa-dosa yang lalu”. (Maksud Hadis Riwayat Muslim)

3) Imam dan bilal yang memimpin solat tarawih hendaklah memastikan supaya bersederhana dalam solat dan ucapan salawat antara dua rakaat. Tidak terlalu lambat atau cepat. Dilakukan dengan khusyu’ dan tawadhu’ mudah-mudahan menjadi solat yang berkesan kepada jiwa setiap makmum bagi membentuk peribadi mulia.

4) Hadith yang menceritakan tentang kelebihan mengerjakan solat tarawih pada setiap malam yang kadang kala dibacakan sebelum memulakan solat tersebut atau disebarkan dengan tujuan untuk menggalakkan orang ramai beramal adalah hadith mawdhu’ (palsu). Oleh itu ia tidak boleh dihebahkan kerana merupakan suatu pendustaan terhadap Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Lailatul Qadar / Malam 7 likur
1) Lailatul qadar dapat disaksikan oleh orang yang ikehendaki oleh Allah pada tiap-tiap tahun di dalam bulan Ramadhan.

2) Digalakkan bagi orang yang mengalami lailatul qadar menyembunyikan dan hendaklah berdoa dengan penuh keikhlasan, baik yang behubungan dengan dunia ataupun akhirat.
9

3) Tidak ada kepastian yang yang jelas mengenai masa berlakunya lailatul qadar. Namun begitu Jumhur Ulama’ berpendapat ia berlaku pada malam yang ganjil daripada 10 akhir Ramadhan berdasarkan kepada petunjuk beberapa hadith sahih anataranya yang diriwayatkan oleh Bukhari dari ‘Aisyah bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam besabda yang bemaksud :

“Carilah dengan segala daya upaya malam lailatul qadar di malam-malam ganjil dari sepuluhan yang akhir dari bulan Ramadhan”.

4) Para Ulama’ berselisih pendapat tentang sama ada tanda-tanda lailatul qadar dapat dilihat oleh mereka yang memperolehinya atau tidak. Namun begitu kebanyakan Ulama’ berpendapat bahawa pahala ibadat diperolehi oleh orang yang beribadat pada malam itu seperti bertarawih, bertadarus, membaca al-Qur’an dan sebagainya meskipun tidak dapat melihat tanda-tandanya.

5) Amalan menyambut malam 7 likur dengan memasang pelita di halaman rumah kerana percaya bahawa roh-roh orang yang meninggal dunia akan kembali bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh syariat dan tiak berasas. Bagaimanapun ia hanyalah adat setempat yang diharuskan selagimana tidak bertujuan sedemikian, dilakukan secara sederhana dan tidak membawa kepada pembaziran. Yang dituntut melaksanakannya pada 10 terakhir Ramadhan adalah menghidupkan malamnya dengan memperbanyakkan ibadat seperti solat sunat, membaca al-Qur’an, beriktikaf dan sebagainya.
10

Tadarus Al-Qur’an
1) Merupakan suatu sunnah yang digalakkan kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mudarasah al-Qur’an bersama Jibril a.s setiap tahun sekali dan melaksanakan yang demikian pada tahun kewafatan baginda sebanyak 2 kali.

2) Tadarus atau mudarasah al-Qur’an ini boleh dilakukan dengan sesama sendiri baik sebagai pengajar atau pelajar dan diwujudkan halaqah. Bagaimanapun amalan ini hendaklah dilakukan dengan menjaga adab-adabnya sperti membaca dengan tenang, hadir hati, menyedari kebesaran kalamullah, tadabbur, tartil dan sebagainya.

Zakat Fitrah
1) Kadar zakat fitrah di negeri Melaka ialah RM 4.50 seorang bagi tahun 1426H.

2) Boleh dibayar bermula masuknya 1 Ramadhan dan berakhir apabila terbenam matahari 1 Syawal. Waktu diwajibkan ialah apabila terbenam matahari masuk 1 Syawal dan waktu yang afdhal ialah pada pagi 1 Syawal (sebelum solat ‘idul fitri). Bagaimanpun, untuk mengelakkan daripada terlupa dan supaya fakir miskin dapat habuan mereka sebelum hari raya maka digalakkan agar apat disempurnakan awal.
11

3) Kewajipan zakat fitrah tidak gugur jika gagal dikeluarkan pada waktunya, sebaliknya ia tetap menjadi hutang yang wajib dibayar walaupun diakhir umur. Haram melambatkan zakat fitrah dengan sengaja hingga berkahir waktunya.

4) Wajib bayar fitrah kepada ‘amil sekiranya pihak pemerintah telah melantik ‘amil.

Tatacara menyambut ‘Idul Fitri
1) Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah.

2) Pada pagi hari raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

3) Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

4) Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat hari raya.
12

5) Menunaikan sembahyang sunat hari raya secara berjemaah dan mendengar khutbah raya.

6) Sunat doa mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain.

7) ‘Idul fitri adalah suatu ibadat oleh itu jangan dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkannya seperti berfoya-foya, berpeleseran tanpa tujuan, menonton wayang, berpasang-pasangan dengan yang bukan muhrim, bergaul bebas lelaki dan wanita bukan muhrim dan sebagainya.

Amalan Ziarah Kubur
1) Amalan berziarah boleh mengingatkan seseorang kepada asal usul kejadian dan menyedarkan bahawa setiap yang hidup pasti akan mati bila tiba masanya. Ini boleh menimbulkan sifat zuhud iaitu tidak rakus dan tamak akan harta dunia kerana harta benda itu tidak dapat dibawa mati.

2) Sunatkan berwuduk terlebih dahulu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, bagi lelaki ataupun perempuan.

3) Sunatkan memberi salam kepada ahli kubur. Perbuatan memberi salam itu afdalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.
13

4) Sunat membaca Al-Quran seperti Surah Al-Ikhlas sebanyak sebelas kali atau membaca Surah Yaasiin dan pahala bacaan itu dihadiahkan kepada ahli kubur.

5) Sunat berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon ke hadrat Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, keafiatan dan sebagainya. Setelah itu barulah merenjiskan air ke kubur berkenaan.

6) Sunat meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur iaitu sebagai ikutan daripada perbuatan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.

7) Haram untuk meratap ataupun memekik serta memukul pipi disebabkan oleh perasaan yang amat berdukacita di atas pemergian orang yang disayangi. Kita juga dilarang untuk bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah.

8) Makruh hukumnya jika kita duduk di atas kubur yakni bertepatan dengan kedudukan mayat di dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk di sekitar atau di sekeliling kubur tersebut.

9) Haram melakukan perkara-perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan yang seumpamanya.
14

10) Diharuskan membawa dan menabur bunga secara sederhana dan tidak membazir. Harus menjirus kubur dengan air bunga-bungaan jika dia berupaya dan bermaksud supaya para malaikat hadir kerana malaikat sangat suka kepada bau-bauan yang harum lagi bagus.

11) Haram menyerupai orang yahudi dan nasrani yang membawa kalungan atau jambangan bunga dan meletakkannya di sisi pusara meraka.

PENUTUP
Ramadhan ibarat sebuah madrasah atau sekolah yang ditentukan oleh Allah untuk mentarbiyah, melatih dan mendidik umat Islam agar dapat melahirkan insan bertakwa yang patuh tunduk kepada suruhan dan laranganNya. Bulan yang disediakan di dalamnya pelbagai bekalan untuk diambil sebanyak mungkin oleh para hambaNya yang beriman buat bekalan perjalanan di masa hadapan. Bulan unutk menyucikan diri dari kekotoran dosa dan memperbaharui diri dengan keimanan yang lebih kental guna menghadapi pelbagai ujian yang mendatang dalam bulan-bulan seterusnya. Beruntunglah jika kita dapat menggunakan kesempatan yang bakal tiba dengan sebaik-baiknya dan rugilah mereka yang mengabaikannya. Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak.
September 2005
15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan