Selasa, 6 September 2011

Saudara Muslim tingkat kefahaman Ramadan



Saudara Muslim tingkat kefahaman Ramadan




NUR Farhana Kannagi Abdullah, antara peserta tilawah al-Quran kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan membaca al-Quran Braille.


BULAN Ramadan merupakan peluang keemasan bagi umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah sama ada dengan berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai.

Lantas, baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Ambang Ramadan 1432H dan Majlis Anugerah Pelajar Perkim Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Program itu mendapat tajaan buku-buku ilmiah dari PTS Professional Publishing Sdn. Bhd dan Sarjana Media Sdn. Bhd.

Program itu dihadiri 300 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Siam, Iban, Kadazan, Sikh, Kemboja, Indonesia dan Filipina dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Datuk Dr. Abdul Hamid Othman.

Penyelaras Program, Amran Abdullah berkata, program itu menghimpunkan dan meraikan pelajar kelas pengajian harian Perkim untuk memberi pendedahan akan kemuliaan, fadilat serta tuntutan Ramadan.

Katanya lagi, bulan yang penuh kelimpahan kebaikan dan keutamaan akan dirasakan serta diraih apabila ilmu tentang Ramadan difahami dengan baik.

"Ia secara tidak langsung meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta tentang Islam khususnya berkaitan ibadah puasa melalui ceramah, diskusi dan forum yang diadakan serta memberi penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi dalam pengajian.

"Kelas pengajian harian anjuran Perkim bermula dari Isnin hingga Ahad itu menyediakan subjek sirah, akidah, fiqh asas, praktikal solat, akhlak, tafsir, syariah, al-Quran, fardu ain, hadis, muqaddam, tafsir, tajwid, bimbingan solat, ibadah dan kefahaman Islam dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan Arab," ujar Amran.

Sementara itu, Abdul Hamid menegaskan kepada peserta agar tingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan konsep 'Allah melihat saya' supaya mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang seperti perbuatan mencuri, melakukan maksiat, berjudi, rasuah dan sebagainya.

Dengan berpegang konsep itu, mereka sentiasa diperhatikan dan tidak akan membuat kejahatan serta akan terus meningkatkan ketakwaan dalam amal ibadahnya.

Jelasnya lagi, Ramadan melatih diri selama sebulan dengan mendisiplinkan diri memelihara kebersihan serta mengubah cara hidup menjadi lebih sihat dan teratur.

Hal ini ditegaskan menerusi hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan keikhlasan maka diampunilah dosanya yang telah lalu.

Pada majlis itu, Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengarah Jabatan al-Quran dan Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd. Farid Ravi Abdullah menyampaikan ceramah yang bertajuk Kaifiat puasa Ramadan'.

Kata Mohd. Farid, kaedah penyelarasan bagi melihat anak bulan puasa adalah melalui rukyah iaitu dengan menggunakan teleskop dan hisab iaitu dengan perkiraan astronomi kerana di Malaysia jarang dapat melihat anak bulan dengan tepat melalui rukyah seolah anak bulan belum wujud.

Pengisytiharan mengenai tarikh berpuasa atau hari raya diumumkan selepas maghrib pada penghujung hari akhir bulan Syaaban atau Ramadan.

Pada tahun 1995, syarat kenampakan anak bulan ini dijadikan sebagai asas untuk mengira tarikh awal bulan hijri dalam takwim Islam yang digunakan di Malaysia.

Mohd. Farid menekankan kepada peserta mengenai pengertian, rukun, syarat sah, syarat wajib, niat, berbuka, perkara yang membatalkan, perkara makruh, pahala dan adab ketika berpuasa.

Bagi orang yang beriman, bulan Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu dan dirindui kerana mengharapkan rahmat serta keampunan daripada Allah, manakala bagi yang tidak beriman, kehadiran Ramadan seolah-olah bulan yang menyeksakan seperti 30 hari dirasakan 30 tahun kerana mereka tidak bebas untuk makan dan minum di khalayak ramai.

Turut dijelaskan ialah mengenai fidyah iaitu bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat menggantikan puasanya di Ramadan pada sesuatu tahun sehingga tibanya Ramadan tahun berikutnya disebabkan uzur syarie iaitu haid, nifas, wiladah, sakit yang mudarat, musafir, ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang takut akan kesihatan anaknya atau takut akan kesihatan diri dan janinnya.

Selain diadakan sesi soal jawab bersama peserta turut diadakan pertandingan tilawah al-Quran, azan dan kuiz fardu ain.

Malah majlis diserikan lagi dengan forum Saudara Muslim Perkim 2011 bertajuk Memperkasakan Saudara Muslim Ke Arah Insan Bertakwa yang dipengerusikan oleh Muhammad Brunson Army serta panel jemputan iaitu Pengarah Akademi Tahfiz al-Quran Wal Hadith (Ataqwa) Kota Belud Sabah, Mohd. Farhan Abdullah Al-Hafiz dan pensyarah Jabatan Syariah Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Muhammad Ismail Abdullah.

Mohd. Farhan berkongsi kisah pengislamannya dan cabaran yang diharungi serta berpesan agar saudara baru Muslim sentiasa berkeyakinan, istiqamah, mempunyai kekentalan iman, reda dan takwa serta ikhlas kerana Allah tanpa mengira habuan dunia semata-mata.

Sementara itu, Muhammad Ismail pula menjelaskan halangan utama yang membuatkan orang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam apabila segelintir umat Islam tidak menunjukkan imej dan contoh teladan yang baik.

Tambahnya, untuk memahami Islam dengan lebih dekat, janganlah hanya melihat individu Islam tetapi menyelaminya dengan pegangan yang bersumberkan al-Quran dan sunnah.

"Bertakwalah kepada Allah dengan penuh keimanan dan bersungguh-sungguh untuk mendapat keredaan-Nya seperti yang digariskan oleh Saidina Ali bin Abi Talib iaitu takut kepada Allah Yang Maha Agung, melaksanakan apa yang diwahyukan di dalam al-Quran, reda dengan pemberian Allah walaupun sedikit dan bersedia untuk menghadapi kematian," jelas Muhammad Ismail.

Program itu ditutup oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (Jakim), Razali Shahabudin.

Razali dalam ucapannya berkata, usaha dakwah yang dilakukan oleh Perkim memberi kesan positif dalam melahirkan saudara Muslim yang berilmu melalui kelas pengajian harian, aktiviti dan program yang dianjurkan.

"Majlis Anugerah Pelajar Perkim wajar dilakukan sebagai acara tahunan bagi memberi pengiktirafan tinggi kepada saudara Muslim yang berjaya dalam mendidik mereka menjadi insan yang akan meneruskan kehidupan dalam penyebaran dakwah pada masa akan datang," kata Razali.

Selain itu, ia mencungkil dan mengasah bakat-bakat baru Saudara Muslim untuk membina mereka menjadi generasi dakwah yang membimbing masyarakat pada masa akan datang.

Nilai akhlak remaja Islam kini membimbangkan dengan gejala sosial dan keruntuhan moral seperti diuar-uarkan oleh media cetak dan elektronik.

"Jakim bersedia membantu Perkim dengan memberikan kerjasama dalam pelbagai bentuk program untuk menyepadukan program-program ke arah pemantapan dan memperkasakan saudara Muslim dalam melahirkan pendakwah yang unggul," ujarnya.

Razali turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang kepada Saiful Sim Abdullah serta Anugerah Pelajar Harapan, Muhammad Hanif Abdullah.

Johan pertandingan Tilawah Al-Quran dianugerahkan kepada Muhammad Brunson Army manakala johan Pertandingan Azan disandang oleh Muhammad Ikram Jamal Abdullah dan johan Pertandingan Kuiz Fardu Ain dimenangi oleh Muhammad Alif Hakim Jamal Abdullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan