Khamis, 27 Oktober 2011

Adab-Adab Ketika Di Dalam Tandas


by Hasrizal Fuad on Wednesday, 12 October 2011 at 20:54

ADAB-ADAB KETIKA DI DALAM TANDAS
By Harrie Maulana


TANDAS ialah suatu tempat khas yang dibina di dalam setiap rumah atau bangunan khusus bagi kegunaan untuk qodho hajat.

TANDAS yang bersih, lebih-lebih lagi yang selesa, merupakan suatu yang dituntut. Kerana itu tidak hairan jika sebilangan individu tidak menggemari TANDAS awam, kerana menganggap ianya di antara tempat yang kotor, menjijikkan atau kurang menyenangkan.

Apapun gambaran yang dibayangkan terhadap TANDAS, ianya tidak terlepas atau terkecuali dari pandangan Islam terhadap kepentingannya. Oleh kerana itu, telah digariskan beberapa adab yang mudah untuk diamalkan ketika berada di dalam dan sesudahnya seperti berikut:-

1. Ketika Berada Dalam TANDAS

i. Tidak membawa sesuatu yang tertulis padanya perkataan yang mulia seperti ayat-ayat al-Quran, bahkan SUNAT pula ditanggalkan.

Ini termasuklah Lafzhul Jalalah, Asma’ul Husna, nama-nama nabi yang mulia sekalipun bukan Rasul, nama-nama malaikat dan kesemua nama-nama yang mulia; samada nama-nama yang dikhususkan untuk seseorang yang mulia ataupun nama tersebut mempunyai persamaan seperti ‘al-Aziz’; kerana nama ini juga daripada Asma’ul Husna. Begitu juga dengan asma’ Ahmad yang merujuk kepada Nabi Muhammad SollaLLahu ‘Alaihi Wa Sallam dan juga yang seumpamanya. Adapun jika nama tersebut dimaksudkan secara umum, maka tidaklah makruh.

Ini berdasarkan daripada hadith riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu, iaitu perbuatan RasuluLLah SollaLLahu ‘Alaihi Wa Sallam menanggalkan cincin Baginda yang telah diukir dengan perkataan ‘Muhammad Rasul Allah’.

Maksudnya: “Bahawa RasuluLLah SAW apabila baginda (hendak) masuk ke TANDAS baginda menanggalkan cincin Baginda” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Sekiranya seseorang itu terlupa atau tidak sempat untuk menanggalkan cincin yang tertera perkataan mulia tadi, maka hendaklah digenggam di dalam telapak tangan atau dimasukkan ke dalam serban dan seumpamanya (disembunyikan atau ditutup). Perbuatan seperti ini adalah sebagai menjaga adab yang dituntut.

Adapun membawa masuk mushaf ke dalam TANDAS tanpa darurat, maka hukumnya adalah HARAM.

Begitu juga dengan cincin yang tertera perkataan mulia yang dipakai pada tangan kiri yang digunakan untuk beristinja’ (bercebok).

ii. Jangan masuk TANDAS dengan kepala dan kaki yang terdedah (tidak beralas). Hadith mursal daripada Habib bin Solih RA dia berkata:

Maksudnya: “Bahawa RasuluLLah SAW jika (hendak) masuk ke TANDAS, baginda memakai alas kaki dan (juga) menutup kepalanya” (Hadis riwayat al-Baihaqi).

iii. Sunat mendahulukan kaki kiri apabila masuk TANDAS. Sekalipun bukan dengan tujuan untuk qodho hajat seperti menyimpan atau mengambil barang, dahulukanlah kaki kiri apabila masuk TANDAS.

iv. Sunat melangkah kaki kanan apabila keluar dari TANDAS. Dahulukanlah kaki kanan apabila keluar dari TANDAS atau beredar dari tempat qodho hajat.

v. Sunat menyediakan air atau alat-alat yang boleh (menurut syarak) digunakan untuk beristinja’ terlebih dahulu. Jika tiada kemudahan paip air untuk bercebok.

vi. Sunat membaca doa sebelum masuk TANDAS. Sepertimana riwayat daripada Anas RA bahawa Nabi SAW ketika hendak masuk TANDAS, baginda berdoa terlebih dahulu:

Maksudnya: “Dengan nama ALLah, Ya ALLah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada syaitan khubtsi (lelaki) dan syaitan khoba’its (perempuan)” (Hadith riwayat al-Bukhori dan Muslim).

vii. Sunat membaca doa setelah keluar dari TANDAS. Antaranya riwayat daripada ‘Aisyah RodhiyaLLahu ‘anha dan Anas bin Malik RA bahawa RasuluLLah SAW telah mengucapkan:

Maksudnya: “Aku mohon keampunanMu. Segala puji bagi ALLah yang telah menghilangkan kesusahan (berak dan kencing) daripadaku dan menjadikan aku sihat wal‘afiat” (Hadith riwayat Ibnu Majah).

Adapun perkataan itu, maka SUNAT dibaca sebanyak 3 kali.

viii. Sunat mengangkat pakaian satu demi satu ketika hendak duduk qodho hajat. Melainkan jika ditakuti terkena najis, maka memadailah mengikut kadar yang sepatutnya. Begitu juga setelah selesainya, SUNAT menurunkan atau melepaskan pakaian satu demi satu sebelum sempurna berdiri tegak.

ix. Makruh berlengah-lengah (duduk lama-lama tanpa keuzuran) dalam TANDAS.

x. Haram makan dan minum.

xi. Haram menghadap atau membelakangi kiblat ketika qodho hajat pada tempat yang tiada pendinding khususnya pada tempat yang lapang atau terbuka dan tanpa ada pendinding (yang boleh menutup aurat), kecuali jika tempat itu berada dalam suatu bangunan atau binaan dan memang disediakan sebagai tempat qodho hajat seperti TANDAS yang dibina dalam rumah atau bangunan. Maka hukumnya adalah dibolehkan; tidak haram dan tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilaf al-awla).

Ini dapat difahami dari hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar RA dia berkata:

Maksudnya: “Aku naik ke atas rumah Hafshah untuk sesuatu tujuan (pekerjaan), lalu aku melihat RasuluLLah SAW sedang qodho hajat (buang air besar), iaitu baginda (dalam keadaan) membelakangi kiblat (dan) menghadap negeri Syam” (Hadis riwayat al-Bukhori).

Setelah qodho hajat, jika ingin berpindah ke tempat lain untuk beristinja’ (bercebok) seumpamanya, maka tiada haram atau makruh untuk dia menghadap atau membelakangi kiblat.

2. Ketika Qodho Hajat

i. Disunatkan supaya berat anggota badan dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan. Setelah dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan, kemudian merapatkan kedua-dua peha untuk memudahkan lagi qodho hajat.

ii. Makruh buang air kecil dalam keadaan berdiri kecuali ada keuzuran atau keadaan tertentu, maka pada ketika itu hukumnya tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilaf al-awla). Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengatakan kepada kamu bahawa RasuluLLah SAW buang air kecil dalam keadaan berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya. (Sesungguhnya) Baginda tidak membuang air kecil kecuali dalam keadaan duduk” (Hadith riwayat at-Tirmidzi) .

iii. Disunatkan supaya tidak melihat kemaluan, tidak memandang ke arah langit. Tidak memerhatikan apa yang keluar dari dua kemaluan kecuali kerana maslahat, tidak mengoyang-goyangkan atau memain-mainkan dengan tangan (tanpa faedah atau tujuan) dan tidak (banyak) menoleh ke kiri dan ke kanan.

iv. Ketika sedang qodho hajat, makruh berkata-kata walau apa-apa bentuk perkataan sekali pun seperti perkataan biasa, kecuali keadaan darurat umpamanya memberi amaran kepada orang buta yang hampir jatuh ke dalam perigi dan seumpamanya. Bahkan kadang-kadang dalam keadaan seperti ini dihukumkan wajib (untuk berkata-kata dan memberi amaran).

Larangan ini difahami dari satu hadith RasuluLLah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id RA:

Maksudnya: “Janganlah dua orang lelaki pergi (untuk) memasuki satu TANDAS, (lalu) keduanya membuka aurat mereka (untuk qodho hajat sambil) berbual-bual. Sesungguhnya ALLah ‘Azza Wa Jalla benci dengan (perbuatan) demikian itu” (Hadith riwayat Abu Dawud).

Sekalipun bukan dalam keadaan qodho hajat, maka diSUNATkan juga ketika berada dalam TANDAS agar tidak menyebut dengan lidah sesuatu sebarang Asma`ul-Husna atau Al-Qur'an. Adapun kata-kata biasa sahaja, maka tiadalah makruh (karahah).

Apabila seseorang itu bersin, maka memadailah dia memperdengarkan tahmidnya dalam hati sahaja tanpa melafazkan. Namun jika seseorang itu menggerak-gerakkan lidahnya tetapi tanpa mengeluarkan suara, maka perbuatan seperti ini tidak dihukumkan MAKRUH. Sekiranya dia menyaringkan juga suaranya untuk mengucapkan tahmid dan didengar pula oleh orang lain, maka tidak dituntut bagi orang yang mendengar tadi untuk men"tasymit" (Mendoakan orang yang bersin, yang telah mengucapkan tahmid, dengan kebaikan dan keberkatan dengan mengucapkan .

Manakala hukum berdehem dan berbisik-bisik pula tidak makruh, seperti berdehem apabila pintu TANDAS diketuk untuk memberi maklum atau isyarat bahawa dia berada dalamnya.

Di samping itu dapat difahami daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA bahawa menjawab salam juga tidak dituntut:

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki telah berjalan melintasi RasuluLLah SAW dan baginda (pada ketika itu) sedang buang air kecil, lalu dia pun memberi salam (kepada Nabi). Nabi SAW tidak pun menjawab salamnya itu” (Hadith riwayat Muslim).

v. Disunatkan tidak bersiwak (membersihkan gigi) sambil qodho hajat.

vi. Disunatkan tidak meludahi kencingnya.

vii. Disunatkan tidak duduk terlalu lama (tanpa keperluan). Kerana Luqman al-Hakim pernah mengatakan bahawa perbuatan tersebut boleh mengakibatkan penyakit limpa/hati dan menyebabkan buasir (penyakit yang disebabkan urat darah pada dubur membengkak). Maka pesannya, duduklah (untuk qodho hajat) dengan selesa kemudian (segeralah) keluar.

3. Setelah selesai qodho hajat, perkara yang perlu dibuat ialah beristinja’ (bercebok) dan hukumnya adalah WAJIB. Maka antara adabnya ialah:-

i. Sunat beristinja’ dengan tangan kiri dan makruh menggunakan tangan kanan.

Daripada Abu Qatadah RA daripada bapanya bahawa RasuluLLah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu kencing, maka janganlah sekali-kali dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan (begitu juga) janganlah dia beristinja’ dengan tangan kanannya” (Hadith riwayat al-Bukhari).

ii. Sunat memulakan membasuh kemaluan (hadapan) kemudian barulah dubur jika beristinja‘ dengan air.

iii. Sunat menggunakan jari tengah ketika beristinja’ pada dubur.

iv. Sunat dibasuh tangan yang digunakan untuk beristinja’ dengan tanah dan seumpamanya (seperti sabun) kemudian dengan air lalu keluar daripada tandas diikuti dengan membaca doa seperti berikut :

Ertinya: “Ya ALLah sucikanlah hatiku dari sifat-sifat nifaq dan peliharakanlah kemaluanku dari perkara-perkara keji”.

Penutup

Inilah di antara adab-adab yang telah disepakati oleh para ulama’ suffah dan dituntut untuk diamalkan ketika berada di dalam TANDAS. Sekalipun hukumnya hanyalah SUNAT untuk dikerjakan atau ditinggalkan, namun adalah rugi jika diabaikan kerana adab-adab tersebut sangat membantu bagi seseorang yang sedang melalui jalan keruhanian menuju kepada Rubbubiyah. Manakala mereka yang mengamalkannya pula adalah di antara orang-orang yang beruntung kerana berusaha untuk menghayati sunnah RasuluLLah SAW yang mana tidak dinafikan terdapat banyak lagi hikmat dan rahmat yang tersembunyi yang tidak diketahui tanpa perlu disebutkan di sini.

WaLLahu’alam


~ Harrie Maulana ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan