Jumaat, 7 Oktober 2011

Harta sempurna milik


Harta sempurna milik





APAKAH yang dimaksudkan sebagai pemilikan harta secara sempurna milik? Harap penjelasan daripada ustaz.

TERIMA kasih atas pertanyaan ini. Allah SWT menegaskan secara umum mengenai hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan berilah kepada mereka (orang yang memerlukan) daripada harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu (an-Nur: 33)

Daripada aspek istilah (syarak), pemilikan harta bermaksud seseorang itu mempunyai hubungan yang diiktiraf oleh syarak terhadap harta yang dimilikinya dan orang itu memperolehi keistimewaan menggunakan hartanya dan sekaligus menghalang orang lain daripada memiliki harta tersebut. Dalam istilah mudah, dia memperolehi hak menguruskan harta itu (hak at-tasaruf).

Sesungguhnya, sempura milik adalah salah satu daripada lima prasyarat utama wajib zakat. Ia juga disebut sebagai al-milk at-tam dan pemilikan tidak sempurna dinamakan sebagai al-milk an-naqis. Tanpa adanya syarat sempurna milik ini, maka seseorang itu tidak wajib mengeluarkan zakat ke atas harta yang zahirnya dimiliki olehnya.

Hakikatnya, kalimah 'sempurna milik', adalah gabungan kalimah 'milik' dan 'sempurna'. Milik bermakna, seseorang itu menguasai terhadap sesuatu harta dan ia dapat menggunakannya ke arah sesuatu jalan yang dia suka. Sempurna pula bermakna, seseorang itu tidak dibatasi oleh sesuatu perkara yang mampu menghalanginya daripada menggunakannya mengikut kemahuan dirinya. Maknanya, dia memiliki hak at-tasaruf di sini.

Seandainya seseorang itu memiliki sesuatu harta kekayaan; namun dia masih dibatasi dalam penggunaannya (tiada hak at-tasaruf), maka dapatlah difahami bahawa dia masih belum mempunyai milikan sempurna ke atas harta-harta kekayaanya itu.

Sebagai contoh, seorang pegawai besar kerajaan diberikan kereta atau kemudahan telefon selular untuk kemudahannya, dan dia bebas menggunakannya. Namun, apabila dia mahu menjualnya, dia tidak boleh melakukannya. Maka, di sini kekayaan itu bukanlah milik sempurna bagi dirinya.

Dalam contoh yang lebih besar, katakanlah seseorang mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehingga jumlahnya sudah mencecah ratusan ribu ringgit.

Memang wang itu miliknya, namun dia tertakluk kepada pelbagai syarat sebelum dapat memilikinya dengan sempurna. Maka wang itu dianggap 'tidak sempurna milik' dan tidaklah wajib dizakatkan.

Atau dalam kes yang lain, seorang bapa meninggal dunia dan meninggalkan harta warisan yang cukup banyak. Namun, atas sebab-sebab tertentu, selepas lima tahun kematiannya baharulah harta pusaka itu dapat diagihkan kepada semua warisnya. Maka, selama lima tahun itu tiadalah sempurna milik ke atas waris-warisnya dan mereka tidak dikenakan zakat ke atas harta tersebut.

Seperkara yang perlu diingat, hikmah disyaratkan sempurna milik ini amatlah besar di sisi manusia. Ia menunjukkan Islam tidak sewenang-wenangnya memerintahkan sesuatu harta itu untuk dizakatkan.
Islam tidak mahu menzalimi umatnya, maka hanya harta yang sahih 100 peratus miliknya sahaja wajib dizakatkan.

Keduanya, dengan status pemilikan sempurna ini juga menunjukkan kekayaan sebenar seseorang. Andai kata seseorang itu memakai emas perhiasan yang banyak; namun semuanya adalah pinjaman.

Maka ia menyedarkan orang itu bahawa dia masih tidak kaya dan tidak sepatutnya mempamerkan sesuatu yang bukan haknya. Sekaligus ia menyuntik rasa keinsafan agar tidak suka bersifat riak, takbur dan sebagainya.

Ketiga, milikan sempurna juga bertalian dengan prasyarat merdeka dalam kewajipan zakat. Orang yang mempunyai milikan sempurna sekaligus menandakan dia bukan seorang hamba dan ini sepatutnya menumbuhkan rasa mahu mengembangkan lagi harta kekayaan yang sedang dimiliki olehnya, sesuai dengan taraf sosial yang dimilikinya.

Keempat, ia juga menunjukkan Islam tidak menerima harta yang tiada milikan sempurna untuk dizakatkan, misalnya harta wakaf, harta sedekah, harta bersifat milikan awam dan sebagainya.

Kelima, hanya harta yang diperolehi secara sah dan makruf di sisi syarak sahaja yang dianggap sempurna milik. Maka, harta yang dicuri, dirampas tanpa kerelaan, harta daripada penipuan dan sebagainya, hakikatnya bukanlah milik sempurna dan tidaklah wajib dizakatkan.

Kesimpulannya, syarat sempurna milik ini melambangkan ketinggian syariat Islam dalam membicarakan isu harta, sehinggakan hanya harta yang jelas di sisi syariat sahajalah yang layak dikeluarkan zakat demi kemaslahatan umat. Wallahu a'lam.

3 ulasan:

  1. aha

    lama tunggu artikel yang macam ini

    salaam

    BalasPadam
  2. salin dan tampal saja...sedikit demi sedikit, lama2 jadi bukit juga blog hamba ni...:-)

    BalasPadam