Khamis, 20 Oktober 2011

Zakat bukan untuk yang miskin sahaja


Zakat bukan untuk yang miskin sahaja


Wang zakat adalah untuk diagihkan kepada asnaf sebagai mana yang termaktub dalam al-Quran. - Gambar hiasan


KAYA masih layak dapat zakat? Bukankah zakat hanya untuk orang miskin? Demikianlah antara persoalan semasa mengenai agihan zakat. Tidak dinafikan, umumnya umat Islam sering mengaitkan zakat dengan fakir dan miskin.

Bagi menjawab isu ini, kita tidak boleh bersifat melulu menafikan sesuatu yang kita tidak tahu. Hakikatnya, asnaf zakat ada lapan. Hanya dua asnaf sahaja yang disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. 

Bagi hamba sahaya, mereka bukanlah miskin melainkan mereka asnaf istimewa, justeru diri mereka adalah milik tuannya. Dalam Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun oleh tuannya dan kebajikannya dipelihara oleh tuannya.

Mereka memang tiada harta tetapi kebajikan mereka sepatutnya terjaga, justeru mereka adalah milik tuannya yang kaya.

Lima lagi asnaf zakat iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil tidaklah disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, pastilah dalam tata cara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin. Justeru, mereka inilah yang paling layak diraikan dalam agihan zakat sesuai dengan tatanan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah ulama fikah sendiri ada yang menegah zakat diberikan kepada orang-orang kaya. Mereka memberi dalil, iaitu saat Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke Yaman, maka nabi telah berpesan: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang-orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin di kalangan mereka. (riwayat Bukhari).

Namun begitu, kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha misalnya Dr. Abdullah Nashih Ulwan memang menyatakan orang-orang kaya itu ditegah daripada mendapat agihan zakat. Namun, apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah jika diambil harta zakat itu daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin dan diberikan kepada orang kaya. 

Sekiranya diambil daripada asnaf yang lain, misalnya daripada asnaf fisabilillah, maka tidaklah disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.

Sehubungan itu, amalan zakat di Malaysia, khususnya di Selangor, setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat walaupun mereka tidak miskin.

Misalnya dalam kes hutang rawatan dan membantu melanjutkan pendidikan. 

Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf gharimin (berhutang) atau asnaf-asnaf lain yang sesuai. Bukan atas sifat kemiskinannya.

Mungkin juga ada pihak yang berhujah, bahawa nabi pernah menolak untuk memberikan zakat kepada orang kaya, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis: "Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja," (riwayat Abu Daud).

Memang diakui, Islam amat tidak meraikan sikap malas sehingga menjadikan penganutnya suka meminta-minta. Sayid Sabiq dalam kitabnya Anasir Kekuatan Dalam Islam, ada menukilkan kisah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW pernah menolak permintaan seorang pemuda Ansar dan dia diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak sekadar mengharapkan simpati demi sesuap makanan.
Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang yang kaya dan mampu bekerja.

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga telah membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberi kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat sesuai dengan keadaan diri mereka - yakni tidak sampai berlebih-lebihan dan mengabaikan hak fakir dan miskin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan