Peranan dan Sumbangan Ulama Kedah Silam : Suatu Sorotan oleh: Dato' Haji Wan Shamsuddin b. Mohd. Yusof | ||
Sejak dari awal lagi, melalui 8 buah pusat pentadbiran yang sentiasa berubah-ubah sepanjang 867 tahun di bawah pemerintahan 28 orang sultan, syiar islam terus berkembang dengan meluasnya di Kedah melalui para ulama yang bukan sahaja sebagai pendakwah malah ada diantara mereka bertugas selaku penasihat kepada pemerintah. Sebagaimana negeri-negeri Melayu lain di nusantara ini, pada peringkat awal kemunculan golongan ulama di Kedah adalah berasal dari luar terutamanya Yaman dan Hejaz di Arab Selatan. Pada abad kesembilan belas ramai diantara mereka yang berasal dari negeri-negeri Melayu lain berhijrah dan tinggal menetap di Kedah. Dari Patani misalnya terdapat ulama Tuan Sheikh Jarum (Tuan Haji Wan Idris bin Wan Jamal) Derga, Tuan Haji Mat Noor Abu Bakar, Langgar, Haji Ismail Che Dol dan Pak Chu Him, Gajah Mati Pendang dan Haji Yaakob Abdul Rahman, Kampung Kemelong, Sik. Ada yang berasal dari Kalimantan dari keturunan ulama besar, Syeikh Muhammad Arshad Al-Banjari seperti Tuan Muhammad Taib Al-Mas'udi Al-Banjari, Titi Gajah dan cucunya Tuan Hussain Kedah, sementara Teuku Badi'ul-Hafiz dan Teuku Arsyad atau Teuku Di Balai (Bale) ulama dari Acheh pula menetap di Yan. Golongan ulama tempatan rata-ratanya mendapat pendidikan awal di negeri sendiri atau di Kelantan, Terengganu dan Patani sama ada sebelum atau sesudah menuntut di Mekah atau Madinah atau di pusat-pusat pengajian tinggi di India, Pakistan, Iraq dan Mesir. Kemunculan ulama silam sering dikaitkan dengan institusi pengajian dan perkampungan pondok yang diasaskan atau diterokai mereka yang sejarah pertumbuhannya bermula semenjak pertengahan abad ke sembilan belas lagi dan iannya berterusan sehinggalah menjelangnya kemerdekaan negara. Prof. Ishak Mohd. Rejab memberikan sebab-sebab ramainya kelahiran ulama di Kedah yang antara lain menurutnya disebabkan keadaaan penduduknya terdiri daripada para pesawah yang menyumbangkan kepada pendidikan agama di negeri ini dan seterusnya melahirkan cerdik pandai agama daripada anak tempatan. Jadi kesinambungan usia pondok yang diwujudkan oleh para ulama selama beberapa tahun itu terus berkembang subur disebabkan tuan-tuan guru dan murid-muridnya bergantung hidup pada sawah sebagai pesawah atau hidup kerana zakat dan sumbangan dari hasil sawah. (Prof. Ishak M.Rejab, "Peranan Ulama Dalam Masyarakat Di Kedah",1981:hal. 18). Satu lagi yang tidak kurang pentingnya ialah faktor keamanan dan keselamatan yang lebih terjamin di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) dan sultan Abdul Halim Shah (1882-1943). Kedua-dua tokoh pemerintah ini adalah perntis kearah pembangunan dan pemodenan Kedah yang merestui pembukaan perkampungan pondok-pondok agama di seluruh negeri. Keamanan dan kestabilan politik setelah kedah bebas dari kekejaman pemerintahan tentera Ligor/Siam (1821-1841) juga mendorong kepada penghijrahan ulama-ulama Patani ke Kedah yang tidak sanggup menderita di bawah pentadbiran Siam seperti yang berlaku kepada keluarga ulama Tuan Haji Ishak Muhammad Hashim, Pulau Pisang (1771-1871) dan Tok Syeikh Jarum, Derga (1849-1911). Terdapat juga penghijrahan ulama-ulama Kedah ke negeri lain seperti Tuan Haji Shafie Mohd Amin dari Merbok yang muncul sebagai salah seorang ulama besar Terengganu dengan perkampungan pondoknya di Losong (1862-1945). Sementara itu, Haji Shafie atau 'Tok Shafie' dari Telok Bagan pula akhirnya muncul sebagai ahli Sufi Mekah yang terkenal (Muhammad Abu Bakar, Ulama Terengganu, Suatu Sorotan, 1991: hal.33-34). Mengenai para pelajar yang menuntut di perkampungan pondok di seluruh Kedah pada zaman kegemilangannya di samping mereka yang bermastautin di Kedah, ramai pula yang berasal dari negeri-negeri lain di Malaysia, Indonesia, Selatan Siam dan Kemboja. Berdasarkan buku pendaftaran pelajar yang memasuki pondok Tuan Guru Haji Hussain Haji Salleh (Dato) berhampiran Makam Diraja Langgar, tercatat seramai 182 orang yang menuntut di situ antara tahun 1936-1940.dari jumlah itu terdapat 59 orang anak tempatan Kedah, 24 orang dari Negeri Sembilan, Perak 11, Selangor 7, Pahang 7 Johor 7 dan Melaka 1. Pelajar dari Indonesia pula berjumlah 66 orang.paling ramai dari daerah Jambi iaitu 37 orang, diikuti Kampar 14, Batang Hari 3, Aceh 3, Kota Chanai 3, Alas 2, Rawa 1, Selat Panjang 1, Perigi Raja 1, Sumbawa 1. Sejarah membuktikan betapa akrabnya hubungan antara pemerintah dan para ulama sejak awal lagi. sultan yang disifatkan sebagai "Zillallahufil-'alam'" atau bayangan Tuhan di dunia ini sering kali memerlukan nasihat dari para ulamanya dalam menangani sesuatu masalah dan urusan-urusan berkaitan dengan pentadbiran negeri. Misalnya pada zaman Sultan Sulaiman Shah (1602-1619) di Kota Siputih, baginda bersetuju dengan nasihat muftinya, Syarif Aznan yang berasal dari Hejaz mengenai cara menghindar serangan dari Aceh. Di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) amalan bermesyuarah itu berterusan. Muhammad Hassan dalam bukunya menegaskan : "Apakala ada suatu pekerjaan yang besar-besar hendaklah dilaksanakan maka duli baginda bermaufakat dengan Wan Ibrahim dan Wan Ismail dan Syed Abdullah Al-Jafri dan Tuan Haji Muhammad Taib,Mufti dan Tuan Haji Muhammad Salleh,Ulama (Wan Shamsuddin "Sultan dan Ulama Berhubung Akrab", Warta Darul Aman, Januari 1993:hal.9), dan Muhammad Hasan, hal.332). Ulama silam turut membantu menghasilkan karya-karya yang bersifat keagamaan dan perundangan. Misalnya kitab perundangan terawal, "Hukum Kanun atau Undang-undang Kedah" telah dihasilkan pada zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626-1652) di Kota Naga dan pada zaman Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1662-1688) sewaktu bersemayam di Kota Palas, pada tahun dal, bulan Rabiulawal 1078 Hijrah (1667 Masihi)sebuah lagi kitab perundangan berjudul "Tembera Dato' Seri Paduka Tuan" telah disusun oleh Syeikh Alauddin. Salah sebuah karya Ilmu Tauhid terawal telah dihasilkan di Kota Siputih pada bulan Rabiulawal 1032 Hijrah (Januari 1622) oleh Ahmad Aminuddin Al-Qadhi. Zaman itu juga Kerajaan Aceh telah menghadiahkan kepada Kerajaan Kedah dua buah kitab berjudul "Sirutul-Mustaqim" dan "babun Nikah" karya pujangga dan ulama besar Aceh iatu Syeikh Nuruddin Ali Al-Raniri (hikyat Merung Mahawangsa, Pulau Pinang, 1899:hal 19). Di bidang penulisan yang mencakupi segala akspek mengenai agama Islam, berkembang subus hingga ke hari ini. Antara ulama silam yang begitu profilik dalam menghasilkan karya termasuklah Tuan Haji Muhammad Al-mas'uid Al-banjari, Titi Gajah (1850-1900),Haji Wan Sulaiman Wan Sidik, Limbong Kapal (1874-1935),Tuan Haji Muhammad Said Muhammad Taib, Yan (1877-1862), Tuan Haji Muhammad Al-Minangkabauwi, Seberang Perak (1874-1961), Tuan Haji Abdullah Muhammad Saad, Setul (1890-1986), Tuan Haji Muhammad Salleh,Pulau Pisang (1894-1945), dan Tuan Haji Muhammad Abas Nisution, Tanjung Pauh (1912-1987). Ulama silam juga turut berjuang untuk membebaskan Kedah dari belenggu penjajahan tentera Lingur /Siam (1821-1841) dalam mempertahankan kesucian agama Islam. Kemuncak perjuangan itu berlaku dalam tahun 1838-1839 di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad Tunku daud bersama 10 ribu pejuang yang akhirnya Kedah dapat dibebaskan untuk sementara waktu. Turut terlibat dalam peperangan itu ialah Syeikh Abdul Qadir, Mufti Kedah dan saudaranya Syeikh Abdul Samad Al-Falembani (Palembang). Syeikh Abdul Samad gugur syahid di Hadyai, selatan Thailand. Gerakan rakyat Kedah untuk membebaskan diri dan negara dari penjajahan Inggerish selepas tamatnya Perang Dunia Kedua bermula dengan peristiwa penentengan terhadap Malay Union. Ketika itulah lahirnya Persatuan Ulama Kedah dan Kesatuan Melayu Kedah pimpinan Tuan Haji Hussain Che Dol di samping ulama lain seperti Tuan Syeikh Abdul Halim Usman (Dato'), Tuan Haji Abdul Rahman Haji Abdullah, Merbok (Dato' Murshid DiRaja), Syeikh Salleh Shamsudin, Tuan haji Ismail Haji Said dan lain-lain. Satu-satunya sudut kehidupan para ulama silam yang sering diperkatakan ialah ada di antara meraka memiliki sifat-sifatluar biasa yang dikaitkan pula dangan unsur kekeramatan. Di Kedah Misalnya, tokoh-tokoh seperti Tuan Haji Hussain Che Dol,Tuan haji Yahya Taha, Kupang dan Tuan Haji Wan Abdul Saman Wan Nik, Pokok Sena dikatakan amat digeruni musuh-musuh Islam terutamanya di waktu kebangkitan dan kemaharajalelaan ahli-ahli Bintang Tiga di Zaman Darurat dahulu (1948-1960). Sebilangan para ulama silam juga adalah pelopor perancangan luar bandar. Serentak dengan penerokaan perkampungan pondok,mereka juga mengadakan berbagai projek kemudahan masyarakat setempat. Misalnya pembinaan titi atau jambatan oleh ulama Tuan Haji Idris di Kampung Titi Haji Idris dan pembinaan jalan raya terawal dari Pendang ke Sungai Tiang dalam Daerah Pendang oleh ulama Tuan Haji Ahmad Rabat (Rubat), Chegar, Pendang, Kedah (Wan Shamsudin, "Biografi Ulama Kedah Darul Aman, 1996: hal. 11-12) |
...Perkongsian ilmu, perkongsian pengalaman, perkongsian perasaan, perkongsian rasa, perkongsian cerita, perkongsian kelana-kembara, hamba dan keluarga... Perkongsian dan penyebaran ilmu, pengetahuan dan maklumat tasawuf, tauhid, fiqh, ibadat dan muamalat...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan