Khamis, 22 Disember 2011

Secebis Kisah Tentang Sihir

Assalamu'alaikum,

Ketika menonton Semanis Kurma malam ini di TV9 tentang tajuk Bahagia Tanpa Zuriat, ada persoalan tentang kaitan antara saka dan anak, sama ada saka-baka-pusaka-puaka boleh menghalang suami-isteri mendapatkan zuriat keturunan.  Hamba taknak ulas persoalan itu kerana panjang lebar kalau nak ditulis, malah salah seorang guru hamba ada menulis sebuah kitab kecil tentang persoalan saka-baka dan keturunan ini. Insya-Allah, kalau dilapangkan masa lain kali, hamba akan mengulas perkara ini atau memetik cacatan kitab kecil guru hamba ini tentang perkara ini. Hamba tertarik dengan persoalan sihir yang dibangkitkan dan kaitannya dengan zuriat keturunan. Namun hamba taknak bercerita tentang zuriat keturunan tetapi sedikit kisah lalu tentang sihir.

Perkara ini berlaku dah berbelas tahun lamanya, rasanya antara 1998-2000 ketika hamba, isteri dan anak sulung menyewa sebuah rumah di sebuah kampung. Hamba pun baru beberapa tahun bekerja, kewangan belum stabil dan belum mampu membeli sebuah rumah untuk didiami.  Rumah sewa kami ini dibina berkembar dengan sebuah rumah lain, tidaklah besar mana, ada 2 buah bilik tidur, sebuah ruang tamu (untuk makan, solat berjemaah, rehat-rehat), sebuah dapur dan sebuah bilik air. Luasnya dalam 20 kaki X 35 kaki begitu rasanya. Cukuplah kami dengan anak yg masih seorang tinggal. Kalau sanak saudara datang, hamba akan tidur di ruang tamu. Begitulah kisah-kisah awal kehidupan berkeluarga, tidaklah sesenang mana dan tidaklah sesusah mana.

Kami merupakan penyewa pertama  rumah tersebut yang baru siap pada November 1997 dan kami mula menginap pada Disember 1997.  Jiran kami juga merupakan penyewa pertama rumah kembar kami itu dan juga dikurniakan seorang anak yang muda sedikit daripada anak sulung kami.   Alhamdulillah, pada awal-awal  kehidupan berjiran, tiada masalah antara kami dengan keluarga tersebut. Dengan usia yang lebih kurang sama,  dan sama-sama baru memulakan kehidupan berkeluarga, tampaknya lautan kejiranan berjalan dengan tenang.  Apabila anak sulung dah mula membesar, begitu juga dengan anak jiran, biasalah, budak-budak, nak berkawan. Kerap juga anak jiran datang bermain dengan anak hamba sama ada di laman rumah mahupun di dalam rumah. 

Perkara ini berlanjutan untuk beberapa ketika sehinggalah anak itu semakin kurang datang berkunjung kerana hamba difahamkan si ibunya kurang senang dengan kunjungan anaknya ke rumah kami dan bermain dengan anak kami. Hamba pun tak nak fikir jauh-jauh, lebih baik kita berprasangka baik dengan apa saja yang berlaku. Lagipun memang hak ibu-bapanya dalam mengawasi anaknya. Perhubungan hamba dengan si bapa budak ini pun OK, takdak masalah apa-apa. Mereka suami-isteri graduan UPM, orang berpendidikan tinggi. jadi sudah tentu tahu dan faham tentang tanggungjawab berjiran.

Lama kemudian, ada sedikit masalah timbul. Anak jiran ini suka membaling/membuang batu-batu kecil ke dalam rumah sewa hamba.  Tapi, alhamdulillah, kesabaran isteri hamba tidak memanjangkan masalah ini. Lagipun budak-budak, takkan nak dimarah pulak. Jiran wanita inipun suka 'cakap benda hebat2' kuat-kuat, nak beli tanah berhektar-hektarlah dan lain2. Hamba dan isteri biarkan saja, kalau dah memang rezeki mereka, apa kita nak cemburukan. Berprasangka baik dengan cakap kuat2 si jiran wanita, selalu hamba berpesan pada  isteri hamba.  Diringkaskan cerita, suatu masa dan ketika, isteri hamba tidak suka balik ke rumah sewa kami ini.  Kalau keluar ke kedai, balik kampung dan lain-lain, isteri hamba 'terasa meluat dan benci' nak balik rumah. Nak pandang bumbung rumah pun taknak.  Mula-mula hairan juga dengan perubahan tingkahlaku dan kelakuan isteri hamba. Semenjak berkahwin tak pernah macam ni. Orang biasa mungkin fikir si isteri nak ajak pindah rumah, hamba tak fikirkan ke situ pula kerana hamba kenal isteri hamba ini.

Akhirnya, kena minta petunjuk Allah. Takkan nak biarkan si isteri tak suka balik rumah, taknak balik rumah. Atas rahmat Allah, dapat tahu juga angkara siapa. Entah apa yang orang itu marahkan kami, kami pun tak tahu. Entah apa yang orang itu dengkikan kami, kami pun tak tahu. Entah apa yang orang itu cemburukan kami, kami pun tak tahu.  Sebagai mereka yang beramal di jalan tasawuf, kita tidak boleh 'balas balik'. Cuma isteri hamba perasan yang sikap dan tindak-tanduk orang itu dah berbeza berbanding sebelumnya.  Hamba dan isteri pun tak balas apa-apa. Kami cuma mohon pertolongan dan bantuan Allah untuk atasi perkara ini dan 'buat pemantul' untuk rumah kami. Sebelum itu, rumah kena bersihkan dahulu.  Itu saja yang kami lakukan, mengharap pertolongan dan bantuan Allah dan buat perlindungan untuk diri sendiri, isteri dan anak. Tak pula kami selidik siapa bomohnya, di mana tinggalnya, apa jenis sihirnya. Guru hamba yang mulia selalu berpesan jangan ambil tahu hal-hal sebegitu.  Kita mungkin merasakan kita dah OK kalaupun kita tahu, tetapi nasihat guru itu yang lebih utama.

Alhamdulillah, tak lama selepas itu, jiran kami itupun berpindah. Tanpa khabar berita, tahu-tahu rumah mereka dah kosong. Hamba dan isteri tak doakan apa2 pun untuk orang itu, tak mintapun Allah Taala membalas balik perbuatannya itu, cuma mendoakan kami sekeluarga dalam perlindungan Allah. Itulah kehendak Allah, disihirnya isteri hamba agar 'kami sekeluarga' berpindah keluar dari rumah sewa itu, akhirnya mereka yang 'keluar' dari rumah sewa mereka. 

Itulah sedikit kisah tentang sihir untuk tatapan pembaca. Sihir tak mengenal orang berpendidikan tinggi atau tidak, orang kaya ataupun miskin, orang biasa atau orang khusus. Sihir tak mengenal masalah kecil ataupun besar,  pendek atau panjang. Hanya dengan menjadi mukmin yang bertaqwa dan sentiasa mengharap pertolongan dan bantuan Allah mampu menjauhkan kita dari 'kegiatan sihir' dan 'dirosakkan oleh sihir'.  Semoga orang itu bertaubat sebenar-benar taubat atas kerjanya yang mensyirikkan Allah Taala itu dan diberikan rahmat-NYA, dan petunjuk-NYA ke jalan yang lurus.

Wassalam.








  




Tiada ulasan:

Catat Ulasan