Selasa, 31 Januari 2012

Berkelah di Sagil, Gunung Ledang

Assalamu'alaikum,

21 Januari 2012, hari Sabtu, hamba sekeluarga pergi berkelah di Sagil, Gunung Ledang. Malam sebelumnya kami balik ke kampung mertua. Selain kami sekeluarga, dua keluarga ipar hamba juga turut serta. Perjalanan dari kampung mertua ke Sagil mengambil masa lebih kurang 50 minit ke sejam.  Kami sampai di Sagil lebih kurang jam 10 pagi. Alhamdulillah, orang tak ramai pada hari Sabtu ini. Hamba sekeluarga sudah banyak kali berkelah di Sagil, Gunung Ledang. Malah hamba pernah berkhemah di sini, waktu tu anak baru dua orang, iaitu di kawasan perkhemahan tidak jauh dari Kolam Puteri dan kali kedua bersama rakan-rakan lelaki sahaja, masih di tapak yang sama.

Bayaran masuk untuk ke kawasan ini adalah RM2 untuk sebuah kereta, RM1 seorang untuk dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak.  Hamba kena RM9, lima dewasa dan empat kanak-kanak. Gunung Ledang merupakan sebuah gunung yang penuh misteri, sepertimana Pulau Besar yang juga sebuah pulau yang penuh misteri. Banyak cerita, hikayat, misteri yang dikaitkan dengan Gunung Ledang. Tak payahlah hamba cerita di sini. Golongan perubatan ada kisahnya tentang Gunung Ledang, golongan persilatan ada cerita mereka tentang Gunung Ledang, golongan tariqat tasawuf dan kerohanian juga ada cerita tersendiri tentang Gunung Ledang. 


Kawasan parkir yang disediakan memang luas
(Gambar ini diambil bila nak bertolak balik) 


Gerai makan-minum dan barang-barang untuk berkelah 

Surau - bagi yang ingin bersolat (Kami solat di sini) 

Resort yang dibina di sini 


Kawasan mandi bahagian depan 


 Masih kawasan mandi bahagian depan 

Parkir ini disediakan untuk yang menempah bilik/chalet di resort ini. 

Ada aktiviti oleh syarikat swasta di sini 

Antara chalet yang boleh disewa 

Hamba tidak pernah bermalam di chalet di sini 

Gerai lain berdekatan kawasan mandi-manda dan berkelah...Malangnya ia diusahakan oleh pengusaha bukan Muslim. Apakah tiada pengusaha Muslim yang mampu? Apa tanggungjawab kerajaan negeri Johor? Umat Islam mendapat kuahnya, orang lain mendapat isinya. 

Gerai cenderamata yang juga diusahakan oleh bukan Muslim  

Ini kaunter untuk mendapatkan perkhidmatan juru iring (Guide) ke Gunung Ledang. Hamba dengar cerita yang perkhidmatan juru iring (Guide) untuk mendaki ke Gunung Ledang dah tiada? Gunung Ledang bukan sebarang gunung untuk didaki. Ramai yang hilang tak jumpa-jumpa, ramai yang hilang dan ditemui dah menjadi mayat. Ramai juga yang sesat tidak berjumpa jalan turun dan 1001 cerita. Kerajaan Negeri Johor sepatutnya 'kaji dulu' sebelum menjadikan Gunung Ledang sebagai 'destinasi pelancongan'. Belajar dari pengalaman kerajaan negeri Melaka yang gagal menjadikan Pulau Besar sebagai Pulau Pelancongan/Marina Bay Resort.


Susur jalan ke Puncak Ledang. Dikatakan mendaki gunung ini yang keenam paling susah di Malaysia.

Bilik air/tandas yang terletak bertentangan dengan Kaunter Juru iring. Boleh mandi, tukar pakaian dll.. 30 sen seorang. 

Antara kolam mandi di sini 

Keistimewaan Sagil adalah banyak kawasan mandi, air terjun. Anda boleh pilih mana yang anda suka. Lebih daripada 15 kolam mandi ada di sini, untuk kanak-kanak sehingga dewasa. 

Tapak perkhemahan juga disediakan 

Kawasan ini masih tidak jauh dari kawasan gerai cenderamata 

Antara kolam yang ada 

Anda boleh pilih kederasan air yang anda suka 

Ada chalet di kawasan perkhemahan. Hamba tidak pernah sewa chalet ini. 



Kolam mandi masih jernih kerana tiada hujan di hulu sungai/Gunung Ledang 


Bagi ahli pertapaan/khalwat, dikatakan ada tujuh peringkat, tujuh tempat, tujuh gua bagi seseorang itu berkhalwat dari kawasan bawah sehingga ke puncak Ledang...itu hamba dengar cerita saja, hamba tak pernah khalwat di sini. Hj. Zul kawan hamba 'biasa' dengan Gunung Ledang.  

Kalau anda nak ke Kolam Puteri (bersebelahan  dengan sempadan Taman Negara Gunung Ledang), anda perlu melalui kawasan ini dan mendaki...Dari segi undang-undang, pelancong perlukan 'permit' untuk masuk ke Taman Negara Gunung Ledang.

Bilik air/tandas yang disediakan. Bayarannya 50 sen seorang. Kalau diberi gred kebersihan, antara A hingga E, hamba bagi gred D untuk bilik air/tandas ini. Maksudnya boleh pakai kalau terdesak saja!!! Kalau gred E tu, tak boleh guna langsung.

Kami 'lepak di kawasan ini'. Bentang tikar, dan.... 

Kalau ada anak-anak nak mandi, jangan biarkan mereka mandi sendirian. Macam-macam boleh jadi. Hatta, perenang profesional boleh lemas kalau 'krem'... 

Sikap orang Malaysia terhadap kebersihan masih teruk!!! Sedangkan kebersihan itu ajaran agama...
  



Selepas makan dan mandi membasahkan badan, hamba naik ke Kolam Puteri seorang diri. Tak ramai orang mandi-manda di Kolam Puteri. Maklumlah nak kena mendaki. Cuma sekarang mudah sedikit sebab 'disediakan tangga batu' dan jalan bersimen/berturap. Ada khemah di sini, mungkin ada yang berkhemah di kawasan ini. Kolam mandi di Kolam Puteri dah tak macam dulu. Banyak pasir yang 'dibawa dari atas' menyebabkan kedalamannya berkurang. 

Ada macam2 cerita tentang Kolam Puteri.....carilah sendiri....Dahulunya ada pondok di bahagian atas Kolam Puteri, yang disediakan untuk menghalang mereka 'yang tiada permit' dari memasuki Taman Negara Gunung Ledang. Kini tiada lagi...Pernah hamba datang dahulu, begitu sombong orang di pondok itu 'melarang' hamba dan rakan-rakan naik sedikit ke kawasan atas.  Kami bukan nak buat apa pun. Nak pergi mandi kat sebuah kolam di situ sahaja. Begitulah manusia, ada kuasa sikit dah sombong. Kita sering lupa bahawa kuasa itu amanah yang wajib dijaga sebaik-baiknya, bukan disalahgunakan.

Kalau anda rajin membaca tentang misteri Gunung Ledang, anda akan terbaca kisah 'Kolam Air Ubat' di sekitar kawasan Gunung Ledang.  Tanya ramai orang anda akan jumpa banyak versinya. Yang penting adalah hakikat air dan apa hakikat ramuan di Kolam Air Ubat....carilah maksud hamba....

Dalam kisah Dato' Laksamana Hang Tuah ke puncak Ledang, hanya beliau seorang yang ke puncak Ledang. Isunya mengapa beliau seorang? Persoalannya mengapa yang lain-lain tak boleh ikut? Di manakah puncak Ledang yang sebenar? Hamba biarkan para pembaca mengkajinya.... Kata seorang guru hamba di hujung benua, tak semua orang boleh sampai ke Puncak Ledang!!!

Kami berkelah sehingga jam 2.20 petang...Kemudian salin baju di bilik air/tandas di kawasan depan, dan bersolat di surau yang disediakan. Alhamdulillah, dalam jam 3.40 petang kami meninggalkan Sagil, Gunung Ledang dan kembali ke kampung mertua. Seronok dan bergembira di Pulau Besar dan Gunung Ledang, masalah lain datang menimpa, ujian dari-NYA...Tunggu!!!

Wassalam.

4 ulasan:

  1. menarik dari cerita yg dihebahkan..saya tak pernah sampai tetapi dari guru yg saya kenali yg telah 16x ke gunung ledang memang byk misteri yg harus dicari dan kaji. salam

    BalasPadam
    Balasan
    1. jika berminat nak turun g/l ley join sekali. ajak member2 yg berminat. turun dalam bulan muharam. apamacam?

      Padam
    2. Ley join sekali. Ada nom tel ? Mudah sikit nk berurusan.

      Padam