Isnin, 5 Mac 2012

Corak Geometri jadi pilihan


Corak Geometri jadi pilihan



Mozaik kaca berbentuk geometri Iran, abad ke 20 Masihi/abad ke 14 Hijrah.


CORAK geometri amat sinonim dengan kesenian Islam. Ia merupakan salah satu daripada tiga motif hiasan yang sering menjadi pilihan para seniman Islam kerana sifatnya yang bukan figura (makhluk bernyawa). 

Dua lagi motif pilihan tersebut adalah kaligrafi dan corak tumbuhan.

Geometri didefinisikan di dalam kamus Dewan sebagai salah satu cabang matematik yang berkaitan dengan ukuran, sifat-sifat hubungan titik, garis, sudut permukaan dan bongkah. 

Bagaimanapun, di dalam bidang seni corak geometri merujuk dengan bentuk yang terhasil daripada susunan dan gabungan titik dan garis.

Corak geometri sebenarnya telah lama wujud dan digunakan sebagai hiasan terutamanya di atas seni bina dalam beberapa tamadun awal dunia seperti di Greek, Rom dan Iran. 

Corak geometri ini dikenali sebagai corak geometri tradisional. Corak geometri menjadi lebih popular dan mencapai zaman kegemilangan dari segi penggunaannya sewaktu zaman pemerintahan kerajaan Islam. 

Para seniman Islam telah berjaya menggunakan corak geometri tradisional dan kemudiannya mencipta corak dan bentuk yang lebih sofistikated dan halus buatannya untuk diaplikasikan di atas barangan kesenian Islam. 

Apa yang dititik beratkan oleh para seniman Islam ialah mendapatkan satu jenis corak yang menekankan tentang kepentingan keharmonian bentuk dan susunan yang betul. Susunan corak geometri juga turut merupakan sumbangan penting daripada para cendekiawan Islam khususnya yang menjurus di dalam bidang matematik, astronomi dan sains.

Corak geometri tradisional adalah corak asas seperti segi empat, bulatan dan segi tiga. Corak-corak ini kemudiannya boleh membentuk corak yang lebih kompleks apabila digabungkan sesama sendiri ataupun dengan corak yang lain.

Corak geometri juga boleh diaplikasikan dengan falsafah dan maksud yang tersirat seperti contoh, bentuk bulatan. 

Ia dikaitkan dengan maksud tiada permulaan dan tiada pengakhiran ataupun sebagai simbol keabadian. Bulatan merupakan bentuk asas kepada bentuk poligon yang lain. 

Kehalusan dan ketepatan sudut yang dihasilkan oleh para seniman Islam dalam menghasilkan motif geometri adalah amat dikagumi. Ia bukan sahaja mempamerkan bakat seni malah ia turut mempamerkan kemahiran pengiraan yang pelu dilakukan bagi menghasilkan bentuk geometri yang tepat. 

Tidak seperti hari ini yang kebanyakan motif dihasilkan dengan menggunakan mesin dan pengiraan komputer, para seniman Islam dahulu perlu melakukan semua pengiraan secara manual dengan ilmu yang mereka perolehi.

Antara medium yang digunakan dalam menghasilkan hiasan corak geometri ialah kayu, gading, kaca dan jubin. Di Iran, corak geometri banyak digunakan dalam teknik hiasan yang dikenali sebagai Khatam Kari (tatahan) di atas artifak yang berasaskan kayu.

Antara artifak di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) yang dihiasi dengan corak geometri ialah pintu kayu, kotak kayu, panel tingkap, seramik dan panel hiasan dinding dan siling. Terdapat juga corak geometri yang digabungkan dengan corak tumbuhan dalam satu kerja seni.

Panel hiasan siling yang menggabungkan corak geometri dan corak tumbuhan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan