Sabtu, 21 Julai 2012

Perbincangan Tentang Hadith Dhoief - Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim Bab 1


sumber : http://jomfaham.blogspot.com/2009/05/perbincangan-tentang-hadith-dhoief-al.html


Perbincangan Tentang Hadith Dhoief - Al Sheikh Muhammad 

Zaki Ibrahim Bab 1

Pendahuluan 

Antara perkara bid'ah yang agak buruk yang sering terhambur melalui kata-kata mereka
yang terlalu ghairah mendakwa sebagai pejuang sunnah, tauhid dan tajdid ialah keterlaluan
dalam mempertikaikan hadith dhoief sehingga menimbulkan tanggapan bahawa hadith
dhoief adalah hadith batil dan dusta. Mereka menganggap hadith dhoief sebagai perkara
yang keji dan fasik.

Disiplin ilmu sebenarnya bukan begitu. Ini kerana hadith dhoief ada ruang dan peranannya
yang diterima dari sudut syarak. Meletakkan hadith dhoief bagaikan seperti hadith
maudhu' (palsu) termasuk dalam ertikata kezaliman terhadap ilmu dan agama. Ini
kerana hadith dhoief ialah hadith yang tidak memenuhi dengan lengkap syarat-syarat
hadith sahih. Dengan kata lain, ada kesahihan dalam hadith tersebut akan tetapi
ia tidak sempurna. Oleh kerana itulah para ulama memasukkannya dalam
senarai hadith yang maqbul (diterima), bukannya hadith yang ditolak
dalam segenap segi. Lantaran itu sesetengah ulama menggalakkan beramal dengan
hadith dhoief pada tempatnya.

Saya tahu kenyataan ini tidak disenangi oleh sesetengah orang. Namun mencari
redha ALlah lebih berkewajipan walaupun tidak disenangi oleh orang ramai.

Kitab-kitab yang memuatkan hadith sahih amat banyak. Hadith-hadith sahih
bukanlah semata-mata hadith yang dikumpulan oleh Imam al Bukhari atau
Imam Muslim sahaja.

Saya tidak menemui adanya nas dalam agama ALlah atau pun isyarat menunjukkan
pembatasan hadith sahih terhadap kedua-dua kitab ini sahaja. Membataskan penerimaan
hadith setakat kedua-dua kitab ini sahaja merupakan satu bentuk kefanatikan dan
keraguan terhadap ilmu tanpa berdasarkan ilmu pengetahuan.

Dalam kitab Huda al Abrar 'Ala Tal'ati al Anwar dan kitab Idha'ah al Halik yang ditulis
oleh Imam Ibn al Hajj al 'Alawi, kitab al Jami' oleh Safiyuddin al Hindi dan kitab
al Minhal al Latif serta kitab-kitab lainnya ada menyebutkan: Kitab-kitab 
yang mana kesemua hadith yang termuat di dalamnya dinisbahkan sebagai 
hadith sahih menurut kesepakatan jumhur ahli hadith ialah :

1. Sahih Al Bukhari
2. Sahih Muslim
3. Al Muwatta' oleh Imam Malik
4. Al Muntaqa oleh Ibn al Jarun
5. Sahih Ibn Khuzaimah
6. Sahih Ibn 'Awwanah
7. Sahih Ibn al Sakan
8. Sahih Ibn Hibban
9. Al Mustadrak al Hakim (setelah dibuat pengesahan melalui hafalan semula
oleh al Dzahabi dan al Iraqi). Sebahagian mereka turut memasukkan Musnad Ahmad.
10. Kitab al Mustakhrajat yang sedia dimaklumi di kalangan ulama.

Kesemua kitab ini yang sedia dimaklumi di kalangan ulama hanya memuatkan
hadith yang sahih. Selain daripada kitab-kitab ini, terdapat hadith yang sahih, hasan dan dhoief.

Menurut kaedah (ahli hadith) dalam menisbahkan sesuatu hadith kepada perawinya tidak
boleh didahulukan nama lain selain al Bukhari (jika hadith terbabit ada diriwayatkan oleh
al Bukhari). Jika hadith tersebut ada dimuatkan dalam al Bukhari dan Muslim, mereka
turut menyebutkan nama Muslim disebabkan ketelitiannya dalam menyaring lafaz yang
benar-benar diucapkan oleh Nabi.

Oleh itu, pandangan yang memestikan berpegang dengan hadith yang terdapat dalam
sahih Bukhari dan Muslim semata-mata dengan anggapan hanya kedua-dua kitab ini sahaja
yang memuatkan hadith yang sahih, bukannya pandangan yang bersandarkan ilmu atau agama.

Pembahagian Hadith

Ahli hadith bersepakat bahawa ada tiga pembahagian hadith yang paling penting iaitu:

1. Hadith Sahih : Berada pada kedudukan teratas.
2. Hadith Hasan : Berada di kedudukan pertengahan.
3. Hadith Dhoief : Berada pada kedudukan paling bawah kerana ia tidak mencukupi
syarat-syarat hadith hasan.

Adapun hadith maudhu' (palsu) maka ia terkeluar daripada skop yang kita bincangkan,
 kerena ia adalah suatu kekejian. Ia tidak boleh diterima dengan kesepakatan semua ulama.

Hadith Dhoief Terbahagi Kepada Dua :

Pertama

Kedhoiefan boleh ditampung (diperkuatkan) apabila terdapat hadith dhoief yang sama
tetapi melalui jalan-jalan periwayatan yang lain. Syaratnya perawi yang dhoief itu
lemah dari sudut daya hafalannya, atau kedhoiefan disebabkan periwayatan secara
mursal (iaitu tidak disebutkan nama sahabat Nabi dalam rangkaian sanad).

Dalam hal ini, apabila terdapat hadith yang sama kandungannya melalui jalan-jalan
periwayatan yang lain, maka hadith tersebut naik martabatnya kepada hadith hasan
lighairih (iaitu bertaraf hasan disebabkan adanya riwayat yang lain). Oleh itu, ia termasuk
dalam senarai hadith maqbul (diterima) dan boleh dibuat hujah sehinggakan dalam
soal hukum-hakam.

Kedua

Kedhoiefannya tidak boleh ditampung, walaupun terdapat banyak jalan periwayatannya.
Ia dinamakan sebagai al-wahi (sangat lemah). Hal ini berlaku sekiranya perawi itu
ternyata seorang yang fasik atau dituduh berbohong.

Para ulama mengatakan :

Hadith yang seperti ini, jika diperkukuhkan dengan bukti-bukti dan riwayat-riwayat yang
lain, maka tarafnya naik melebihi daripada taraf hadith munkar atau hadith yang tidak ada
asalnya. Pada ketika itu ia tidak boleh diamalkan dalam hal-hal aqidah dan hukum-hakam.
Sesetengah ulama mengatakan ia juga tidak boleh dijadikan rujukan untuk penafsiran al Quran.

Dengan itu, menerima pakai hadith dhoief dalam segala jenis amalan yang berbentuk
menggemar dan menakutkan, dalam soal adab, sejarah, ketatasusilaan, kisah tauladan 
dan seumpamanya adalah dibolehkan. 

Perkara ini telah disepakati (ijma') oleh para ulama seperti yang dinukilkan oleh
Imam al Nawawi, Ibn Abdul Barr dan selain mereka. Malah Imam An Nawawi menukilkan
pandangan ulama bahawa dalam hal-hal tersebut disunatkan beramal dengan hadith dhoief.
(Perkara yang sunat termasuk dalam himpunan Usuluddin dan hukum hakam syarak).

Kami mengatakan :

Penerimaan hadith dhoief dalam perkara-perkara terbabit bersyaratkan jangan terlalu
kuat kedhoiefannya. Ia hendaklah dijadikan sebagai asas yang termasuk dalam kaedah
syarak yang menyeluruh, dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith
yang sahih. Ini merupakan pandangan Ibn Hajar, al Sakhawi dan selainnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan