Khamis, 5 Julai 2012

SEJARAH TARIQAH NAQSHBANDIYAH KHALIDIYAH DI NUSANTARA



SEJARAH TARIQAH NAQSHBANDIYAH KHALIDIYAH DI NUSANTARA

Syeikh Ismail Minangkabawi Penyebar Tariqah Naqshbandiyah Khalidiyah Pertama Di Nusantara

Kedatangan Syeikh Ismail Al-Minangkabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, "Tuhfatun Nafis". Menurut Ensiklopedia Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah. Sanggahan adalah sebagai berikut, bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi jauh lebih muda dari gurunya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani. Mengenai kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani ada yang menyebut tahun 1133 Hijrah/1720 Masehi, 1153 Hijrah/1740 Masihi dan 1183 Hijrah/1769 Masehi. Yang pasti, sewaktu masih kanak-kanak Syeikh Ismail Al-Minangkabawi telah dibawa oleh ayahnya berpindah ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Utsman Ad-Dimyathi yang hidup dalam tahun 1196 Hijrah/1782 Masehi atau 1265 Hijrah/1848 Masehi. Oleh sebab Syeikh Ismail Al-Minangkabawi adalah murid Syeikh Utsman Ad-Dimyathi, maka tahun kelahirannya dapat kita bandingkan dengan tahun kelahiran beberapa orang murid Syeikh Utsman Ad-Dimyathi yang lain, seumpama Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan yang lahir tahun 1232 Hijrah/1816 Masihi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, lahir tahun 1233 Hijrah/1817 Masihi dan lain-lain. Jadi jelaslah bahawa tahun 1125 Hijrah/1713 Masihi yang dinyatakan tahun kelahiran Syeikh Ismail Al-Minangkabawi itu adalah ditolak berdasarkan fakta sejarah. Dari semua karya Syeikh Ismail Al-Minangkabawi yang ditemui, yang nyata tercatat tahun selesai penulisan hanya sebuah saja, iaitu "Ar-Rahmah Al-Habitah Fi Zikri Ismi Az-Zati Wa Ar-Rabitah" yang diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Ini sudah cukup untuk menyanggah kenyataan bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi wafat pada tahun 1160 Hijrah/1747 Masihi itu, bahkan beliau masih hidup hingga tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Menurut Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair dalam "Nashrun Naur Waz Zahar", bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi wafat melampaui tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi.

Syeikh Ismail bin Abdullah Al-Minangkabawi Al-Khalidi Asy-Syafi'i lahir di Minangkabau dan semenjah kecil beliau telah mengikut ayahnya berpindah ke Mekah Al-Musyarrafah. Beliau belajar pelbagai ilmu kepada Syeikh Utsman Ad-Dimyathi. Setelah ulama besar itu wafat, Syeikh Ismail Minangkabawi belajar pula kepada Syeikh Ahmad Ad-Dimyathi. Selain kedua ulama itu, Syeikh Ismail Minangkabau juga belajar kepada ulama-ulama lain dalam Masjidil-Haram, Mekah dan sempat belajar dari Mufti Mazhab Syafie pada ketika itu iaitu Syeikh Muhammad Sa'id bin Ali Asy-Syafi'i Al-Makki Al-Qudsi, wafat tahun 1260 Hijrah/1845 Masihi. Ulama dunia Melayu yang menjadi gurunya yang dapat diketahui secara pasti hanyalah Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani.

Mengenai Thariqat Naqshbandiyah Khalidiyah, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi telah menerima Bai'ah dan Tawajjuh dari Sayyid Abi 'Abdillah bin 'Abdullah Afandi Al-Khalidi iaitu murid kepada Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi. Sebelum itu, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi juga telah menerima Bai'ah dan Tawajjuh secara langsung dari Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi. Dari sinilah permulaan nama Silsilah Tariqah Naqshbandiyah ada terdapat istilah Al-Khalidiyah dalam Thariqat Naqshbandiyah kerana Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi adalah seorang Mujaddid dalam Tariqat Sufiyah. Tercatat dalam sejarah bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi adalah seorang ulama yang sangat kuat melakukan ibadah dan beramal dengan Tariqat Naqshbandiyah Khalidiyah dan Tariqat Syaziliyah serta giat mengajar, mengarang, tilawah Al-Quran, berwirid dan berzikir sama ada pada waktu siang mahupun malam sehinggalah beliau wafat di Mekah tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi. Tidak tercatat suatu pekerjaan yang dilakukannya sepanjang siang dan malam selain yang tersebut itu.

Karya Syeikh Ismail Al-Minangkabawi berupa kitab maupun risalah yang ditemui adalah sebagai berikut:

1. Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah, diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf, khusus mengenai rabitah secara mendalam. Kitab ini merupakan terjemahan sebuah karya murid beliau sendiri, seorang Arab yang bernama Syeikh Husein bin Ahmad Ad-Dausari yang meninggal dunia dalam tahun 1242 Hijrah dalam usia hanya 39 tahun. Dari terjemahan kitab ini, kita banyak memperoleh informasi tentang diri Syeikh Ismail Al-Minangkabawi. Di antara petikan kalimatnya, "Dan adalah demikian itu dengan mengerjakan yang dia yang amat hina Ismail ibni 'Abdullah yang Syafie mazhabnya, Al-Ash'ari 'akidahnya, yang Syazili Tariqatnya kemudian lagi Naqshbandi Khalidi Tariqatnya juga yang menumpang ia atas Ahli 'Ilmi di dalam Tanah Haram yang Makki yang maha mulia ia. Barang ditobatkan oleh Allah juga atasnya dan maaf daripadaNya oleh Tuhannya yang amat murah lagi amat penyayang. Dan adalah demikian itu di dalam Kampung Teluk Belanga dengan pertolongan Shah Amir yang dibesarkan dan ikutan yang dimuliakan ialah Amir Ibrahim bin Al-Marhum Amir Abdur Rahman At-Tamanqum Seri Maharaja.'' Yang dimaksudkan dengan perkataan At-Tamanqum ialah Temenggung. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, akhir Jamadilawal 1325 Hijrah, diusahakan oleh Syeikh Abdullah Al-Baz.

2. Risalah Muqaranah Sembahyang, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan niat sembahyang. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Bahiyah Al-Mashriyah, 1309 Hijrah. Dicetak atas zimmah Umar bin Khathib Abdus Shamad Al-Jawi, Jiyad. Selanjutnya ada cetakan pertama yang dikombinasi cetak dengan Bulughul Maram karya Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani oleh Mathba'ah Al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1310 Hijrah.

3. Kifayatul Ghulam fi Bayani Arkanil Islam wa Syurutihi, tanpa tarikh.
Kandungannya membicarakan Fiqah bahagian rubu' ibadat. Terdapat berbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Mathba'ah Mustafa Al-Babi Al-Halabi, Mesir, 1340 Hijrah. Kitab ini ditashih oleh beberapa orang di antaranya, Haji Abdullah bin Ibrahim Al-Qadhi Kedah.

4. Al-Muqaddimatul Kubra allati Tafarra'at minhan Nuskhatus Shughra, tanpa tarikh. Hanya terdapat tahun selesai penyalinan naskhah pada hari Selasa, sesudah sembahyang Zohor pada 15 Jamadilawal 1305 Hijrah di Mekah oleh 'Abdus Samad Kelantan. Kandungannya membahas ilmu 'Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara mendalam. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Amiriyah, Bulaq, Mesir tertulis di halaman depan dinyatakan tahun 1309 Hijrah dan di halaman akhir dinyatakan Rabiul Akhir 1310 Hijrah. Di bahagian tepi dicetak kitab berjudul "Muqaddimatul Mubtadin" oleh pengarang yang sama. Pada halaman akhir dicatat sebagai penjual ialah Syeikh Abdullah Al-Baz di Kampung Babus Salam, Mekah. Kitab ini ditashih Syeikh Ahmad Al-Fathani.

5. Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan pada hari Rabu 30 Safar, sesudah sembahyang Zohor, tanpa menyebut tahun. Kandungannya membahas ilmu akidah secara mendalam. Dicetak di bagian tepi kitab Al-Muqaddimatul Kubra.

6. Mawabib Rabbil Falaq Syarh Bintil Milaq. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan terjemahan dan syarah Qashidah al-'Arif Billah al-Qadhi Nashiruddin ibni Bintil Milaq asy-Syazili. Sebagian besar kandungannya membicarakan Thariqat Syaziliyah. Kitab ini termasuk dalam kategori kitab nadir, telah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab. Saya memperoleh kitab ini pertama sekali daripada bekas milik Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor Darul Ehsan, tarikh 28 Rejab 1417 Hijrah/9 Disember 1996 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Makkah Al-Mahmiyah, pertengahan Zulkaedah 1306 Hijrah.

Sewaktu Syeikh Ismail bin Abdullah Al-Minangkabawi wafat, beliau telah meninggalkan dua orang putera yang menjadi ulama, iaitu Syeikh Azhari (wafat 1303 Hijrah/1886 Masihi) dan Syeikh Muhammad Nur (1313 Hijrah/ 1895 Masihi). Syeikh Azhari bin Syeikh Ismail Al-Minangkabawi ketika wafat meninggalkan dua orang anak iaitu Salim dan Ismail. Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail Al-Minankabawi pula memperoleh dua anak perempuan. Salah seorang darinya menjadi isteri kepada Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Minankabawi Al-Azhari, tokoh Tajdid yang sangat terkenal itu. Kedua anak Syeikh Ismail Al-Minangkabawi tersebut meneruskan kegiatan di rumah pusaka beliau yang dinamakan Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah telah menjadi tumpuan atau tempat berkumpul orang-orang yang berasal dari dunia Melayu, terutama Ikhwan Tariqah dan Kerabat Diraja Riau-Lingga. Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah itu telah dibina dan dimulai oleh Syeikh Ismail Al-Minangkabawi sendiri dan sewaktu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji pergi ke Mekah pada tahun 1243 Hijrah/1828 Masihi, beliau menghulurkan dana wakaf yang banyak kepada Syeikh Ismail Al-Minangkabawi. Dana wakaf tersebut kemudian diteruskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau-Lingga, para murid beliau. Murid Syeikh Ismail Al-Minangkabawi dari golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahupun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain.

Kesimpulan dari seluruh perbincangan bahawa Tariqat Naqshbandiyah aliran al-Khalidiyah di dunia Melayu, dimulai oleh Syeikh Ismail Al-Minankabawi di Mekah, kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Pondok Upeh di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan