Jumaat, 3 Ogos 2012

Ramadan bukan pesta



Ramadan bukan pesta

SECARA umum, semua orang memahami dan mengetahui Ramadan adalah bulan puasa iaitu bulan menahan lapar dan dahaga. Tetapi kini, Ramadan pula dikatakan bulan pesta makan dengan pelbagai juadah dijual di bazar Ramadan. Semuanya menguji keimanan dan nafsu makan kepada setiap umat Islam.

Makanan pada masa kini membabitkan pelbagai juadah, kuih-muih dan juga bermacam-macam jenis nasi dan roti. Oleh itu, Ramadan mestilah dihayati dan dimanfaatkan sebagai bulan berlapar dahaga buka bulan pesta makan.

Di masjid pada masa dulu tiada moreh seperti sekarang yang ditaja daripada berbuka hinggalah bersahur. Ada masjid yang membuat tajaan RM100 bagi satu bahagian dan satu malam ada 12 hingga 14 bahagian. Ini bermakna sebanyak RM1,200 hingga RM1,400 semalam. Ada masjid mengambil katering untuk penyediaan makanan. Semua ini tidak salah. Tetapi seharusnya tidak membazir kerana membazir adalah mengikut perangai syaitan.

Jika dulu tiada bazar Ramadan yang menyediakan kuih-muih dan pelbagai makanan yang enak-enak seperti sekarang. Kalau adapun jemputan berbuka puasa di rumah orang yang berada sedikit seperti guru, ketua kampung dan penghulu. Itupun makanannya tidak mewah seperti sekarang.

Kini, jika pergi bazar Ramadan kecur air liur kerana mengingini sesuatu makanan. Ada juga tajaan berbuka di hotel mewah yang menyediakan pelbagai makanan enak.

Sebagai peringatan di bulan Ramadan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Hidangan makanan untuk dua orang seharusnya cukup untuk tiga orang dan makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang. (riwayat al-Bukhari). Di sinilah terdapatnya falsafah tersirat di bulan Ramadan.

Tetapi perlu diingat penyediaan makanan yang bersih dan selamat dimakan mestilah diutamakan terutama di bazar Ramadan. Penyediaan makanan dari awal pagi mungkin tidak selamat dimakan. Ada peniaga yang menggunakan tangan yang sama untuk membungkus makanan dan mengambil wang. Perlu diingat wang penuh dengan kotoran dan beribu-ribu tangan memegangnya.

Kesedaran tentang perkara ini masih lagi rendah. Di samping itu ada juga peniaga yang mendedahkan makanan di tempat panas dalam keadaan yang terbuka dan terlalu lama yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Kita tidak mahu ada pembeli yang terkena keracunan makanan seperti mangsa yang boleh menyebabkan meninggal dunia selepas menikmati juadah berbuka puasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan