Rabu, 23 Januari 2013

Makam Laksamana Bentan di Kota Tinggi

Assalamu'alaikum,

Ini artikel terakhir sebelum menyambut Maulidur Rasul malam ini. Biasanya, hamba kurangkan sedikit kerja keras pada waktu siang agar dapat menyambut Maulidur Rasul. Semenjak 1419 Hijrah, hamba tidak pernah ketinggalan menyambut Maulidur Rasul bersama isteri dan anak-anak. Sebelum itu, cara menyambutnya lain sedikit. Dalam setahun Hijrah, antara hari yang hamba tunggu-tunggu adalah Maulidur Rasul. Walaupun lima beranak di UK, kami tetap menyambutnya dengan 'cara kami', tahun 2007, 2008 dan 2009. Tahun 2010, kami menyambutnya enam beranak dengan kelahiran anak keempat. Kadang-kadang anak-anak pun dah tertidur-tidur semasa hamba dan isteri 'menyambutnya', tetapi kami tetap menyambutnya. 

Maulidur Rasul 'wajib' disambut bagi pengamal tasawuf. Dalil dan hujahnya tidak perlulah hamba kemukakan di sini. Boleh cari sendiri dalam Al-Quran dan Al-Hadis atau cari dalam blog hamba (klik label Maulidur Rasul) atau baca dalam pelbagai kitab tulisan ulamak. Apabila barangsiapa yang bergelar ulamak, Profesor, pemimpin apa sahaja pertubuhan/organisasi, atau sesiapa sahaja pemimpin dalam kalangan masyarakat mempertikaikan Maulidur Rasul, maka hamba katakan kepada orang-orang sebegini, "Hamba amat simpati dengan anda. Anda tidak merasai kehebatan Maulidur Rasul. Anda rugi kerana beribu, berpuluh ribu, berjuta umat manusia merasai manfaat Maulidur Rasul, anda tidak merasai kehebatan dan kelazatan Maulidur Rasul. Anda berpendapat suatu perkara sebagai bidaah dan sebagainya berdasarkan ilmu anda yang sempit, tetapi anda sendiri tidak menyelaminya. Sebagai umat Muhammad SAW, anda sememangnya rugi. Orang lain menyukai dan menunggu serta memanfaatkan Maulidur Rasul, anda rugi dan benar-benar rugi".

Makam Laksamana Bentan merupakan makam terakhir (12 November 2012) sebelum hamba sekeluarga bertolak dari Pasir Gudang ke Melaka pada 13 November 2012. Bertanyakan beberapa orang dan mendapat sedikit petua, kami sekeluarga sampai ke sini. Jangan tanya hamba sama ada ini makamnya yang betul atau tidak, yang penting ini 'makam rasminya di dunia ini setakat ini'. Hamba cuba menyelami hati, jiwa dan perasaan Dato' Laksamana Bentan, berperang untuk negara dan taat setia pada Sang Raja, tetapi dibalas sedemikian rupa. Memang, tak dapat nak dibayangkan hati, jiwa dan perasaan Laksamana Bentan. Cukuplah sejarah mengajar kita akan kezaliman Raja-Raja Melayu. Peristiwa ini amat perit untuk dirakamkan dalam sejarah Melayu tetapi ia telah terakam dalam lipatan sejarah dan tiada siapa mampu mengubahnya. Kita hanya boleh mengambil pengajaran agar tidak melakukannya kali kedua.  Hampir-hampir sejarah ini berulang kembali!!!

Keluarlah Sultan/Raja Melayu kini dari mimpi dan igauan di siang hari, berdiri di atas bumi yang nyata. Jangan dibuai lena yang panjang, jangan dibuai sejarah yang hebat, jangan seronok dipuja orang-orang sekeliling yang sekadar mempergunakan anda untuk sedikit habuan dunia. Jadilah Raja dan Sultan yang berdaulat, yakni mempunyai 'kekuasaan zahir dan batin ke atas negeri anda'.

Tidak susah untuk Sultan/Raja Melayu mendapatkan daulat mereka. Jadilah hamba Allah, sebenar-benar hamba. Belajarlah ilmu agama, ramai ulamak yang akan sudi membantu. Apa nak dimalukan, masuk kubur, tak bawa semua harta dan kedudukan di dunia yang fana. Kalau telah diwarisi dengan kemewahan, kongsikan kemewahan itu dengan rakyat jelata, bukan dengan bermegah-megah dalam kalangan masyarakat yang hidup susah dan punah. Ingatlah pesan Al-Quran, kalau kamu syukuri nikmat-KU, akan KU tambah lagi...Berdampinglah dengan mereka yang mukmin, bukan mereka yang munafik. Jangan malu bersahabat dengan rakyat jelata. Jangan mengharapkan rakyat menyanjung Sultan/Raja mereka seperti dahulu. Dunia dah berubah.

Tinggalkan segala kemungkaran dan kemaksiatan yang bertakhta di hati, bermaharajalela di istana dan dalam lingkungan keluarga. Zaman sekarang zaman IT, 1001 perkara di istana dikongsi seantero dunia. Jangan mengharapkan rakyat 'setia kepada Raja' kalau Raja tidak berperanan sewajarnya. Hadapi realiti zaman kini. Kata-kata Hang Jebat masih berbisa sehingga kini, Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim, Raja Disanggah'. Terdapat beberapa orang Sultan yang hamba hormati kerana menunjukkan mereka memahami zaman dah berubah, seperti Sultan Kelantan. Berubahlah wahai para Sultan dan Raja Melayu walaupun dah begitu berusia. Tidak terlambat mengusahakan sesuatu yang baik walaupun anda diliputi oleh 1001 perkara yang buruk sebelumnya. Rakyat akan semakin menghormati dan menyayangi anda sekalian. Berubahlah demi Allah dan Rasul. Wassalam.




Makam ini di luar makam berbumbung

Dalam kawasan berbumbung, dikatakan terdapat Makam Laksamana Bentan dan isterinya Dang Anum





Batu membina makam ini batu lama

Maghrib pun dah dekat...

Sebuah rumah usang bersebelahan makam

Sebuah makam misteri di depan rumah usang tersebut


Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di Daerah Kota Tinggi. Perjalanan ke Makam ini hanya sejauh dua km dari bandar Kota Tinggi. Dipercayai di sinilah telah disemadikan Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, pahlawan Melayu terbilang dan isterinya Dang Anum.

Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai Panglima angkatan laut Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk solat Jumaat.

Ini disebabkan dendamnya terhadap tindakan Sultan yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya sewaktu ketiadaan beliau mempertahankan negeri daripada serangan musuh. Dang Anum yang sedang mengandung telah dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh memakan seulas nangka yang diambil dari kawasan larangan Diraja.
Makam Laksamana Bentan dan Isterinya Dang Anum
Namun demikian, Sultan sempat menikam balas Megat Seri Rama dan melafazkan sumpah bahawa "Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi selama tujuh keturunan". Peristiwa ini terkenal dengan 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'.

Susunan batu bata bersaiz besar yang digunakan untuk membina tembok makam ini dipercayai adalah sebuah kota pertahanan pada zaman kesultanan melayu silam. Kedudukan di atas tebing tinggi Sungai Johor ini sangat sesuai digunakan sebagai tempat beristirehat dan meninjau kedatangan musuh.

Sumber: Jabatan Muzium Kota Tinggi


sumber : http://badar-betty.blogspot.com/2009_06_01_archive.html


akam Laksamana Bentan

Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama, menurut sejarah beliau berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai Panglima Angkatan Laut Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk solat Jumaat. Ini disebabkan dendamnya terhadap tindakan Sultan Mahmud II yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas isterinya Dang Anum sewaktu ketiadaan beliau mempertahankan negeri Johor dari serangan musuh. Dang Anum telah dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh memakan seulas nangka yang diambil dari kawasan larangan Diraja.

Namun demikian Sultan sempat menikam balas Megat Seri Rama dan melafazkan sumpah bahawa "Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi selama tujuh keturunan". Peristiwa ini terkenal dengan 'Sultan Mahmud Mangkat DiJulang'.

Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di Daerah Kota Tinggi. Dipercayai disinilah disemadikan Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan, pahlawan melayu terbilang dan isterinya Dang Anum.


Al-Fatihah.....




Tiada ulasan:

Catat Ulasan