Assalamu'alaikum,
Kita jangan beriman dengan sistem demokrasi, itu yang penting. Ramai pemimpin hari ini yang beriman dengan sistem demokrasi, itu yang menyebabkan perkara harus jadi makruh dan haram. Demokrasi memang ciptaan manusia, maka dalam suasana sekarang, kita harus sentiasa memohon petunjuk Allah untuk menghadapinya, jangan memecah-belahkan lagi umat Islam dalam 'menghadapi demokrasi' ini.. Nak mengundi atau tidak, nak mengundi calon mana, mohonlah petunjuk Allah, itu yang paling tepat dalam membuat keputusan. Kalau ditunjuki untuk mengundi, perlilah mengundi. Nak undi siapa, mintalah petunjuk-NYA jua. Tiada petunjuk yang benar melainkan dari-NYA.
Nampaknya bahang politik di Malaysia semakin hangat, apatah lagi dengan pilihanraya umum 'mesti' diadakan sebelum April 2013. Isu politik merupakan antara isu yang paling hamba kurang gemar untuk mengulas. Nampaknya umat Islam di Malaysia telah 'termakan hasutan iblis dan syaitan', 'masuk jerat Yahudi dan Nasrani'. Politik menjadi darah-daging kepada sebahagian umat Islam di Malaysia, sebahagian umat Islam dan sebahagian pemimpin yang beragama Islam 'tidak boleh hidup' jika tiada isu politik. Semua perkara hendak dipolitikkan. Dari isu peribadi, keluarga, kebajikan, tanggungjawab dan 1001 isu hendak dipolitikkan. Kedua-dua pihak, pemerintah semasa dan pembangkang, hamba kira 'sama-sama naik'.
Kalau kita berlapang dada, berhati terbuka, kita akan sedih melihat sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Faham politik lebih penting daripada penyatuan dan perpaduan Islam. Benci-membenci sesama Islam 'seperti melebihi' benci-membenci kepada yang bukan Islam. Mana rahmat Islam yang dibawa. Sedangkan RSAW pun 'tidak membenci' orang bukan Islam dan mendekati mereka itu dengan penuh hikmah dan kasih-sayang.Itulah kaedah dakwah yang sebenar. Sedangkan ramai orang politik sekarang begitu jauh dari kaedah RSAW walau apa gelaran, pangkat, jawatan yang disandang dan sanjungan masyarakat kepada mereka. Betullah, 'keharusan melibatkan diri dengan sistem demokrasi' untuk mempertahankan Islam dan mengembangkan Islam telah disalahgunakan oleh ahli-ahli politik Islam masa kini.
Masa yang kita habiskan dengan aktiviti politik adalah terlalu banyak, masa yang kita habiskan dengan 'Allah Taala' adalah terlalu sedikit. Apabila kita kembali kepada Allah, maka barulah kita sedar sebahagian besar usia kita dihabiskan dengan kegiatan yang sia-sia. Betapa ramai yang menjangkakan perjuangan politik mereka adalah jihad agama tetapi 'adakah jihad mereka itu diterima Allah'. Berapa ramai pengikut parti politik memutuskan silaturrahim kerana perbezaan ideologi politik sedangkan memutuskan silaturrahim adalah salah satu dosa besar dalam Islam.
Hamba pernah terlibat dengan politik dan kegiatan politik tetapi sekarang tidak lagi. Menjadi seorang yang tidak terlibat dengan politik membolehkan hamba melihat sesuatu perspektif dalam konteks yang lebih luas dan bersepadu, tidak terikat dengan politik kepartian, tidak terikat dengan ketaksuban, tidak terikat dengan kefanatikan. Apa yang membebaskan hamba dari politik? Tasawuf, perjalanan ilmu dan amal tasawuf 'membebaskan dan memerdekakan hamba dari politik', menjadikan hamba 'tidak bertuhankan politik', menjadikan hamba lebih dekat dengan Ilahi.
Kalau diikutkan, ada guru hamba yang merupakan penyokong setia parti pembangkang, ada guru hamba yang menyokong parti pemerintah, ada guru hamba yang tidak menyokong mana-mana parti, ada guru hamba yang tahu apa yang berlaku dalam pergolakan politik semasa tetapi 'hanya memerhati sahaja', ada guru hamba yang tidak berminat untuk ambil tahu dengan isu politik, ada guru hamba yang menjalin hubungan baik dengan kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang....dan macam2 lagi....tetapi itu tidak menjadikan hamba taat, taksub dan fanatik kepada mana-mana parti politik. Itu tidak menjadikan hamba menjauhkan diri daripada guru-guru hamba yang hamba kasihi ini. Itu tidak menjadikan hamba 'pening kepala', mana nak sokong?
Kalau nak diikutkan bab petunjuk dan hidayah-NYA, pembaca blog ini yang berpolitik atau cenderung kepada mana-mana parti politik mungkin akan lagi pening kepala. Hamba ringkaskan dengan bahasa yang mudah. Ada kebenaran disisi-NYA dalam parti pemerintah, ada kebenaran disisi-NYA dalam parti pembangkang. Ada kebatilan disisi-NYA dalam parti pemerintah, ada kebatilan disisi-NYA dalam parti pembangkang. Mudahkan! Segala yang berlaku adalah menurut kehendak DIA, bukan mengikut kehendak kita!!! Ini yang sukar difahami oleh ramai pihak dan hamba pun masih belajar untuk memahaminya. Kebenaran bukan milik mutlak kita, hamba-NYA. Kebenaran bukan milik mutlak sesuatu pihak. Kebenaran bukan milik mutlak pemerintah atau pembangkang. Kebenaran milik Allah, hak Allah. DIA sahaja yang tahu siapa yang benar disisi-NYA. DIA yang tahu niat, keikhlasan dan kejujuran hamba-hamba-NYA dalam memperjuangkan sesuatu perkara. Malangnya, kita ini yang merupakan makhluk ciptaan-NYA selalu leka apabila memperjuangkan sesuatu seperti 'kitalah Tuhan', mudah menghukum orang lain dengan pelbagai dalil. Ambillah kisah dan teladan perjuangan Wali Songo di Pulau Jawa dalam 'menghukum Sheikh Siti Jenar'.
Berbalik kepada bab politik pemerintah-pembangkang ini. Berapa ramai yang memperjuangkan 'kembali kepada Allah dan Rasul' dalam aktiviti politik. Begitu ramai yang memperjuangkan sokonglah kami, undilah kami, jangan undi pihak satu lagi dan lain-lain isu yang berkaitan. Berapa ramai orang politik yang memperjuangkan penyatuan ummah? Lebih ramai yang memperjuangkan perpecahan ummah!!! Itulah realiti, berlapang dadalah wahai para pembaca dan terimalah hakikat bahawa politik umat Islam di Malaysia semakin memecahbelahkan umat Islam...itulah yang hamba katakan telah 'termakan hasutan iblis dan syaitan', 'masuk jerat Yahudi dan Nasrani'. Lihatlah media-media massa yang dikuasai pemerintah dan pembangkang. Dengan pelbagai isu lucah, mengaibkan, fitnah dan umpatan, maki-hamun, 'kita saja benar, orang lain semua salah', asyik mencari kesalahan orang lain, tidak pernah mahu menginsafi kesalahan diri sendiri, tidak mahu mengakui kebenaran orang lain. Adakah ini ajaran Islam? Adakah ini tuntutan Islam? Adakah ini politik Islam (Siasah syar'iyyah)? Adakah ini disukai Allah dan Rasul?
Anda layarilah dan bacalah akhbar dan blog pemerintah dan pembangkang dan lihatlah komen-komen pembaca dibawahnya. Umumnya hamba katakan, banyak berita yang dimuatkan dan komen-komen ini 'terkeluar dari adab-adab dan landasan Islam', berlandaskan hawa-nafsu, akhirnya menjauhkan umat Islam dari penyatuan ummah, menjadikan pembaca lebih membenci parti satu lagi, menjadikan pembaca memusuhi pemimpin dan orang Islam yang lain, menjadikan pembaca hanya melihat keburukan sesuatu pihak, menjadikan pembaca taksub dan fanatik dengan berita dari parti mereka sahaja, 'menyiram minyak ke dalam api yang sedang marak, bukannya menyiram air', menunjukkan akhlak semasa umat Islam iaitu semakin kurang beradab dan kurang berakhlak. Ibu-bapa yang berpolitik mendidik, mengasuh dan mewarisi anak-anak mereka dengan fikrah, nilai-nilai yang mereka pegang. Jadilah umat Islam, dari tua hingga ke muda, semakin berpecah akibat politik, bukannya semakin bersatu akibat politik. Siapa yang bertanggungjawab dan harus dipertanggungjawabkan?
Lihatlah isu aqidah, isu makanan halal, isu riba dan lain-lain isu penting yang melanda umat Islam hari ini yang dianggap sebagai tidak penting, tidak mendapat sambutan masyarakat. Tetapi apabila 'ceramah politik', berduyun-duyun orang Islam turun, nak dengar cerita. Lihatlah sendiri bagaimana umat Islam bergembira mendengar fitnah dan umpatan, makian dan kejian terhadap saudara seagama mereka sendiri kerana pertelagahan politik. Anda pun sama, mungkin tumpang gembira dan ketawa berdekah-dekah mendengar ucapan dan ceramah politik yang tiada nilai ini. Maaflah hamba katakan, kekadang 'bertakbir tidak kena tempat', hanya suara yang kuat, tetapi tiada 'roh di dalam takbir itu'. Lihatlah majlis politik yang disulami dengan aktiviti maksiat, iaitu konsert dan lain-lain aktiviti kemaksiatan, berduyun-duyun umat Islam menghadirinya. Insaflah diri dengan suasana politik semasa, umat Islam lebih suka 'berkawan' dengan orang bukan Islam daripada 'bersahabat dan berpakat' dengan orang Islam dari parti yang berbeza!
Anda layarilah dan dengarlah sendiri di Youtube, beratus-ratus dan beribu-ribu ceramah politik yang dimuatnaikkan. Buatlah kajian sendiri, berapa peratus dalam beratus ataupun beribu ceramah politik ini yang mengajak umat Islam ke arah perpaduan, penyatuan ummah? Berapa peratus yang mengajak kembali kepada 'Allah dan Rasul'? Anda pasti menemui kesimpulan seperti hamba, iaitu tajuk artikel ini, iaitu ceramah-ceramah dan aktiviti politik ini merosakkan diri dan ummah!!!
Berapa ramai ahli politik yang mengajak pengikutnya dan orang ramai ke arah kasih-sayang sesama umat Islam, menghormati manusia lain yang bukan beragama Islam? Berapa ramai yang menggunakan pendekatan Baginda RSAW, pendekatan kasih-sayang, bersabar, hikmah dan kebijaksanaan dalam berdakwah, mendekati pihak musuh, pihak lawan. Berapa ramai ahli politik yang sabar sebagaimana RSAW dilempar najis dan batu ketika berdakwah, menziarahi Yahudi yang sedang sakit yang selalu membuang sampah di depan rumah baginda SAW, bersabar menyuapkan roti ke dalam mulut Yahudi yang sering menyumpah-seranah baginda RSAW? Itulah contoh teladan terbaik ahli politik terhebat sepanjang zaman, bukannya ahli-ahli politik masa kini.
Kembalilah kita kepada Allah dan Rasul. Baca artikel lama hamba di sini. Jadikan tasawuf sebagai roh dan jiwa kita, bukannya politik sebagai roh dan jiwa kita. Insafilah diri sendiri bahawa suasana politik semasa tidak baik untuk umat Islam. Kalau anda pemimpin politik, bertanggungjawablah terhadap ucapan dan ceramah anda, ajaklah, didiklah, berdakwahlah ahli parti anda dan parti lawan dan saudara seagama kita dengan hikmah dan kebijaksanaan, dengan penuh lembut dan kasih-sayang. Walaupun anda ingin terus berpolitik, teruskanlah jika itu 'mendapat lampu hijau dari Allah', cuma berusahalah keluar dari 'kepompong parti politik' anda, yakni ketaksuban, kefanatikan, anda dengan parti politik anda, media parti politik anda, nilai-nilai dan perkara yang tidak betul dalam perjuangan politik parti anda. Jangan takut untuk menentang arus, kerana perjuangan anda dalam politik bukan mengharapkan imbuhan dunia tetapi untuk mencari keredhaan Allah. Berusahalah agar sentiasa berjalan di atas jalan yang lurus, hanya jalan yang lurus jalan yang benar disisi Allah...
Kita jangan beriman dengan sistem demokrasi, itu yang penting. Ramai pemimpin hari ini yang beriman dengan sistem demokrasi, itu yang menyebabkan perkara harus jadi makruh dan haram. Demokrasi memang ciptaan manusia, maka dalam suasana sekarang, kita harus sentiasa memohon petunjuk Allah untuk menghadapinya, jangan memecah-belahkan lagi umat Islam dalam 'menghadapi demokrasi' ini.. Nak mengundi atau tidak, nak mengundi calon mana, mohonlah petunjuk Allah, itu yang paling tepat dalam membuat keputusan. Kalau ditunjuki untuk mengundi, perlilah mengundi. Nak undi siapa, mintalah petunjuk-NYA jua. Tiada petunjuk yang benar melainkan dari-NYA.
Hamba sendiri memang lemah, tidak berdaya, melainkan dengan pertolongan dan bantuan dari Allah A.W.J. Ini antara yang mampu hamba lakukan dan sumbangkan dalam suasana semasa. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan untuk umat Islam di Malaysia dan rahmat Islam ini memayungi mereka yang bukan beragama Islam. Moga-moga akhlak dan contoh-teladan yang baik umat Islam akan dapat menarik orang bukan Islam ke arah Islam suatu hari nanti, Insya-Allah. Orang Islam di Malaysia kena bijaksana, bukan setakat pandai, wajib dapat melihat hakikat dan tersirat di sebalik sesuatu dalam mengusulkan sesuatu. Semoga pemimpin-pemimpin umat Islam semasa dari parti pemerintah dan pembangkang diberikan petunjuk-NYA, dibimbing-NYA untuk membuat keputusan-keputusan yang benar, keputusan-keputusan yang menguntungkan umat Islam di Malaysia.
Walaupun di
parti mana anda sokong, usahakan penyatuan Islam, perpaduan anak bangsa, jangan
ajar benci-membenci, didiklah dengan penuh kasih-sayang, ikutlah Sunnah RSAW
dalam mendampingi manusia...Strategi terbaik adalah strategi yang tidak dapat dibaca, tidak dapat difahami oleh musuh dan disalahfaham oleh musuh yang kelaknya mendatangkan kemenangan kepada umat Islam. Kalau faham kisah RSAW, strategi terbaik 'disusun oleh Allah AWJ sendiri'...bukan kita yang menyusunnya...
Wallahu'alam. Wassalam.
Wallahu'alam. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan