Sabtu, 29 Oktober 2016

ILMU TASAWWUF - ILMU MENGETAHUI NYAWA AGAMA ISLAM DAN HIKMAH


ILMU TASAWWUF - ILMU MENGETAHUI NYAWA AGAMA ISLAM DAN HIKMAH

Oleh : Prof Dr Burhanuddin Al Hilmy

Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu di zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau mâ warâ’a al-tabâ‘ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.

Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara wara‘nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Quran dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.

Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ‘ulama’-‘ulama’ kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba‘ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, [Syeikh] ‘Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot. Pada saya, tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bid‘ah.

Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940.

Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.

Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan.

Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.

Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus-peny.) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ‘ulama’-‘ulama’ Syi‘i dan ‘ulama’-‘ulama’ tasawwuf, sama ada ‘ulama’-‘ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ‘ulama-‘ulama’ fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.

Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.

Bila kita halusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan ‘ulama’-‘ulama’ tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.

Dipetik daripada buku Simposium Tasawwuf dan Tariqah oleh Prof. Dr Burhanuddin, hlm. 35-38.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan