Ahad, 16 Oktober 2016

MENJAWAB TOHMAHAN WAHHABI YANG ANTI BERMAZHAB


MENJAWAB TOHMAHAN WAHHABI YANG ANTI BERMAZHAB

Golongan Wahhabi sering menimbulkan syak keraguan bagi yang ingin bermazhab khasnya mazhab al-Shafie di Malaysia ini dengan menyatakan ia adalah seolah-olah bertentangan dengan mazhab para sahabat r.a.

Mereka sering mewar-warkan bahawa kita perlu ikut al-Quran dan al-Sunnah sahaja. Pernyataan mereka ini seolah2 mereka sahajalah yang ingin mengikut al-Quran dan al-Sunnah.

Pernyataan mereka ini juga bermaksud bahawa mengikut mazhab itu bererti tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah? Bahkan, lebih jauh lagi, mereka kata tak perlu ikut mazhab, tapi ikut dalil, sedangkan mereka pun orang awam yang sedang bercakap dengan orang awam.

Apabila seseorang berkata bahawa dia bermazhab al-Shafie, maka mereka cuba mengenengahkan soalan yang menimbulkan syak seperti:

"Kalau anda bermazhab al-Shafie, Saidina Umar al-Khattab r.a. itu bermazhab apa?"

Mereka berlagak seolah-olah merekalah yang mempertahankan Saidina Umar al-Khattab r.a., padahal dalam bab solat tarawih 20 rakaat mereka tidak pula mempertahankan mazhab Umar al-Khattab r.a.? Maka umat Islam masyarakat awam perlu berwaspada dengan sikap berpura-pura ini.

ANTARA ALASAN WAHHABI  ANTI MAZHAB

1. Rasulullah saw tidak pernah menyuruh kita untuk bermadzhab bahkan menyuruh kita mengikuti sunnahnya.

2. al-Qur`an dan Sunnah sudah cukup menjadi dalil dan hukum sehingga tidak di perlukan lagi Madzhab-madzhab.

3. Mazhab-mazhab itu adalah bidaah kerana tidak ada pada zaman Rasul.

4. Seluruh ulama Mazhab seperti Imam Syafi`i melarang orang-orang mengikuti mereka dalam hukum.

5. Bermazhab dengan mazhab tertentu bererti telah menolak sunnah Nabi Muhammad SAW.

6. Pada Zaman sekarang sudah semestinya kita berijtihad kerana dihadapan kita telah banyak kitab-kitab hadits, Fiqih, ulumul Hadits dan lain-lain, kesemuanya itu mudah didapati.

7.  Para Ulama Mazhab adalah manusia biasa, bukan seorang nabi yang maksum dari kesalahan, semestinya kita berpegang kepada yang tidak maksum yaitu hadits-hadits Rasulullah.

8. Setiap hadits yang shahih wajib diamalkan, tidak boleh menyalahinya dengan mengikuti pendapat ulama madzhab.

HAKIKAT SEBENAR BERMAZHAB

Mengikut mazhab yang empat pada hakikatnya mengikut mazhab para sahabat dan tabien kerana ulama’ mazhab empat merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien yang mengikut sunnnah Rasulullah SAW.

Mazhab ini dibenarkan oleh ulama-ulama untuk diikuti kerana beberapa sebab :

1 - Mazhab ini disebarkan turun-temurun dengan secara mutawatir.

2 - Mazhab ini di turunkan dengan sanad yang Sahih dan dapat dipegang .

3 - Mazhab ini telah dibukukan sehingga aman dari penipuan dan perubahan .

4 - Mazhab ini berdasarkan al-Quran dan al-Hadits, selainnya para empat madzhab berbeza pendapat dalam menentukan dasar-dasar sumber dan pegangan .

5 - Ijmaknya ulama Ahlus Sunnah dalam mengamalkan empat mazhab tersebut.

KEFAHAMAN DAN HUJAH KENAPA PERLU BERMAZHAB?

Sejauh manakah masyarakat awam pada hari ini khususnya di Malaysia, mampu mengamalkan taqlid kepada mazhab.

Pandangan  Syeikh Hasnain Muhammad Makhluf menyimpulkan ia menjadi alasan mengapa popular di kalangan ulama ungkapan “al-‘ami la mazhaba lahu” bermakna “orang awam tiada mazhab baginya”.

Lalu beliau menukilkan pendapat dari kitab al-Bahr di dalam bab ‘Qadha’ al-Fawait’ yang menyebut, “…dan sekiranya seorang awam tiada baginya mazhab tertentu, maka mazhabnya ialah fatwa muftinya,malah jika dia tidak meminta fatwa sesiapa pun tetapi sesuai amalannya itu dengan mana-mana mazhab mujtahid, ia sudah memadai”.

Kenyataan di atas jelas menunjukkan bukan mudah untuk seseorang mengakui
dirinya bermazhab. Sekurang-kurangnya seorang penganut mazhab itu mengetahui hukum-hakam furu‘ yang difatwakan menurut mazhab anutannya.

Namun di peringkat orang awam, ramai di kalangan mereka sendiri tidak mampu untuk menguasai perkara ini. Kebanyakan awam hanya sekadar bertanya kepada mana mana guru yang dipercayainya setiap kali bertembung dengan masalah-masalah furu‘ tertentu di dalam kehidupannya.

Perbahasan ini sengaja dibentangkan di sini supaya golongan anti mazhab memahami dan akur bahawa mengikuti mazhab bukanlah mudah seperti yang disangka. Ia bukan taqlid membabi buta. Ia juga bukan bererti sengaja
membelakangkan al-Qur’an dan al-Sunnah kerana mendewakan imam dan mazhab.

Sebaliknya ia adalah soal kemampuan dan keupayaan seseorang awam. Sekiranya soal bermazhab sendiri tidak mampu ditunaikan sepenuhnya oleh seorang awam, bagaimana mungkin golongan ini dibebankan pula dengan perintah supaya mengambil hukum secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah? Mampukah mereka?

Oleh itu mengajak masyarakat untuk meninggalkan mazhab atas alasan kembali
kepada al-Qur’an dan al-Sunnah adalah suatu usaha yang jahil malah sia-sia. Mazhab seharusnya difahami sebagai sebuah disiplin ilmu (manhaj) untuk kita memahami al-Qur’an dan al-Sunnah.

Di Malaysia, kita berpegang kepada mazhab Syafi’e khususnya dalam bab ibadat dan munakahat atau disebut juga fardhu ’ain.

Namun dalam bidang-bidang lain seperti mu’amalat, jinayat, kehakiman dan perundangan serta isu-isu kontemporari, jelas menunjukkan kerajaan dan umat Islam tidak terikat hanya kepada mazhab Syafi’i.

Oleh itu tuduhan bahawa umat Islam di Malaysia mewajibkan berpegang kepada satu mazhab dalam kesemua masalah adalah tidak benar.

Berpegang kepada mazhab Syafi’e dalam bab fardhu ’ain sepertimana yang diamalkan sekarang bukanlah bermakna kita menolak pandangan mazhab-mazhab lain. Pendirian ini dipegang hanyalah berdasarkan ketidakmampuan seseorang untuk beramal dalam ibadatnya. Sememangnya hukum asal berpegang kepada mazhab itu tidak wajib.

Namun bagi selain mujtahid, beramal dengan fatwa mujtahid (mazhab) adalah wajib memandangkan tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syara‘ melainkan dengan mengikuti mazhab.

Dalam hal yang sama, seseorang awam itu juga tidak mampu untuk melakukan tarjih iaitu menilai pendapat atau dalil yang terkuat antara mazhab. Ketidakmampuan itu memerlukannya untuk berpegang kepada mazhab yang dianutinya sahaja.

Setiap individu atau negara dikatakan bermazhab dengan sesuatu mazhab tertentu kerana ia menerima pakai atau bertaqlid kepada mazhab tersebut. Oleh itu bermazhab adalah membawa maksud bertaqlid kepada mazhab yang dipegangi.

Perkataan bermazhab (mazhabiyyah) sebagaimana yang ditakrifkan oleh Said Ramdhan al Buti ialah membawa maksud seseorang awam atau orang yang tidak sampai ke tahap mujtahid berpegang atau mengikut (taqlid) mana-mana aliran Imam Mujtahid samada dia berpegang dengan seorang mujtahid sahaja atau bepindah-pindah antara satu mujtahid ke mujtahid yang lain dalam ikutannya itu.

Dalam pengajian usul fiqh kedudukan bertaqlid yang boleh dikategorikan kepada tiga pandangan:

(1) Tidak harus bertaqlid sama sekali. Wajib ke atas setiap mukallaf berijtihad sendiri mengenai urusan agamanya dan beramal berasaskan ijtihadnya.Pandangan golongan Zahiri dan Muktazilah.

(2) Bertaqlid adalah wajib ke atas semua mukallaf selepas zaman imam-imam mujtahidin.Pandangan Hasyawiyyah.

(3) IJTIHAD adalah tidak dilarang manakala TAQLID adalah haram ke atas para mujtahid. Manakala orang awam yang tidak berkeahlian berijtihad sekalipun seorang yang alim adalah WAJIB BERTAQLID.

Pandangan ini merupakan pandangan JUMHUR ULAMAK dan inilah pandangan yang ditarjihkan oleh kebanyakan ulama semasa.

Bertaqlid bagi orang awam bukanlah suatu yang diluar prinsip syara’ tetapi suatu keperluan baginya yang selaras dengan kehendak syara’ . Sebagai seorang Muslim tidak semuanya mampu memahami tentang agama.

Malah ia perlu berpandukan kepada para ulama untuk memahami nas-nas syara’. Justeru itulah manusia diwajibkan bermazhab sebagai beramal dengan ayat Al Quran yang menyuruh umat Islam bertanya kepada ahli al zikr (orang yang tahu) sekiranya mereka tidak mengetahui.

Keharusan bertaqlid mestilah dalam kerangka yang telah disepakati oleh para ulama.Dalam persoalan taqlid, tidak ada nas syara’ yang menyuruh supaya berpegang kepada mazhab secara berterusan sebagaimana juga tidak ada nas syara’ yang melarang berpindah mazhab.

Dalam konteks ini syeikh al Buti menegaskan ketiadaan nas yang menyuruh beriltizam dengan mazhab tertentu bukan pula bererti haram beriltizam dengan mazhab kerana tidak wajib bukannya bermaksud haram.

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:

Ada golongan yang memerangi konsep bermazhab, memerangi mazhab fiqh dengan melarang walaupun daripada golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka maka jadilah mazhab yang kelima.

Namun Islam tidak pernah menutup terus pintu ijtihad bagi sesiapa sahaja yang telah mencapai tahap ulama mujtahid dengan syarat-syarat yang amat ketat.

JAWAPAN TOHMAHAN KEPADA GOLONGAN YG TIDAK MAHU BERMAZHAB/ANTI MAZHAB

Syeikh al-Allamah Ali Jumaah hafizahullah ada menyebutkan beberapa tohmahan yang diberikan oleh golongan yang tidak mahu bermazhab.Antaranya ialah:

TOHMAHAN PERTAMA

Dalil yang wajib kita ikuti ialah al-Quran dan Sunnah bukannya pendapat para ulama mazhab.

JAWAPAN

Apa yang disebutkan oleh golongan sebegini juga sebenarnya sudah menyalahi maksud sebenar dalil. Dalil bukanlah hanya semata-mata al-Quran dan Sunnah.

Ijma’, Qiyas, Istihsan, Uruf, dan lain-lain juga merupakan dalil yang digunakan oleh para ulama.Golongan yang memahami bahawa dalil hanyalah al-Quran dan Sunnah sebenarnya telah menyempitkan kefahaman tentang dalil itu sendiri. Al-Quran dan Sunnah adalah sumber pengambilan hukum yang dilakukan oleh seseorang mujtahid tersebut.

Pendapat para ulama mazhab pula bukanlah menyalahi dan membelakangi al-Quran dan Sunnah itu sendiri, malah pendapat yang dikeluarkan oleh mereka merupakan hasil àà kefahaman mereka tentang sesuatu ayat dan hadis tersebut.

Berpegang dengan pendapat para ulama mazhab bukanlah bermaksud meninggalkan kalam Allah dan RasulNya, bahkan jika kita berpegang dengan pendapat para ulama mazhab maka secara langsung kita telah berpegang dengan al-Quran dan Sunnah. Ini kerana para ulama mazhab lebih mengetahui tentang syarat pengambilan hukum dan sebagainya berbanding kita.

TOHMAHAN KEDUA

Kami melihat seseorang yang bertaqlid kepada seorang imam tersebut tidak akan meninggalkan mazhabnya walaupun dia menjumpai sebuah hadis yang bercanggah dengan pendapat imam tersebut. Ini seolah-olah mendahului pendapat imam lebih daripada Allah dan RasulNya.

JAWAPAN

Al-Imam Kairanawi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya فو ائد في علوم الفقه :

“Pendapat sebegini keluar berdasarkan sangkaan yang salah dan pegangan yang batil iaitu mengatakan bahawa pendapat imam didahulukan berbanding kalam Allah dan RasulNya.

Bilamana kita melihat berlakunya perbezaan di antara zahir kalam Allah dan RasulNya dengan pendapat Ulama Mazhab , dua perkara pokok yang penting perlu diperhatikan:

Pertama: Kita mengetahui tentang maksud sebenar kalam Allah dan RasulNya.

Kedua: Kita mengetahui bahawa Kalam Allah dan RasulNya bertentang dengan pendapat Imam Mazhab.

Jika kita memerhatikan kedua-dua perkara di atas dengan teliti maka kita menyedari bahawa kedua-dua perkara tersebut tidak terdapat pada seorang Muqallid(orang yang mengikut mazhab dan tidak sampai kepada tahap mujtahid).

Ini kerana ilmu sebegini memerlukan kepada pencarian dalil. Muqallid hakikatnya tidak mampu untuk melakukan sedemikian. Jika hakikatnya sedemikian, bagaimana mungkin seorang muqallid tersebut boleh menghukumkan bahawa Imamnya telah menyalahi hukum yang diletakkan Allah dan RasulNya?.

Kesimpulannya seorang muqallid tersebut tidak meninggalkan pendapat imamnya yang bersalahan dengan zahir Hadis dan sebagainya bukanlah kerana dia (muqallid) mengatakan bahawa pendapat Imam tersebut lebih benar daripada Kalam Allah dan RasulNya kerana dia sendiri tidak pasti adakah benar-benar Imam tersebut menyalahi Allah dan RasulNya.

TOHMAHAN KETIGA

Mengikut pendapat para ulama mazhab sendiri sebenarnya telah menyalahi apa yang ditunjukkan oleh mereka(Imam-imam mazhab).
Mereka sendiri melarang mengikut pendapat mereka.

Lebih-lebih lagi jika pendapat mereka bersalahan dengan hadis sahih.Jelas di sebut oleh para ulama Mazhab: إذا صح الحديث فهو مذهبي maksudnya: (Jika sah sesebuah hadis tersebut maka itulah mazhabku)

JAWAPAN

Dakwaan yang mengatakan bahawa para ulama mazhab melarang untuk mengikut mazhab adalah satu dakwaan yang ternyata salah dan sesat. Tiada seorang ulama mazhab pun mengatakan sedemikian. Kalau mereka benar-benar mengatakan demikian, maka mengikut kepada pendapat Para Imam (supaya tidak bertaqlid dengan mereka) juga hakikatnya adalah taqlid itu sendiri( dalam keadaan tidak sedar).

Kamu mengatakan tidak boleh mengikut pendapat Imam Mazhab,tiba-tiba kamu mengikut juga salah satu pendapat mereka (iaitu supaya tidak bertaqlid) maka hakikatnya kamu juga bertaqlid.Bagaimana boleh dilarang taqlid sedangkan kamu sendiri bertaqlid dalam keadaan kamu tidak sedar?

Ini jelas berlaku pertentangan di dalam pendapat kamu sendiri.(Sekejap mengatakan tidak boleh taqlid kemudian dalam masa yang sama kamu juga bertaqlid dengan pendapat Imam tersebut).

KESIMPULAN

1. Amalan bermazhab adalah keperluan dan tidak boleh diganggu gugat dengan aliran tidak bermazhab kerana ianya akan menimbulkan byk masalah.Mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram. Masyarakat yang harmoni pada suatu ketika dahulu menjadi riuh rendah dan kacau-bilau pada hari ini dengan isu-isu mereka yang celaru.

2. Bermazhab adalah harus bahkan wajib bagi orang awam atau umat islam mengikuti salah satu empat mazhab yang muktabar iaitu Mazhab Syafi’i,  Maliki, Hanafi dan Hambali.

3. Jangan pula menganggap bahawa bila seseorang mengikut salah satu daripada empat mazhab tadi, maka dia tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Kerana keempat-empat Imam Mazhab tersebut telah pun mengikut Al Quran dan Hadis. Mereka mengistinbatkan hukum atau mengeluarkan hukum daripada Al Quran dan Hadis. Ini memberi erti mereka mengikut Al Quran dan Hadis.

4.Perawi-perawi Hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tarmizi dan lain-lain lagi, walaupun mereka mengumpulkan dan menilai Hadis tetapi dari segi kefahaman atau dalam mengeluarkan hukum, mereka juga bersandar dengan Imam-Imam Mazhab.Umpamanya Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tarmizi adalah bermazhab Syafi’i.

5. Sudah menjadi Sunnatullah, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim. Dalam keadaan ini, apakah patut dipaksa semua orang awam mengkaji dan menggali sendiri Al Quran dan Hadis? Minta mereka berijtihad sendiri tanpa bersandar dengan mana-mana ulama mujtahidin.

Sampai bila pun mereka tidak akan dapat beramal dengan ajaran Islam. Tidak mungkin orang awam seperti kita hendak diajak berijtihad sedangkan ulama yang ada sekarang pun tidak boleh berijtihad.

6. Rasulullah SAW ada bersabda:
Berselisih faham di kalangan umatku itu adalah rahmat. (Riwayat Al Baihaqi)

Hadis ini membuktikan bermazhab itu dibenarkan. Ertinya timbulnya mazhab itu oleh kerana adanya ulama-ulama yang mampu berijtihad. Maka terjadilah berlainan pendapat. Berselisih faham di sini adalah berselisih faham tentang furu’iyah (soal-soal feqah) bukan usuliyah (soal aqidah atau dasar).

Berselisih faham dalam soal hukum-hukum furu’iyah hingga menimbulkan bermacam-macam aliran mazhab feqah adalah mendatangkan rahmat. Orang awam macam kita ini boleh mengikut sesiapa saja yang kita sukai, di mana kita rasa sesuai. Maknanya, ada alternatif untuk orang awam.

7. Kalaulah kita hendak menyuruh semua manusia ini sama ada yang alimnya mahupun yang awamnya supaya tidak bermazhab iaitu setiap orang diminta berijtihad mengeluarkan hukum-hukum daripada Al Quran dan Hadis, jangan bersandar dengan mana-mana imam, maka pasti ramai yang sesat.Oleh itu lebih selamat kita mengikut mana-mana mazhab yang muktabar itu.

8. Orang-orang yang mengajak untuk tidak bermazhab ini adalah ulama-ulama mutaakhirin.Bermula daripada Ibnu Taimiyah yang hidup lebih kurang 700 tahun yang lalu. Dia bukan ulama yang berada sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW. Kemudian fahamannya disambung oleh muridnya yang bemama Ibnu Qayyim, Al Jauzi hinggalah ulama di kurun kedua puluh ini seperti Muhamad Abduh, Jamaluddin Al Afghani, Rashid Redha,dll lagi.

Mereka ini hidup di luar daripada lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW
Sedangkan ulama-ulama mazhab yang disebutkan tadi, hidup dalam lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah. Ertinya mereka dari kalangan salafussoleh. Ulama yang mengajak “jangan bermazhab” ini ialah ulama Mutaakhirin. Fahaman mereka menjadi bertambah popular terutamanya apabila  munculnya gerakan Muhammad Abdul Wahab

9. Walaupun ada orang yang menganjurkan tidak perlu ikut mazhab, cukup hanya ikut Al Quran dan Hadis sahaja, tetapi pada hakikatnya semua orang bermazhab, sama ada dia mengaku atau tidak. Kerana golongan yang tidak mahu bermazhab itu bukan semuanya ulama. Maka mereka terpaksa bersandar dengan mana-mana ulama yang juga menolak mazhab. Maka ulama tempat mereka bersandar itulah sebenarnya imam mazhab mereka.

10. Berpegang dengan nas yang maksum yang diwahyukan dari Allah Taala tetapi kefahaman anda terhadap nas tersebut bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas sahaja.

Mendakwa boleh berijtihad oleh seseorang yang tidak berkelayakkan merupakan seburuk-buruk perkara dan kerosakkan yang paling merbahaya mengancam syariat Islam pada masa kini.

Say No To Wahhabi.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan