Jumaat, 19 November 2010

Jalan Wali

Tulisan Tuan Al-Faqir101 yang dipetik dari  http://www.bicarasufi.com/bsc/viewtopic.php?t=20213

Jalan para wali tidak pernah berbeza daripada jalan para sahabat r.a. bahkan para wali dan sufi mengikuti jalan para sahabat r.a., tabi'in r.a. dan seterusnya.

Kebanyakan silsilah ilmu, amal dan hal para sufi bersambung kepada para sahabat r.a. antaranya (yang masyhur) seperti Saidina Ali r.a., Saidina Abu Bakr r.a. dan sebagainya.

Kita simpulkan manhaj tarbiah para ulama' sufi kepada tiga yang utama iaitu:

Pertama: Zikir
Kedua: Suhbah (Bersahabat dengan Murobbi)
Ketiga: Mujahadah An-Nafs

Pertama: ZIKIR

Para sahabat r.a. mengamalkan tiga bentuk zikir yang utama:-

Pertama: Mengambil daripada Rasulullah s.a.w. yang merupakan murobbi mereka.

Kedua: Mengambil zikir daripada sesama para sahabat r.a. yang lain

Ketiga: Mengamalkan zikir yang disusun sendiri berpandukan kerangka dan asas doa syar'ie.

Begitu juga, para ulama' sufi mengamalkan ketiga-tiga bentuk zikir tersebut di samping zikir lain.

Petama: Para murobbi sufi mengamalkan zikir-zikir Ma'thur (daripada Rasulullah s.a.w. dan salafus soleh).

Kedua: Para murobbi sufi mengamalkan zikir yang diambil daripada para sufi yang lain termasuklah daripada para murobbi sebelum mereka.

Ketiga: Mereka juga mengamalkan zikir yang disusun sendiri berpandukan kerangka dan asas doa syar'ie lalu mewariskannya kepada para murid mereka.

Fasal: Talqin Zikir

Saidina Ali r.a. (mewakili jalan sahabat r.a. aliran sufi) mengambil talqin zikir khusus daripada Rasulullah s.a.w. sebagaimana dalam hafis masyhur.

Begitulah para murobbi sufi memberi talqin zikir tersebut kepada para murid mereka.

Kedua: Suhbah (Bersahabat dengan Murobbi)

Sebagaimana para sahabat r.a. bersahabat dengan murobbi mereka iaitulah penghulu segala Murobbi, Rasulullah s.a.w., begitulah juga para sufi yang bersahabat dan mengambil tarbiah daripada para murobbi mereka yang bersambung silsilah tersebut kepada Rasulullah s.a.w..

Fasal: Bai'ah Tarbiah

Sebagaimana para sahabat r.a. mengambil bai'ah tarbiah daripada Saidina Rasulullah s.a.w., begitu juga para sufi mengambil bai'ah tarbiah daripada SAidina Rasulullah s.a.w. yang bersambung kepada Rasulullah s.a.w..

Ketiga: Mujahadah An-NAfs (Tarbiah melawan hawa nafsu)

Para sahabat r.a. adalah antara golongan manusia yang paling kuat melakukan mujahadah iaitu melawan hawa nafsu. Ahli Suffah sendiri tinggal di perkarangan masjid Nabawi lalu mengosongkan kehidupan mereka dengan menumpukan kepada ibadah semata-mata.

Bahkan, Rasulullah s.a.w. sendiri adalah simbol zuhud teragung yang meninggalkan kesenangan duniawi walaupun kesenangan duniawi tersebut tidak pernah mampu melalaikan Baginda daripada ALLAH s.w.t. Ia adalah zuhud yang teragung dan adab yang tertinggi di hadrah Ilahi.

Rasulullah s.a.w. juga meninggalkan "banyak" tidur dan makan serta minum yang mana itu merupakan antara asas mujahadah dalam ilmu tasawwuf amalan para sufi.

Keadaan-keadaan rohani Para Sahabat r.a.

Bukan sahaja dari sudut amali, bahkan dari sudut perasaan, zauqi dan ma'rifat juga, para sahabat r.a. adalah para penghulunya. Merekalah contoh tauladan para wali dan sufi dalam generasi seterusnya kerana zauq, ma'rifah dan ilmu hakikat yang sahih haruslah tidak terkeluar daripada kerangka umum yang pernah didapati dalam generasi salaf yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w., penghulu dan penghimpun segala ma'rifah.

Ilmu Hakikat

Saidina Abu Hurairah r.a. pernah memberi isyarat tentang ilmu hakikat yang mereka warisi daripada Rasulullah s.a.w. yang bersifat rahsia.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya beliau berkata: “Aku menyimpan ilmu dari Rasulullah s.a.w. pada dua wadah (bejana). Salah satunya maka aku sebarkan sedangkan yang satu lagi sekiranya aku sampaikan maka akan dipotong leher ini.” [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dalam Kitab Al-Ilm, Bab: Hifz Al-Ilm no: 120]

Imam Mulla Ali Al-Qari pula ketika mensyarahkan hadith ini, beliau berkata:

“((Adapun yang pertama)) iaitulah ilmu zahir daripada hukum-hakam dan akhlak ((maka saya zahirkan)) iaitu saya zahirkan dengan menyampaikannya kepada kamu ((sedangkan yang kedua)) iaitulah ilmu batin ((kalau aku zahirkan)) iaitu kalau aku sebarkan atau aku sebutkan kepada kamu secara terperinci ((dipotong tengkok ini)) dengan dhommah ba’ iaitu halqum kerana rahsia hakikat tauhid yang terlalu sukar untuk diungkap mengenainya dengan maksud sebenarnya” [Rujuk Mirqat Al-Mafatih: 1/313]

Ilmu Hakikat tersebut menurut Saidina Ali r.a. perlu dibahaskan secara khusus kepada ahlinya sahaja.

Saidina Ali r.a. juga telah berkata:

حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Berbicaralah dengan manusia berdasarkan apa yang mereka tahu. Adakah kamu suka ALLAH dan Rasul-Nya didustai”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no: 127)]

Maksudnya, para sahabat r.a. sendiri tahu jenis ilmu yang perlu ditapis daripada dibincangkan kepada umum manusia kerana dikhuatiri akan didustakan ilmu tersebut.

Maqam Fana' dan Baqa'

Walaupun dua istilah tersebut tidak digunakan dengan makna kaum sufi di zaman para sahabat r.a., namun hakikat maqam dan zauq (perasaan) tersebut sudah dihayati oleh para sahabat r.a..

Antara para sahabat r.a. yang mengecapi maqam fana' tersebut adalah LAbid r.a.. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sebenar-benar perkataan yang diucapkan oleh seorang penyair adalah perkataan Labid iaitu: “Ketahuilah betapa semua selain ALLAH s.w.t. adalah batil”. [Muttafaqun ‘alaihi]

Labid dalam hadith ini adalah seorang sahabat r.a.. Nama beliau adalah Labid bin Rabi’ah. [Syarah An-Nawawi ala Sahih Muslim]

Maqam Wahdah fi Kathrah

Begitu juga, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengungkapkan hakikat kesatuan makhluk yang berasal daripada ALLAH s.w.t. secara tauhid syhudi, bukan secara khayal. Sangat berbeza antara wahdah syuhud yang dikecapi oleh para wali dengan wahdah al-maujud yang didakwa oleh zindiq lalu mengaku ketuhanan diri, nauzubillah min zalik.

Antara ungkapan Baginda s.a.w. adalah:

“ALLAH berfirman: “Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya. Dan tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai brbanding apa yang telah Aku fardhukan (ke atasnya). Tidaklah hamba-Ku terus-menerus mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan sehinggalah Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, pandangannya yang dia memandang dengannya, tangannya yang dia menyentuh dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya. ” [Hadish Sahih riwayat Al-BUkhari]

Firasat dan Kasyaf

Rasulullah s.a.w. bersabda:

اتقوا فراسة المؤمن ، فإنه ينظر بنور الله

Maksudnya:

Takutlah dengan firasat orang beriman, kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya ALLAH s.w.t.”

Hadith tersebut diriwayatkan oleh At-Tirmizi dalam Sunannya no: 3127, Abu Nu’aim dalam Hilyah Al-Auliya’ (4/9 dan Imam Al-Haithami dalam Majma’ Az-Zawa’id (10/271). Imam Al-Haithami meriwayatkan daripada riwayat Abu Umamah dengan sanad hasan menurut beliau. Imam As-Suyuti juga meriwayatkannya dalam Al-La’ie Al-Masnu’ah (2/329) dengan sanad hasan sahih juga.

Firasat Mu’min ini dikenali dalam kalangan para ulama’ sufi sebagai Kasyf atau penyingkapan tabir daripada ALLAH s.w.t. kepada seseorang. Ia membantu para murobbi dalam mentarbiah dan mendidik para murid kerana dapat memahami keadaan dalaman mereka.

Dalam kitab Al-Thabaqat, Imam Tajuddin al-Subki menceritakan bahawa ada seorang lelaki datang kepada Saidian Uthman r.a.. Lelaki tersebut baru bertemu dengan seorang perempuan di tengah jalan, lalu ia teringat-ingat perempuan tersebut dalam lamunannya. Saidina Uthman r.a. lalu berkata kepada lelaki tersebut: "Aku melihat ada kesan zina di matamu”. Laki-laki itu bertanya kehairanan: “Apakah wahyu masih diturunkan setelah Rasulullah Saw wafat?”. Saidina Uthman r.a. lalu menjawab: “Tidak, ini adalah firasat seorang mukmin”.

Karamah Para Sahabat r.a.

Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a., bahawasanya ayahnya datang bersama tiga orang tetamu hendak pergi makan malam dengan Nabi s.a.w.. Kemudian mereka datang setelah lewat malam. Isteri Abu Bakar bertanya, “Apa yang boleh kau hidangkan untuk tamumu?”

Abu Bakar balik bertanya, “Apa yang kau miliki untuk menjamu makan malam mereka?” Isteri beliau menjawab: “Aku telah bersiap-siap menunggu engkau datang”.

Saidina Abu Bakar r.a. berkata, “Demi ALLAH, aku tidak akan boleh menjamu mereka selamanya”. Abu Bakar mempersilakan para tetamunya makan. Salah seorang tetamunya berkata, “Demi ALLAH, setiap kami mengambil sesuap makanan, makanan itu menjadi bertambah banyak. Kami merasa kenyang, tetapi makanan itu malah menjadi lebih banyak dari sebelumnya.”

Abu Bakar melihat makanan itu yang kekal seperti asal, bahkan jadi lebih banyak. Lalu, beliau bertanya kepada isterinya: "Wahai ukhti Bani Firas, apa yang terjadi?”. Isterinya menjawab, "Mataku tidak salah melihat, sedang makanan ini menjadi tiga kali lebih banyak dari sebelumnya”. Saidina Abu Bakar r.a. menyantap makanan itu, lalu berkata, "Ini pasti permainan syaitan".

Akhirnya Saidina Abu Bakar r.a. membawa makanan itu kepada Rasulullah s.a.w. dan meletakkannya di hadapan Baginda s.a.w.. Pada waktu itu, sedang ada pertemuan antara kelompok muslimin dengan suatu kaum. Mereka semua dibahagian menjadi dua belas kelompok, hanya ALLAH Yang Maha Tahu berapa jumlah keseluruhan hadirin. Beliau menyuruh mereka menikmati makanan itu, dan mereka semua menikmati makanan yang dibawa Abu Bakar. [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]
Justeru, sangat jelas jalan para sahabat r.a. adalah jalan contoh tauladan kepada para wali dan sufi setelah mereka. Semoga ALLAH s.w.t. memberkati perjalanan tarbiah sufi sunni yang mulia lagi penuh keberkatan ini. Amiin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan