Jumaat, 7 Januari 2011

Makam Syarif Muhammad al-Baghdadi, Kampung Jenangor, Kuala Berang

Assalamu'alaikum,

Selepas Makam Tok Gajah, kami kembali ke Kampung Jenangor, Kuala Berang...Hatiku berkata pasti ada di sini...Sampai di sini Azan Zohor kedengaran dan hamba masuk ke dalam masjid untuk bersolat. Bertanya pada seorang pak tua tentang Makam Syarif Muhammad al-Baghdadi. Alhamdulillah, jawapannya memberikan sinar harapan. Katanya, lepas solat tanya Tok Imam masjid. Selepas solat, hamba pun bertanyakan Tok Imam Masjid dan beliau tahu dan sanggup membawakan kami ke tempat yang dikatakan. Kami pun mengikut beliau dari belakang (beliau naik motorsikal) dan dibawa masuk ke satu simpang kecil dan menuju ke sungai.

Di situ, kami berkenalan dengan Sdr Fauzi, salah seorang yang bertanggungjawab terhadap pusat pemulihan ....yang terletak di lokasi makam. Sdr Fauzi banyak membantu, menelefon orangnya untuk membawa hamba sekeluarga menaiki bot ke seberang sungai. Alhamdulillah, jam 2 petang lebih sikit kami sampai ke kawasan makam dan menghabiskan masa kira-kira 45 minit di situ. Kawasan permakaman boleh dihubungi dengan jalan darat tetapi pengunjung terpaksa meredah hutan dan belukar kerana tiada jalan berdekatan, maka jalan sungai adalah jalan termudah.

Caj tidak dikenakan untuk perjalanan pergi-balik tetapi jika bermurah hati, bolehlah nak bagi...:-)....Terima kasih banyak-banyak kepada Sdr Fauzi dan rakan-rakannya yang membantu membawa kami ke situ serta Tok Imam yang memudahkan perjalanan kami.

Wassalam.

Dari pengkalan ini, kami naik bot ke pengkalan seberang sungai


Makam Syarif Muhammad al-Baghdadi
 dalam kawasan permakamam

Ruang disediakan untuk mereka yang ingin ...


Antara pondok di sini

Keterangan Tourism Malaysia, ada maklumat yang perlu dibetulkan


Jeti seberang sungai yang menempatkan Makam Syarif Muhammad al-Baghdadi

Beliau turut terkenal dengan gelaran Keramat Batu Belah...Batu ini dikatakan terbelah dua oleh tangan Syarif Muhammad al-Baghdadi

Syarif Muhammad al-Baghdadi dan warisnya Tok Pulau Manis, ulama besar abad ke-14 dan 17 Masehi

http://ikantongkol09-tokoh.blogspot.com/2009/07/syarif-muhammad-al-baghdadi-dan.html

Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah seorang tokoh yang sangat penting dalam penyebaran Islam di Alam Melayu. Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya. Diriwayatkan bahawa Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Makkah. Setelah sekian lama berada di Makkah, beliau berangkat menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan seterusnya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Di Hulu Terengganu, beliau menjalankan kerja-kerja dakwah Islam dengan gigih kepada masyarakat dan dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit. Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu[1], beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam[2] dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam lalu menjadi pengikut setia kepadanya. Peristiwa ini berlaku kira-kira 700 tahun dahulu. Pemerintahan dan perjuangan Syarif Muhammad al-Baghdadi kemudiannya diteruskan oleh zuriat keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh)[3] dan seterusnya cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik lebih dikenali dengan gelaran Tok Pulau Manis. Kesemua zuriat keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah. Diantara warisnya yang paling menonjol ialah cicitnya iaitu Tok Pulau Manis. Tok Pulau Manis diriwayatkan pernah menubuhkan ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada ketika itu. Anak Tok Pulau Manis yang bernama Siti Zubaidah dikatakan telah berkahwin dengan Tun Jenal yang kemudiannya ditabalkan menjadi raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Satu-satunya peninggalan terbesar Syarif Muhammad al-Baghdadi ialah sebuah batu bersurat yang dikenali dengan nama Batu Bersurat Terengganu. Tulisan yang tercatat pada permukaan hadapan batu bersurat tersebut adalah seperti berikut;

``Rasulullah dengan yang orang sahabi mereka sekalian, asa pada Dewata Mulia Raya; memberi hamba meneguhkan agama Islam dengan benar bicara derma, meraksa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya di benuaku ini. Pebantu agama Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wa Sallam - Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam behumi. Pebantu itu fardu pada sekalian Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar bicara, berbajikan betul pebantu itu maka titah Seri Paduka Tuan mendudukkan tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua.''

Catatan yang terdapat pada batu itu tidak sekadar mengandungi pernyataan hukum-hakam seperti yang disebut dalam Al-Quran misalnya hukuman kesalahan zina iaitu direjam bagi yang telah berkahwin dan dipalu seratus kali sebatan bagi yang masih bujang tetapi turut meliputi bidang falak (astronomi). Unsur falak ditemui didalam catatan tersebut berdasarkan kepada frasa ``adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua''. Ramai pengkaji cuba menyelidik maksud frasa ini tetapi gagal sehinggalah seorang pemikir besar Islam dirantau ini berjaya memecahkan kebuntuan tersebut. Beliau ialah Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Dalam kajiannya, beliau menyatakan bahawa maksud frasa diatas ialah Jumaat pertama dalam bulan Rejab tahun 702 Hijrah serentak dengan timbulnya buruj Saratan, tatkala perintah agama (sasanakala) yang mengisytiharkan pemahatan hukum Islam di atas Batu Bersurat itu oleh pemerintah Terengganu pada waktu itu. Satu kajian menarik tentang perkara tersebut seperti yang dicatat oleh Nor Azam Mat Noor ialah kaitan frasa tersebut dengan peristiwa falak.

Seperti yang dinyata oleh Nor Azam Mat Nor,
Persoalan yang timbul ialah alasan apakah yang digunakan oleh pemahat, yang memahat tulisan pada Batu Bersurat untuk mensabitkan Buruj Sarathan[4] ketika diarahkan oleh pemerintah (raja mandalika) di tempat berkenaan, padahal terdapat banyak lagi buruj-buruj lain yang terkenal turut muncul pada waktu itu, iaitu Buruj Leo (Asad), Gemini (Virgo), Taurus (Saur), Aries (Hamal) dan Pisces (Hut)? Bulan pada ketika ini belum lagi terserlah kerana masih berupa sabit muda di ufuk barat dengan fasa kecerahan 20 peratus dan berada di Buruj Aries. Ini bermakna bahawa Bulan bukanlah alasan utama untuk dikaitkan dengan Buruj Sarathan. Mungkin Buruj Sarathan yang dikaitkan dalam Batu Bersurat itu, adalah disebabkan oleh planet Musytari sedang berada di buruj ini sebagai objek yang terpaling cerah ketika itu, dan menjadi ikon langit malam sebermula matahari terbenam. Namun pada jam 10.11 malam, planet Marikh dan Zuhal yang berada di Buruj Virgo (Sunbulah), turut bersama-sama Musytari yang ketika ini tepat berkulminasi, turut menjadi ikon-ikon langit malam dengan ketiga-tiganya mempunyai kecerahan 99 dan 100 peratus masing-masing. Menurut simulasi perisian Starry Night Pro, adalah didapati bahawa Bulan dan planet Musytari adalah benar-benar berada di Buruj Sarathan pada hari Khamis, 28 Februari 1303 MJ bermula terbenam matahari. Fenomena serentak Bulan dan planet Musytari dalam Buruj Sarathan ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada hari Khamis, 28 Februari (10 Rejab) dan hari Jumaat, 1 Mac 1303 MJ (11 Rejab 702 H) bilamana Bulan telah bergerak ke sempadan buruj tersebut. Ini bermakna bahawa peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat minggu kedua dan bukannya pada Jumaat pertama bulan Rejab 702 H.[5]

Hasil kajian tersebut sangat menakjubkan kerana ia jelas menunjukkan betapa Syarif Muhammad al-Baghdadi bukan sahaja alim dalam hukum-hakam Islam tetapi juga ilmu falak. Batu Bersurat yang sangat berharga ini telah ditemui oleh Saiyed Husin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan pada tahun 1902 di bahagian tangga surau Kampung Buluh.[6] Ketika ditemui, batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya.Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abdidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Pada tahun 1923, batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.[7]

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.[8]

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada waktu itu.[9]

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, zuriatnya yang paling masyhur ialah Tok Pulau Manis. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, tokoh ini mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu.[10] Beliau kemudiannya meneruskan pelajarannya ke Aceh dan salah seorang gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Sewaktu belajar di Aceh, Tok Pulau Manis bersahabat dengan beberapa ulama besar antaranya seperti Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat yang juga merupakan anak murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dari guru utama di Aceh ini, mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah. Mereka kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Makkah dan Madinah. Sewaktu berada di Makkah, Tok Pulau Manis bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani. Tambah almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga adalah guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.[11] Dengan Syeikh Ibrahim al-Kurani[12], beliau mendalami Feqah Mazhab al-Shafi’i di sana. Tok Pulau Manis turut mendalami bidang usuluddin dan tasawwuf. Bidang Usuluddin yang diikutinya adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum ahl-al Sunnah wal Jamaah manakala bidang Tasawuf yang didalaminya adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf. Dalam ilmu tasawwuf ini, diriwayatkan bahawa tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang menjadi rujukan Tok Pulau Manis berjumlah tidak kurang dari 143 orang, diantara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Syazili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i. Tok Pulau Manis juga dikatakan pernah menjadi tenaga pengajar di Makkah. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kitab karangan Tok Pulau Manis yang paling masyhur bahkan masih berlegar dipasaran kitab sehingga ke hari ini ialah Kitab Hikam Jawi. Selain dari minatnya terhadap isi kandungan kitab ini, permintaan dari sahabat-sahabatnya juga telah mendorong Tok Pulau Manis menterjemahkan matan Hikam karya Ibn ‘Athaillah, tokoh tasawwuf yang sangat terkenal dalam dunia Islam. Kitab keduanya yang terbesar ialah Kifayah yang merangkumi bidang Usuluddin dan Feqah tetapi kitab ini amat sukar didapati di pasaran. Tok Pulau Manis dipercayai kembali ke tanahair sekitar tahun 1690-an pada ketika usianya 40 tahun. Kepulangannya ditunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan dan dengan ilmunya yang meluas, beliau sangat dihormati malah terlibat dengan urusan pemerintahan secara langsung. Seperti yang disebut tadi, beliau dikatakan bertanggungjawab menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Sultan Zainal Abidin I juga juga telah berkahwin dengan anak perempuan Tok Pulau Manis. Tok Pulau Manis meninggal dunia dalam lingkungan usia 86 tahun pada tahun 1149H bersamaan 1736M.




[1] Ada juga yang menyatakan kerajaan Buddha

[2] Ada yang menyebut kerajaan ini dengan nama Dinasti al-Kamil. Pemerintah kerajaan Pasai iaitu Sultan al-Malikul Salleh bersama dengan seorang wali Allah bernama Syeikh Ismail (makamnya di Pulau Besar, Melaka) dikatakan pernah menghadap seorang khalifah dari dinasti al-kamil pada tahun 1290. Kemungkinan besar Khalifah yang dimaksudkan olah Syarif Muhammad al-Baghdadi. Kerajaan Dinasti al-Kamil ini dkatakan menaungi kerajaan Islam lain seperti kerajaan Cirebon, Banten, Mataram dan Pagar Ruyung.

[3] Makam beliau terletak di Kampung Pauh 6 km dari Bandar Kuala Berang.

[4] Catatan Nor Azam Mat Nor menyebut bahawa peristiwa falak yang dinyatakan pada Batu Bersurat Terengganu boleh disimulasikan dengan menggunakan satu perisian khas Starry Night Pro 4.5.2 yang boleh menjejak kembali peristiwa kulminasi Buruj Sarathan (Ketam: Cancer) pada tarikh 22 Februari 1303 MJ

[5] Nor Azam Mat Noor. 2004. Isyarat Astronomi - Batu Bersurat Terengganu. Utusan Malaysia. Terbit pada 21 Oktober 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1021&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[6] Tengku Fauziah Ngah. 2009. Penemuan Batu Bersurat. Utusan Malaysia. Terbit pada 31 Mac 2009. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=utusan_malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm&arc=hive
[7]
http://www.pmn.gov.my/terengganu/Pembangunan%20Usahawan/SejarahHTrg.htm. Dicapai pada 23 Julai 2009

[8] http://www.pmn.gov.my/terengganu/Pembangunan%20Usahawan/SejarahHTrg.htm. Dicapai pada 23 Julai 2009

[9] http://www.pmn.gov.my/terengganu/Pembangunan%20Usahawan/SejarahHTrg.htm. Dicapai pada 23 Julai 2009

[10] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Tok Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu . Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Oktober 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1022&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[11] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Tok Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu . Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Oktober 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1022&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[12] Menggantikan gurunya Ahmad Qushashi menjadi pengajar Mazhab Imam Shafi’i

Tiada ulasan:

Catat Ulasan