Rabu, 12 Januari 2011

Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu

Assalamu'alaikum,

Hari Jumaat, 17 Disember 2010, 11 Muharram 1432, kami bertolak dari Kota Bharu menuju ke Kerteh, Terengganu Darul Iman.  Sebelum beredar meninggalkan bandaraya KB, kami singgah sebentar di Pasar Siti Khadijah. Tersilap jangkaan sebab hari Jumaat, jadi banyak kedai masih belum dibuka. Jadi terpaksa menunggu agak lama di pasar ini agar kedai-kedai baju mula dibuka. Telekung antara pakaian yang biasanya kami beli di pasar ini, khasnya kali ini untuk anak dara hamba yang semakin membesar. Tak lupa juga pakaian untuk anak-anak yang lain, 'mana boleh kakak saja dapat, ...budak2 macam tulah'...

Meninggalkan KB dalam keadaan hujan renyai-renyai, maka rancangan singgah di Makam Tok Kenali ditangguhkan.  Bila dah tangguh rasa nyesal pulak, kalau tidak cukup sembilan makam hamba ziarahi dalam ekspedisi ini. Kami bergerak perlahan ke Kerteh, dan dalam jam 2 petang kami sampai ke Kuala Terengganu, dalam keadaan hujan yang sederhana lebat.  Niat di hati nak beli Baulu Panas di tepi jalan sekitar Pasir Puteh tidak menjadi kenyataan kerana hari Jumaat, waktu masih di awal pagi dan cuaca yang hujan.

Untuk mengelakkan jalan yang sama, kami menyusuri jalan pantai untuk sampai ke Kuala Terengganu. Dari Daerah Besut, kami belok ke kiri dan ambil jalan pantai. Hajat di hati nak bawa rileks-rileks sampai menikmati pemandangan pantai tidak kesampaian kerana hujan yang lebat. Akhirnya kami sampai ke kawasan MRSM Kuala Terengganu (seperti MRSM Kulim kerana tahun penubuhan yang tidak jauh berbeza) dan memasuki Bandaraya Kuala Terengganu.

Sebelum  memasuki Bandaraya, kami 'terhenti dalam setengah jam' kerana trafik tidak dapat berjalan. Polis menjaga pelbagai persimpangan jalan untuk membolehkan beribu-ribu motorsikal dalam satu konvoi yang panjang jalan dahulu.  Kami singgah di Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Terengganu untuk bersolat.  Ini masjid keduabelas dalam ziarah hamba ke masjid-masjid di Tanah Melayu. Memang ini antara destinasi utama kalau ke Kuala Terengganu. Teringat kenangan jemaah bersama Mursyid suatu ketika dahulu ketika kami singgah dan bergambar di kawasan masjid ini.

Selesai bersolat dan urusan yang patut, kami menuju ke Kerteh, tetapi singgah sebentar di Marang untuk makan tengahari. Puas juga cari kedai makan sebab banyaknya yang tutup (hari Jumaat), ....alhamdulillah, akhirnya jumpa juga satu kedai dan kami makan tengahari di situ.  Selepas makan, teruskan perjalanan dan sebenarnya tak sampai 1 km ada kawasan makan sebelah kiri yang hampir semua gerainya dibuka.  Silap sikit, bisik hatiku....:-)....Berhenti sekejap untuk beli kerepok lekor sebelum menyambung perjalanan ke Kerteh.  Rancangan asal untuk ziarah Pak Senu juga ditangguhkan kerana anak-anak dan mak budak dah keletihan...Insya-Allah, lain kali ada rezeki, boleh jumpa, bisik hati hamba. Apatah lagi rumahnya pun dah tahu.

Kami sampai di rumah Tuan Kanjeng Sunan dalam jam 615-625 petang, barangkali dalam keadaan hujan yang agak lebat. Tak lama kemudian beberapa sahabat beliau dari Kuantan dan kawasan berhampiran singgah sebentar untuk bersilaturrahim dengan hamba. Ada tiga orang semuanya, dan salah seorangnya adalah 'Bakal Jenazah', seorang guru dari Kuantan.

Malamnya dihabiskan dengan bersembang dengan Tuan Kanjeng Sunan. Kerabu isterinya boleh tahan sedapnya. Jam 1145 malam, hamba dah masuk tidur, keletihan, esok hari terakhir.

wassalam.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Tengku_Tengah_Zaharah
Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung telah dinamakan sempenan nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Masjid ini terletak 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Masjid ini mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain yang telah dibina. Masjid ini dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di Malaysia.

Masjid yang mula dibina pada September 1991 dan siap pertengahan Januari 1994 bernilai RM6.997 juta yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya direkabentuk oleh Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dari Seni Bahri dengan menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dan gabungan senibina tempatan.

Keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 30 meter, sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter ini mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang yang menempatkan dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.

Masjid yang telah dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Mahmud ini menyediakan kemudahan lain seperti bilik diraja, perpustakaan kecil, bilik dan pejabat imam, stor, tempat wuduk dan kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.

Dengan gabungan hiasan taman, warna langit yang membiru, kilauan cahaya matahari dari permukaan air yang mengelilingi masjid itu serta tiupan angin dari Laut China Selatan, pastinya ia menjadi masjid yang paling nyaman dan mendamaikan memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan