Rabu, 12 Januari 2011

Makam Mak Kilau di Jerantut, Pahang-Makam kedua belas

Assalamu'alaikum,

18 Disember 2010, 12 Muharram 1432, hari Sabtu, cukup seminggu kami meninggalkan rumah. Isteri pun asyik dok tanya, bila nak sampai rumah ni??? Alhamdulillah, pakaian yang kami bawa cukup untuk seminggu ini, tak perlu berdobi semasa dalam perjalanan.  Terima kasih kepada Tuan Kanjeng Sunan dan isterinya atas layanan istimewa semasa kami bermalam di rumah mereka.

Jam 10 pagi lebih, kami meninggalkan Kerteh. Hujan masih lebat. Kata orang tua-tua, hujan yang bermula hari Jumaat akan panjang tempohnya. Kelihatannnya masih betul memandangkan apabila kami sampai ke rumah di Selangor, sebahagian kawasan di Kemaman dilanda banjir.  Kami ambil jalan ke Kuantan terlebih dahulu, berhenti di Geliga untuk beli keropok lekor, atas saranan Tuan Kanjeng Sunan (memang sedap keropok lekor Geliga). Kemudiannya ambil simpang untuk masuk ke Lebuhraya Pantai Timur.

Kemudiannya berhenti sekejap di Kawasan Rehat ??? (Temerloh agaknya), untuk isi minyak, lepas itu keluar dari lebuhraya masuk ke dalam kawasan Jengka.  Akhirnya, selepas masuk macam2 jalan kampung, kami sampai di Makam Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut. Kawasan perkuburannya terletak di tepi jalan. Kali ini GPS hamba OK dan maklumat longitud dan latitud yang hamba perolehi dalam satu laman sesawang itu tepat, hanya sisih dalam 5-10 meter saja.

Hamba buat kerja hamba tapi anak-anak isteri tinggal dalam kereta sebab banyak nyamuk. Kecuali anak kedua dan ketiga yang datang sekejap bersama hamba. Kesyahduan di Makam Mat Kilau tidak jauh berbeza semasa ziarah Makam Tok Peramu. Ini makam kedua belas dalam ziarah hamba ke kubur-kubur terpilih. Beberapa petunjuk diperlihatkan-Nya semasa mengkaji makam-makam ini, insya-Allah, ada kelapangan hamba akan mencoretkannya. Ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, cuma bila dah pergi dan lihat sendiri, baru perasan.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan balik ke Selangor Darul Ehsan, negeri untuk mereka yang mencari 'Ihsan' sebagaimana dikatakan Junjungan SAW tentang Ihsan itu. Sebelum memasuki lebuhraya, 'terserempak' dengan jalan ke Taman Negara....ehmmmm, lain kali kena pi ni...sekarang tak sesuai sebab musim tengkujuh... Kami singgah sebentar di Kawasan Rehat Genting Sempah untuk bersolat dan makan tengahari...Akhirnya, kami selamat sampai ke rumah kami dekat-dekat Isyak. Perjalanan 7 malam sepanjang 2750 km (kalau termasuk perjalanan ke kampung mertua di Negeri Sembilan sebelum ke Kuantan) memang memenatkan.  Hari keenam dan ketujuh memang dah terasa lenguh kat sendi-sendi, sakit badan, sakit pinggang dan lain. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana tiada kejadian tidak diingini sepanjang XPDC Pantai Timur 2010 ini.

Alhamdulillah, selesai juga hamba mencoretkan sesuatu, khasnya XPDC Pantai Timur 2010 ini dalam blog ini. Moga ia bermanfaat untuk anak-anak ku dan para pembaca.  Moga-moga maklumat masjid dan makam berkaitan boleh dijadikan panduan untuk mereka yang juga sedang mencarinya. Untuk kembali cemerlang, gemilang dan terbilang, kita perlu kembali melihat asal-usul kita, mencari dan menjejak jatidiri kita, sumber kekuatan kita, sumber rujukan kita. Sememangnya kita boleh berjaya sebagaimana mereka dahulu berjaya, bahkan kita boleh lebih berjaya dari mereka.  Moga-moga ada antara kalangan pembaca yang menjadikan Hadis Nabi SAW itu satu kenyataan pada dirinya.

wassalam.



Batu lama itu mungkin batu nisan yang lama, wallahu'alam.

Sumbangan Bank Rakyat Cawangan Jerantut. Alhamdulillah, masih ada anak-anak Melayu yang berjawatan yang masih ada jatidiri dan ingatkan pahlawan-pahlawan Melayu dahulu kala.


Makam Mat Kilau dari jauh

Bilik air dan ??? yang tidak berfungsi. Pengurusan pelancongan negara masih jauh ketinggalan berbanding negara maju. Sikap, pemikiran dan cara kita masih jauh ketinggalan berbanding mereka.

Tourism Malaysia

Disumbangkan oleh Petronas Gas Kerteh. Masih ada badan korporat yang prihatin, apatah lagi Petronas. Kita tidak boleh berharap badan2 korporat yang sibuk buat duit untuk taja benda-benda macam ini. Tidak ada nilai komersial bagi mereka. Kalau berlaku peperangan, kemelut ekonomi, mereka mungkin antara yang terawal tinggalkan negara ini.



http://ms.wikipedia.org/wiki/Mat_Kilau
Mat Kilau (1847-1970) merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang.

[sunting] Kehidupan awal

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau @ Tok Gajah. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras.[perlu rujukan]

Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, dari Kampung Kedondong. Imam Daud adalah seorang guru agama yang disegani di daerah Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dan juga merupakan guru mengaji kepada Mat Kilau dan rakan-rakanya. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Botok yang merupakan mufti pahang ketika itu.

Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua Kota Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini. Menurut beberapa pendapat orang-orang lama, gua ini boleh menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan, selain dipercayai menjadi kediaman para jin islam.[perlu rujukan]

[sunting] Sejarah perjuangan

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Pawang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.

[sunting] Buruan British



Mat Kilau ketika menceritakan sejarah perjuangan beliau setelah muncul dari persembunyiannya dan pulang ke Kampung Pulau Tawar, Jerantut
Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

[sunting] Keluar dari persembunyian


Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar Jerantut. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar PahangYAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.

[sunting] Rujukan

Selamat Tinggal Mat Kilau. Al-Fatihah.

2 ulasan:

  1. di kawasan makam ini ada satu lg makam yg lebih lama iaitu makam malim yunus. Pengasas kg ini dan pengasas masjid lama Mat kilau.

    BalasPadam