Selasa, 8 Mac 2011

Apa Dah Jadi Dengan Orang Muda Hari Ini?

Assalamu'alaikum,


Minggu lepas, hamba membuat lawatan ke beberapa organisasi swasta atas urusan kerja. Antara yang menarik adalah pertermuan dengan Mr. Chang  (bukan nama sebenar), Pengarah Urusan sebuah syarikat barangan dan perkhidmatan kesihatan. Beliau berbangsa Cina dan merupakan warganegara Malaysia. Syarikat yang diterajuinya itu semakin berkembang baik dan mempunyai cawangan di Singapura selain mempunyai urusan perniagaan dengan Australia dan Kanada. Apa yang menarik tentang Mr. Chang adalah beliau 'menunggu' untuk berjumpa dengan hamba, jadi pasti ada sesuatu, walaupun stafnya berusaha agar kedatangan hamba tidak diketahui olehnya. Apatah lagi beliau seorang boss besar, sanggup meluangkan masa dalam 15-20 minit, semata-mata untuk 'bersembang' dengan hamba, yang 'bukan boss pun', cuma boss pada diri sendiri.

Umur Mr. Chang dalam baya-baya hamba juga. Rupanya Mr. Chang ingin berkongsi pandangannya tentang orang muda hari ini, terutamanya lulusan universiti. Satu perkara yang jelas adalah Mr. Chang 'tidaklah nampak sangat rasisnya'. Ini jelas apabila staf syarikatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India.  Beliau juga menekankan kecemerlangan kerja, tanpa mengira bangsa dan mempraktiskan ketelusan dan akauntabiliti dalam syarikatnya. Beliau kata, staf Melayunya tahu bagaimana beliau mengurus syarikat, tiada agenda kaum dalam syarikatnya. Siapa bagus pasti dapat ganjaran lebih. Dalam pada itu, beliau juga memuji beberapa orang pekerja Melayu syarikatnya, lulusan sebuah IPTA tempatan yang katanya komited dan bekerja dengan baik.

Perkara yang ingin beliau sampaikan ialah tentang sikap generasi muda hari ini, tidak bekerja sepenuh hati  (sambil lewa lah tu), tak menepati sasaran kerja,  'pemalas', kurang inisiatif...itu yang utama.  Mula-mula hamba ingat beliau nak merungut tentang pekerja Melayu di syarikatnya, rupa-rupanya  beliau merungut tentang generasi muda Cina masa kini, terutamanya graduan universiti yang bekerja di syarikatnya. Hamba pun kata (dalam bahasa Inggerislah sebab kami berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris), Hamba ingat itu masalah generasi muda Melayu hari ini tapi rupa-rupanya masalah semua kaum, bukan sekadar Melayu. Katanya, pemuda Cina sekarang ramai yang dah malas, tak serius, tak kerja kuat dan lain-lain. Beliau menceritakan bagaimana beliau bekerja keras dari kecil, tidak bergantung kepada ibunya, bekerja separuh masa dari sekolah sehingga pengajian tinggi sebelum menjawat jawatan sekarang.

Masalah 'zon selesa' nampaknya sudah melanda generasi muda hari ini. Orang muda sekarang dah terlebih-lebih dalam mencintai dunia dan isinya. Anak muda sekarang terlalu mengagungkan dunia hiburan, tengoklah kat TV berapa banyak rancangan hiburan berbanding rancangan pendidikan. Budaya barat dah lama meresap dalam pengurusan TV/media di Malaysia. Sampai kanak-kanak pun nak dieksploitasi oleh pihak media untuk keuntungan mereka. Salahnya? Hamba salahkan ibu-bapa dulu. Sanggup masukkan anak dalam pelbagai rancangan  hiburan sebab nak anak menang, dapat hadiah macam2, nak anak jadi artis, boleh cepat kaya, dan 1001 sebab yang lain. Itu dulu, salahkan diri sendiri sebelum salahkan orang lain.

Mr. Chang merungut tentang generasi muda kini yang kurang kompetensi (khususnya semakin pemalas) berbanding anak muda yang ditemuinya di Indonesia, Thailand dan Vietnam. Ini katanya antara sebab Pelaburan Langsung Asing (FDI) semakin kurang ke Malaysia. Beliau semakin hairan kerana generasi muda Cina di Malaysia dah semakin sibuk dengan hiburan, kerja sambil lewa, tak mencapai sasaran dan ringkasnya tak sama seperti generasinya dulu.

Malah, bagi hamba, generasi muda kini sibukkan dunia sehingga sanggup berhutang tak kena tempat. Kereta nak yg OK, kemudian nak tambah aksesori, telefon yang cantik dan mahal-mahal, duit SMS dan telefon beratus sebulan. Kalau baru kahwin semua nak lengkap, tak mahu bersusah sikit. Nak lengkap rumah, semua nak ada, lepas tu nak yg branded, maka semuanya berhutang...tiap2 bulan dapat gaji bayar hutang...macam mana nak bayar hutang PTPTN kalau hutang lain bertimbun???  Itu antara realiti masa kini...Kalaulah jadi bencana alam kat Malaysia, rosak negara kerana generasi mudanya tak punya jatidiri yang waja...

Sedangkan kita dituntut oleh agama supaya semakin baik dari semasa ke semasa...begitu juga dengan negara...kalau kita alpa, selesa, kita akan dipotong, ketinggalan dan 'dijajah semula'...Hamba teringat baca akhbar dalam minggu lepas, syarikat-syarikat di Singapura dan Britain sibuk dok buka ladang kelapa sawit di Afrika, bukan sedikit, dalam beratus ribu hektar juga...sedangkan Singapura dan Britain bukan pengeluar kelapa sawit utama dunia...tapi itu realiti dunia perniagaan, dunia persaingan hari ini. Kalau kita di Malaysia semakin pemalas, semakin sambil lewa, semakin alpa, seronok dengan kedudukan sekarang, berada dalam zon selesa, maka kita akan tewas suatu hari nanti. Penguasaan tamadun bukan bersandar pada penguasaan fizikal, tetapi pada penguasaan ilmu dan pengurusan yang berhemah. Switzerland, tak ada ladang koko pun di situ, tapi mereka (Nestle) merupakan antara pengeluar coklat terbaik dunia. Singapura, negara kecil saja, tapi rakyatnya antara terkaya di Asia. Negara Belanda, kecil saja, rakyat dlm 17 juta saja tapi menguasai minyak dunia (melalui Shell contohnya) dan barangan elektronik (Philips contohnya)...

Dari itu, pandai-pandailah kita mendidik anak-anak muda kita, anak-anak kita yang belum muda agar mereka tidak terperangkap dalam cintakan dunia dan isinya dan takutkan mati, agar mereka hanya cintakan Allah dan Rasul. Yang pasti, kehidupan anak muda zaman mendatang lebih mencabar berbanding zaman sekarang. Kita perlu sediakan dan bekalkan mereka apa sahaja yang kita mampu, dengan pendidikan terbaik, dengan sekitaran rumah terbaik, dengan akhlak terbaik, dengan persediaan kewangan secukupnya, sekurang-kurangnya kalau tak mampu, hendaklah kita bekalkan mereka dengan Islam, Iman dan Ihsan yang utuh, tidak tergugat dek himpitan dunia.

wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan