Selasa, 8 Mac 2011

Masjid Peringgit, Melaka

Assalamu'alaikum,

Selepas urusan di Masjid Kampung Duyung, kami pergi makan tengahari. Untuk memudahkan urusan, kami makan tengahari di sebuah gerai di kawasan Peringgit, tidak jauh dari Hospital Besar Melaka. Makan anak beranak seramai 4 orang pun dah RM21.30 (anak ketiga dan keempat tak tempah makanan tapi 'tumpang orang punya'). Itu kita standard sekarang walaupun hamba dan anak2 hanya ambil satu lauk dan satu minuman dengan isteri ambil nasi goreng. Dalam kehidupan sekarang, ibu-bapa wajib mendidik anak-anak berhemah dalam berbelanja, jangan terlalu memanjakan anak-anak. Kasih-sayang yang diberi perlu bertempat, tidak berlebihan. Kalau berlebihan, 'balas bencana' yang dibayar oleh anak-anak kepada kita, kalau cukup, insya-Allah, 'balas bahagia' yang dibayar oleh anak-anak kepada kita.

Kadang-kadang hamba risau tengok cara orang sekarang dalam memanjakan anak-anak. Dan risau melihat orang muda zaman sekarang dengan gaya hidup mereka. Hal orang muda ini akan disentuh dalam masa terdekat, kerangka dah ada, tunggu mood yang sesuai.  Dalami kehidupan mencabar hari ini, satu perkara yang kita kena ingat adalah nilai wang di tangan kita semakin menyusut. Maksudnya kalau gaji kita RM3500 sebulan, maka tahun depan nilai sebenar gaji kita bukan RM3500 sebulan. Ini berlaku kerana harga-harga barangan naik begitu cepat. Kalau di sektor kerajaan, katakan ada pertambahan gaji RM150 setahun. Isunya adalah adakah kenaikan gaji tahunan lebih besar daripada kenaikan harga barangan? Dengan harga barangan yang semakin meningkat, dengan pertambahan kos sara hidup yang lain seperti anak masuk sekolah, baju nak kena beli (harga dah naik), kasut sekolah  nak kena beli (harga dah berubah) kenaikan cukai majlis perbandaran, kenaikan bil elektrik, pendapatan kita kemungkinan besarnya semakin menyusut.

Jadi, kalau kita masih mengekalkan gaya hidup mewah, maka suatu hari nanti kita akan berada dalam defisit, perbelanjaan kita melebihi pendapatan kita.  Sepatutnya kita sentiasa hidup dalam lebihan, yakni pendapatan bulanan keseluruhan keluarga melebihi belanja bulanan. Ini ditambah dengan kemudahan berhutang yang disediakan oleh institusi kewangan dan syarikat perniagaan. Lihatlah berapa ramainya  rakyat Malaysia berhutang? Separuh daripada KDNK, banyak tu....:-( Orang muda kita gemar berhutang... Kalau lebihan bulanan kita RM150 sebulan, tak begitu lama nanti kita akan berada dalam defisit kerana faktor inflasi. Itu belum dicampur dengan faktor di luar dugaan seperti kereta rosak, sakit, masuk hospital dan sebagainya. 

Satu petua penting dalam menyimpan adalah berbelanja setelah menyimpan, bukannya menyimpan setelah berbelanja. Hamba amalkan petua ini dari mula bekerja. Maksudnya dengan gaji bulanan yang diperolehi, kita asingkan siap-siap duit untuk belanja bulanan seperti bil elektrik, bil air, belanja dapur, belanja telefon., belanja anak sekolah Kemudian kita asingkan (boleh masukkan dalam sampul atau dalam akaun bank yang berasingan) lebihan itu dan bahagikan ia untuk belanja tahunan. Contohnya insurans dan cukai kereta katakan simpan RM100 sebulan, cukai tanah, cukai majlis perbandaran, simpan RM100 katakan, duit kontingensi (kereta rosak dan lain2), simpan RM150 sebulan, takaful anak-anak (katakan RM50 setiap seorang), simpanan  dan begitulah sehingga kita ada baki akhir. Baki akhir inilah kalau nak belanja lain-lain termasuk menyimpan jika ada lebihan.  

Namun begitu, perkara paling penting bab rezeki ini adalah ianya berkat, diberkati Allah Taala. Insya-Allah dengan pendapatan yang berkat, kalau sedikitpun ianya cukup. Selain faktor keberkatan, yang penting adalah rezeki kita dari sumber yang bersih di sisi agama. Jangan lupa juga untuk membersihkan dan menyuburkan pendapatan dan harta kita dengan berzakat.   Umat Islam hari ini, kalau naik yuran sekolah, yuran PIBG, kita heboh seMalaysia, kalau duit rokok (bagi penghisap rokok) tak pernah bilang berapa kos setahun, kalau duit Astro, tak risau membayarnya, kalau belanja Broadband pun OK saja, kalau menghiaskan kereta, habis beribu, kalau mencantikkan rumah, berpuluh ribu, tapi kalau bab berzakat, diam seribu bahasa....:-(....Itu antara sebab orang bukan Islam tak hormat pada orang Islam, kemuliaan dan kekeramatan Insan itu tiada pada diri kita, pada wajah kita, pada akhlak kita, pada hati budi kita...

Hamba dah habiskan celoteh ini. Mana yang baik, semoga ianya bermanfaat. Setelah makan tengahari, kami ke Masjid Peringgit, Melaka. Ianya terletak di kampung yang bertentangan dengan Hospital Besar Melaka. Kami sampai dalam jam 345 petang. Hamba, isteri, anak sulung dan kedua menyiapkan kerja masing. Yang ketiga dan keempat dengan kerja mereka, 'tak reti duduk diam'...Alhamdulillah, dalam sekitar 430 petang kami dah habis kerja. Sebelum keluar dari masjid, kelihatan dua orang tua sedang ikhtikaf lama dalam masjid ini.


Masjid Peringgit

Mimbar

Mihrab

Syiling

Kawasan solat utama

Pengiktirafan kerajaan negeri Melaka

Perigi lama - dah bertutup

pondol rehat

Air kolah

Pintu depan

Kawasan kubur

Detinasi kita seterusnya

Kalau sukakan bahan sejarah, jangan lupakan Masjid Peringgit, jika sampai di Melaka...malangnya orang muda sekarang ramai yang tidak tahu sejarah dan tidak mahu ambil tahu tentang sejarah...



sumber : http://ediyar.melaka.gov.my/sejarah.asp

Peringgit mendapat namanya apabila pemerintahan Portugis di Melaka (1511-1641) membina pos kawalan di puncak bukit ini. Ianya bertujuan mengawal pergerakan/serangan orang-orang Naning, daerah kecil yang merdeka. Lantas bukit ini disebut sebagai Bukit Peringgi dan kemudiannya disebut Peringgit kekal hingga ke hari ini (Peringgi adalah gelaran orang-orang Melaka terhadap orang Portugis)

Masjid asal Peringgit yang dibina pada tahun 1414 hijrah bersamaan 1726 masihi telah musnah. Masjid ini pula telah dibina pada tahun 1293 hijrah bersamaan 1868 masihi. Ianya adalah masjid tradisional Negeri Melaka. Berbentuk empat segi, bahan binaan terdiri daripada batu laterite dan batu-bata era Belanda sebagai asas dan dinding. Lantai masjid diperbuat daripada susunan terracotta. Loteng, perabung, kekisi tingkap dan pintu dibuat dari kayu. Tiga lapisan bumbung adalah ciri utama masjid di Melaka. Gentingnya terdiri daripada genting Cina pada bahagian verandah dan genting Belanda pada bumbung tengah dan bumbung utama. Bahagian kubah/puncak dibuat dari batu karang berukir seperti yang dapat dilihat.

Pada tahun 1978/1979 Kerajaan Negeri Melaka telah menambah besar sebahagian belakang masjid ini dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi, kolah, susunan terracotta dan batu-bata era Belanda di bahagian lantai terracotta ditukar kepada jubin moden. Di bahagian sisi sebelah kanan telah dibina binaan tambahan yang digunakan sebagai kelas Fardhu Ain untuk kanak-kanak setempat.

Apabila masjid negeri siap dibina pada tahun 1988, Masjid Peringgit tidak lagi digunakan untuk solat Jumaat kerana kedudukannya yang berhampiran dan kariah masjid berpindah ke masjid negeri. Masjid Peringgit digunakan oleh penduduk setempat untuk solat harian sahaja. Lama kelamaan banyak dari kerja kayunya yang rosak disebabkan anai-anai dan air hujan sehingga ianya tidak lagi selamat untuk digunakan.

Pada tahun 2002 Jabatan Muzium dan Antikuiti telah melaksanakan kerja-kerja konservasi dengan mengembalikan bentuk asal Masjid Peringgit.



Jadi saya menurut sahaja maklumat pihak muzium seperti yang tertera di Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Hulu (dua-dua dikatakan dibina tahun 1728) juga maklumat di Muzium Islam Melaka yang menyebut Masjid Peringgit sebagai masjid tertua Melaka. Maklumat di ketiga-tiga tempat itu menyebut Masjid Peringgit dibina tahun 1720 sedangkan di Masjid Peringgit sendiri batu maklumatnya menyebut ia dibina tahun 1726. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan