Rabu, 22 Jun 2011

Makam Tokku Tuan Besar, Kuala Terengganu, Terengganu

Assalamu'alaikum, 

Hari Selasa, 7 Jun 2011,  5 Rejab 1432, hari terakhir ekspedisi kali ini. Banyak perkara perlu diselesaikan hari ini sebab bukan senang nak sampai ke Kuala Terengganu. Selepas Subuh, jam 715 pagi hamba dah keluar seorang diri menuju Makam Tokku Tuan Besar. Memandangkan masa yang suntuk, maka hamba biarkan isteri dan anak-anak di hotel, bersiap-siap sebelum hamba selesai urusan di Makam Tokku Tuan Besar.  Dalam jam 735 pagi, hamba dah sampai ke Makam Tokku Tuan Besar. Perjalanan agak mudah kerana Masjid Tokku Tuan Besar 'ada' dalam GPS hamba. Makam Tokku Tuan Besar terletak di bahagian depan Masjid Tokku Tuan Besar...Makam Tokku Paloh yang merupakan anak kepada Tokku Tuan Besar telah hamba ziarahi pada 14 Disember 2010, hari Selasa, 8 Muharram 1432.

Tokku Tuan Besar ataupun namanya Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Idrus merupakan ayah kepada Tokku Paloh yang terkenal itu.  Cuma bacaan di internet tidak banyak melaporkan tentang Tokku Tuan Besar berbanding anaknya Tokku Paloh. Apapun, beliau hamba kira 'seorang yang hebat', kerana anak yang hebat pasti dididik oleh seorang bapa yang hebat. Memandangkan masih pagi, maka keadaan di makam dan masjid agak lengang, dan memudahkan hamba menyelesaikan urusan kerja di sini.

Ada tikar plastik yang ditinggalkan berdekatan makam tapi banyak pasir dan semut di atasnya. Nasib baik hamba bawakan tikar sendiri (tikar percuma yang dihadiahkan semasa mengerjakan haji) sentiasa disimpan di dalam kereta. Dengan suasana dan kesejukan di waktu pagi, nak buat kerja pun selesa. Alhamdulillah tiada gangguan semasa di sini. Jam 820 pagi, hamba selesai urusan di sini dan terus ke hotel untuk ambil anak-isteri.

 
 Makam Tokku Tuan Besar...

Kenapa papan tanda dibiarkan begitu??? Pihak Masjid kena ambil tahu...

Makam di bawah/sebelah Makam Tokku Tuan Besar

Perkuburan ini dah lama...

Kawasan ini tinggi sedikit berbanding perkuburan lain, dalam 1 kaki setengah...

Batu sungai sebagai batu nisan untuk kubur2 lama...

Kawasan perkuburan ini dikelilingi beberapa rumah...


Masih dalam kawasan perkuburan

Pintu pagar kawasan perkuburan

Masjid Tokku Tuan Besar...Al-fatihah untuk Tokku Tuan Besar,
Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Idrus

Hamba sememangnya ada urusan di Masjid Tokku Tuan Besar, Masjid Tokku Paloh, cuma kekangan masa dan mengutamakan ziarah Makam menyebabkan urusan itu ditangguhkan. Selepas kembali ke hotel, anak dan isteri dah bersedia menunggu. Kami bersarapan pagi di kedai berhampiran, makan nasi lemak Kuala Terengganu. Selepas itu, kami menuju ke Pasar Payang.


untuk keterangan lebih lanjut mengenai makam-makam lain di Kuala terengganu, anda boleh layari http://merahsilu.blogspot.com/2008/05/keluarga-besar-tokku-paloh-wali-agung.html     dan   http://artmelayu.blogspot.com/2008/05/makam-lama-di-old-tomb-at-cabang-tiga.html


sumber : http://indahnyatrg.blogspot.com/2010/07/masjid-tok-ku-tuan-besar.html
Masjid ini  dikenali oleh masyarakat setempat dengan nama Masjid Tok Ku sahaja.  Masjid ini telah dibina oleh Tok Ku Tuan Besar iaitu ulama silam Terengganu (nama sebenar Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Idrus iaitu ayahanda kepada Tok Ku Paloh) di Kampung Tok Ku, Cabang Tiga. Letaknya lebih kurang 6 km dari pusat bandar Kuala Terengganu.  Masjid yang sudah berusia lebih dari 100 tahun ini sudah diperbaiki dan dibesarkan untuk menampung keperluan masyarakat setempat. 


sumber: http://muhdhazrie.wordpress.com/2009/08/19/tokku-paloh/

Semasa pemerintahan Sultan Omar, Tokku Tuan Besar menjadi Syeikhul Ulama iaitu ketua seluruh ulama Terengganu, dan dianugeiahkan gelaran Paduka Raja Indra oleh baginda Sultan. Kedua-dua kedudukan itu menjadikan Tokku Tuan Besar sangat dihormati dan berpengaruh di kalangan istana dan rakyat keseluruhannya.

Sebagai seorang ulama yang bertanggungjawab dan berpengaruh, Tokku Tuan Besar berusaha sehingga terlaksana hukum-hukum Islam secara meluas dalam sistem pentadbiran dan kehidupan di bawah pemerintahan Sultan Omar (memerintah 1839-1875), hingga Terengganu terus terkenal sebagai negeri yang berpegang teguh dengan Islam, di sekitar pertengahan abad ke-18 Masihi.

Menyedari pentingnya penyebaran ilmu agama dan bimbingan amal, maka Tokku Tuan Besar mendirikan masjid di Kampung Cabang Tiga. Masjid ini kini telah diubahsuai dan meriah dengan ahli jemaah. Di sinilah Tokku Tuan Besar yang juga pengarang beberapa buah kitab itu menyebarkan ilmu dan tarbiah kepada ramai anak muridnya dan anak-anaknya sendiri termasuk Sayid Abdul Rahman (Tokku Paloh).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan