TOPIK

Aidil Fitri (1) Air Kolah (9) Akhir Zaman (3) Aktiviti Ilmiah (1) Al-Quran (4) Alam (13) Alam Ghaib (5) Aldil Fitri (1) Allah wujud tanpa bertempat (15) Amal Soleh (3) Anti Hadis (1) Aqidah (17) ASWJ (63) Bab Munakahat (4) Bab Sihir (3) Bab Tauhid (9) Bahasa Melayu (6) Bahaya Syiah (7) Bertabarruk (2) Bid'ah (8) Bidaah Hasanah (7) Bulan Ramadhan (18) Bulan Rejab (1) Bulan Zulhijjah (1) Cintai DIA (1) Cuti-Cuti Malaysia (89) Doa (1) Dosa Besar (1) Ekonomi Islam (5) Fadilat Al-Quran (4) Fiqh (3) Futuhul Ghaib (1) Futuhul Makkiyyah (3) guru (2) Guru Mursyid (6) Guru Tariqat (6) Hadis Dhaif (6) Hadis Maudhu' (1) Hadis Nabi (14) Hakikat (1) Hari Kemudian (1) Hotel Islam (1) Hukum Berkaitan Zikir (9) Ibadat Haji (6) Ibnu Taimiyyah (16) ilmu kebatinan (5) Ilmu Laduni (1) ilmu persilatan (2) Imam Malik (1) Insan Kamil (1) Israk Mikraj (10) Istanbul (17) Isu Halal (2) Isu Kalimah Allah (4) Isu Khilaf (25) Isu Khilafiah (29) Isu Semasa (4) Isu Wahhabi (97) Jalan-Jalan (128) Jihad Ekonomi (34) Jom Makan (16) Karamah (2) kebenaran (5) Kesultanan Melayu (7) Kewangan dan Perbankan Islam (1) Khatamun Nubuwwah (2) Kisah Mualaf (28) Kisah Nabi (2) Koleksi (2) Kosong (2) Kurma (1) Lagu (1) Lailatul Qadar (14) Makam Sultan (5) Makam Sultan/Raja Melayu (7) Makam Wali Allah (43) Makhluk Halus (1) Makrifat (1) Masjid (41) Masjid Lama (24) Masjid Utama (29) Maulidur Rasul (23) Mekah (2) Melayu (14) Merdeka (1) Misteri (10) motivasi (1) Mukasyafah (2) Mutasyabihat (7) Nabi Ibrahim A.S. (1) Nabi Khidir A.S. (14) Nabi Musa A.S. (1) Neraka (1) Nisfu Syaaban (17) nostalgia (1) Nur Muhammad (6) Nuzul Quran (3) Pahlawan Islam (2) Pahlawan Melayu (10) Pelancongan Tanah Tinggi (4) pengumuman (7) Penyakit (1) Perubatan Islam (2) Perubatan tradisional (1) Petua (2) Puasa Ramadhan (18) Puasa Sunat (2) Pulau Besar (18) Putrajaya (3) Rabitah (1) Rahmat Allah (1) Rawatan Islam (1) rekreasi (21) Rezeki (1) RSAW (11) Rumahku Syurgaku (4) Sajak (6) Sedekah (1) Sejarah Melayu (6) Selawat (7) Senibina Islam (8) Sifat 20 (2) Solat (8) Solat Sunat (9) Sumpah (1) Sunnah RSAW (9) Tamadun Islam (8) Tariqat (7) Tasawuf (23) Tawassul (5) Tulisanku (311) Ulamak Islam (7) Ulamak Nusantara (20) Ulamak Tanah Melayu (16) Universiti (3) Usahawan Muslim (9) Usuluddin (1) Wahhabi dan Keganasan (9) Wali Allah (50) Wali Melayu (22) Wali Songo (10) Youtube (1) Zakat (13) Zakat Fitrah (4)

Khamis, 6 Januari 2011

Makam Tokku Paloh-Makam Ketujuh

Salam,

Alhamdulillah, selepas Makam Tuan Tulis, Makan Sheikh Said Linggi, Makam Sultan Abdul Samad, Makam Syed Abdullah al-Haddad, Makam Tok Peramu, Makam Tok Senik ini merupakan Makam ketujuh yang diziarahi hamba.Kami keluar dari hotel agak lewat, anak-anak agak keletihan. Selepas sarapan pagi, destinasi seterusnya adalah Makam Tokku Paloh. Hamba pernah ke Makam Tokku Paloh tahun 2002, ketika itu bersama jemaah dan guru mursyid. Ia merupakan kenangan yang indah dan manis kerana merupakan ekspedisi terakhir yang disertai oleh guru mursyid. Ketika itu  isteri baru habis pantang selepas kelahiran anak kedua, tetapi atas dasar tanggungjawab, kami sertai juga ekspedisi ini. Antara kenangan manis di Makam ini ialah anak kedua yang asyik menangis dan kemudiannya diam apabila guru mursyid hamba mendokongnya. Sememangnya anak kedua riak wajahnya ada sikit-sikit iras wajah guru mursyid.

Memandangkan telah lapan tahun tidak ke sini, maka hamba memang dah lupa jalannya. Maka ambil masa yang panjang juga untuk ke makam Tokku Paloh, berhenti tanya orang rasanya ada 5-6 kali.  Alhamdulillah, sampai juga hamba sekeluarga ke sini. Selepas menyelesaikan urusan yang patut, anak dan isteri turut serta, ambil gambar kenang-kenangan. Kami meninggalkan makam ketujuh ini hampir tengahari dan bergerak menuju ke Makam Tokku Pulau Manis.



Kelihatan Makam Tokku Paloh dalam kelambu


Makam Tokku Paloh dalam kawasan yang dipagar


Pintu Pagar ke kawasan Makam


Kubur ni memang lama-lama


Kawasan Makam dari atas bukit


Kawasan Makam dari bawah

Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
(http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0918&pub=utusan_malaysia&sec=bicara%5Fagama&pg=ba_01.htm&arc=hive)



DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.
Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu.

Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan
Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah ‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.


Sumber maklumat berkaitan Tokku Paloh (http://www.fadhiri.com/2009/12/jejak-ulama-6-tokku-paloh-memerangi.html)

SAYYID Abd al-Rahman Muhammad Zayn al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh merupakan tokoh ulama dan umarak yang terkenal di Terengganu sekitar hujung kurun ke-19 hingga awal kurun ke-20.
Tokku Paloh yang dilahirkan pada 1817 disanjung tinggi kerana sumbangannya terhadap perkembangan politik, semangat patriotisme, keilmuan serta pelaksanaan hukum-hukum Islam di negeri tersebut. Beliau yang dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada 1918 juga amat disegani ramai hingga kini lantaran kesungguhannya melaksanakan hukum-hukum Islam.
Kesungguhan nasab ke-32 daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. ini dalam melaksanakan hukum Islam di Terengganu dapat dilihat menerusi sebuah kitab tulisannya yang berjudul Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi iq al-Irfan. Kitab itu antara lain memperlihatkan sikap Tokku Paloh yang cukup serius terutamanya dalam memerangi jenayah aqidah yang berleluasa berlaku ketika di zamannya itu.
Sebagai contohnya, beliau menekankan tentang bahaya amalan masyarakat ketika itu yang mengamalkan main peteri iaitu suatu upacara mengubati pesakit melalui perubatan tradisional. Menurut beliau dalam kitab itu, main peteri atau main bageh mempunyai unsur-unsur khurafat yang menggaitkan hantu dalam mengubati sesuatu penyakit telah membelenggu aqidah masyarakat di sana sejak sekian lama.
Banyak mazhab sesat dan penyelewengan aqidah yang didedahkan oleh Tokku Paloh menerusi kitab itu di mana ia menggambarkan senario yang berlaku di Terengganu pada ketika itu. Rafidiyah, Kharijiah, Qadariyah, Jabariyah, Jahimiyah dan Murji’ah merupakan enam mazhab sesat yang mendapat tumpuan beliau menerusi kitab tersebut. Mazhab-mazhab itu merupakan asas kepada kelompok-kelompok lain yang berpecah daripada aqidah yang sama di mana setiap satunya berpecah kepada 12 kumpulan. 
Natijahnya, jumlah semua kumpulan itu menjadi 72 kumpulan. Ia sebenarnya berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:“Demi Tuhan yang menguasai jiwa Muhammad akan berfirqah (berpecah) umatku sebanyak 73 firqah. Satu firqah masuk ke dalam syurga dan 72 firqah masuk ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Firqah yang masuk ke dalam syurga itu ialah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah” - Riwayat al-Tabrani.
Peranan Tokku Paloh itu bukan setakat banyak membantu mengubah senario kefahaman agama dalam masyarakat tetapi ia turut terus menjadi bahan kajian ramai sarjana hingga ke saat ini. Antaranya pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UM), Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi menerusi kertas kerjanya yang bertajuk Tokku Paloh : Kesungguhannya Memerangi Jenayah Aqidah Di Terengganu. Ia dibentangkan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu 2008 Siri Ke-14 yang dipengerusikan oleh Profesor Kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham.
Sumbangan
Kertas kerja itu merupakan sebahagian daripada tesis doktor falsafah beliau yang memfokuskan tentang sumbangan Tokku Paloh dalam membetulkan aqidah umat Islam ketika itu.
Jelas Mohd Taufik, tokoh terbilang itu misalnya, melaksanakan hukum Islam ketika dilantik oleh Sultan Zainal Abidin III mentadbir daerah Sungai Nerus di Terengganu.
“Daripada kajian yang saya jalankan tentang Tokku Paloh, saya difahamkan beliau seorang pentadbir yang serius dalam menjalankan hukum Islam secara menyeluruh di daerah tadbirannya itu.“
"Ketika zaman Tokku Paloh, ada bukti yang menunjukkan hukuman seperti potong tangan kerana kesalahan mencuri telah dilaksanakan di negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja tersebut di UM, Kuala Lumpur.
Tokku Paloh bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hukum-hukum Islam terutamanya dalam membetulkan aqidah umat Islam yang boleh dianggap perkara tunjang yang patut diberi perhatian utama. Apatah lagi, katanya Allahyarham merupakan salah seorang penasihat utama Sultan Zainal Abidin III yang menasihati baginda dalam hal-hal pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
Senario itu memberi kelebihan kepada Tokku Paloh berdasarkan kebolehannya yang luas dalam bidang keilmuan Islam, apatah lagi ketika itu institusi ulama banyak mencorakkan sistem pemerintahan kerajaan di sana. Sebagai contohnya, Tokku Paloh pernah diberi peranan menyusun dan seterusnya mewujudkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melancarkan lagi sistem pemerintahan di negeri itu.
Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqa iq al-Irfan atau maksudnya Tangga Bagi Orang Yang Sangat Dahaga Ia Bagi Orang Yang Naik Ia Kepada Martabat Segala Hakikat Makrifat itu merupakan kitab yang dikaji oleh Mohd Taufik sejak 2006. Kitab yang ditulis pada 1900 itu kini hanya boleh didapati dalam bentuk salinan di mana versi pertamanya didapati daripada cucu Tokku Paloh iaitu Tokku Paloh Tuan Baru pada 2004.
Sesuai dengan budaya setempat, terdapat unsur bahasa dialek Terengganu yang tercatat dalam perkataan-perkataan dan ayat-ayat dalam kitab ini. Misalnya, perkataan lipah yang bermaksud lipas, setuh (sentuh), papang (papan), pihok (pihak), kasu (kasut), kerijakan (kerjakan), anok (anak), mekapuskan (menghapuskan) dan sebagainya.Berdasarkan contoh tersebut ia menjelaskan lagi tentang pengaruh dialek Terengganu. 
Pada umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu diakhiri dengan sebutan ‘n’ tetapi dalam sebutan Terengganu ia diakhiri dengan sebutan ‘ng’. Contohnya, ‘makan’ tetapi ia bertukar menjadi ‘makang’. Selain memerangi penyelewengan aqidah yang boleh dianggap sebagai jenayah, Tokku Paloh juga merupakan antara tokoh Melayu yang banyak mencetuskan semangat patriotisme bagi menentang penjajahan British.
Disebabkan tahap keilmuan yang tinggi, ditambah dengan sifatnya yang warak, nama Tokku Paloh turut menjadi sebutan ramai pada zamannya.Tokoh yang pernah menuntut ilmu sekitar 10 tahun di Mekah ini dikatakan juga seorang pengamal tasawwuf yang tinggi serta dikenali sebagai pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah.
Gelaran
Justeru, tidak hairanlah ramai yang menggelar beliau dengan gelaran Engku Sayyid Keramat kerana banyak peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku ketika hidupnya.
“Antaranya pernah diceritakan orang seorang wakil British tidak dapat bangun daripada duduknya ketika berdepan dengan Tokku Paloh. Dia menjadi tergamam dan seperti tidak tahu hendak buat apa apabila berdepan dengan Tokku Paloh. Itu antara kekeramatan Allahyarham yang pernah diceritakan orang.“
"Perkara itu tidak menghairankan kerana ia sudah banyak berlaku ke atas orang yang berilmu dan warak seperti Tokku Paloh. Mungkin itu kelebihan yang Allah berikan kepada beliau,” ujar Mohd Taufik.
Dalam pada itu, beliau bukan sahaja mengkagumi isi kandungan kitab-kitab karangan Tokku Paloh tetapi turut mengkaji tentang keperibadian tokoh yang disegani ramai itu. Malah Mohd Taufik mencadangkan agar usaha-usaha tertentu dilakukan bagi mengetengahkan lagi watak Tokku Paloh untuk dihayati serta diteladani oleh generasi muda hari ini.
“Banyak perkara yang boleh kita pelajari misalnya, kesungguhan Tokku Paloh dalam usaha mencari ilmu dan mengamalkan apa yang beliau pelajari. Sifat keperwiraan yang ada pada diri Tokku Paloh juga patut dihayati supaya ia menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.“
Kalau selama ini kita mudah mengangkat tokoh-tokoh luar dalam filem, drama atau komik, mengapa tiada usaha dilakukan untuk menterjemahkan perjuangan Tokku Paloh dalam konteks kehidupan kita pada hari ini?” soalnya.

 

08 October 2007


Tok ku Paloh ulama besar Terengganu

Selamat membaca..........
Berita Harian Online
Tok ku Paloh ulama besar Terengganu
Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang


ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.


Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.


Baginda menyebut, "Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu," yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.


Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh 'mengambil' Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka.


"Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah," demikianlah jawapan ulama besar itu.


Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.


Lalu Tokku Paloh menyindir, "Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?" sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.


Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang.


Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik.


Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.


Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.


Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.


Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, ulama itu turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat jihad di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.


Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau


hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford.


Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh.


Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang.


Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal.


Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.


Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman.


Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.


Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan sufi. Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalan �Syahadat Tokku� iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya.


Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.


Dalam usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguat kuasanya sendiri yang dikenali sebagai �Budak Raja�. Pasukan Budak Raja ditugaskan menjaga keamanan sama seperti fungsi pasukan polis pada hari ini.


Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat terjaga, Tokku Paloh gemar keluar pada malam hari malah pada hari tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala.


Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada keesokan hari.


Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya. Usaha beliau itu mendapat perkenan daripada pihak istana.


Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku Paloh.


Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.


Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.


sumber: http://www.trglib.gov.my/jaringan/trg/tukku_paloh.htm (lawan web Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu), koleksi artikel Allahyarham Wan Mohd Shaghir Abdullah.


PROFIL: Tokku Paloh

# Nama sebenar: Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus.

# Asal: Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu.

# Tahun lahir: 1817

# Tahun wafat: 1917 (usia 100 tahun)

# Sumbangan: Ulama besar Terengganu pada abad ke-19.

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.

3 ulasan:

  1. Assalam,bgaimana adab dn syarat utk kembara musafir ke makam para wali dn org soleh..?
    blhkah hamba ikut brsama Tn utk berkelana ke tempat2 yg Tn slalu kembara?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Gooners 85,

      Kurang sesuai ikut hamba. Bab adab elok tanya guru mursyid.

      Wassalam.
      MQAH

      Padam