Khamis, 7 Julai 2011

Doa Nabi Khidir A.S.



Assalamu'alaikum,



Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah. (Al-Kahfi 18:61)


Maka kekadang kita apabila sudah bertemu dengan guru mursyid, tidak dapat kita mengenal bahawa itulah guru mursyid untuk kita.  Maka terus berjalan kita dalam mencari guru musryid untuk kita sedangkan yang sudah ditemui itu tidak kita ketahui atau fahami itulah guru mursyid yang menjadi bahagian kita. Apatah lagi kalau kita ikatkan fahaman dengan guru mursyid itu mestilah terkenal, banyak pengikutnya, banyak pelik-pelik yang berlaku kepadanya, bertingkahlaku seperti sekian2...Bergurulah dengan guru mursyid anda sama ada beliau terkenal, banyak pengikut, banyak kelebihannya ataupun beliau itu hanya seorang tukang kasut (baca kisah Imam Ghazali r.a.). Anda ada bahagian anda dan mereka ada bahagian mereka. Janganlah sibuk mengkaji darjat guru anda tetapi bersyukurlah kepada Allah Taala atas bahagian yang diperuntukkan-NYA kepada anda walau siapa guru mursyid anda. Hatta guru murysid anda adalah penoreh getah, pekebun sayur, peniaga di pasar malam, pensyarah di universiti, ulamak terkenal, maka bersyukurlah di atas bahagian guru musryid anda yang diperuntukkan Allah Taala. Jika memang hebat guru murysid anda, jangan diperkecilkan guru mursyid orang lain, tetapi fahamilah maha bijaksana DIA dalam menetapkan sesuatu dan lihatlah maha tahu-NYA dalam memberikan seseorang itu rezeki dan bahagian masing-masing.

Maka kekadang kita apabila mempelajari ilmu hakikat, lupa kita akan ilmu syariat sedangkan ilmu syariat itulah bekalan untuk kita belajar ilmu hakikat. Terlupa kita ilmu syariat tanpa hakikat itu kosong dan hakikat tanpa syariat itu batal. Ataupun Imam Malik r.hm. berkata:  “Barangsiapa berfeqah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barangsiapa bertasawuf (hakikat) tanpa feqah (syariat), maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”  Sedangkan syariat itulah hakikat dan hakikat itulah syariat bagi yang berjaya menyatukan kedua-duanya. Dengan syariatlah kita mempelajari dan menyelami hakikat dan dengan hakikatlah kita menzahirkan dan mencantikkan syariat. Maka bekalan ilmu syariat yang dibawa itulah yang jangan ditinggalkan sama sekali apabila mempelajari ilmu hakikat (baca kisah Sheikh Abdul Qadir Jailani r.a. diuji Iblis laknatullah). Sedangkan bekalan ilmu syariat itulah yang perlu disegarkan dan disepadukan dengan ilmu hakikat agar pertemuan dua laut itu 'membolehkan ikan itu kembali hidup dan masuk ke dalamnya'.

Maka dari beberapa kisah sufi yang mereka itu bertemu dengan Nabi Allah Khidir A.S., ada kisah-kisah pelik yang berlaku yang menyebabkan mereka tidak perasan bahawa orang itulah Nabi Allah Khidir A.S spt kiasan ikan yang mati itu hidup semula dan menggelunsur ke dalam laut di dalam ayat di atas. Kekadang dalam kisah-kisah sufi ada bekalan yang mereka bawa iaitu pesanan/ingatan guru mursyid tatkala mereka akan bertemu Nabi Khidir A.S. Akan tetapi pesanan/ingatan itulah mereka terlupa, maka apabila sudah tersedar, baru menyesal tak terkata kerana hanya sempat bertemu muka, kekadang bersalam pun tidak, kekadang bertegur sapa pun tidak, akibat alpa dengan bekalan (nasihat/ingatan) yang dibawa.

Apa yang si salik harus lakukan adalah mencari bagaimana bekalan ilmu syariat itu dapat 'diisi' dalam kerangka ilmu hakikat yang dipelajari dan menyepadukan ilmu hakikat itu dalam kerangka ilmu syariat. Sudah pasti ada ruang dan jalan di sini sebagaimana 'ikan itu yang menyelururi melalui lorong di bawah tanah'. Antaranya jika pada syariat masih mengharapkan pahala atas kebaikan, maka bagaimana mendapat pahala ini digandingkan dengan mencari keredhaan Ilahi. Bagaimana menggandingkan antara melakukan sesuatu atas dasar hamba dengan melakukan sesuatu lillahi taala. Bagaimana menggandingkan antara menurut perintah Allah Taala dan menjalankan perintah DIA semata-mata. Bagaimana menjadikan kenyataan solat kita, ibadat kita, hidup kita dan mati kita lillahi taala semata-mata. Akhirnya bagaimana menjadikan tujuan hidup di dunia ini lillahi taala semata-mata, tanpa tujuan dan matlamat lain. 

Wallahu'alam.

sumber : http://bahrusshofa.blogspot.com/search/label/Khidhir

Syaikh Muhammad Amin Kurdi dalam "Tanwirul Qulub" pada halaman 422 menulis satu faedah seperti berikut:-
Imam as-Sayuthi telah menyebut dalam "Luqtul Marjaan" daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.`anhuma sebagai berkata:-

  • "Nabi al-Khidhr dan Nabi Ilyas bertemu pada setiap tahun di musim haji dan mereka berdua berpisah atas kalimah-kalimah ini: "Dengan nama Allah, sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tidak ada yang mendatangkan kebaikan melainkan Allah; Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tidak ada yang menolak kejahatan melainkan Allah; Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, setiap keni'matan adalah daripada Allah; Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah". Ibnu 'Abbas berkata: "Sesiapa yang membaca doa ini ketika pagi dan petang sebanyak 3 kali, maka Allah akan mengamankan (yakni menyelamatkan) dia dari tenggelam (lemas), kebakaran, kecurian, dari (kejahatan) syaitan, penguasa, ular dan kala jengking."
Maka sewajarnya bagi seseorang murid untuk mengamalkan doa ini, kerana ianya akan menjadi sebab yang membawa kepada tawakkal.
Doa ini juga dinukil oleh Hujjatul Islam al-Ghazali dalam "Ihya` 'Ulumiddin" jilid 1 halaman 374 dengan sedikit perbezaan lafaz.

Tawakkal itu amatlah penting dalam kehidupan seseorang muslim. Walau bagaimana hebatnya kita, selaku hamba kita hendaklah sentiasa bertawakkal kepada Allah, sejak permulaan setiap sesuatu pekerjaan berkekalan sehingga mencapai tujuan atau sebaliknya. Allah pula menyukai orang-orang yang bertawakkal sebagaimana difirmankanNya dalam surah Ali 'Imraan ayat 159 yang kira-kira bererti: "Bahawasanya Allah ta`ala itu kasih akan orang-orang yang bertawakkal." Manakala dalam surah ath-Tholaaq ayat 3, Allah berfirman yang kira-kira bererti: "Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah itu mencukupi baginya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan