Jumaat, 8 Julai 2011

Nisfu Syaaban Bakar Semangat Pejuang Islam


sumber : http://pondokhabib.wordpress.com/2010/08/02/nisfu-syaaban-bakar-semangat-pejuang-islam/

Nisfu Syaaban bakar semangat pejuang Islam


Quantcast
Oleh Abdurrahman Haqqi

Eropah pasti jadi wilayah Muslim andai pejuang tauhid tidak tewas di Perancis pada 141H. WALAUPUN Nisfu Syaaban bukan ajaran inti dalam Islam, ia tetap mempunyai impak tersendiri bagi kehidupan umat Islam. Bahkan, seandainya ada yang terang-terangan melarangnya, dia akan berdepan dengan pihak berkuasa di sesetengah kawasan seperti juga jika ada orang yang menyuruhnya secara terang-terangan di rantau lain dia akan berdepan dengan pihak berkuasa rantau itu.

Walaupun Syaaban sudah ribuan kali berulang akan tetapi satu bulan Syaaban yang berlaku pada tahun 141 Hijrah memberi impak khusus bagi umat Islam dalam kehidupan dakwah menyeru umat manusia tunduk kepadanya.

Jika kejadian pada Syaaban 114H, Jumaat atau tarikhnya bersamaan 10 Oktober 732M tidak berlaku, maka sejarah dunia sudah berputar dalam putaran yang lain.

Ahli sejarah Barat, Edward Gibon dalam Roman Empire berpendapat seandainya kejadian itu tidak berlaku maka agama Islam akan menyebar luas di bumi Eropah dan di Universiti Oxford, pengajian berteraskan wahyu al-Quran akan menjadi suatu fenomena. Menurut pendapat yang lain, kejadian berkenaan sudah membuktikan kejayaan dan penguasaan agama Kristian ke atas daratan Eropah dan menyekat kemaraan Islam di sana.

Lalu, apakah yang berlaku pada hari itu? Apa yang berlaku pada Syaaban 1317 sehingga ramai ahli sejarah berkeyakinan demikian?

Pada hari itu berakhirnya rentetan peperangan penaklukan daratan Eropah oleh tentera Islam. Pemimpin tentera Islam gagah berani sudah masuk kota Tours, Perancis, Abdul Rahman al-Ghafiqi terbunuh dalam peperangan menurut sejarah Islam disebut Ma’rakah Balath al-Syuhada dan menurut Barat disebut pertempuran Tours atau Poitiers.

Umat Islam menamakannya dengan nama demikian kerana ramai pejuangnya mati syahid sebelum mereka mengundurkan diri daripada peperangan dan tiada niat untuk melakukan sebarang pertempuran pada kemudian hari. ‘Balath’ bahasa Arab bererti ‘istana’ atau ‘lantai.’ Jadi pertempuran itu adalah pertempuran istana kalangan syahid atau ‘lantai-lantai’ untuk mereka. Sedangkan orang Eropah menyebutnya demikian kerana mengambil nama bersempena nama kota tempat pertempuran berlaku.

Abdul Rahman al-Ghafiqi mempunyai cita-cita seperti pendahulu penguasa Islam di Andalus dan utusan Khalifah Umayyah di Damsyik bermula daripada Tariq Ziad, Musa Nushair, al-Samh Malik al-Khaulani hinggalah Anbasah Suhaim al-Kalbi. Al-Ghafiqi mengambil tampuk kepemimpinan pada 730 M. Beliau menyatukan kembali cita-cita awal pemimpin sebelumnya.

Penaklukan seluruh Sepanyol oleh tentera Islam hanya dalam masa tidak lama sudah menunjukkan kehebatan tentera Islam sehingga akhirnya setiap kali berlaku pertempuran antara tentera Islam dan penentangnya raja-raja Sepanyol hanya memerhati bahkan memberi laluan kepada tentera Islam. Justeru ini satu strategik mereka dalam menghadapi tentera Islam kerana menyedari mereka tidak mampu mengalahkan tentera Islam.

Seorang raja yang dihormati di kalangan mereka pernah berkata: “Beta sudah memikirkan secara mendalam perkara ini (tidak melawan tentera Islam) dan beta berpendapat pada masa ini kita tidak perlu menghadapi mereka secara langsung. Mereka adalah pejuang-pejuang yang tinggi mentalnya. Mereka golongan yang memiliki akidah yang kukuh sehingga tak menghiraukan jumlah dan senjata. Mereka mempunyai iman dan kejujuran yang jauh lebih berharga dibandingkan dengan senjata, pakaian perang atau kuda. Kerana itu, lebih baik kita membiarkan mereka; mereka akan terus mengumpulkan harta dan ghanimah (pampasan perang), kemudian mereka membangun rumah dan istana serta berupaya untuk memperbanyak memiliki budak hamba lelaki mahu pun perempuan; dan akhirnya kita akan lihat mereka akan saling merebut kekuasaan. Pada saat itu, kita boleh menakluk mereka dengan mudah tanpa banyak pengorbanan.”

Inilah yang berlaku ke atas tentera pimpinan Al-Ghafiqi. Menurut ahli sejarah Islam, Perang Uhud pada zaman Rasulullah SAW berulang lagi dalam pertempuran Balath al-Syuhada. Kalangan pejuang ‘silau mata’ dengan melimpah ruahnya pampasan perang itu sehingga mereka bukan berperang menakluk musuh, tetapi berperang mempertahankan pampasan itu.

Sifat inilah dilihat pimpinan tentera Eropah, Charles Martel. Pada mulanya dia dan tenteranya sudah putus asa akan memenangi peperangan. Tetapi kerana teringat nasihat raja di atas, dia memulakan propaganda bahawa pampasan perang pejuang Islam sudah dimusnahkan.

Propaganda ini berjaya dan membuat pejuang Islam mundur ke belakang untuk mempertahankan ghanimah dan pada masa sama Martel dan tenteranya boleh mengalahkan Abdul Rahman al-Ghafiqi yang masih berjuang dengan gigih bersama segelintir pengikutnya kerana ditinggalkan pejuang yang hauskan pampasan perang ini. Al-Ghafiqi terbunuh, tentera Islam kucar kacir melarikan diri dan tidak pernah kembali.

Inilah sejarah memilukan hati. Kerana harta, prinsip dan cita-cita perjuangan terbantut dan kemenangan tergadai. Di bawah kepemimpinan al-Ghafiqi, selatan Perancis sudah diduduki umat Islam. Seandainya pertempuran Balath al-Syuhada berpihak kepadanya sudah tentu acara meraikan kemuliaan Syaaban sebagai bulan Nabi akan juga dirasai di seluruh Eropah seperti kita merasainya di rantau ini. Seandainya ia berlaku, kita tidak mengenal daratan Eropah Kristian, tetapi Eropah Islam. Bila lagi al-Ghafiqi akan muncul?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan