Selasa, 26 Julai 2011

Meninjau Beberapa Perusahaan dan Perniagaan Milik Melayu

Assalamu'alaikum,

Hari ini 26 Julai 2011 bersamaan 24 Syaaban 1432, hamba ke beberapa tempat sekitar Batu Caves atas urusan kerja. Hamba memang kurang biasa dengan Batu Caves dan Gombak, maka GPS dalam telefon menjadi panduan. Lokasi pertama sebuah syarikat milik pengusaha Melayu di Taman Samudera. Tak banyak yang hamba mahu mengulas kecuali menyatakan masih kedapatan usahawan Melayu yang sudah berbelas atau berpuluh tahun dibantu dan disokong oleh pihak kerajaan melalui pelbagai cara tetapi masih mengharapkan bantuan dan sokongan kerajaan. Ini agak malang. Sepatutnya usahawan Melayu yang sudah dibantu dan disokong kerajaan harus mampu berdikari dan keluar dari 'tongkat' sedia ada, bukannya sentiasa mengharapkan sokongan kerajaan 24 jam. Sepatutnya usahawan Melayu yang sudah berjaya membantu usahawan Melayu lain yang masih kecil untuk berjaya, bukannya sentiasa mengharapkan dasar kerajaan yang memihak kepada mereka dan sentiasa melobi bantuan kerajaan.

Lokasi kedua adalah sebuah syarikat Melayu yang mengeluarkan minuman berkarbonat di Kompleks Industri Makanan MARA di Sentul. Alhamdulillah, hamba dapat berbuah-bual dengan bossnya, yang hamba panggil En. Shah. En. Shah bukan pemilik syarikat ini tetapi membantu rakannya untuk memulihkan syarikat ini yang masih turun-naik. Walaupun En. Shah bukanlah pemiliknya, hamba kira beliau tahu apa yang perlu dilakukan untuk memulihkan perniagaan ini. Syarikat ini menggajikan kira-kira 20 orang pekerja dan memiliki pelbagai mesin canggih. Dalam masa yang sama, persijilan GMP dan HACCP sedang diusahakan oleh En Shah kerana ia merupakan 'kewajipan' untuk bersaing dalam perniagaan yang diusahakannya. En. Shah menceritakan masalah-masalah yang timbul untuk memasuki pasaran pasaraya besar seperti Giant, Tesco dan CarreFour.  Antaranya adalah jangkamasa kredit yang panjang sehingga 45 hari. Ini bermakna syarikat tidak akan menerima bayaran sehingga 45 hari. Ini menyukarkan modal kerja syarikat dalam bersaing kerana tempoh kredit yang panjang. Selain itu, beliau menyatakan pasaraya besar 'memang ada ambil' barang-barang pengusaha IKS Bumiputera tetapi ditempatkan di hujung-hujung, di ceruk-ceruk, di lokasi yang tidak strategik, tidak menarik dalam pasaraya besar.  Akhirnya pastilah barang-barang pengusaha IKS ini tidak laku, tidak habis. Maka pasaraya besar ini boleh 'cuci tangan' dengan kerajaan dengan menyatakan 'mereka dah cuba tolong pengusaha IKS Bumiputera' tapi barang pengusaha IKS Bumiputera tak laku, tak berkualiti dan 1001 alasan. Ini pernah berlaku di sebuah pasaraya di bandar tempat hamba tinggal. PKNS memberikan keizinan pasaraya ini dibuka dengan syarat mesti memasarkan barang2 keluaran Bumiputera. Apa yang berlaku adalah barang-barang keluaran Bumiputera diletakkan di rak/tempat yang tidak strategik dan akhirnya tak laku. Pemilik pasaraya ini juga boleh 'cuci tangan' dengan PKNS dalam hal ini.

Beliau juga cuba menghantar barangnya untuk dijual di pasarmini 7-Eleven. Masalahnya adalah 'yuran untuk masuk yang besar', berpuluh ribu juga. Lepas itu, kalau barang tak laku, maka pengusaha kena ambil balik di pasarmini 7-Eleven. Jadinya risiko terlalu tinggi kerana yuran masuk yang besar dan barang kena ambil balik kalau tak laku.  Apapun En. Shah sedang mengusahakan perubahan ke atas syarikatnya dengan menukarkan jenis/bentuk botol-botol yang digunakan dan menerokai pasaran minuman bukan berkarbonat. Hamba kira ini langkah baik kerana pengguna masa kini semakin kurang berminat dengan minuman berkarbonat dan mementingkan minuman untuk kesihatan. En. Shah tahu masalah syarikatnya yang tidak mempunyai sistem kewangan yang lengkap. Hamba pun menasihati apa yang perlu dan membuka jalan bagaimana mewujudkan sistem kewangan yang baik untuk syarikatnya. Moga2 hajat En. Shah dimakhbulkan Allah. Perniagaan minuman adalah Fardhu Kifayah. Masih terlalu sedikit pengusaha Muslim/Melayu yang terlibat dengan perniagaan sebegini. Apatah lagi pasaran negara dikuasai oleh syarikat-syarikat gergasi dari luar negara yang juga dimiliki oleh bukan Muslim seperti Coca-Cola, Pepsi dan F&N.  Semoga En. Shah berjaya dalam mengembangkan perniagaan tersebut. Terima kasih kepada En. Shah kerana menghadiahkan hamba sekotak minuman berkarbonat, dalam 24 botol juga. Hamba terima hadiah ini kerana ia hadiah, bukannya rasuah. Kenapa bukan rasuah? Kerana hamba tak ada kepentingan dengan syarikat tersebut sama ada kepentingan kewangan, pengaruh, dan kuasa dan kepentingan2 lain. Sekadar singgah untuk urusan kerja bagi memastikan ..... dan kemudiannya diberi hadiah, salahkah hamba terima?  Bolehlah dijadikan minuman sampingan waktu berbuka puasa kelak. Sama-samalah kita membantu pengusaha IKS Muslim/Melayu.

Lokasi terakhir di Pinggiran Batu Caves adalah sebuah syarikat yang juga dimiliki oleh usahawan Melayu. Wakil syarikat yang hamba jumpa dikenali sebagai En. M. Alhamdulillah, syarikat ini diterajui oleh usahawan yang kental jaditi diri dan prinsip hidupnya.  Pegawainya menceritakan bagaimana boss nya menghadapi pelbagai masalah dengan agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan membantu usahawan Bumiputera. Antara masalahnya adalah dari segi proses kerjanya yang lembap, minta dilayan di restoran-restoran mahal, dan paling besar adalah minta rasuah atas pembiayaan yang dipohon. Alhamdulillah, ketuanya kental prinsip hidupnya yakni cari rezeki dengan cara yang halal. Ini antara masalah tipikal agensi kerajaan yang dipenuhi dengan ramai orang Melayu. Melayu Tipu Melayu, Melayu Tindas Melayu, Melayu Makan Melayu adalah sinonim dengan agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan khusus membantu usahawan Bumiputera.  Cuma hamba menyatakan, lain kali pastikan ada bukti dan lapor pada SPRM. Kalau diamkan saja, ini bermakna kita tidak menyelesaikan punca kepada masalah itu. Maka usahawan lain juga akan menghadapi masalah sedemikian juga akhirnya. Hamba dah dengar/jumpa banyak kali usahawan Melayu yang pinjaman/pembiayaan mereka diluluskan tetapi 'tidak dilepaskan' a.k.a. 'wang belum turun' kerana belum 'menyuap'. Malangnya usahawan ini membiarkan saja perkara itu berlalu begitu sahaja dan tidak membuat tindakan yang dapat 'mengajar dan mendidik' pegawai-pegawai kerajaan. Paling tidak hantar sahaja surat rasmi mengadu hal ini dengan menyertakan bukti2nya kepada dan dan disalinankan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Biro Pengaduan Awam JPM, Menteri berkaitan, KSU berkaitan, Ketua Pengarah/CEO berkaitan dan Tribunal Tuntutan Pengguna. Hamba  pasti surat sebegini akan mendapat maklumbalas segera.  Lakukan apa yang mampu kita lakukan dalam hidup ini, walaupun ianya kecil, agar kita dapat membantu diri sendiri dan orang lain dalam mendapat manfaat daripadanya.

Coretan kali ini lebih banyak memaparkan masalah daripada pihak lain yang menghalang @ melambatkan usahawan Melayu daripada berjaya. Hamba taklah kata usahawan Melayu tidak bermasalah. Itu dah disentuh dalam topik 'Jihad Ekonomi' dan akan disentuh lagi dalam topik lain, Insya-Allah. Cuma kita kena melihat sesuatu perkara dalam konteksnya yang menyeluruh, maka fahamlah kita akan letak duduknya sesuatu isu. Hamba selesai urusan dalam jam 12 tengahari. Hamba makan tengahari dahulu sebelum bertolak balik ke tempat kerja. Di sebalik waktu paginya dok terfikir kenapalah nak kena pergi ke Batu Caves/Sentul/Gombak, rupa-rupanya ada banyak hikmah dan rahsia di sebaliknya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan