Rabu, 14 September 2011

Krisis Universiti Malaya : Krisis Ilmu dan Pemikiran



Assalamu’alaikum,

Hamba mengikuti krisis di Universiti Malaya yang berlaku dalam Ramadhan yang lalu. Pertamanya, dari segi politik kampus, adalah sesuatu yang ‘lumrah’ krisis akan timbul apabila tempoh jawatan seseorang Naib Canselor itu akan berakhir dalam beberapa bulan lagi.  Akan ada usaha melobi oleh calon yang berpotensi dan usaha melobi oleh penyandang sedia ada. Orang awam mungkin tidak tahu bahawa pencalonan seseorang Naib Canselor (dan Timbalan Naib Canselor) kemungkinan ada pelbagai kegiatan lobi di belakangnya sama ada melalui pak-pak menteri, orang-orang politik, isteri orang-orang politik, dan pelbagai manusia yang ‘hidup di dalam sistem ini’.  Krisis ini akan menjadi semakin ‘lumrah’ kalau seseorang Naib Canselor itu seseorang yang kontroversi, suka amalkan ISA (Ikut Suka Aku), yakni mentadbir mengikut kesukaannya, sukar dibawa berbincang dan mengamalkan pendekatan atas ke bawah (top down approach).


Keduanya, krisis tersebut adalah sesuatu yang penting sehingga masuk menjadi berita utama di salah sebuah akhbar harian yang utama.  ‘Keberanian’ pihak yang menentang Naib Canselor Universiti Malaya sedia ada menggunakan pelbagai saluran dan jaringan politik menunjukkan krisis ini benar-benar ‘panas’ dan meletup. Hamba sendiri telah mengikuti isu ini dari dahulu, justeru itu, hamba berusaha mengenengahkan pandangan hamba sebaik mungkin.


Menurut pandangan hamba, pasti ada perkara besar yang terjadi yang menyebabkan hubungan antara Naib Canselor sedia ada dengan sebahagian tenaga akademiknya menjadi begitu panas.  Kalau diperhatikan di Malaysia, mana-mana Naib Canselor universiti awam yang mengamalkan gaya ISA dan pendekatan atas ke bawah memang tidak popular.  Kalau kita bawa tradisi Islam ke dalam pentadbiran universiti masa kini, isu ini tidak sepatutnya timbul.  Jawatan Naib Canselor tidak sepatutnya menjadi satu rebutan kerana ia suatu amanah yang begitu besar. Seorang Naib Canselor haruslah sarjana besar dalam bidangnya, seorang sarjana yang juga terkenal kerana ilmunya, keilmuannya, akhlaknya (sekarang dipanggil etika kalau menurut perspektif Barat). Seorang Naib Canselor dalam tradisi Islam bukanlah seorang yang sombong, bukanlah seorang yang ‘dia saja betul’, bukanlah seorang yang autokratik. Seorang sarjana besar haruslah seorang yang mencontohi akhlak RSAW, mementingkan musyawarah, semakin tawadhuk atas ilmu yang Allah Taala limpahkan kepadanya, bukan sombong dengan segala pencapaiannya dan kehebatan peribadinya.  Seorang ilmuan besar adalah seorang yang mahukan orang lain lebih berilmu daripadanya, mahukan orang lain lebih berjaya berbanding dirinya.


Di situ sahaja, kita dapat melihat bagaimana perlantikan seseorang Naib Canselor di universiti awam di Malaysia sudah jauh tersasar dari tradisi Islam. Perlantikan seseorang Naib Canselor universiti awam di Malaysia memerlukan sokongan Menteri berkaitan dan ‘restu’ tangan ghaib di belakangnya. Dalam sistem politik semasa, Menteri berkaitanlah yang berkuasa selain pelobi-pelobi dan tangan-tangan ghaib di belakangnya.  Justeru itu, tidak hairanlah seorang ilmuan besar berjiwa Islam pasti tidak akan menjawat jawatan Naib Canselor. Ilmuan tersohor di Malaysia seperti Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tidak berkehendak kepada jawatan seperti itu, dan dalam masa yang sama ‘tidak akan dilantik ke mana-mana jawatan penting dalam sistem sedia ada’. 

Keempatnya, perkara yang menjadi kegilaan kepada beberapa orang Naib Canselor universiti awam semasa adalah ‘ranking’ dan jurnal berimpak tinggi. Terdapat beberapa ‘ranking’ dalam dunia seperti yang dihasilkan oleh Times Higher Education (www.timeshighereducation.co.uk) dan www.webometrics.info. Isu penting yang orang ramai tidak faham dan orang politik tidak mahu memahami (sama ada pemerintah mahupun pembangkang) adalah ‘ranking’ adalah satu penjajahan bentuk baru.  Adakah anda pernah terfikir bahawa pihak-pihak luar ini akan ‘menaikkan ranking’ universiti Malaysia, menjadikan universiti-universiti kita termasuk dalam senarai 50 universiti terbaik dan sebagainya? Janganlah bermimpi di siang hari...Fahamilah hakikatnya bahawa ini satu penjajahan baru yang ramai antara kita terperangkap di dalamnya. Apakah antara perkara utama untuk menaikkan ‘ranking’ universiti kita? Antara yang utama adalah penulisan tenaga akademik kita dalam jurnal-jurnal ilmiah yang dikatakan ‘berimpak tinggi’. Apakah dan dimanakah jurnal-jurnal ilmiah berimpak tinggi ini? Sebahagian besar jurnal-jurnal ini yang diindekskan oleh ISI dan Scopus terletak di negara-negara Barat dan memerlukan sumbangan artikel dalam bahasa Inggeris. Maksudnya, untuk menaikkan ‘ranking’ universiti, tenaga akademik tempatan ‘terpaksa/dipaksa’ menghantar artikel mereka dalam Bahasa Inggeris ke jurnal yang diterbitkan di Negara Barat.  Bagi jurnal yang dikatakan ‘berimpak tinggi’, dalam 100 artikel yang dihantar, kadar penerimaannya mungkin 8-10 peratus sahaja (8-10 artikel saja yang diterima untuk diterbitkan setelah melalui pelbagai penambahbaikan). Tidak nampakkah anda, butakah anda bagaimana sarjana-sarjana universiti tempatan  yang sengaja atau terpaksa ‘berkiblatkan’ dunia Barat, dijajah penulisan mereka, dijajah pemikiran mereka bahawa Baratlah yang terbaik, Barat adalah segala-galanya akibat isu jurnal berimpak tinggi ini.

Hamba tidaklah anti Barat dan segala dari Barat, bahkan mendapat sebahagian pendidikan rasmi hamba dari Negara Barat juga. Isunya, orang politik kita (pemerintah dan pembangkang), sebahagian Naib Canselor universiti awam kita, sebahagian sarjana tempatan kita  terlalu obses dengan ‘ranking’ ini. Anda tahu apa kesannya akibat terlalu obses dengan ranking dan jurnal berimpak tinggi ini?  Akibatnya adalah kita meminggirkan Bahasa Melayu, satu-satunya bahasa kebangsaan Negara kita, satu-satunya bahasa yang boleh menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, satu-satunya bahasa yang pernah menjadi bahasa antarabangsa di kepulauan Nusantara.  Dalam jangka panjang, minat menulis dalam Bahasa Melayu akan berkurang kerana sarjana tempatan (tenaga akademik tempatan) sibuk mengejar penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi dalam Bahasa Inggeris. Ini ‘wajib’ kerana kenaikan pangkat adalah berasaskan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi yang bahasa pengantarnya adalah Bahasa Inggeris. Sedangkan bahasalah jiwa bangsa. Apakah rupa bentuk bangsa Melayu itu jika bahasanya bukan bahasa Melayu?  Siapakah yang akan menghasilkan 1001 penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu jika bukan sarjana tempatan. Apabila kegiatan penulisan dan penerbitan dalam Bahasa Melayu berkurang, apabila orang Melayu semakin mengagung-agungkan bahasa asing, kegiatan pengembangan Bahasa Melayu akan semakin berkurangan. Dalam jangka panjang, katakan dalam 100 tahun, bahasa Melayu akan pupus, ini tidak mustahil. 

Sedangkan dalam hamba dan keluarga mengembara di Eropah, bangsa-bangsa di Eropah amat berbangga dengan bahasa, budaya dan sejarah mereka kerana itulah yang membentuk jatidiri mereka.  Semasa mengisi minyak di Sepanyol, atendam pam ‘tidak melayan’ hamba yang bertutur dalam Bahasa Inggeris (walaupun beliau faham) sebaliknya mengajar hamba bercakap dalam bahasa Sepanyol untuk perkataan ‘tangki penuh’.  Orang Sepanyol berbangga dengan pencapaian sejarah dan tamadun mereka walaupun mereka ‘agak tertinggal’ dengan bangsa-bangsa lain di Eropah masa kini.  Begitu juga semasa hamba di Peranchis di mana orang Peranchis amat berbangga dengan bahasa mereka dan mercu tanda di sana.  Semasa hamba di Belanda, orang Belanda boleh bertutur dalam empat bahasa, Belanda, Peranchis, Jerman dan Inggeris tetapi mengutamakan bahasa ibunda mereka.  Negara maju seperti Jepun, Korea dan lain-lain Negara Eropah mengajar sains dan matematik untuk anak-anak di sekolah dalam bahasa ibunda mereka, masih mementingkan bahasa Inggeris tetapi meletakkan Bahasa Inggeris pada tempat yang sewajarnya (bukan sebagai bahasa kebangsaan), kita pula mengagungkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Celarunya kita dan pemikiran kita, kelam-kabut tindakan dan gerak kerja kita, tergadai falsafah dan jatidiri kita...

Sepatutnya, pihak kerajaan dan pentadbiran universiti menggalakkan kegiatan penulisan dan penerbitan dalam Bahasa Melayu, bukan mengganggapnya sebagai ‘bahasa kelas kedua’.  Hamba tidak pernah mengenepikan kepentingan Bahasa Inggeris dalam dunia ilmu, dalam dunia pekerjaan, dunia antarabangsa dan dunia siber hari ini, tetapi bukanlah dengan mengorbankan kepentingan dan maruah Bahasa Melayu.  Sepatutnya insentif dan ganjaran diberikan kepada universiti dan sarjana tempatan yang mengangkat maruah dan martabat penulisan dan penerbitan dalam Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Seharusnya galakan diberikan kepada universiti awam yang berjaya mengangkat jurnal-jurnal ilmiah dan penerbitan berbahasa Melayu sehingga diiktiraf sebagai berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa, bukannya memberikan imbuhan sementara kepada tenaga akademik yang menghasilkan artikel ilmiah dalam Bahasa Inggeris di jurnal asing.

Begitu juga dengan penghasilan buku-buku ilmiah dalam Bahasa Melayu.  Kegilaan kepada ‘ranking’ dan ‘jurnal  berimpak tinggi’ ini telah ‘menurunkan’ martabat penulisan dan penerbitan buku-buku berbahasa Melayu ini kerana ‘tidak disenaraikan’ dalam ISI dan Scopus. Begitulah malangnya nasib bahasa ibunda di negara sendiri, di universiti tempatan yang ditadbir oleh ‘anak tempatan’ yang berkiblatkan dunia Barat.  Sebuah artikel ilmiah setebal 10-20 halaman yang diterbitkan dalam jurnal diaudit ISI boleh menerima imbuhan kewangan sehingga RM10,000, sementara sebuah buku ilmiah berbahasa Melayu akan mengambil masa yang lama untuk diterbitkan dan tiada insentif kewangan disediakan untuk penulisnya melainkan kecintaan kepada bangsa dan bahasa sendiri dan tanggungjawab hakiki menyebarkan ilmu. Kalau penulis buku ilmiah berbahasa Melayu ini mendapat royalti sekalipun memang tidak banyak mana (dalam RM1,000-RM2,500 sahaja) dengan penulisan beratus-ratus halaman berbanding 10-20 halaman sahaja di jurnal berimpak tinggi yang dibaca oleh beberapa kerat manusia luar berbanding buku ilmiah berbahasa Melayu yang dibaca dan dirujuk oleh khalayak ramai, dalam dan luar negara.   Anda fikir dan nilailah sendiri, satu contoh ganjaran kewangan untuk ‘mempromosi’ bahasa asing lantaran ‘dijajah oleh ‘ranking’ dan jurnal berimpak tinggi’ amat lumayan berbanding usaha mempromosi bahasa ibunda, bahasa jiwa bangsa yang dipinggirkan. Usaha lebih 40 tahun dan berterusan semenjak 1970-an untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sebagai bahasa utama di persada antarabangsa telah dipinggirkan dengan matlamat pelik tentang 'ranking' dan jurnal berimpak tinggi.

Di situ ada perkara keenam yang hamba lihat satu kesilapan serius, ‘satu kesalahan besar’ yang berlaku di Universiti Malaya.  Pentadbiran Universiti Malaya dilihat lebih banyak mengambil tenaga akademik luar berbanding universiti-universiti awam yang lain.  Harus diingatkan, wawasan, misi dan falsafah penubuhan universiti awam tidaklah sama dengan universiti swasta di Malaysia. Anda tidak boleh mengharapkan universiti swasta berbicara mengenai kepentingan Bahasa Melayu, mengenai jatidiri bangsa, mengenai maruah dan martabat bangsa, mengenai kesucian agama Islam kerana isu-isu ini ‘tidak menguntungkan’ universiti swasta.   Universiti swasta di Malaysia umumnya ‘berkiblatkan wang ringgit’, tercetus dari limpahan ekonomi kapitalis akibat dasar pendemokrasian pendidikan negara.  Mereka menghasilkan manusia-manusia yang ‘dididik dan dibentuk  untuk bekerja’, itu sahaja. Berbalik ada isu ini, masalah besar yang timbul akibat ‘dasar’ Universiti Malaya ini adalah tenaga-tenaga akademik luar ini ‘terlalu sibuk’ dengan kerja-kerja penerbitan artikel ilmiah dalam jurnal berimpak tinggi sehingga melupakan tugas hakiki mereka di universiti, iaitu mengajar dan mendidik manusia. Akibatnya, para pelajar tidak berpuashati dengan kualiti pengajaran tenaga akademik luar ini dan pengalaman indah di menara gading yang diimpikan menjadi satu mimpi ngeri kerana kerakusan dan kegilaan sebahagaian manusia terhadap ‘ranking’ dan jurnal berimpak tinggi. Anda tanyalah para pelajar Universiti Malaya yang diajar oleh tenaga akademik luar ini jika tidak percaya. Kursus-kursus yang diajar sebelumnya dalam Bahasa Melayu telah diajar dalam Bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, usaha memartabatkan Bahasa Melayu di menara gading sekian lama telah ‘dikorbankan’ dalam sekelip mata oleh mereka-mereka yang gilakan ‘ranking’ dan ‘jurnal berimpak tinggi’.

Seharusnya pentadbiran Universiti Malaya dan lain-lain universiti awam yakin dengan kemampuan anak tempatan berbanding orang luar. Kita wajib maju mengikut acuan kita, bukan acuan orang. Kita seharusnya berjaya dengan kemampuan anak tempatan, bukan dengan kebolehan orang luar yang diambil bekerja, dibayar gaji yang wangnya datang dari rakyat tempatan, yang kerjanya menulis artikel untuk jurnal berimpak tinggi agar ‘ranking’ universiti sekian-sekian dapat meningkat dalam tempoh masa tertentu.  Adakah anda fikir ‘orang luar’ ini mengajar anak bangsa ‘dengan roh Malaysia’, mendidik anak-anak kita dengan citra negara, menanam nilai-nilai yang baik agar anak-anak kita lebih berjaya berbanding generasi sebelumnya? Sudah tentu tidak kerana dasar dan matlamat mereka diambil bekerja adalah berbeza dengan matlamat dan tujuan seseorang tenaga akademik tempatan bekerja di universiti.  Adakah profesor luar berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman mereka dengan anak tempatan dalam mengajar dan menghasilkan artikel ilmiah? Sedikit sangat yang berbuat demikian. Mereka hanya mementingkan penerbitan jurnal berimpak tinggi, bukannya pelajar tempatan, bukannya pensyarah tempatan. Malang sekali, harapan, citra dan cita-cita negara dikorbankan dek kegilaan kepada ‘ranking’ dan ‘jurnal berimpak tinggi’.

Adakah kita mahukan Universiti di Malaysia naik dalam ‘ranking’ dengan mengikut/meniru cara National University of Singapore atau lain-lain insittusi yang mengikut cara yang sama? Caranya memang mudah, kerana mereka ada duit, mereka melantik profesor dari luar, memberi status pemastautin tetap/kerakyatan dan mengkehendaki profesor luar ini menerbit dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi.  Dalam jangka singkat, memang ‘ranking’ universiti akan meningkat, tetapi dalam jangka panjang, sebenarnya kita ‘naik’ kerana orang luar, sumbangan orang luar yang diimport sepertimana pasukan bola sepak Singapura yang dipenuhi pemain-pemain dari luar, bukan  rakyat tempatan. Adakah itu yang kita kehendaki? Kita tidak boleh mengikut Singapura kerana Singapura adalah sebuah negara yang tidak mempunyai jatidiri. Mereka gelapkan sejarah Singapura yang sebenar dan sejarah Singapura ‘dikatakan bermula dengan era Stamford Raffles’. Mereka ada lagu kebangsaan dalam Bahasa Melayu tetapi ramai rakyatnya yang tidak tahu menyanyikan lagu tersebut. Mereka tidak ada budaya, dan mengambil budaya orang Melayu, Cina, India, kononnya untuk dijadikan budaya mereka. Hakikatnya mereka tidak ada bangsa teras pun!!! Rakyatnya berdisiplin di atas jalan raya di dalam negara tetapi tidak berdisiplin apabila memandu di Malaysia, maknanya rakyat mereka hipokrit pada hakikatnya. Dasar mengimport orang luar dalam pelbagai sektor (bukan bidang akademik saja) juga semakin tidak disukai rakyat Singapura dan ini dapat dilihat dalam isu-isu yang dibahaskan dalam pilihanraya umum Singapura yang baru berlangsung di mana Parti Pemerintah (PAP a.k.a abang kandung parti DAP di Malaysia) mendapat undi popular yang paling rendah dalam sejarah.

Hamba sendiri yakin dengan kemampuan anak tempatan berbanding ’orang luar’.  Memang ada beberapa kerat ‘anak tempatan’ yang membawa masalah, tetapi umumnya, kita wajib yakin bahawa kita boleh. Katakanlah apa saja bidang, pasti ada kehebatan anak Melayu di dalamnya. Kalau hamba hendak senaraikan, banyak, tapi percayalah bahawa anak-anak Melayu berkemampuan dan amat berkebolehan. Mungkin kalangan pembaca tidak tahu kerana orang Melayu itu terkenal dengan semakin tinggi semakin berbudi, semakin berilmu, semakin tunduk ke bumi. Kita telah membina tamadun yang hebat di kawasan nusantara ini dan empayar maritim yang unggul suatu ketika dahulu, tiada mustahilnya kita tidak mampu melakukannya kali ini.  Bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca di sini, bahawa perdagangan antarabangsa yang wajib dikuasai, apakah mustahil ia dibina semula?  Sekali lagi, hamba tidaklah ‘anti orang luar’.  Kita memang memerlukan kepakaran luar dalam beberapa bidang tetapi berpada-padalah tentangnya, janganlah berlebih-lebihan. Hamba juga tidaklah 'anti ranking' tetapi berpada-padalah dalam nakkan 'ranking'. Sebagai orang Islam, 'ranking' bukanlah segala-galanya. Universiti Al-Azhar tidak sibukkan tentang ranking tetapi masih diiktiraf sebagai universiti Islam terbaik di dunia.  Kecemerlangan dan kegemilangan tamadun Islam di Baghdad dan Andalusia dahulu bukanlah terletak pada 'ranking' tetapi pada keilmuan tenaga penggeraknya, bagaimana mereka memahami ilmu, bagaimana tasawwur mereka itu, bagaimana jatidiri mereka, bagaimana pelbagai korpus ilmu yang dikuasai mereka mampu menjadikan diri itu cemerlang, institusi itu gemilang dan akhirnya tamadun itu sebagai suatu yang terbilang.

Hamba sengaja mengaitkan isu bangsa Melayu dengan krisis yang sedang berlaku. Anda nak katakan hamba ‘assabiyyah’, itu hak anda. Cuma nasihat hamba, fahami ‘hakikat assabiyyah’ terlebih dahulu sebelum mengata orang lain. Ada perkara besar akhir zaman yang berkaitan dengan bangsa Melayu, agama Islam dan dunia sebelah sini yang sibuk diperkatakan orang dan hamba tidak berminat untuk mengatakannya.  Biarlah mereka-mereka itu berbicara tentang ‘puzzle’ itu sedangkan DIA lah yang maha merancang segala sesuatu dan sebaik-baik perancang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan