Isnin, 19 September 2011

Sakit itu Satu Rahmat

Assalamu'alaikum,

Hamba sebenarnya sedikit uzur ketika bulan Ramadhan yang lalu. Sebab itulah hamba kurang menulis pada bulan Ramadhan dalam blog ini, cuma salin dan tampal artikel yang bermanfaat untuk para pembaca. Keuzuran hamba ketika bulan Ramadhan ini hamba redha atas segala yang berlaku dalam izin-NYA.  Kalau nak diceritakan tentang keuzuran itu, agak panjang. Cuma hamba ringkaskan sajalah.  Kepelikan uzur hamba kali ini adalah apabila masuk saja Maghrib (buka puasa), hamba rasa tidak begitu bermaya sekali. Sepatutnya bila berbuka puasa, selepas minum dan makan, kita akan rasa lebih bertenaga, lebih kuat, hamba jadi terbalik. Rasa begitu tidak  bermaya, letih satu badan. Nak ke surau/masjid pun tak terdaya. Hamba hanya bersolat tarawikh di rumah sahaja. Isteri hamba, hamba izinkan untuk ke surau untuk solat tarawikh.  Beliau memang kuat ibadatnya, memandangkan hamba 'tak mampu bersama ke surau', tiada salahnya mengizinkan beliau. Jam 930 malam hamba dah 'lesap'....



Bila awal pagi sampai waktu berbuka, rasa OK saja....Lepas berbuka, macam 'habis bateri' dibuatnya. Hamba pun tak kaji apa puncanya, itulah kelemahan kita dan kelalaian manusia. Ingatkan, ini ujian Allah, maka terimalah seadanya. Itulah ujian hamba sepanjang Ramadhan dan ia bermula betul-betul pada 1 Ramadhan sehingga penghujungnya.  Anak-anak bising juga, solat berjemaah sekeluarga Maghrib dan Isyak dah berkurang lantaran hamba 'kurang upaya'. Isteri hamba celoteh juga sebab kurang ambil peluang di atas bulan Ramadhan ini, hamba jawab nak buat macam mana, bukan 'kuasa kita'. Kemudian pada 21 Ramadhan sehingga 24 Ramadhan, hamba kena demam teruk. 21 Ramadhan tu, terlantar atas tilam saja. 22-24 Ramadhan pulih sedikit, tetapi masih dok dalam rumah saja. Hamba bersyukur kerana masih dapat puasa. Isteri bising juga, tetapi hamba ingatkan beliau, hamba tahu setakat mana kemampuan zahir hamba dan hamba tak akan menzalimi diri sendiri. Hamba redha atas Ujian Allah itu dan bersyukur kerana masih dapat berpuasa dan buat mana-mana amalan yang mampu. Hamba juga bersyukur kerana dapat menggunakan peluang semasa malam Nuzul Quran sepenuhnya. Alhamdulillah, tak dapat 29/30 hari, dapat sehari pun rahmat DIA juga...

Menerima sakit itu berbeza-beza antara orang syariat, tariqat, hakikat dan makrifat.  Pada orang syariat, sakit itu wajib diubati, dan itulah juga nasihat Junjungan RSAW secara umumnya. Pada orang makrifat seperti Saidina Abu Bakar r.a. (baca kisah beliau dalam kitab-kitab),  apabila Saidina Abu Bakar r.a. sakit, sahabat bertanya sama ada mahu dibawa berjumpa tabib/doktor, baginda menjawab tidak harus berjumpa tabib/doktor kerana Yang Memberikan Sakit sendiri yang akan mengubatinya atau menyembuhkannya.  Pada orang tariqat, sakit itu lebih kepada pembersihan diri dari pelbagai dosa, maka sakit itu diterima seadanya agar dosa-dosa si salik dihapuskan oleh Allah Taala. Pada orang hakikat, sakit itu diterima, diredhai sepenuhnya kerana semua yang baik dan buruk itu hakikatnya dari Allah jua. Buruk bagi kita, baik bagi Allah. Mana yang mahu kita pilih, baik disisi Allah atau baik disisi manusia??? Malah, pada sebahagian orang hakikat, sakit itu sebenarnya satu rahmat dan akan mengangkat darjat seseorang disisi-NYA. Nasihat hamba kepada pembaca, kalau sakit berubatlah, jangan tak berubat pulak. Kecuali anda di bawah bimbingan guru mursyid, maka  boleh dirujuk tentang sakit itu sama ada perlu diubati, perlu diterima, perlu diredha sepenuhnya atau apa saja kalam guru mursyid. Guru mursyid arif akan ujian-ujian yang menimpa anak muridnya, dan tugas anak murid adalah beradab dan patuh kepada nasihatnya. Hakikatnya setiap sakit itu ada rahmatnya yang cukup luas kalau kita mahu mengkaji, jangan disandarkan pada satu asbab sahaja.

7 Syawal 1432 bersamaan 5 September 2011, sebelum balik ke Selangor, hamba dapat 'hint', ...Alhamdulillah, terungkai juga punca kepada masalah hamba selama sebulan itu. Tidak terfikir untuk memohon petunjuk-NYA tetapi 'Masih ingat Allah Taala' pada hamba yang bermasalah ini. Sedangkan DIA maha pemurah dan maha pengasih, sedangkan hamba terumbang-ambing dipukul badai ganas di lautan tidak bertepi.  Isteri hamba tanya tak nak pi berubat mana-mana ke? Hamba jawab, sebulan sakit itu satu rahmat yang cukup besar dari Allah Taala. Jika anda sakit, anda akan benar-benar merindui saat anda sihat. Dengan rahmat Allah, sekarang hamba sudah sihat sedikit dengan 1001 azam untuk bangkit, berjuang dan terus berjuang. Sebelum ini, dalam 6 tahun, hamba diuji dengan satu penyakit yang kritikal juga. Bak kata orang, sampai kita bersedia bila-bila jika DIA mahu mengambil kita. Alhamdulillah, dalam tempoh 6 tahun itu, banyak yang hamba belajar. Hamba bersyukur ke hadrat Allah kerana dapat berhadapan dengan penyakit itu.

Sakit, 'benar-benar satu rahmat' jika ianya bukan satu bala. Jika sakit itu satu bala, dan kita berjumpa dengan Arifbillah, maka si Arifbillah tidak mahu membantu untuk mengubatinya. Guru hamba, arwah Pak Lon, termasuk dalam kategori ini. Orang awam mungkin tidak faham, tetapi orang khususiah, dengan izin Allah, mereka faham. Beliau akan berterus terang dengan si pesakit bahawa beliau tidak dapat nak bantu.  Tiadakah 'ubat' bagi pesakit yang sakitnya 'satu bala', satu kemurkaan dari Allah? Bertaubatlah sebenar-benar taubat, taubatlah sebanyak-banyaknya. Itu saja yang mampu hamba nasihatkan. Wassalam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan