Isnin, 16 Januari 2012

Berkhemah di Pulau Besar, Melaka

Assalamu'alaikum,

Dah 10-11 tahun ke Pulau Besar, 7 Januari 2012 bersamaan 13 Safar 1433, hari Sabtu, adalah kali pertama hamba berkhemah di Pulau ini dengan isteri dan anak-anak. Sebelum ini kalau isteri dan anak-anak turut serta, kami akan bermalam di chalet bersebelahan kawasan Makam Sultan Arifin.  Banyak juga barang yang kami bawa, khemah, makanan, minuman dan sebagainya. Kalau naik feri, memang kena ambil van di jeti, tak mampu nak angkut semua barang tu. Tahun lepas (2011) ada sekali hamba datang bersama anak kedua, kami bermalam di surau sahaja. 

Sepertimana dalam artikel sebelum ini, cadangnya nak datang seorang sahaja. Bagi pengunjung setia Pulau Besar seperti hamba, Pulau Besar ada 'Panggilan Pulau'. Maksudnya, kalau sampai Panggilan Pulau, kita akan ke sana walaupun tanpa dirancang. Kalau dah merancang macam mana sekalipun, kalau tiada 'Panggilan Pulau', maka kita tidak sampai di Pulau Bertuah ini. Tahun lepas, hamba dah merancang untuk berkhemah dengan keluarga di Pulau Besar, dah siapkan barang2nya, akhirnya tak jadi...tak ada 'panggilan Pulau'...:-) Ramai juga rakan tasawuf hamba yang 'tidak berminat' untuk ke Pulau Besar. Kita tak boleh salahkan mereka. Bahagian masing-masing. Ada yang tidak berminat, ada yang 'tiada gerak', ada yang masih menunggu 'Panggilan Pulau' dan macam-macam. Itulah kayanya Allah Taala dalam menjadikan sesuatu. Dalam kunjungan kali ini, Panggilan Pulau itu sampai pada 5 Januari 2012. Ada dua hari untuk buat apa yang patut.

Selain urusan yang perlu diselesaikan, hamba pun memang ada berjanji untuk bawa isteri dan anak-anak berkhemah apabila kembali ke Malaysia pada tahun 2010. Kesibukan 'memulakan hidup baru' menyebabkan janji ini tertunda beberapa ketika. Alhamdulillah, janji ini dapat ditunaikan juga walaupun sedikit terlambat. Isteri hamba bukan 'orang rekreasi' pada zaman mudanya. Namun, hamba bersyukur kerana beliau semakin sukakan berkhemah. Anak-anak setakat ini memang sukakan kegiatan luar, berkhemah, dan sebagainya. Anak yang bongsu yang berumur 2 setengah tahun pun suka berkhemah. Apabila ditanya suka tak 'camping', beliau pun kata suka...:-)

Hamba memang 'orang rekreasi' semasa zaman sekolah rendah, menengah, zaman bujang sehingga ke zaman sebelum berkahwin. Kalau setakat berkhemah ni, alah bisa tegal biasa. Hamba pernah berkayak 180 km selama seminggu, mendaki Gunung Tahan, Gunung Inas di Perak, Gunung Bintang di sempadan Kedah/Perak, Gunung Ulu Sepat di sempadan Perak/Kelantan, Gunung Jerai, Gunung Ledang dan lain-lain kegiatan. Isteri dan anak-anak hamba 'dididik' dengan aktiviti perkhemahan untuk mengajar mereka erti kesusahan, maksud kekurangan, bagaimana hidup dalam serba kekurangan, mendidik mereka dengan sifat qanaah, cukup dengan apa yang ada, bagaimana 'menjaga solat' dalam kehidupan yang tidak semewah/sesenang di rumah.

Alhamdulillah, setakat ini isteri dan anak-anak sukakan kehidupan semasa berekreasi, berkhemah. Walaupun berdepan cabaran makan saja apa yang ada, tidur beralaskan tikar atau beg tidur, dalam ruang yang sempit, bilir air yang tiada di 'depan mata' dan lain-lain masalah, mereka sukakan aktiviti berkhemah dan tak sabar nak berkhemah lagi...:-)... Umumnya, anak-anak masa kini 'wajib' diajar tentang kehidupan luar rumah, kehidupan semasa berkhemah, kehidupan yang susah dan payah kerana masa depan mereka kelak tidaklah sesenang mana. Kalau anak-anak masa kini tidak pernah susah, tidak pernah merasa susah, kelak apabila mereka hidup dalam zaman yang susah, maka mereka akan lebih susah. Kalau mereka dah biasa, moga-moga zaman yang susah itu akan menjadi alah bisa tegal biasa pada mereka.


Khemah hamba sekeluarga...

Ramai yang 'puji' khemah kami sebab kata mereka ada 'ruang tamu' di tengah-tengah. Ada yang kata tak pernah nampak khemah macam ni....Khemah ini hamba beli semasa tinggal di UK, rasanya dalam tahun 2007. Kat luar negara, macam2 versi khemah ada berbanding dalam negara yang pilihannya lebih terhad. Hamba ada banyak khemah, untuk 2 orang, 3 orang, 4 orang dan yang di dalam gambar untuk 6 orang. Kalau 'ruang tamu' digunakan untuk tidur, boleh muat sampai 8 orang dewasa. Kalau  nak bawa naik gunung, mungkin kurang sesuai sebab berat. Kalaupun isi khemah boleh dibahagi-bahagikan, ia masih kurang sesuai kerana 'menggunakan ruang' yang luas.

Isteri hamba sendiri dah beberapa tahun tak sampai ke Pulau Besar. Banyak perubahan yang beliau lihat di Pulau ini. Kami tak bawa peralatan memasak dan makanan untuk dimasak. Semua dah dimasak dan Alhamdulillah cukup sampai Ahad tengahari. Petang Sabtu, kami meronda sampai kawasan Makam Tujuh Beradik. Malamnya tak kemana-mana, selepas solat, sembang-sembang, makan malam dan minum air panas di gerai berhampiran.  Jam 10 malam dah masuk tidur. Anak-anak sekejap je dah lelap...Hamba tak boleh lelapkan mata. Jam 2 pagi, bangun, mandi dan bersihkan diri dan ke surau. Selepas itu ziarah Makam Sultan Arifin. Ramai orang tidur di kawasan makam.

Ahad, 8 Januari 2012, selepas subuh, kami ambil sarapan pagi berupa roti canai dan nasi lemak di gerai 5/6. Kemudian anak-anak main pantai. Hamba kalau ke pantai atau sungai, 'sengaja' biarkan anak-anak buat hal mereka. Biarkan akal dan fikiran mereka 'bebas' meneroka apa yang mereka nak buat. Kita pantau dari jauh sahaja. Kemudian, hamba sambung rehat sikit sebab malamnya 'tak dapat tidur'.  Jam 11  hamba ke Makam Seribu. Insya-Allah, posting selepas ini berkaitan Makam Seribu. Jam 1145 pagi lebih kurang, kami sekeluarga ke pantai di belakang pulau, menghadap Selat Melaka. Hamba dan anak-anak mandi di sini. Sebenarnya sejak kali pertama menjejakkan kaki ke Pulau Besar, hamba memang sukakan pantai belakang pulau. Pantainya lebih bersih, tak ramai orang dan airnya lebih bersih/jernih. Ada beberapa kisah di pantai belakang ni.....tapi.....mana boleh cerita....:-)

Selepas itu, hamba ajak isteri dan anak-anak ke Gua Yunus. Jarak Gua Yunus dengan pantai belakang dalam  10-20 minit, bergantung kepada kudrat kita dan 'ahli rombongan'.  Isteri dan anak-anak memang tidak pernah ke Gua Yunus. Tidak mudah untuk ke Gua Yunus dengan anak yang masih kecil (5 1/2 tahun dan 2 1/2 tahun). Alhamdulillah, walaupun banyak rintangan, jalan yang perlu pendakian, sedikit merbahaya dan curam, kami sekeluarga sampai juga. Pada awal perjalanan, isteri hamba macam dah nak 'give-up', tapi atas dorongan hamba, beliau teruskan juga. Hamba kata tak jauh manapun, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alhamdulillah, anak 2 1/2 tahun hamba tak banyak ragam apabila didokong menuruni curam untuk sampai ke Gua Yunus.

Apabila sampai ke Gua Yunus, ramai juga penganut agama Hindu di sini. Ni yang susah bila kerajaan negeri Melaka jadikan Pulau Besar kawasan pelancongan. Orang Hindu ni, apa saja benda 'nak disembah mereka'. Asalkan pelik dan ganjil, batu, lantai, kubur, pokok, macam2 benda disembah mereka. Teruja isteri dan anak-anak apabila sampai ke Gua Yunus. Hamba kata, dulu dok dengaq cerita si suami/abah saja tentang Gua Yunus, lani dah sampai sendiri. Isteri hamba akui, kalau malam, memang 'syok' dok di Gua Yunus. Tanpa kebisingan dan gangguan, kesyahduan di Gua Yunus memang mengujakan bagi sesiapa yang pernah ... di sini. Kami ambil gambar di sini. Kemudian bertolak balik ke kawasan perkhemahan. Sampai di kawasan sekitar Makam Tujuh Beradik, hidangan makan tengahari secara percuma sedang disediakan. Isteri dan anak sulung dan kedua beratur untuk ambil nasi sedangkan hamba balik ke khemah untuk ambil 'lauk-pauk' kami yang masih ada.

Sementelah di Pulau, hamba sempat bersembang dengan PakTam Ramli.  Hamba bertanyakan tentang Tok Janggut. Hamba sendiri menerima SMS dari Hj Zul tentang pulangnya Tok Janggut ke rahmat Ilahi pada 10 November 2011. Tok Janggut a.k.a Suip diberitakan meninggal dunia jam 12 tengah malam. Al-Fatihah untuk Tok Janggut a.k.a Suip, Al-Fatihah.

Kemudian, kami bersiap-siap untuk balik. Solat, kemas khemah dan semua barang. Selepas jam 530 petang, barulah ada bot laju yang menghampiri kawasan berhampiran Makam Sultan Arifin (depan gerai makan). Jam 6 petang kami bertolak balik dengan bot laju dan jam 830 malam kami sampai ke rumah. Letih dan penat, tapi isteri hamba kata puas hati dengan pengalaman berkhemah dan ke Gua Yunus tu...Anak-anak pun suka walaupun letih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan