Isnin, 9 Januari 2012

Dari Jeti Umbai ke Pulau Besar, Melaka

Assalamu'alaikum,

Hari Sabtu, 7 Januari 2012 bersamaan 13 Safar 1433, hamba sekeluarga ke Pulau Besar, Melaka. Mengikut rancangan asalnya, hamba seorang sahaja akan ke Pulau Besar, untuk menyelesaikan suatu urusan. Kemudian, isteri dan anak macam nak ikut, kemudian tak jadi, akhirnya jadi juga. Kalau hamba pergi seorang, cadangnya bertolak dari jeti Umbai jam 12 tengahari, oleh kerana berlaku perubahan rancangan pada saat-saat akhir, maka jam 2 petang baru kami sampai di Jeti Umbai, Melaka.

Sepanjang 10-11 tahun ke Pulau Besar, ini merupakan kali pertama hamba pergi menggunakan 'bot laju' dari jeti Umbai, Melaka. Sebelumnya, hamba dan keluarga akan menggunakan feri yang beroperasi dari Anjung Batu, tidak begitu jauh dari Umbai. Kali ini, seorang ataupun ramai, hamba 'kena naik bot laju' untuk menyelesaikan urusan itu.

Muara sungai yang menjadi tempat bot berlabuh

Parkir di kawasan ini adalah sama dengan Anjung Batu, iaitu RM5 untuk parkir, tinggalkan kereta dan bermalam di Pulau Besar. Banyak gerai dan kedai di kawasan ini berbanding di Anjung Batu.  Kenderaan tidaklah banyak mana kerana musim persekolahan baru bermula. Hamba sengaja memilih tarikh 7 Januari 2012 kerana menjangkakan Pulau Besar tidak akan begitu ramai dikunjungi oleh manusia dan juga kerana malam Ahadnya adalah Malam 14, malam bulan terang. Jadi tidaklah gelap sangat kalau berkhemah di Pulau Besar.


Tambang sebuah bot adalah RM100 untuk pergi dan balik....dah naik harganya.... 

Bot memang banyak dan perkhidmatan ini disediakan '24 jam'. Maksudnya, kalau anda dah sampai ke Pulau Besar, dan ada kes kecemasan untuk ke Tanah Besar, maka anda 'boleh' mendapatkan perkhidmatan bot ini untuk ke Tanah Besar dengan menelefon.

Biasanya, kita bayar tambang penuh waktu bertolak dari jeti Umbai.  Kemudian, ambil nombor telefon pengemudi bot untuk anda telefon semula mereka bila nak balik.  Anda boleh balik hari atau bermalam di Pulau Besar...

Sebuah bot boleh dinaiki sekitar  8 orang dewasa. Kalau RM100 dibahagi 8 orang, maka tambang seorang adalah RM12.50....lebih murah berbanding naik feri.

Maksudnya, kalau anda ada 8 orang, lebih murah naik bot di jeti Umbai berbanding naik feri di Anjung Batu.  

Bot menjadi pilihan berbanding feri kerana anda tidak perlu menunggu bot penuh untuk bertolak, tiada waktu bertolak yang khusus, ia lebih laju dan 'akan mendarat' lebih hampir dengan kawasan Makam Sultan Arifin, Makam Tujuh Beradik dan sekitar.  Kalau anda seorang, nak kena tunggu bot penuh dan 'ikut suara majoriti' dalam bot bila mereka nak balik esoknya...

Teruja isteri dan anak-anak naik bot laju ini....memang laju. Jaket keselamatan disediakan dalam setiap bot. Pengemudi bot yang kami naiki adalah Tuan Haji Sudin, nombor telefon beliau adalah 0136058407.


Kami melepasi Pulau Ular, yang terletak tidak jauh dari jeti untuk feri di Pulau Besar. Hamba perasan ada beberapa orang 'bermain2' di Pulau Ular.  Ada banyak kisah di Pulau Ular ini, khususnya bagi mereka yang mencari ilmu hikmah, geliga ular dan seumpamanya. Sesungguhnya yang kekal hanya Allah Taala. Sesungguhnya ilmu hikmah, geliga, sakti dan itu-itu semua hanyalah sementara dan akan binasa. Mengapa masih mencari yang binasa, yang bersifat baharu sedangkan ada yang kekal abadi.

Melalui jeti untuk feri di Pulau Besar. 

Kami silap 'timing' kerana air laut sedang surut dan bot tidak dapat menghampiri pantai berhadapan Makam Sultan Arifin.  Kami mendarat berdekatan Muzium Pulau Besar dan 'terpaksa' ambil van Pulau Besar untuk ke kawasan yang dituju. Perjalanan menggunakan bot adalah sekitar 12-15 minit. Kalau naik feri, kena tunggu  masa berlepas, perjalanan yang lebih santai dan terpaksa berjalan kaki (atau naik van) ke kawasan kependudukan dari jeti. Anak ketiga hamba kata 'La, tak ada pintu' apabila van bergerak (sebahagian besar van di Pulau Besar memang tidak berpintu). Ketawa kami sekeluarga mendengarnya....:-).

Oleh itu, jika nak ambil bot ke Pulau Besar, masa bertolak kena betul supaya bot dapat menghampiri kawasan pantai berhampiran Makam Sultan Arifin (waktu air laut pasang). Begitu juga waktu nak balik, perlu balik waktu air laut sedang pasang supaya bot boleh menghampiri kawasan pantai yang dekat dengan kawasan kependudukan di Pulau Besar. Jadi, tak perlulah naik van ke jeti (RM2 seorang) atau jalan kaki ke jeti.  Jalan kaki memang tak jauh sangat, dalam 15-25 minit, tapi kalau bawa barang banyak seperti khemah dan lain-lain, susah juga.

4 ulasan: