Khamis, 5 Julai 2012

Karamah para sahabat


Karamat para sahabat






KEISTIMEWAAN Rasulullah SAW dan karamat para wali adalah jenis yang sama dari aspek hukum dan naqal (periwayatannya), yakni kita tidak perlu bersikap ketat dan tegas dalam meriwayatkannya sebagaimana yang dilakukan dalam soal hukum halal dan haram.

Keistimewaan dan karamat hanya berkisar di sekitar manaqib (biografi) seseorang dan kelebihannya.
Oleh sebab itu, pendirian Sheikh Ibnu Taimiyyah mengenai karamat para wali, sama dengan pendiriannya tentang keistimewaan Nabi Muhammad. Bahkan, beliau juga mengutip dan menaqalkan di dalam kitab-kitabnya, sejumlah contoh karamat para wali dan perkara-perkara yang mencarik adat yang pernah terjadi pada permulaan Islam (zaman sahabat r.a).

Jika kita mengkaji tentang darjat hadis-hadis yang menyebut mengenai perkara tersebut, sanad-sanad dan jalan-jalan penetapannya, nescaya kita akan mendapati antara hadis-hadis itu ada yang sahih, hasan dan daif; dan ada pula yang maqbul (diterima) dan mardud (ditolak) bahkan, ada pula yang munkar dan syaz (ganjil).

Kesemua darjat hadis seperti itu, diterima dalam bab ini. Antaranya, perkataan Ibnu Taimiyyah mengenai karamat sebahagian sahabat.

1) Ummu Aiman pernah keluar untuk berhijrah. Dia berangkat tanpa membawa sebarang bekalan, bahkan tanpa membawa air. Dia hampir mati kerana kehausan. Tetapi, ketika waktu berbuka dan dia berpuasa dalam perjalanannya, dia mendengar suara di atas kepalanya.

Ketika mengangkat kepala, dia melihat ada sebuah timba tergantung. Dia pun minum sampai kenyang. Setelah kejadian itu, dia tidak pernah kehausan lagi sepanjang hayatnya.

2) Safinah, pembantu Rasulullah SAW, memberitahu kepada seekor singa bahawa dia adalah utusan Rasulullah SAW. Safinah r.a kemudian berjalan dengan ditemani oleh singa tersebut hingga sampai ke destinasinya.

3) Al-Bara' ibn Malik termasuk orang yang jika bersumpah atas nama Allah, sumpahnya (doanya) sering dimakbulkan. Ketika berhadapan dengan peperangan yang begitu menekan kaum Muslimin, mereka kerap mengatakan: "Wahai Bara'! Bersumpahlah dengan nama Tuhanmu! (Mintalah kepada Tuhanmu!)".

Maka, dia pun mengucapkan: "Wahai Tuhan! Aku bersumpah dengan (nama)Mu, supaya Engkau mengurniakan kemenangan kepada kita." Musuh pun akhirnya kalah. Ketika Peperangan Qadisiyah, dia berkata: "Aku bersumpah kepada-Mu, wahai Tuhanku, kerana Engkau telah memberikan bahu-bahu mereka kepada kita (kemenangan), maka jadikanlah aku orang yang pertama syahid."
Maka mereka pun akhirnya 'memberikan bahu mereka' (menyerah kalah), dan Al-Bara' akhirnya gugur sebagai syahid.

4) Khalid ibn Walid, pahlawan kaum Muslimin yang terkenal, telah mengepung benteng musuh yang kukuh. Maka mereka berkata: "Kita tidak akan masuk Islam kecuali jika kamu berani meminum racun".

Khalid pun meminumnya. Ternyata, racun itu tidak memudaratkannya.

5) Ketika mengutus pasukan tentera, Umar ibn al Khattab melantik seorang lelaki bernama Sariyah sebagai pemimpin. Ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar, tiba-tiba dia berteriak dari mimbar seraya berkata: "Wahai Sariyah! (Pergilah menuju ke) gunung! Wahai Sariyah! Gunung!"

Maka pada suatu hari, pemimpin tentera itu menemui Umar dan bertanya kepadanya. Dia berkata: "Wahai Amir al Mukminin! Ketika kita bertempur dengan musuh, kita telah dikalahkan. Tiba-tiba ada suatu suara yang kuat berteriak "Wahai Sariyah! (Pergilah menuju ke) gunung!" Lalu kita berlindung di balik gunung. Ternyata, Allah telah mengalahkan mereka (musuh-musuh)."

6) Perkara istimewa juga terjadi kepada al-'Ala' ibn al-Hadhrami. Beliau adalah gabenor Rasulullah yang dihantar untuk memerintah Bahrain. Dalam doanya, antara lain dia mengatakan: "Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui! Wahai Tuhan Yang Maha Penyantun! Wahai Tuhan Yang Maha Tinggi! Wahai Tuhan Yang Maha Agung!" Maka Allah memperkenankan doanya.

Dia juga pernah memohon kepada Allah agar diberikan air supaya dapat berwuduk ketika mereka kehabisan air dan sebagai pengairan untuk orang-orang selepas mereka.

Ternyata doanya dikabulkan Allah. Bahkan, dia juga pernah berdoa kepada Allah ketika mereka perlu menyeberangi lautan, tetapi tidak dapat melaluinya bersama kuda mereka. Berkat doanya, mereka akhirnya dapat menyeberangi lautan itu.

Bahkan, mereka berjalan di atas air, dan tidak ada satu pelana pun yang dibasahi air. Dia juga pernah berdoa supaya orang tidak melihat jasadnya jika dia mati dan ternyata mereka tidak menemui jasadnya dalam liang lahad.

7) Hal yang istimewa juga terjadi kepada Abu Muslim al Khaulani yang pernah dilemparkan ke dalam api. Abu Muslim dicari oleh al-Aswad al-'Unsiy yang pernah mengaku menjadi nabi.

Al-Aswad berkata kepadanya: "Apakah engkau menyaksikan bahawa aku adalah Rasulullah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengar (hal itu)".

Al-Aswad bertanya lagi: "Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad utusan Allah?" Dia menjawab: "Ya."

Lalu al-Aswad memerintahkan supaya dinyalakan api yang besar, kemudian Abu Muslim dilemparkan ke dalamnya. Anehnya, mereka mendapati Abu Muslim bersolat dalam api yang marak itu. Api itu menjadi dingin dan menyelamatkannya.

Dia juga pernah datang ke Madinah setelah kewafatan Nabi Muhammad. Umar ibn al Khattab mendudukkannya antara beliau dan Abu Bakar al Siddiq kepadanya. Saidina Umar berkata: "Segala puji bagi Allah yang masih belum mematikan aku sehingga aku sempat melihat di antara umat Muhammad orang yang Dia perlakukan seperti yang pernah dilakukan-Nya terhadap Nabi Ibrahim Khalil Allah."

8) Sa'id ibn al Musayyib pada masa pertelingkahan di antara penduduk Madinah dan tentera Yazid ibn Muawiyah tahun 63 Hijrah, mendengar azan dari makam Rasulullah pada waktu-waktu solat, padahal masjid kosong dan tiada sesiapa selain dia di dalamnya.

9) 'Amru ibn Uqbah ibn Farqad pernah melakukan solat ketika cuaca panas terik, lalu awan menaunginya. Dia juga pernah dilindungi oleh singa ketika menggembala kuda sahabat-sahabatnya.

10) Mutrif ibn Abdullah ibn al-Syikhkhir apabila memasuki rumahnya, perkakas rumahnya bertasbih bersamanya. Dia pernah berjalan bersama sahabatnya di dalam kegelapan malam. Maka, mereka disuluh cahaya yang terpancar daripada hujung cemetinya.

Inilah antara karamat para sahabat r.a yang dinukilkan oleh Ibnu Taimiyyah di dalam al-Fatawa al-Kubra. (Jilid 11, ms. 281).

Kita menyebutnya di sini kerana Ibnu Taymiyyah adalah antara tokoh yang sering diidolakan oleh aliran yang menjadikan khususiyyat Nabi SAW ataupun keramat para auliya' punca sikap menuduh sesat sesama Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan