Selasa, 6 November 2012

Ziarah Makam Sultan Yang Pertama - Makam Sultan Hussin Shah di Tengkera, Melaka

Assalamu'alaikum,

Dalam siri ziarah makam/kubur di blog ini, ini merupakan makam Sultan yg pertama hamba ziarah.  Gerak itu sudah lama, tetapi menunggu masa yg sesuai.  Ketika hamba selesaikan sesuatu di tujuh buah masjid yg lama, hamba singgap sekejap di Makam Sultan Hussin Shah di Tengkera, Melaka (17 September 2012 bersamaan 1 Zulkaedah 1433)). Makam ini bersebelahan dengan Masjid Tengkera dan hamba dah banyak kali ke Masjid Tengkera ini, cuma ini kali pertama hamba singgah ke Makam Sultan ini. Hamba pernah menziarahi Makam Sultan lain seperti  Sultan pertama dan terakhir di Sarawak dan lain-lain, namun hamba pilih makam sultan ini sebagai makam sultan/raja pertama dalam siri ziarah hamba dalam blog ini. Kebiasaannya pembuka bicara mesti seseorang sultan yang hebat, terkenal dan seumpamanya, tetapi sengaja hamba pilih kisah sultan yang hilang takhta dan wilayah dan akhirnya meninggal dunia bukan di negeri di bawah pemerintahannya.  Biarlah kisah sultan ini dan sultan-sultan lain menjadi pengajaran penting kepada Sultan/Raja Melayu dan orang-orang Melayu sendiri.

Kalau anda baca, hayati dan kaji sejarah, begitu banyak kisah pertelingkahan Sultan/Raja yang akhirnya merugikan Sultan/Raja itu dan orang Melayu sendiri. Tanah boleh tergadai kerana laga ayam, pertelingkahan adik-beradik sultan, pertelingkahan sesama saudara-mara Sultan, berebut tanah jajahan dan naungan, menjemput campurtangan orang luar untuk menduduki takhta, menjemput penjajah untuk mendapatkan kembali kuasa dan takhta, bekerjasama dengan musuh untuk menjatuhkan sesama sendiri, menjual/menggadai tanah kepada penjajah kerana kalah perang, terlalu percayakan pegawai-pegawai istana yang rencung di luar pepat di dalam, ada yang didorong oleh hawa nafsu yang berlebihan, berlebih-lebihan dalam sesuatu sedangkan rakyat jelata susah merana dan 1001 kisah.  Sultan/Raja penting bagi orang Melayu. Mengapa? Hamba pun tidak ada jawapan yang tepat sebenarnya. 

Kalau kita baca dan kaji sejarah, selepas 'penyerahan tampuk pemerintahan' oleh Saidina Hasan r.a. kepada Saidina Muawiyah r.a., syarat yang diberikan oleh Saidina Hasan r.a. adalah Saidina Muawiyah r.a perlu menyerahkan kembali 'hak memegang tampuk pemerintahan' kepada masyarakat, faham hamba ialah mengikut kembali Sunnah Khulafa ar-Rasyidin dalam memilih dan melantik Khalifah. Ini tidak berlaku apabila Saidina Muawiyah r.a. melantik anaknya, Yazid Bin Muawiyah sebagai pengganti dan 'dinasti kesultanan/kerajaan' ini berterusan selepas Kerajaan Bani Umaiyah jatuh di mana Kerajaan Bani Abbasiah juga melakukan perkara yang sama sebelum tumbang di tangan tentera Hulagu Khan. 

Begitu juga kegemilangan Islam di era Andalusia, pemerintahannya adalah berlandaskan dinasti kesultanan yang bertahan sehingga 1492. Kemeriahan, keseronokan dan keterujaan kaum Kristian mengalahkan Kesultanan Islam di Andalusia disambut pada 1992 melalui Sukan Olimpik Barcelona, iaitu 500 tahun selepas Andalusia jatuh. Ramai orang Islam yang jahil agama turut memeriahkan Sukan Olimpik Barcelona dan tidak tahu tujuan sebenar sukan itu dianjurkan di Barcelona. Kemudian kerajaan Turki/Islam Uthmaniyyah menjadi pewaris kedaulatan kerajaan Islam sehingga awal abad ke-20 apabila Kerajaan Uthmaniyyah jatuh dan Turki dibangunkan sebagai negara sekular sehingga sekarang.  Sedangkan selepas kejatuhan Islam Andalusia, kerajaan Uthmaniyyah di Turkilah yang menjadi 'penaung' kepada kerajaan-kerajaan Islam di merata tempat di dunia.

Kalau kita lihat sejarah pengIslaman kerajaan Kedah Tua oleh Sheikh Abdullah r.a. pada abad 12/13 masihi, maka Sheikh Abdullah r.a. yang merupakan seorang Waliyullah tidak menukarkan bentuk pemerintahan kerajaan beraja itu kepada bentuk khalifah sebagaimana Khulafa ar-Rasyidin, sebaliknya menukarkan nama raja kepada Sultan, memberikan gelaran Sultan yang menepati kehendak Islam dan sedikit demi sedikit menjalankan proses pengIslaman penduduk Kedah Tua. Kalau anda baca sejarah kerajaan Islam di Demak (Islam) pada abad ke15 masihi, institusi kesultanan juga dianggap penting. Apabila Demak menubuhkan kerajaan Islamnya sendiri yang dirintis oleh Sunan Ampel, maka Sunan Ampel melantik Raden Fatah yang memiliki darah-daging 'Raja' dari Kerajaan Majapahit sebagai Sultannya yang pertama dan para Wali Songo bertindak sebagai penasihat utama Kerajaan Islam Demak. Sedangkan para Wali Songo boleh membentuk struktur pemerintahan berasaskan kaedah Khulafa ar-Rasyidin, di mana Sunan Ampel sebagai yang paling kanan dan berilmu boleh diangkat sebagai Khalifah Kerajaan Islam Demak yang pertama dan menerima baiah drp Wali Songo dan penduduk Islam Demak, tetapi mengapa mereka tidak berbuat demikian ? Itulah persoalannya yang harus difikirkan oleh umat Islam hari ini.

Lihat sejarah pengislaman Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan Islam Acheh, ia melalui proses yang sama, maksudnya Raja sesebuah wilayah itu memeluk Islam, menukarkan namanya kepada Islam dan gelarannya yang bersesuaian dengan kehendak Islam, dan akhirnya rakyat jelata akan mengikut sama. Melaka akhirnya tumbang apabila rasuah berleluasa, Raja sudah lupakan rakyatnya, konflik sesama menteri dalam kerajaan dan 1001 masalah. Ketika hamba berkunjung ke bumi Palembang baru-baru ini, Sultan Mahmud Badarudin yang merupakan seorang Sultan dan Waliyullah juga mengekalkan institusi kesultanan dalam pemerintahan Palembang.

Lihat pula sejarah Brunei yang Kesultanan Islamnya bermula pada abad ke 14 masihi (1363M). Alhamdulillah, kesultanan Brunei masih bertahan sehingga sekarang, kini merupakan Kesultanan Islam masa kini yang tertua di dunia (sudah berusia 649 tahun). Kalau diambilkira bermulanya kerajaan Islam mungkin ada kerajaan lain yang lebih tua daripada Brunei (seperti Kerajaan Kedah), tetapi Kesultanan Brunei berjaya mempertahankan tampuk pemerintahan dan kekuasaan di tangan Sultan, bukannya berasaskan 'Raja Berperlembagaan'.  Walaupun imej Kesultanan Brunei terpalit dengan 1001 kisah 'tidak baik', hamba lihat banyak perubahan besar di Brunei dalam 5 tahun kebelakangan ini ke arah pengamalan Islam yang lebih sempurna. 

Begitu juga kalau kita lihat di negara-negara Arab, Mesir, Iraq, Iran pernah memiliki Kesultanannya atau ke'Raja'annya, Jordan masih memiliki Kesultanannya walaupun Rajanya semakin 'hilang kuasa', Maghribi masih dengan Kesultanan mereka. Arab Saudi, iaitu negara yang terletaknya Dua Tanah Suci ini, dengan kerjasama British berjaya melepaskan diri mereka daripada Kerajaan Islam Uthmaniyyah, mewujudkan negara mereka sendiri dan  memberikan nama negara mereka dengan nama keluarga Saud, melantik kaum-kerabat Saud sebagai Raja dan menteri serta memegang kuasa yang begitu banyak. Dan mereka meneruskan tradisi ber'Raja' sehingga sekarang. 

Hakikinya, hamba tidak mendokong mutlak Institusi Kesultanan, tetapi kita perlu melihat dari perspektif 'perbuatan Allah Taala', dan ini sebenarnya selari dengan hadis-hadis Nabi tentang akhir zaman, yakni sistem beraja ini kekal sehingga zaman Imam Mahdi dan Imam Mahdi yang 'akan menghapuskan sistem ini'. Mengapa Waliyullah dan alim-ulamak memperkenalkan dan mengekalkan Institusi Kesultanan ini di pelbagai wilayah dan negara? Sedangkan mereka yang lebih arif tentang hukum-hakam dan bab kenegaraan. Jadi apakah kita hendak menolak Institusi Kesultanan yang dirintis oleh Waliyullah dan alim-ulamak ini. Hamba bukanlah mempertahankan 100% institusi kesultanan ini, tetapi kalau di Malaysia, ini merupakan institusi yang penting dalam mempertahankan agama Islam dan kedudukan orang Melayu. 

Dalam struktur pemerintahan negara masa kini, terdapat tiga cabang utama iaitu Eksekutif (kerajaan yang memerintah), Legislatif (Parlimen yang membuat undang-undang), dan Kehakiman (institusi kehakiman). Ketiga-tiga cabang ini bertindak atas prinsip pengasingan kuasa dan setiap satunya tidak boleh dilihat mencampuri urusan yang lain. Apa kepentingan Sultan/Raja Melayu di sini? Yang pertamanya, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (SPB YDA) yang merupakan ketua negara (Perdana Menteri merupakan Ketua Kerajaan) merupakan 'ketua' kepada Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada asasnya bertanggungjawab terhadap SPB YDA, bukannya kepada Perdana Menteri Malaysia. Kalau bab ini, hamba kira anggota tentera faham, sebab itulah ada 'Diraja' pada cabang perkhidmatan dalam ATM.  Perlembagaan Malaysia sendiri menetapkan beberapa perkara berkaitan agama Islam, Institusi Raja/Sultan dan orang Melayu tidak boleh dipinda walaupun mendapat dua pertiga majoriti Parlimen tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Maksudnya dalam Perlembagaan Negara dan struktur pemerintahan negara, SPB YDA dan institusi di bawah baginda (Majlis Raja-Raja sebagai contoh yang boleh memecat SPB YDA) merupakan 'kuasa keempat' selain Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Ini tidak ada pada Sistem Republik yang diamalkan di Indonesia atau negara Islam yang lain. Pentingnya di sini kerana ia boleh menjadi 'check and balance' kepada tiga institusi tadi, dan apatah lagi mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu dalam keadaan kecemasan/darurat. Apalagi bilangan umat Islam di Malaysia tidaklah ramai, sekadar 60% dan 'kurang berkuasa' dalam hal-ehwal ekonomi.

Begitu juga dengan sistem pemerintahan sembilan negeri Melayu yang mempunyai Sultan/Raja di mana Sultan/Raja merupakan 'kuasa' yang menjadi pengimbang, orang tengah, pengharmoni, pendamai antara pihak-pihak yang bertelagah, khususnya semasa keadaan memerlukan. Perkenan Sultan/Raja diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri. Bacalah sejarah di Perak di mana Sultan Perak selepas pilihanraya 11 Mei 1969 menutup pintu istana, menghalang orang bukan Islam daripada membentuk kerajaan negeri di Perak. Orang muda sekarang wajib belajar dari sejarah, bukannya termakan dengan janji-janji palsu Sistem Republik kerana Sistem Republik akan lebih menghancurkan Malaysia daripada sistem sekarang. Ini menunjukkan pentingnya peranan Sultan (Perkenan). Selain 'perkenan Sultan', ada beberapa kuasa lain yang berbentuk prerogatif Sultan/Raja mengikut Perlembagaan Negeri masing-masing. Kalau dalam sistem republik, kuasa majoriti merupakan penentu. Dalam sistem negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan Malaysia, kuasa dan peranan Sultan/Raja amatlah penting sebagai pengimbang kepada tiga institusi lain. Bagi negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan, SPB YDA bertindak atas Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri dan Enakmen Negeri. 

Hamba tak nafikan banyak masalah dicetuskan oleh Sultan/Raja, Raja Muda, Putera Mahkota, kaum-kerabat mereka. Kalau nak dibicarakan, tak habis-habis. Di sinilah peranan Mufti Negeri, kadi-kadi, orang-orang agama di peringkat negeri untuk menegur dan memberi nasihat kerana Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam di bawah kuasa Sultan/Raja. Kalau di Kedah dahulu, peranan Mursyid Diraja amatlah penting dan mereka yang menduduki jawatan Mursyid Diraja merupakan seorang yang alim lagi warak, kalaupun bukan Waliyullah. Di sebalik kehebatan sebuah empayar Islam, ada Waliyullah di belakang Sultan/Raja. Kalau dikaji sejarah Kesultanan Islam dahulu di Nusantara contohnya, Mursyid Diraja, Mufti, alim-ulamak yang menasihati Sultan, menegur Sultan, bukannya makan gaji sahaja. Kalau Sultan/Raja atau kaum-kerabat mereka tersalah, 'wajib' golongan agama di belakang Sultan/Raja ini menegur dan menasihat. Jangan biarkan kesalahan dan kesilapan Sultan/Raja dan kaum kerabat mereka ini membesar dan membarah dalam masyarakat, kelak akhirnya masyarakat tidak akan menghormati Institusi Kesultanan lagi. Ketika itu, nasi susah jadi bubur!!!

Dah panjang hamba menulis. Kalau nak dibahaskan panjang lagi, cukuplah buat masa ini. Ringkasnya, Institusi Kesultanan di Malaysia perlu dipertahankan demi kepentingan Islam dan orang Melayu itu sendiri.  Insya-Allah, ada buah fikiran yang bernas, kelapangan masa, hamba akan coretkan lagi kepentingan Institusi Kesultanan di bumi bertuah ini. 1001 masalah yang melanda institusi ini harus diperbaiki, ditambahbaik, bukan merosakkan institusi ini. Ini merupakan tanggungjawab kita semua, khususnya umat Melayu Islam di Malaysia, jangan sama sekali percaya dan mengharapkan orang bukan Islam mempertahankan Institusi Kesultanan ini. Sama-sama kita mengikut tugas, tanggungjawab, peranan memperbaiki dan menambahbaik Institusi Kesultanan ini sehingga masa yang ditentukan oleh-NYA, sebagaimana dimaksudkan dalam Hadis Nabi SAW.

Memanglah Sultan/Raja Melayu sekarang kelihatannya 'hilang kedaulatan' mereka, salah mereka sendiri sebenarnya. Mereka seharusnya menjadi seperti Sultan/Raja seperti Sultan Muhammad al-Fateh, pembuka Kota Istanbul, seperti Sultan Malikul Soleh di Acheh, seperti Sultan Mahmud Badarudin di Palembang, seperti Sultan Muzaffar Syah di Kedah,  seperti Sultan Muzaffar Syah di  Perak dan Sultan/Raja lain yang dikenang sepanjang zaman, juga dikenali sebagai 'Bayangan Allah di muka bumi', Insya-Allah kedaulatan (daulat datang dari kata dasar daulah yang bermaksud wilayah sebenarnya) Sultan/Raja akan zahir semula, diterima sebagai Sultan untuk rakyat jelata negerinya dan 'jin-jin yang tinggal di dalan negeri tersebut'. Itulah 'kedaulatan' Sultan, diangkat oleh jin dan manusia, bukan sekadar manusia sahaja. Maka selayaknya Sultan yang diangkat jin dan manusia itu sebenar-benarnya menjadi khalifah Allah di muka bumi sebagaimana tugas dan tanggungjawab kita semua yg kita faham sebagai khalifah Allah, tetapi dalam konteks yang berbeza. Sultan yang diangkat oleh jin dan kerajaan jin itu ditaati sebagai ulil amri oleh para jin senegeri, bukan kerana amalan-amalan khurafat, tetapi kerana Sultan itu benar-benar Khalifah Allah, jin-jin takut kepadanya dan berada di bawah pemerintahannya ....Wallahu'alam. Wassalam.

 Orang Melayu suka 'meminta kat kubur', 'buat macam2 hal kat kubur'...Akhirnya, orang yang sekadar suka ziarah kubur/makam seperti hamba yang 'menjadi mangsa'...






Al-Fatihah untuk Almarhum Sultan Hussin Shah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan