Rabu, 12 Jun 2013

Diskriminasi Terhadap Graduan Melayu Untuk Mendapatkan Pekerjaan



Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 4 Jun 2013 – Kedudukan bangsa seseorang calon lebih diambil kira jika dibandingkan dengan kualiti kelayakan untuk dipanggil temu duga mendapatkan pekerjaan dalam syarikat dimiliki orang Cina dan syarikat Antarabangsa di negara ini.
Ini adalah penemuan dua orang pensyarah kanan Dr Lee Hwok Aun dan Dr Muhammed Abdul Khalid dari Jabatan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya hasil suatu eksperimen selama enam bulan yang mereka lakukan untuk mengetahui sama ada panggilan untuk temu duga calon-calon yang memohon didasarkan kepada etnik pemohon.
Dr Lee membentangkan penemuan mereka di seminar “Tahap Diskriminasi: Bangsa dan pengambilan Graduan di Malaysia” anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Apa yang dihasilkan adalah berdasarkan suatu kajian mereka terhadap syarikat-syarikat di sini dengan menghantar ‘resume’  kelayakan calon rekaan terdiri dari Melayu dan Cina yang mempunyai kelayakan yang hampir serupa yang baru lulus universiti kepada syarikat yang mengiklankan kerja kosong.
Analisa jumlah panggilan untuk di temu duga hasil dari permohonan yang mereka hantar itu mendapati secara keseluruhan 22.1% daripada pemohon Cina menerima panggilan untuk ditemu duga berbanding dengan hanya 4.2% pemohon Melayu yang dipanggil.
Dr Lee berkata mereka amat berhati-hati memastikan resume yang dihantar adalah hampir sama dari segi kualiti antara pemohon Melayu dan Cina untuk mengetahui apakah pemilihan berdasarkan bangsa pemohon.
Beliau bagaimana pun mengingatkan media berhati-hati membuat rumusan kerana kajian mereka hanya untuk mengetahui perbedaan pemilihan calon bukannya untuk mengetahui kenapa graduan Cina dipilih.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui wujudnya diskriminasi terhadap graduan Melayu dari majikan. Didapati 24% pemohon berbangsa Cina dipanggil untuk temu duga berbanding hanya 6.8% pemohon Melayu diterima untuk temu duga bagi syarikat milik Cina.
Kajian mereka juga mendapati syarikat dimiliki Melayu sendiri memilih pemohon Cina di mana kadar panggilan balik terhadap pemohon dari graduan Cina adalah 6.8 % berbanding hanya 4.8% untuk graduan Melayu.
Dr Lee tidak pula mengatakan apakah itu menunjukkan orang Melayu tidak mendiskriminasi kaum Cina.
Bagi syarikat Antarabangsa 22.9% calon Cina dipanggil untuk temu duga manakala tidak seorang pun calon Melayu menerima panggilan.

Kajian Dr Lee dan rakannya tidak melibatkan graduan dari luar negara. Bagaimana pun penemuan mereka turut menunjukkan calon dari Universiti Awam yang sudah lama ditubuhkan menjadi pilihan berbanding dengan universiti sewasta.
Dr Lee berharap kajian itu digunakan dalam konteks yang betul. Ia hanya menunjukkan wujudnya diskriminasi terhadap graduan Melayu tetapi untuk mengetahui kenapa berlaku diskriminasi itu kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan.
Beliau berharap hasil kajian itu tidak seharunya digunakan untuk menuduh majikan Cina fanatik kaum walaupun terdapat diskriminasi terhadap orang Melayu dan memandangkan Melayu juga adalah kaum majoriti negara ini.
Dr Lee berkata adalah mustahil untuk mengetahui kenapa berlaku diskriminasi demikian tetapi mengakui terdapat isu yang harus ditangani tetapi ini akan menjadi sukar jika penemuan tersebut digunakan sebagai senjata untuk menegakkan agenda tertentu.
Beliau bagaimana pun berkata tentunya ada pihak yang tidak setuju dengan penemuan itu dan cuba menidakkannya tetapi hakikatnya masalah itu perlu diselesaikan.
Tidak ada jalan mudah untuk menyelesaikan masalah rumit mengenai hubungan kaum tetapi ia wajib dibincangkan di peringkat kebangsaan dengan niat yang ikhlas untuk mencari penyelesaian yang adil.
Hadir di seminar tersebut adalah Timbalan Pengarah IKMAS, Prof Dr Tham Siew Yean, ahli akademik dan wakil media.

Assalamu'alaikum,

Hamba terbaca catatan di atas dalam Facebook sebenarnya. Sumber asalnya dari portal UKM. Komen hamba: 

1)Yang buat kajian adalah Pensyarah berbangsa Cina dan Melayu.

2)Kajian akademik bukan ceramah politik yang mencari kepopularan, membawa agenda tertentu, tidak berlandaskan angka dan fakta tetapi sebenarnya bersandarkan kepada sumber yang sahih dan boleh dipercayai. Kesahan (validity)  dan kebolehpercayaan (reliability) amat penting dalam kajian akademik. Ini bukan seperti ceramah politik, tinjauan politik yang sebahagian besarnya dibuat 'ikut suka aku'... Sebab itu hamba tidak mempercayai data/statistik politik kalau dikeluarkan oleh malaysiakini, Harakah ataupun Utusan Malaysia.

3)Kalau kajian akademik yang melihat perbezaan tangga gaji antara graduan Melayu dan Cina telahpun dibuat oleh pensyarah dari USM lama dahulu di Pulau Pinang. Adalah signifikan majikan Cina membayar lebih kepada graduan Cina berbanding graduan Melayu walaupun graduan Melayu mempunyai kelulusan, kemahiran, pengalaman yang lebih baik ataupun setara dengan graduan Cina. Hamba pernah bekerja di kilang yang pengurusannya dikuasai oleh kaum Cina. Memang begitu juga amalannya dari segi gaji, bonus dan lain-lain. Inilah realiti di Malaysia dan jangan sesiapa yang terlebih liberal katakan 'rasis' pula. Kita orang Islam mesti  menerima kenyataan bahawa orang bukan Islam 'melayan orang Islam' dalam sektor pekerjaan dengan tidak adil dari dahulu sedangkan orang Islam (Melayu) melayan orang bukan Islam (Cina, India dan lain-lain) dengan adil pada umumnya. Harus dingatkan antara peneguh keamanan dan kestabilan Malaysia adalah kerana orang Melayu  yang ditunjangi oleh Islam sebagai faktor penstabilnya.

4)Hamba tidak bersetuju dengan komen Dr Lee di atas yang menyatakan "adalah mustahil untuk mengetahui kenapa berlaku diskriminasi demikian" kerana kebenaran sesuatu perkara boleh diselidiki jika penyelidikan saintifik dijalankan. Penyelidik perlu menyelesaikan isu kesahan dan kebolehpercayaan dan yang penting adalah kejujuran responden (majikan berbangsa Cina) yang menjawab persoalan yang diutarakan.  Kalau nak tahu kebenaran hakiki, mintalah petunjuk Allah sendiri. Al-Quran sendiri dah banyak menyebut tentang sikap, kelakuan, perangai, tindak-tanduk orang kafir, kita saja tidak mahu mengambil peringatan Kalam-NYA.

5)Apapun hamba ucapkan syabas kepada Dr Lee Hwok Aun dan Dr Muhammed Abdul Khalid dari Universiti Malaya atas inisiatif mereka ini. Hamba berdoa agar tidak ada ahli politik yang  mempunyai agenda tersendiri membantutkan usaha mereka berdua ini. Kita perlu mendidik masyarakat menerima kebenaran walaupun pahit. Kita perlu mendidik masyarakat berhujah dan berbahas atas kajian, fakta, angka yang benar, bukan retorik yang sedap didengar tetapi tiada isi. Ahli politik sudah terlalu lama merosakkan masyarakat dengan retorik ceramah yang penuh dengan fitnah, membuka aib orang, lawak-jenaka, sibuk mencari kesalahan orang sedangkan ini tidak berlaku di negara Barat yang masyarakatnya bukan Muslim. Kita perlu berkongsi hasil penyelidikan ilmiah dengan masyarakat agar universiti masih relevan dan sentiasa relevan.

Wassalam.
MQAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan