Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah, hamba sempat mengerjakan umrah dan ziarah kali kelima pada bulan Mei dan Jun yang lepas. Hamba pergi seorang sahaja kerana ada urusan kerja selepas itu. Alhamdulillah, ada Pakej Umrah yang sanggup bantu, hotel dan tiket kapal terbang hamba uruskan sendiri, cuma visa melalui Syarikat Umrah berdaftar. Pesanan biasa yang utama dan pertama ke Tanah Suci adalah banyak bersabar. Kebetulan hamba 'menumpang' satu pakej untuk perjalanan Jeddah-Mekah, jadi kena tunggu semua ahli rombongan mereka melepasi Imigresen Arab Saudi. Dekat enam jam juga di Imigresen Arab Saudi kerana ada beberapa jemaah yang 'nama mereka tidak naik' dalam sistem Imigresen Arab Saudi. Jemaah umrah tidak boleh bergerak walaupun seorang jemaah 'tersadai'. Kelembapan Imigresen Arab Saudi tak perlu diperkatakan lagi, sudah 15 tahun ke Arab Saudi, prestasinya macam tu juga. Kalau di Malaysia, pekerja Imigresen Arab Saudi mungkin sudah kena pindah atau dibuang kerja. Alhamdulillah, semua selesai, walaupun kasihan pada orang tua dan kanak-kanak yang penat menunggu.
Sampai di Mekah (ikut pakej tersebut), hamba ambil teksi ke hotel hamba. Hamba cari hotel pakai www.booking.com atau www.agoda.com sahaja. Hotel di kawasan Ajyad, itu antara kawasan 'hotel murah' yang masih wujud di sekitar Masjidil Haram. Hotel murah/lama masih perlu lori tangki mengisi air setiap 1-2 hari sekali, biasanya di pagi-pagi hari. Alhamdulillah, umrah pertama dapat diselesaikan selepas Solat Subuh. Makan di Mekah tidaklah susah. Kebab, roti berisi telur/daging/ayam dan pelbagai jenis nasi ada di pelbagai kedai. Kekadang, selepas solat Subuh atau Zohor, banyak kenderaan berlabuh di tepi jalan mengedarkan roti/air/makanan secara percuma. Itu antara tanda barokah Tanah Mekah ini.
Memandangkan hamba solo dan benar-bena solo, semua urusan atas sendiri. Waktu hamba mengerjakan haji musim 2004/2005, hamba solo juga, tapi itu ikut pakej umrah, ada kawan-kawan lain, enam orang sebilik. Makanan dan urusan ziarah juga disediakan oleh syarikat umrah. Semasa mengerjakan umrah semasa balik dari United Kingdom ke Malaysia pada tahun 2010, hamba tidak solo tetapi bersama isteri dan anak-anak, cuma hotel dan makan-minum sendiri. Jadi urusan bila solo ini agak mudah. Hamba sempat mencari Restoran Felda di Mekah dan Alhamdulillah, jumpa. Berdepan dengan Pintu King Abdul Aziz saja, Restoran Felda merupakan tempat hamba bersarapan pagi jika bercadang ke Masjidil Haram selepasnya, beriktikaf sampai Zohor. Bolehlah juga melepaskan rindu dengan roti canai, nasi lemak, nasi goreng, rendang daging, teh tarik dan lain-lain masakan Malaysia.
Hamba sempat melihat dan berhadapan dengan Pintu Kaabah apabila ia dibuka pada pagi selepas Subuh 1 Syaaban 1435. Memang 'lain betul' apabila pintu itu dibuka. Itu yang masuk WhatApp, media sosial dan surat khabar jemaah bertolak-tolak, berasak-asak untuk melihat Pintu Kaabah dibuka. Samalah apabila umat Islam berebut-rebut nak cium Hajaratul Aswad. Ada perkara yang umat Islam tidak faham, kurang faham atau buat-buat tidak faham. Dalam sunat juga ada haramnya. Apa untungnya buat perkara yang sunat dengan cara yang makruh atau haram?
Dulu-dulu waktu muda, umrah dan ziarah tahun 2000 (bersama isteri dan anak seorang), tahun 2002 (bersama isteri dan anak dua orang), hampir setiap hari kami mengerjakan umrah. Ada sesekali kami kerjakan umrah dua kali dalam sehari. Datang buat haji tahun 2004/2005, hamba banyak beriktikaf dalam masjid. Begitu juga Umrah 2010, hamba banyak beriktikaf dalam Masjidil Haram. Sama dengan tahun 2014, hamba banyak menghabiskan masa beriktikaf dalam Masjidil Haram. Hamba teringat cerita arwah Mursyid apabila beliau bertemu Hj Endut dalam Masjidil Haram (yang ghaib di Inas, NSDK) sewaktu mengerjakan haji tahun 1986. Hj Endut begitu tekun beriktikaf dalam Masjidil Haram. Masa tidak dihabiskannya dengan sia-sia, bersembang dan sebagainya. Bila dah umur melebihi 40-an ini, baru kita faham apabila kita semakin mengalaminya. Memang tidak salah bagi jemaah Malaysia yang berlumba-lumba mengerjakan umrah sewaktu di Mekah, cuma golongan Qhawas al Qhawas lebih banyak menghabiskan masa di dalam Masjidil Haram, "banyak kerja". Beberapa tahun dahulu, seorang biras hamba boleh beriktikaf dari Waktu Tahajud sampai Solat Isyak. Kemudian baru balik kejap ke hotel untuk tidur dan datang semula ke Masjidil Haram waktu Tahajud dan iktikaf kembali sampai Isyak. Hamba tak dapatlah buat macam itu, bahagian masing-masing. Yang penting buat yang terbaik, buat apa sahaja kerana DIA.
Hamba pun tidak bercadang ambil banyak gambar di Mekah, semua gambar guna telefon iPhone saja. Selepas beberapa hari dan malam di Tanah Suci, hamba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah untuk ke Istanbul, Turki. Ada dua terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Anda perlu tahu syarikat penerbangan mana yang anda naik. Hamba ambil Saudia, jadi tidak sama terminal dengan Malaysia Airlines dan lain-lain penerbangan. Ada beberapa sahaja syarikat antarabangsa yang berkongsi dengan Terminal Saudia. Terminal untuk Saudia meliputi penerbangan domestik dan antarabangsa yang diuruskan oleh Saudia Airlines. Mula-mula pihak hotel kata teksi ke LTA Jeddah 200 Riyal sahaja, bila sampai pemandunya, minta 250 Riyal pula. Berunding punya berunding dapat 230 Riyal. Bagi yang biasa ke Mekah dan Madinah, itu 'dianggap biasa' walaupun itu bukan 'cara Islam'. Alhamdulillah, penerbangan Jeddah-Istanbul berjalan lancar. Wassalam.
Roti canai di DSaji Mekah (Restoran Malaysia)
Malaysian Restaurant - diuruskan oleh DSaji Felda
Ramai pengunjung yang hadir, orang Malaysia dan bukan Malaysia
Pintu King Abdul Aziz bertentangan dengan Restoran Felda
Ada risalah mengedarkan perkhidmatan katering
Mekah telah menjadi 'kota kapitalis'. Mereka yang kaya menginap di hotel mewah dan berdekatan dengan Masjidil Haram.
Pintu kegemaran hamba untuk ziarah dan ibadat kali ini
Suasana selepas Solat Isyak
Nasi lemak - hamba makan dua kali, tak habis sekali. Sebekas 15 Riyal. Waktu tahun 2010, sebekas nasi masih 10 Riyal.
Roti telur dan teh ais
Kucing - binatang kesayangan RSAW
Ambil jugalah gambar Kaabah menggunakan telefon bimbit sebagai kenangan. Antara yang merosakkan ibadat tawaf orang zaman sekarang adalah 'berselfie' semasa bertawaf... Semasa Saie pun ada yang 'berSelfie'. Apa nak jadi dengan umat Islam sekarang?
Bayangannya menutupi Kaabah - telah dikatakan RSAW lebih 14 abad yang lalu
Hilton di Kota Mekah - dulunya hotel paling gah di Mekah, sekarang dah jadi biasa2.
Apa maksud Hotel Hilton yang dikuasai oleh Yahudi dan Nasrani terpacak di Kota Mekah? Tanyalah mereka yang arif
Istana Raja yang kosong
Pembinaan Istana Raja di Jabal Qubis...sampai masa apa yang dikatakan oleh RSAW dalam hadis akhir zaman akan berlaku...
Nak ke Restoran Felda, cari Al-Safwa Towers. Pakej umrah kelolaan Tabung Haji Travel & Tours menginap di sini, dalam RM8,000 seorang.
Al-Safwa Towers di kiri Menara Jam terbesar.
Untung nya Tuan
BalasPadam