Isnin, 17 November 2014

Pasar Malam Kuala Lipis, Kuala Lipis, Pahang (Kuala Lipis's Night Market)

Assalamu'alaikum,

Hamba belum ada mood nak menyambung kisah Pulau Perhentian walaupun draf sambungannya sudah ada. Hamba ke Kuala Lipis dalam bulan Oktober yang lalu untuk satu aktiviti khidmat masyarakat. Kami (dengan isteri dan semua anak) bertolak dari BBBangi waktu tengahari, melalui Lebuhraya Karak dan masuk ke Bentong menuju ke Kuala Lipis. Pada waktu ini, pembentangan Bajet 2015 sedang ke udara (10 Oktober 2015). Memandangkan isyarat 3G selepas Bentong kurang baik, kami tak dapat nak ikut Bajet 2015. Hari Sabtu esoknya (11 Oktober 2015), hamba menyampaikan ceramah motivasi di sebuah sekolah di sini. Jumaat malam Sabtu sebelum itu, kami keluar ke pekan Kuala Lipis yang terletak di atas Banjaran Titiwangsa ini. Kami keluar untuk cari 'makan malam', dan kebetulan ada pasar malam di Pekan Kuala Lipis. Hamba sebenarnya amat jarang ke Pasar Malam Bangi semenjak pulang dari luar negara tahun 2010. Hamba pun tidak tahu mengapa. Sebelum ke luar negara pada tahun 2006, kunjungan ke pasar malam hari Sabtu malam Ahad merupakan aktiviti mingguan hamba sekeluarga. Mungkin antara faktornya adalah Pasar Malam di Bangi begitu sesak dan padat dengan manusia, nak berjalan pun susah.  

Pasar Malam merupakan enjin pertumbuhan ekonomi sara diri dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu di Semenanjung. Nak sewa lot kedai di kompleks membeli-belah, sewanya amat mahal, nak sewa lot kedai, boleh tahan juga mahal sewanya, jadinya ramai peniaga Melayu yang berniaga di Pasar Malam. Berniaga di Pasar Malam, sewanya amat murah, tak perlu bayar bil elektrik dan air serta internet, tak perlu modal besar-besar, waktu perniagaannya amat singkat, jadi tak perlu gajikan ramai pekerja. Bahasa moden sekarang, kos overhed di pasar malam rendah. Hakikatnya, orang Islam dan Melayu punya kekuatan dalam berniaga, cuma bimbingan dan sokongan yang sistematik diperlukan untuk membantu mereka. Terdapat beberapa agensi seperti TEKUN, AIM dan MARA yang membantu peniaga2 kecil seluruh Malaysia.  Selain untuk peniaga kecil, pasar malam juga disasarkan untuk masyarakat yang tidak punya banyak duit untuk membeli belah di gedung-gedung besar dan kedai-kedai. Harga barangnya secara relatif masih murah berbanding kedai biasa. Harga sayuran dan buahan akan menjadi lebih murah di penghujung waktu pasar malam. Kalau balik ke kampung di Utara, hamba akan cuba untuk ke pasar malam di pekan kecil kampung hamba. Satenya masih 30 sen secucuk, yang lainnya masih murah. Pihak berwajib harus mencari jalan untuk memperkasa aktiviti ekonomi sara diri seperti Pasar Malam, Pasar Tani, Pasar Sehari, Uptown dan Car Boot Sale. Antara yang boleh ditambahbaik adalah kawaan parkir, laluan trafik, jenis barangan yang dijual, kemudahan surau berdekatan tapak dan kemudahan2 lain. Pengurusan kebersihan juga harus dititikberatkan agar lokasi Pasar Malam dan lain2 ini bersih dan peniaga 'menjaga kebersihan' semasa berniaga. Sesungguhnya kebersihan itu sebahagian daripada iman. Wassalam.












 Buah-buahan merupakan makanan yang paling penting untuk tubuh badan

 Begitu juga dengan sayur



 Hamba tidak lupa untuk membeli seikat petai...




 Ehmm, begitu menyelerakan


 Ada jual lauk-pauk la...

 Nasi lemak merupakan kegemaran hamba dan anak-anak



 

 Apam balik di Bangi istimewa kerana coklatnya



 Perniagaan paling menguntungkan, jual air

 Kuih separuh masak turut dijual



 Tengok pun dah ....


Hamba beli sedikit sayur..kasihan kat makcik ni yang datang dari jauh untuk berniaga dan mencari sesuap rezeki

Tiada ulasan:

Catat Ulasan