Rabu, 25 Januari 2017

*BATASAN HAD TIDAK BOLEH DISANDARKAN KEPADA ALLAH TA^ALA*


*BATASAN HAD TIDAK BOLEH DISANDARKAN KEPADA ALLAH TA^ALA*


Antara pegangan pelik yang dibawa oleh Ibn Taimiyyah al-Harrani adalah keyakinan Allah ta^ala mempunyai batasan had.

Ibn Taimiyyah al-Harrani menukilkan daripada Abu Sa^id al-Darimi al-Mujassim dalam kitabnya yang berjudul _Minhaj al-Sunnatin-Nabawiyyah_ (jil. 2, hlm. 29) dengan katanya:

والله تعالى له حد لا يعلمه أحد غيره، ولا يجوز لأحد أن يتوهم لحده غاية في نفسه، ولكن يؤمن بالحد ويكل علم ذلك إلى الله، ولمكانه أيضًا حد وهو على عرشه فوق سماواته، فهذان حدان اثنان » اهـ،

_“Allah ta^ala mempunyai suatu batasan had yang tidak diketahui sesiapapun selain-Nya. Dan tidak harus bagi sesorangpun menggambarkan suatu kemuncak pada diri-Nya bagi had-Nya itu. Tetapi hendaklah dia beriman dengan adanya batasan had pada Allah dan hendaklah dia menyerahkan ilmu tentang itu kepada Allah. Tempat Allah juga ada batasan had iaitu Dia berada di atas Arasy melepasi segala lapisan langit. Maka ini adalah dua batasan had”._ Intaha.

Seterusnya dia berkata lagi:

فهذا كله وما أشبهه شواهد ودلائل على الحد, ومن لم يعترف به فقد كفر بتنزيل الله وجحد ءايات الله  اهـ

_“Ini seluruhnya dan seumpamanya adalah bukti-bukti dan dalil-dalil menunjukkan adanya batasan had (bagi Allah). Sesiapa yang tidak mengakuinya maka dia telahpun kafir dengan perkara yang diturunkan oleh Allah dan mengingkari ayat-ayat Allah”_ Intaha.

Apa yang sangat mengecewakan ialah Ibn Taymiyyah bersetuju dengan kata-kata Abu Sa^id al-Darimi al-Mujassim tersebut.

Ibn Taimiyyah al-Harrani berkata dan menukilkan lagi daripada Abu Sa^id al-Darimi al-Mujassim dalam kitabnya yang berjudul _Minhaj al-Sunnatin-Nabawiyyah_ ( jil. 2, hlm. 29 - 30):

 وقد اتفقت الكلمة من المسلمين والكافرين أن الله في السماء وحدُّوه بذلك إلا المريسي الضال وأصحابه حتى الصبيان الذين لم يبلغوا الحنث قد عرفوا ذلك إذا أحزن الصبي شيء يرفع يده إلى ربه ويدعوه في السماء دون ما سواها وكل أحد بالله وبمكانه أعلم من الجهمية  اهـ

_”Sesungguhnya telah ada kata sepakat di antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir bahawa Allah ta^ala di langit dan mereka menghadkan atau membataskan-Nya dengan perkara tersebut melainkan al-Marisi yang sesat dan sahabat-sahabatnya. Hinggakan kanak-kanak yang belum baligh telah mengetahui perkara tersebut iaitu apabila kanak-kanak menangis dia akan angkat tangannya kepada Tuhannya dan mereka menyeru-Nya di langit bukan selain langit. Setiap orang amat mengetahui tentang Allah dan tempat-Nya berbanding golongan Jahmiyyah”._

Telah thabit bahawa Ibn Taimiyyah mencedok akidah tajsim daripada kitab-kitab ^Uthman al-Darimi al-Mujassim sebagaimana yang disebut oleh muridnya iaitu Ibnul-Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya yang berjudul _Ijtima^ul-Juyusyil-Islamiyyah_ (hlm. 88):

كتابا الدارمي- أي النقض على بشر المريسي والرد على الجهمية-من أجل الكتب المصنفة في السنة وأنفعها

_" Dua buah kitab karangan al-Darimi iaitu al-Naqd ^ala Bisyr al-Marisi dan al-Radd ^ala al-Jahmiyyah adalah antara kitab-kitab yang paling mulia dikarang tentang al-Sunnah dan paling bermanfaat"._ Intaha.

Kata Ibnul-Qayyim al-Jauziyyah lagi :

وكان شيخ الاسلام ابن تيمية يوصي بهما أشد الوصية ويعظمهما جدا

_" Syaikhul-Islam Ibn Taimiyyah pernah mewasiatkan dua kitab itu dengan wasiat yang sungguh-sungguh dan memuliakan kedua-dua kitab ini sungguh-sungguh"._ Intaha.

Ibn Taimiyyah berkata dalam kitabnya _Bayan Talbis al-Jahmiyyah_ (jil. 1, hlm. 433):

 قد دل الكتاب والسنة على معنى ذلك كما تقدم احتجاج الإمام احمد بالقرآن مما يدل على ان الله له حد يتميز به عن المخلوقات اهـ

_“Al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan makna tersebut sebagaimana yang telah lalu bahawa al-Imam Ahmad berhujah dengan al-Quran yang menunjukkan bahawa Allah ta^ala mempunyai batasan had yang berbeza ia daripada makhluk-makhluk”_ Intaha.

Katanya lagi di halaman yang sama:

وذلك لا ينافي ما تقدم من إثبات أنه في نفسه له حدُّ يعلمه هو لا يعلمه غيره   اهـ

_“ Dan demikian itu tidak menafikan perkara yang telah disebut sebelum ini bahawa bagi-Nya ada batasan had yang Dia sahaja yang tahu dan yang lain tidak mengetahuinya”._ Intaha.

Ibn Taimiyyah memang meyakini Allah ta^ala berada di arah atas alam. Padahal Allah ta^ala maha suci dari perkara tersebut.

Ibn Taimiyyah menyebutkan dalam kitabnya _Bayan Talbis al-Jahmiyyah_ (jil. 1, hlm. 111):

والبارىء سبحانه وتعالى فوق العالم فوقية حقيقية ليست فوقية الرتبة   اهـ

_“ Allah subhanahu wa ta^ala Yang Pencipta itu berada di atas alam secara atas yang hakiki (bukan secara majaz atau metafora bagaimana kesepakatan ulama Ahlis-Sunnah) bukan juga atas dengan erti status”._ Intaha.

Al-Syaikh Muhammad Zahid Kauthari dalam ta^liqnya ke atas kitab _al-Saifus-Soqil_ (hlm.  40) ada menyebutkan:

قال ابن تيمية في التأسيس في رد أساس التقديس المحفوظ في ظاهرية دمشق في ضمن المجلد رقم 25 من الكواكب الدراري – وهذا الكتاب مخبأة ووكر لكتبهم في التجسيم وقد بينت ذلك فيما علقته علي المصعد الأحمد (ص 31): (فمن المعلوم أن الكتاب والسنة والاجماع لن ينطق بأن الأجسام كلها محدثة وأن الله ليس بجسم، ولا قال ذلك امام من أئمة المسلمين، فليس في تركي لهذا القول خروج عن الفطرة ولا عن الشريعة

_"Ibn Taimiyyah menyebutkan dalam kitabnya al-Ta’sis fi Radd Asasit-Taqdis yang tersimpan di Zohiriyyah, Damsyiq dalam jilid no. 25 daripada al-Kawkab al-Durari, - Kitab ini disembunyikan dan dipenuhkan dalam kitab mereka dengan aqidah tajsim (akidah menjisimkan Allah). Aku telah menjelaskan perkara tersebut berhubung ta^liq yang telah aku buat ke atas al-Mas^ad al Ahmad (hlm. 31) [Ibn Taimiyyah berkata]: "Adalah maklum bahawa al- Quran dan al-Sunnah serta ijmak tidak menyebutkan bahawa jisim-jisim semuanya baharu dan Allah bukan berjisim. Perkara tersebut juga tidak juga disebut oleh imam dalam kalangan imam-imam umat Islam. Bukanlah sikapku pada meninggalkan pendapat ini keluar daripada fitrah dan syariat"._ Intaha

Di tempat yang lain Ibn Taimiyyah menyebut lagi:

قلتم ليس هو بجسم، و لاجوهر و لا متحيز و لا في جهة و لا يشار اليه بحس و لا يتميز منه شئ و عبرتم عن ذلك بأنه تعالي ليس بمنقسم و لا مركب و أنه لا حد له و لا غاية، تريدون بذلك أنه يمتنع عليه أن يكون له حد و قدر أو يكون له قدر لا يتناهي… فكيف ساغ لكم هذا النفي بلا كتاب و لا سنة اهـ

_" Kalian mengatakan Dia tidak berjisim, bukan jauhar, tidak berpihak, tidak berada di suatu arah, tidak diisyaratkan kepada-Nya dengan rasa, dan tidak membezakan daripada-Nya sesuatu, kamu telah mengungkapkan perkara tersebut bahawa Allah ta^ala tidak dibelah bahagi, bukan bersusun, *tiada batasan had bagi-Nya*, tiada kemuncak. Dengan ungkapan tersebut kamu bermaksud bahawa Allah tertegah kepada-Nya mempunyai batasan had dan qadar atau ada bagi-Nya qadar yang tidak ada penghujung... Bagaimana mungkin harus bagi kamu penafian ini tanpa al Quran dan al-Sunnah??!_  Intaha.

Lalu al-Kauthari berkata:

  و في ذلك عبر للمعتبر، و هل يتصور لمارق أن يكون أصرح من هذا بين قوم مسلمين؟ اهـ

_”Dalam perkara tersebut ada iktibar bagi orang yang  mengambil pengajaran. Adakah boleh digambarkan tentang orang yang terkeluar dari umat Islam (orang yang syaz) untuk menjadi lebih jelas dari perkara ini tergolong dalam kalangan kaum muslimin??!"_ Intaha.

Sangat pelik dan ganjil Ibn Taimiyyah ini terutama bila kita melihat dakwaan palsunya bahawa umat Islam dan kuffar bersepakat dan berijmak bahawa Allah itu ada had (batasan). Lebih parah lagi dia berani berdusta ke atas al-Imam Ahmad ibn Hanbal secara terang-terang.

1. Abul-Fadl al-Tamimi (w. 410 H) - ketua ulama mazhab Hanbali - menukilkan daripada al-Imam Ahmad dalam kitabnya _I^tiqad al-Imam Ahmad ibn Hanbal_ (hlm.  41) berkata:

والله تعالى لا يلحقه تغير ولا تبدل ولا تلحقه الحدود قبل خلق العرش ولا بعد خلق العرش ، وكان ينكر- الإمام أحمد – على من يقول إن الله في كل مكان بذاته لأن الأمكنة كلها محدودة اهـ

_“Allah ta^ala tidak berlaku kepada-Nya perubahan dan pertukaran  sebelum diciptakan Arasy dan setelah diciptakan Arasy. Al-Imam Ahmad mengingkari kepada sesiapa yang berkata Allah berada di semua tempat dengan zat-Nya kerana tempat-tempat itu semuanya suatu yang mahdud (yang ada batasan)”_intaha

2. Sayyidina ^Ali ibn Abi Tolib radiyaLlahu ^anhu berkata seperti yang diriwayatkan oleh Abu Nu^aim (w 430 H) dalam kitabnya _Hilyatul-Auliya’_ (j. 1, hlm 72):

"من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود" اهـ

Maksudnya, _"Barangsiapa beranggapan (berkeyakinan) bahawa Tuhan kita berukuran (ada batasan had) maka dia tidak mengetahui Tuhan Pencipta yang disembah (tidak beriman kepada-Nya)"_ Intaha.

3. Al- Imam al-Sajjad ^Ali Zainul-^Abidin ibn al-Husain ibn ^Ali ibn Abi Tolib (w. 94 H) berkata seperti yang diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Zabidi dalam kitabnya _Ithafus-Sadatil-Muttaqin_ dengan rangkaian sanad-sanad yang bersambung kesemua perawinya kepada Sayyiduna ^Ali Zainul-^Abidin:

"أنت الله الذي لايحويك مكان" اهـ

_“Engkaulah Allah yang tidak diliputi tempat_intaha

 Katanya lagi :

"أنت الله الذي لا تحد فتكون محدودا" اهـ

 _“Engkaulah Allah yang maha suci dari batasan had (benda, bentuk dan ukuran)”_

Beliau juga berkata :

"سبحانك لاتحس ولاتجس ولاتمس" اهـ

_“Maha suci Engkau yang tidak boleh diraba dan tidak pun disentuh”_ Intaha.

Allah tidak menyentuh sesuatupun dari makhluk-Nya dan Dia tidak disentuh oleh sesuatupun dari makhluk-Nya kerana Allah bukan benda. Allah maha suci dari sifat berkumpul, menempel, berpisah dan tidak berlaku jarak antara Allah dan makhluk-Nya kerana Allah bukan benda dan Allah ada tanpa tempat dan arah.

Kata-kata Sayyiduna ^Ali Zainul-^Abidin radiyalahu ^anhu di atas amat jelas menunjukkan bahawa Allah ta^ala tidak harus dibataskan dengan had, tiada bagi-Nya batasan had pada ilmu-Nya dan tiada pada ilmu makhluk-Nya. Persoalannya, dimana kononnya  dakwaan dusta ibn Taymiyyah yang mengatakan bahawa telah ada kata sepakat umat Islam dalam mengithbatkan batasan had bagi Allah ta^ala??! Bahkan yang jelas ialah ijmak para ulama menafikan adanya batasan had pada Allah ta^ala.

4. Al-Imam Abu Mansur al-Baghdadi ketika menyenaraikan perkara yang diijmakkan oleh Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah di dalam kitabnya _al-Farq bainal-Firaq_ (hlm. 320) menukilkan ijmak ulama dalam menafikan adanya had dan tempat pada Allah ta^ala:

و قالوا – أي أهل السنة و الجماعة – بنفي النهاية و الحد عن صانع العالم

_“Mereka (Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah) bersepakat tentang penafian adanya penghujung, dan batasan had pada Pencipta alam (Allah)”_ Intaha.

5. Al-Imam al-Faqih Abu Ja^far al-Tahawi radiyaLlahu ^anhu (w. 321 H) dalam risalahnya _al-^Aqidatut-Tohawiyyah_:

"وتعالى – أي الله – عن الحدود والغايات والأركان والأعضاء والأدوات لا تحويه الجهاتُ السِتُّ كسائر المبتَدَعات". اهـ

Maksudnya: _"Allah maha suci dari batasan, kemuncak, sudut, anggota besar dan anggota kecil dan Dia tidak diliputi oleh arah yang enam seperti sekalian makhluk"._ Intaha.

Ulama Salaf menafikan adanya batasan had pada Allah ta^ala berdasarkan dalil kata-kata al-Imam al-Tohawi ini. Al-Tohawi mendatangkan perkara tersebut berdasarkan mazhab Salaf. Namun beliau menyebut nama al-Imam Abu Hanifah dan dua sahabatnya (al-Imam Yusuf al-Ya^qub ibn Ibrahim al-Qadi dan al-Imam Muhammad ibn Hasan al-Syaibani) secara khusus hanya dari sudut kemasyhuran mereka dan kerana dia telah menelusuri cara susun kata dalam mengungkapkan aqidah mengikut uslub mereka. Walhal itu adalah keyakinan seluruh mazhab Salaf sebagaimana difahami daripada kata-katanya dalam muqaddimah kitabnya: _“Ini adalah suatu penjelasan aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah..”_ Intaha.

6. Al-Imam Abu Hanifah radiyaLlahu ^anhu (w. 150 H) dalam _al-Fiqhul-Akbar_ berkata:

و لا حد له و لا ضد له اهـ

_“ Tiada batasan had bagi Allah ta^ala dan tiada sekutu bagi-Nya”_ Intaha.

7. Al-Hafiz al-Baihaqi dalam kitabnya _al-Asma’ was –Sifat_ (hlm. 157) berkata:

"وما تفرد به الكلبي و أمثاله يوجب الحد، و الحد يوجب الحدث لحاجة الحد الي حاد خصه به، و البارئ قديم لم يزل" اهـ

_”Perkara yang hanya disebut oleh al-Kalbi dan seumpamanya mewajibkan adanya batasan (bagi Allah). Dan batasan had itu mewajibkan kebaharuan kerana batasan had itu berhajat kepada pencipta batasan had yang menentukan kebaharuan itu dengan batas tersebut. Sedangkan Tuhan Yang Maha Pencipta itu qadim yang tidak binasa”._ Intaha.

8. Al-^Allamah al-Muhaddith Abu Hafs Najmud-Din ^Umar ibn Ahmad ibn Luqman al-Nasafi al-Hanafi menyebutkan dalam _al-^Aqidah al-Nasafiyyah_:

المحدث للعالم هو الله تعالى الواحد القديم الحي القادر العليم السميع البصير الشائي المريد ليس بعرض، ولا جسم، ولا جوهر ولا مصور ولا محدود...اھ

_”Yang menciptakan alam adalah Allah taala yang maha Esa, Qadim, Maha hidup, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkehendak, bukan ^arad, bukan jisim, bukan jauhar, bukan yang boleh digambarkan, bukan mahdud (dibataskan dengan had)..."_ Intaha.

9. Al-^Allamah al-Hafiz al-Muhaddith al-Faqih al-Syaikh ^Abdullah al-Harari al-Syafi^i al-Asy^ari al-Habasyi berkata dalam kitabnya _al-Matolibul-Wafiyyah Syarhul-^Aqidatin-Nasafiyyah_ (hlm. 63 – 65):

إن الله سبحانه وتعالى منزه عن أن يكون ذا حد ونهاية كسائر الأجسام لأنها محدودة فالعرش الذي هو أكبر الأجرام محدود. وكذا الذرة محدودة, لأن الفرق بينهما من حيث كثرة الأجزاء وقلتها, والذرة عند أهل اللغة و المتكلمين تطلق على النملة الصغيرة الحمراء, قال الحافظ اللغوي محمد مرتضى الزبيدي ما نصه الذر صغار النمل مائة منهما زنة حبة شعير, وقيل الذرة ما ليس لها وزن, ويراد بها ما يرى في شعاع الشمس الداخل في النافذة, قالوا الذر النمل الأحمر الصغير الواحدة ذرة  اهـ

فالعرش أجزاؤه كثيرة، والذرة أجزاؤها قليلة، فلا يتوهم متوهم غافل عن تنزيه الله تعالي أن مرادهم بنفي المحدودية عن الله أنه شئ لا تحصي أجزاؤه كالعرش، و أنه ليس صغيرا قليل الأجزاء بحيث يدخل تحت الحصر، فينبغي الاهتمام ببيان هذه العبارة لطلاب العلم علي الوجه الذي ينفي عنهم توهم المعني الفاسد المذكور، لأنه قد يتوهم بعض الجهال اذا قيل الله ليس له حد أو ليس بمحدود أن معناه جرم كبير، و اعتقاد الجرم في الله كفر، فمن اعتقده جرما صغيرا أو اعتقده جرما كبيرا كالعرش أو أوسع منه فهو غير عارف بربه فالله تعالي منزه عن الحدود، أي: لا يجوز عليه عقلا و لا شرعا أن يكون له حد، و لا يجوز أن يقال ان له حدا لا نعلمه بل هو يعلمه كما قال بعض المجسمة من الحنابلة من أسلاف ابن تيمية، و ذلك لأن المحدود يحتاج الي من حده، و المحتاج الي غيره فهو محدث، و المحدث لا يكون الها لأن الاله من شرطه الأزلية و القدم

و يكفي لنفي الحد و الحجم عن الله تعالي من حيث النص الشرعي قوله تعالي: (ليس كمثله شي ء) لأنه لو كان حجما لكان له أمثال لا تحصي و هذا من الأوليات في مفهوم هذه الأية، لأن الشئ ذكر في الآية في معرض النفي فيشمل كل ما سواه من حجم كثيف و حجم لطيف، فقول مشبهة العصر (الوهابية): ان معني الآية ليس له مثل فيما نعرفه، زيغ من القول لا يلتفت إليه

_“Sesungguhnya Allah ta^ala maha suci daripada mempunyai batasan had dan nihayah (penghujung) sepertimana sekalian jisim-jisim kerana jisim-jisim itu mahdud (dibataskan dengan saiz atau had). Justeru, Arasy yang merupakan jirim yang paling besar suatu yang terbatas(dibataskan dengan had).  Demikian juga zarrah ada batasan had kerana beza di antara kedua-duanya adalah dari sudut banyaknya bahagian-bahagian dan sedikitnya sahaja._

_Al-Zarrah di sisi pakar bahasa Arab dan golongan al-mutakallimin disebut untuk semut yang kecil berwarna merah. Al-Hafiz al-Lughawi Muhammad Murtadha al-Zabidi menyebutkan:_

_”Al-Zarr adalah semut-semut yang kecil, 100 ekor darinya seberat satu biji barli. Ada pendapat yang mengatakan al-zarrah adalah sesuatu yang tiada timbangan berat. Yang dimaksudkan dengan al-zarrah adalah sesuatu yang dilihat pada pancaran matahari yang masuk melalui jendela (iaitu habuk). Mereka mengatakan bahawa al-zharr adalah semut merah yang saiznya kecil. Seekor semut merah itu disebut zarrah”._

_Arasy bahagian-bahagiannya banyak,manakala zarrah pula bahagian-bahagiannya sedikit. Jangan seseorang itu keliru dan lupa tentang penyucian Allah ta^ala bahawa maksud mereka dengan menafikan sifat-sifat had daripada Allah ta^ala itu ia adalah sesuatu yang bilangan bahagian-bahagiannya tidak terhingga seperti Arasy dan Dia bukan sesuatu yang kecil yang sedikit bahagian-bahagiannya sekira-kira masuk dalam lingkungan bilangan tertentu._

_Justeru, sewajarnya hendaklah mengambil berat dengan memberi penjelasan ungkapan ini kepada penuntut-penuntut ilmu mengikut cara yang boleh menafikan kekeliruan makna rosak yang telah disebutkan.  Ini kerana mungkin sahaja sebahagian golongan jahil keliru jika dikatakan Allah tidak mempunyai had atau tidak dibataskan dengan had bahawa maknanya Allah itu suatu jirim yang sangat besar. Padahal keyakinan bahawa Allah ta^ala berjirim itu adalah suatu kekufuran. Sesiapa yang meyakini Allah itu suatu jirim kecil atau meyakini-Nya suatu jirim besar seperti Arasy atau lebih luas daripada Arasy maka dia seorang yang jahil tentang Allah dan tidak mengenali Tuhannya._

_Justeru, Allah ta^ala maha suci dari dibataskan dengan had iaitu tidak harus pada akal dan syarak bahawa Allah ta^ala itu mempunyai batasan had. Tidak boleh dikatakan bahawa Allah mempunyai batasan had yang kita tidak mengetahuinya bahkan Dia sahaja yang mengetahuinya sebagaimana disebut oleh sebahagian golongan al-Mujassimah dalam kalangan al-Hanabilah yang menjadi para salaf kepada Ibn  Taimiyyah. Hal tersebut kerana mahdud (sesuatu yang dibataskan dengan had) berhajat kepada sesuatu yang membataskannya. Yang berhajat kepada yang selainnya pula adalah baharu. Sedangkan suatu yang baharu itu tidak layak menjadi Tuhan kerana Tuhan antara syaratnya adalah azaliyyah dan qidam (tiada permulaan pada kewujudan-Nya)._

_Ayat 11 surah al-Syura memadai dalam menafikan batasan had dan saiz daripada Allah ta^ala dari sudut nas syar^i iaitu firman Allah ta^ala:_

ليس كمثله شيء

_Mafhumnya : "Allah ta^ala tidak sama dengan sesuatupun dalam apa jua sudut sekalipun"._

_Ini kerana jika Allah itu suatu yang bersaiz sudah tentu Dia mempunyai sesuatu yang sama seperti-Nya yang tidak terhingga banyaknya. Inilah antara perkara utama dalam kefahaman ayat ini. Kerana شيء yang disebut di dalam ayat tersebut dalam bentuk naïf. Justeru penafian tersebut merangkumi setiap sesuatu yang selain-Nya seperti jisim kathif (jisim yang boleh disentuh dengan tangan) dan jisim latif (jisim yang tidak boleh disentuh dengan tangan). Maka pendapat Musyabbihah zaman kini (Wahhabiyyah) bahawa makna ayat ini ialah tiada suatu yang sama dengan-Nya dalam perkara yang kita tahu, adalah ucapan yang menyimpang dan tidak perlu berpaling kepadanya "_ Intaha.

10. Al-Imam Abul-Qasim al-Ansori al-Naisaburi, seorang yang mensyarahkan kitab _al-Irsyād_ karangan Imamul-Haramain dengan membuat fasal khas menolak fahaman yang mengatakan Allah mempunyai batasan had dan penghujung  iaitu dengan tajuk _Bāb Fī Nafyil-Hadd wan-Nihāyah_ (manuskrip, hlm. 59).

Adapun apa yang dinukilkan oleh Ibn Taimiyyah mengenai sebahagian Salaf yang mengatakan ada batasan had bagi Allah ta^ala maka periwayatannya tidak thabit. Jika sahih pun maka ia adalah nukilan seorang daripada pengikut Tabi^in dan ia bukanlah hujah kerana hujah adalah dengan kalam Allah dan kalam rasul-Nya yang thabit lagi sahih daripada baginda dengan sanad-sanad yang sunyi daripada perbezaan pendapat padanya “مختلف فيه” sebagaimana disyaratkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani dan selainnya mengenai hadith-hadith berkaitan dengan sifat-sifat Allah.

Adapun pengistidlalannya dengan perkara yang warid bahawa Rasulullah berkata kepada ayah ^Imran ibn Husain: "Wahai Husain, Berapa Tuhan yang engkau sembah hari ini?! Jawabnya: “Tujuh tuhan, enam di bumi dan satu di langit”.  Sabda baginda lagi: “Maka yang mana antara mereka kamu gemari dan menakutkan kamu?!” Katanya: “ Yang berada di langit”. Hadith ini tidak warid dengan sanad-sanad yang boleh menyebabkan hadith tersebut dikira thabit berkaitan dengan sifat-sifat Allah. Justeru tiada hujjah pada perkara tersebut.

Begitu juga pengistidlalannya untuk mengithbatkan batasan had di langit dengan perbuatan mengangkat tangan ke arah langit bagi tujuan berdoa. Sesungguhnya ia tidak menunjukkan bahawa Allah ta^ala berpihak pada arah atas sebagaimana juga hadith Muslim menyebutkan Rasulullah ketika meminta hujan baginda menghadapkan tangannya ke arah bawah maka ia tidak menunjukkan bahawa Allah berada di arah bawah. Tidak ada sebarang  hujjah pada hadith-hadith ini untuk mengthabitkan arah atas dan arah bawah bagi Allah ta^ala.

Lafaz hadith dalam Sohih Muslim daripada Anas ibn Malik:_

إن النبي صلى الله عليه وسلم استسقى فأشار بظهر كفيه إلى السماء
_"Sesungguhnya Nabi ﷺ pernah meminta hujan kemudian baginda mengisyaratkan belakang telapak tangannya ke langit (dengan ini bermakna telapaknya pula ke bumi)._

Diriwayatkan Abu Dawud dan Ibn Hibban dalam kitabnya Sohih Ibn Hibban:

أن رسول الله استسقي عند أحجار الزيت قريبا من الزوراء قائما يدعو يستسقي رافعا كفيه قبل و جهه لا يجاوز بهما رأسه..

_“Sesungguhnya Rasulullah telah meminta hujan di sebelah Ahjār al-Zayyit  dekat dengan al-Zaurā’ dalam keadaan berdiri, baginda berdoa ketika meminta hujan dalam keadaan mengangkat kedua pergelangan tangannya sebelum wajahnya tetapi tidak melepasi kepala keduanya”_. Intaha.

11. Al-Imam al-Hafiz Muhammad ibn Hibban Abu Hatim al-Basti menafikan batasan had daripada Allah ta^ala sebagaimana dinukilkan perkara tersebut oleh al-Hafiz Hajar al-^Asqalani dalam kitabnya _al-Mizan_  (jil. 5, hlm. 114). al-Syaikh Tajud-Din  al-Subki berkata dalam _Rabi^ul Masa'il Fi ^Ilmil Hadith_ (hlm. 36 - 37):

ومن ذلك قول بعض المجسمة في أبي حاتم بن حبان: "لم يكن كبير دين، نحن أخرجناه من سجستان لأنه أنكر الحد لله"، فيا ليت شعري من أحق بالاخراج؟ من يجعل ربه محدودا أو من ينزهه عن الجسمية؟

_“Antara perkara tersebut adalah perkataan sebahagian golongan al-Mujassimah mengenai Abi Hatim ibn Hibban: "Dia bukan seorang yang hebat dalam agama. Kami telah keluarkan dia daripada Sajistan kerana dia telah mengingkari batasan had bagi Allah". Pelik siapa yang sepatutnya dikeluarkan? Orang yang menjadikan Tuhannya mahdud (dibataskan dengan had) atau orang yang mensucikan-Nya daripada sifat jisim??!”_ Intaha.

Nukilan ini seakan-akan sama dengan apa yang disebut oleh al-Muhaddith al-Syaikh al-Sayyid ^Abdullah al-Ghumari dalam kitabnya _Itqānuş-Şun^ah_ (hlm. 30 - 31):

قال التاج السبكي في طبقات الشافعية: أن أبا اسماعيل عبد الله بن محمد الهروي الذي تسميه المجسمة شيخ الإسلام، قال: سألت يحيى بن عمار عن ابن حبان، قلت: رأيته؟ قال: وكيف لم أره؟ ونحن أخرجناه من سجستان. كان له علم كثير، ولم يكن له كبير دين. قدم علينا فأنكر الحد لله، فأخرجناه من سجستان. قال السبكي: انظر ما أجهل هذا الجارح! وليت شعري من المجروح؟ مثبت الحد لله؟ أو نافيه!

_“Al-Taj al-Subki menyebut dalam kitab Tobaqāt al-Syafi^iyyah: “Abu Isma^il Abdullah ibn Muhammad al-Harawi yang digelar oleh golongan Mujassimah sebagai Syaikhul-Islam pernah berkata:_

_"Aku bertanya kepada Yahya ibn ^Ammar tentang Ibn Hibban. Tanyaku kepadanya: Pernahkah kamu melihatnya (Ibn Hibban)? Yahya menjawab: Apa tidaknya, kami yang mengusirnya dari Sajistan. Dia mempunyai ilmu yang banyak, tetapi tidak mempunyai agama yang besar. Dia datang kepada kami dan membantah adanya batasan had bagi Allah, kerana itulah kami mengusirnya keluar daripada Sajistan"._

_Al-Subki berkata:_

_"Lihatlah betapa dangkalnya si pengkritik ini. Siapakah yang sepatutnya dikritik? Orang yang mengatakan Allah mempunyai batasan had atau orang yang menafikannya?”_ Intaha.

Al-Syaikh Nurud-Din ibn ^Ali al-Raniri yang merupakan Mufti Acheh yang terdahulu dalam kitabnya _Durarul-Fara’id bi-Syarhil-^Aqa’id_ (manuskrip simpanan Khazanah Fathaniah, hlm. 10) berkata:

_”...Yakni kita iktikadkan bahawasanya Allah ta^ala tiada serupa pada zat-Nya dan sifat-Nya dan af^al-Nya dengan segala makhluk; bahawa Al-Haq [Allah] ta^ala itu tiada seperti sesuatu jua pun... ((ولا جسم)) ertinya tiada bersusun... ((ولا مصور)) ertinya tiada dapat dirupakan ((ومحدود)) ertinya tiada dapat dihinggakan...”_. Intaha.

Dengan penjelasan ini maka telah terang kepada kita penipuan dan terbongkarlah pendustaan demi pendustaan Ibn Taimiyyah. Inilah caranya, apa sahaja pendapat yang dia rasakan suka dalam hal keyakinan dan takjub, dia tanpa segan silu menyandarkannya secara dusta kepada ulama salaf untuk mengelirukan orang yang lemah akalnya dan lemah pemahamannya bahawa apa yang dia bawa itu adalah salaf.. padahal...هيهات هيهات (teramat jauh).


✒️ Disediakan oleh:
*Kajian Ilmiah Ahlis-Sunnah (KIAS)*

Lihat khazanah ilmu di sini:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan