Rabu, 25 Januari 2017

Persoalan Nur Muhammad


Persoalan Nur Muhammad

Soalan :

Adakah Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam merupakan nur atau manusia biasa seperti kita sepertimana yang dikhabarkan di dalam al Quran ?

Jawapan :

Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam merupakan nur, adalah sohih. Firman ALlah subahanahu wa ta'ala :

يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡڪِتَـٰبِ قَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمۡ ڪَثِيرً۬ا مِّمَّا ڪُنتُمۡ تُخۡفُونَ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَيَعۡفُواْ عَن ڪَثِيرٍ۬‌ۚ قَدۡ جَآءَڪُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ۬ وَڪِتَـٰبٌ۬ مُّبِينٌ۬ (١٥)

Ertinya : Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.

(Al Maidah ayat : 15)

ALlah subahanahu wa ta'ala juga berfirman :

وَدَاعِيًا إِلَى ٱللَّهِ بِإِذۡنِهِۦ وَسِرَاجً۬ا مُّنِيرً۬ا (٤٦)

Ertinya : "Dan (Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama ALlah subahanahu wa ta'ala dengan taufiq yang diberiNya ; dan sebagai lampu yang menerangi

(Surah al Ahzaab ayat 46)

Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam adalah nur dan penerang. Tidak mengapa jika kamu mengatakan bahawa Sayyiduna Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam adalah nur selama ALlah subahanahu wa ta'ala telah menyifatkan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam sedemikian dan menamakannya Nur. Bahkan, telah thabit di dalam sunnah bahawa sahabat radiyaLlahu 'anahu menyatakan sesungguhnya wajah Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam seumpama bulan purnama.

إن وجهه صلى الله عليه وسلم كالقمر رواه النسائي و الطبراني

Ertinya : Sesungguhnya wajahnya (Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam) seperti rembulan

(Riwayat Nasa'i, As sunnan al Kubra, vol 5 hlmn 187, dan vol 6, hlm 155; Tobrani, Al Mu'jam Al Kabir, vol 10, hlm 147; dan al Hafiz Ibnu Hajar juga mengemukakan di dalam al Ishaabah, vol 6, hlm 180.

Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam juga telah mengkhabarkan ketika mengandungkannya, bondanya melihat cahaya yang memancar sehingga menerangi istana-istana Busra di negara Syam. Para sahabat radiyaLlahu 'anhu tatkala masuk ke Madinah, semua benda menjadi bercahaya. Tatkala baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam wafat, semua benda menjadi gelap.

Begitu juga athar-athar dan hadith-hadith lain yang menerangkan bahawa Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam adalah nur. Tidak sewajarnya kita menafikan bahawa nur tersebut adalah nur yang bersifat hissi (yang boleh dirasai oleh salah satu pancaindera). Kerana tidak ada di sana apa-apa yang menghalang untuk kita menyatakan bahawa sifat Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam itu menerangi atau memiliki nur hissi sebagaimana ia juga tidak bertentangan dengan tabiat manusia yang telah dikhabarkan oleh al Quran.

Sesungguhnya yang dilarang ialah menafikan sifat kemanusiaan bagi diri Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam kerana ini bersalahan dengan apa yang disohihkan oleh al Quran. ALlah subahanahu wa ta'ala telah berfirman :

قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۟ بَشَرٌ۬ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬ فَٱسۡتَقِيمُوٓاْ إِلَيۡهِ وَٱسۡتَغۡفِرُوهُ‌ۗ وَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُشۡرِكِينَ (٦)

Ertinya : "Katakanlah (wahai manusia) : "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku"

(Surah al Fussilat ayat 6)

Yang paling selamat ialah dengan menetapkan apa yang telah ditetapkan oleh ALlah subahanahu wa ta'ala bagi NabiNya sallaLlahu 'alaihi wasallam Allah subahanahu wa ta'ala telah menetapkan bahawa Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam adalah nur yang menerangi dan sentiasa berada dalam keadaan sedemikian dan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam juga adalah manusia seperti kita tanpa perlu sebarang tafsil (perincian) dan tanzir (pengkajian).

Menetapkan diri Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam mempunyai nur yang hissi juga tidak bertentangan dengan hakikat diri baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam yang merupakan manusia. Bulan tabiat semulajadinya terdiri daripada batu-batu pejal dan dalam masa yang sama ia adalah cahaya dan mempunyai cahaya hissi. Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam lebih mulia daripada bulan dan lebih mulia daripada seluruh makhluk ciptaan Allah subahanahu wa ta'ala. Kami memohon kepada ALlah subahanahu wa ta'ala agar menunjukkan kami jalan yang lurus, Ini adalah penerangan mengenai permasalan nur yang dinisbahkan kepada Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Kami akhiri dengan doa kami, segala puji bagi ALlah subahanahu wa ta'ala Tuhan sekalian alam.

Di antara hadith yang mensabitkan Nur Muhammad ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh ali ibn al Husain daripadanya ayahandanya daripada nendanya, bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

كنت نورا بين يدي ربي

Ertinya : "Aku adalah cahaya di hadapan Tuhanku"

Hadith ini disebut oleh al Hafiz Abu Hasan Ali ibn Muhammad al Qattan di dalam Ahkamnya, Beliau merupakan di antara pengkritik hadith yagn mahsyur dan di antara ulama yang tegas dan memberikan perhatian serius terhadap periwayatan dan penjagaan sesuatu hadith.

Selain itu, Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki juga mengemukakan ayat di atas dan menyatakan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa nur dalam ayat ialah Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang disebut di dalam Tafsir al Tabari, ibn hatim dan al Qurtubi, Qatadah juga berpendapat sedemikian.

Di antara dalilnya juga ialah hadith yang banyak menyebut tatkala Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam dilahirkan, bondanya melihat cahaya dan keluar bersamanya cahaya yang menerangi istana-istana Syam. Ibnu Hajar berkata sedemikian dan mensohihkan hadith ini. Begitu juga Ibnu Hibban dan al Hakim.

Sumber rujukan :

1. Mohammad Fuad Kamaluddin al Maliki, Al Bayan Jilid 8, Cet Pertama, 2009, Sekretariat Menangani Isu-isu Akidah dan Syariah Majlis Agama Islam Negeri Johor.

2. Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan