KULIAH KITAB AL-'ILM DARI IHYA' 'ULUM AL-DIN KARYA IMAM AL-GHAZALI - CASIS UTM KL
Siri 15 (28/5/17): Enam lagi syarat dan kriteria penglibatan dalam debat yang benar (Bab 4)
Dalam siri yang lalu telah dibentang 2 syarat dan kriteria penglibatan dalam debat yang benar iaitu: 1) mengutama tuntutan Fardu Ain sebelum terlibat dalam debat Fardu Kifayah, dan 2) mengutamakan penglibatan dalam usaha dan tuntutan Fardu Kifayah yang lebih Utama berbanding yang kurang utama. Berikut adalah 6 lagi syarat dan kriteria berkenaan:
3) Syarat ketiga: Hendaklah orang yang ingin melibatkan diri dalam debat itu terdiri dari kalangan mereka yang Mujtahid (mujtahidan bi dhatihi)
Seseorang yang disifatkan sebagai Mujtahid di sini merujuk kepada mereka yang mampu berijtihad tanpa terikat dengan mana-mana mazhab. Dia mampu menilai hujah dan pandangan pelbagai mazhab lalu mentarjih atau menetapkan hukum berdasarkan apa yang kuat di sisinya, walaupun terpaksa menyalahi pandangan mazhabnya sendiri. Ini menurut Imam al-Ghazali adalah apa yang dilakukan oleh para Sabahat r.a. dan para imam-imam Mujtahidin. Ini bermakna, kualiti yang dituntut sebelum seseorang itu boleh mengganggap dirinya mujtahid adalah kualiti para Sahabat dan imam mujtahidin r.a.
Walau bagaimanapun, dalam konteks di mana seseorang itu tidak layak untuk berijtihad—situasi yang imam al-Ghazali sifatkan sebagai suatu ‘keadaan umum pada setiap zaman’ (hukm jami‘ ahl al-‘asr)—maka mereka dinasihati agar mengemukakan fatwa berdasarkan mazhabnya dan sekiranya dia dapati bahawa pandangan mazhabnya itu lemah sekalipun dia tidak patut menolak dan meninggalkannya kerana, menurut al-Ghazali, apa guna beliau berdebat dalam isu-isu fatwa sebegini kerana dia bukan seorang yang layak berijtihad yang mampu mengeluarkan fatwa sendiri. Ini di samping hakikat bahawa pandangan mazhabnya adalah pandangan yang lebih dikuasai dan diketahui (ma‘lum) di sisinya. Sekiranya terdapat kemusykilan yang dia tidak tahu, maka hendaklah dia menyebut: “Mungkin ada jawapannya bagi persoalan ini di sisi para imam kami, akan tetapi saya tidak berkelayakan untuk berijtihad secara sendirian ke atas usul syara‘ (yakni sumber-sumber asas syarak)”. Mereka juga dinasihati agar menjauhi membincangkan isu-isu khilafiyyah, iaitu isu-isu yang mempunyai pelbagai pendapat yang tidak disepakati.
Syarat ketiga amat penting dihayati oleh mereka yang gemar berdebat dalam pelbagai fatwa keagamaan. Kualiti diri sebagai seorang Mujtahid perlu difahami dan dihayati dengan baik dan penuh insaf agar seseorang itu tidak terperasan bahawa dia sudah mencapai tahap mujtahid mutlak yang boleh menolak sebarang pandangan atau mazhab yang tidak selaras dengan pandangan dia. Dia juga perlu beriltizam dan berfatwa berdasarkan mazhabnya secara jelas dan jangan mendakwa telah mencapai kedudukan Salaf al-Salih r.a. dalam berijtihad dan menjadikan dakwaan ini sebagai alasan untuk menolak pandangan mazhab-mazhab yang muktabar.
4) Syarat keempat: Tidak berdebat dalam isu-isu yang tidak realistik, isu-isu yang diandaikan dan dikemukakan sebagai suatu masalah. Perbahasan hanya perlu dilakukan ke atas isu-isu yang memang berlaku atau besar kemungkinan akan berlaku dalam masyarakat.
Syarat ini menekankan tentang keutamaan isu yang ingin diketengah dan diperdebatkan. Tidak semua isu layak dibahaskan oleh semua orang khususnya di khalayak ramai. Ini untuk mengelakkan pelbagai fitnah yang tidak mampu menyelesaikan masalah ummah sebaliknya mengelirukan lagi. Imam al-Ghazali menyatakan kebanyakkan ahli-ahli debat lebih suka memperkatakan isu-isu yang disifatkannya sebagai isu ‘gempar dan popular’ (al-tabuliyyat – yang merujuk kepada gendang yang dipalu, iaitu isu-isu yang lebih menarik perhatian ramai, popular dan menonjol), namun tidak ramai secara serius dan ikhlas memperkatakan isu-isu dasar yang penting yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah pokok dalam masyarakat.
Ini boleh difahami kerana mengenalpasti isu-isu besar dan mendasar itu bukan mudah, apatah lagi untuk menyelesaikannya. Tambahan pula isu-isu sebegini tidak popular dan tidak akan menonjolkan mereka yang terlibat. Ini dari satu aspek jelas menunjukkan bahawa para pendebat itu sebenarnya tidak serius dalam menyelesaikan masalah, sebaliknya mereka lebih cenderung untuk mencari kemasyhuran dan mengejar populariti. Ini menurut al-Ghazali adalah suatu yang pelik kerana ia menyalahi matlamat sebenar sesuatu isu itu dibahas dan diperdebatkan. Jika debat itu adalah untuk mencari dan menegakkan kebenaran—sebagaimana yang didakwa—maka sepatutnya isu-isu yang serius dan utama inilah yang patut diketengah dan dibahaskan. Oleh itu, syarat ini penting untuk dijadikan asas menilai apakah sesuatu debat itu benar-benar penting dan perlu, dan apakah seseorang pendebat tu benar-benar ikhlas, serius dan berwibawa dalam menangani isu dasar dalam masyarakat.
5) Syarat kelima: Hendaklah debat dilakukan secara tertutup
Selaras dengan sifat debat yang benar dan ikhlas, iaitu untuk mencari kebenaran, dan tidak mengejar nama dan kemayhuran serta demi mengelakkan fitnah, maka disyaratkan agak debat dilakukan secara tertutup (khalwah) jauh dari khalayak termasuk dari kalangan pembesar dan pemerintah. Hikmah berbahas dalam suasana tertutup ini jelas kerana menurut imam al-Ghazali, ia akan menjadikan seseorang itu fokus, minda dan pemikirannya lebih tenang serta lebih membantu untuk mencapai kebenaran. Sebaliknya, suasana yang terbuka pula akan mendorong kepada sifat riak, ingin menang dan dilihat benar dalam berhujah. Imam al-Ghazali menempelak kaki-kaki debat yang suka berdebat di khalayak ramai ini sebagai tidak ikhlas dalam penglibatan mereka. Yang peliknya, menurut pemerhatian al-Ghazali, golongan sebegini kadang-kadang pernah bersua dengan rakan debatnya secara bersemuka tapi tidak pula berlaku perbincangan di antara mereka secara serius, akan tetapi apabila berada dalam khalayak majlis debat, masing-masing lantang menonjolkan hujah dan menzahirkan kehebatan masing-masing. Semua ini menampakkan bahawa mereka sebenarnya bukan sangat ingin mencari kebenaran dan mencapai persefahaman, akan tetapi lebih bersifat mencari peluang untuk menonjol dan menang dalam debat.
6) Syarat keenam: Hendaklah orang yang berdebat itu, dalam usahanya menuntut kebenaran, bersikap seumpama orang yang sesat jalan yang sedang mencari jalan pulang.
Dalam syarat ini Imam al-Ghazali memberikan suatu perumpamaan yang jelas bagi menggambarkan sikap sebenar yang perlu dimiliki oleh seseorang yang terlibat dalam perdebatan. Mereka ini seumpama orang yang sesat jalan dan tidak mengetahui hala tuju yang sebenar ke destinasinya. Dalam hal sebegini, apa yang penting baginya adalah mencari jalan pulang. Apabila dia berjumpa dengan seseorang yang menunjuknya jalan pulang, dia akan berterimakasih dan bergembira. Dalam konteks ini, jika diandaikan bahawa seseorang yang sesat itu berbincang (atau berdebat) dengan seseorang yang mampu menunjukkannya jalan pulang (atau kebenaran), maka dia sama sekali tidak akan memusuhi temannya itu. Sebaliknya dia akan menyanjungi rakan debatnya itu dan menghargainya.
Demikianlah sikap para Sahabat r.a. apabila ditunjukkan kebenaran. Mereka tidak mengira apakah status orang yang menegur dan menyatakan kebenaran tersebut. Sayyidina Umar r.a. pernah ditegur oleh seorang perempuan ketika dia sedang berkhutbah, lalu beliau mengakui kebenaran tersebut dengan berkata: “Benarlah perempuan [itu] dan silaplah lelaki [ini]”. Begitu juga dengan Sayyidina Ali k.w. mengakui kesilapannya apabila ditegur dengan katanya: “Saudara benar dan saya silap”.
Sikap mengiktiraf teguran orang lain ini penting kerana ia memberikan gambaran betapa teguran dan orang yang menegur itu dihargai kerana, menurut imam al-Ghazali, sesetengah orang kini tidak merasakan perlu mengungkapkan perakuan dan pengiktirafan lisan terhadap kebenaran teguran dan orang yang menegur tersebut kerana mereka mendakwa bahawa kebenaran itu adalah suatu yang maklum dan tidak perlu diperakui secara khusus. Perhatian al-Ghazali ini penting kerana sikap sesetengah orang yang tidak sudi memperakui kebenaran orang lain dan mengakui kesilapan diri sendiri ini boleh menjadikannya lebih angkuh walaupun dia silap. Ini jelas apabila al-Ghazali mengakhiri kupasan syarat keenam ini dengan memberikan gambaran bagaimana sikap mereka yang berdebat kini yang malu merah mukanya apabila ditegur dengan kebenaran, sebaliknya ada yang tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka silap bahkan berusaha mencari hujah untuk menjawab dan mencela lawan debatnya. Lebih parah lagi, mereka ini tidak segan silu mendakwa bahawa mereka sebenarnya mengikut cara para Sahabat dan Salaf al-Salih r.a. dalam perdebatan mereka.
7) Syarat ketujuh: Jangan menghalang seseorang itu menilai dan berpindah dari satu hujah ke hujah yang lain, dan dari suatu bentuk penjelasan ke bentuk penjelasan yang lain
Syarat ini merujuk kepada senario di mana sesetengah pendebat itu suka berdalih dan memberi pelbagai alasan untuk mengelak dari dilihat sebagai jahil dan kalah dalam perdebatan. Jika seseorang itu benar-benar mencari kebenaran dalam debat, maka dia hendaklah bersedia untuk membentang dan menelusuri segala hujah dan fakta yang berkaitan untuk mereka akhirnya sama-sama mencapai kebenaran dan mengiktiraf kebenaran tersebut. Dengan sikap sebegini, barulah setiap sesi debat itu akan membawa kepada suatu kesimpulan dan persetujuan di antara kedua pihak yang berdebat, dan yang lebih penting adalah kedua pihak mencapai dan menemui kebenaran dalam isu yang diperdebatkan, yang mana hasilnya adalah kedua-dua pihak akan akur dengan kebenaran yang sama-sama ditemui itu.
Ini hanya akan berlaku jika kedua-dua pihak tidak berdalih dan beralasan dalam mengemukakan hujah. Al-Ghazali memberikan senario di mana, dalam kebanyakan majlis debat, apabila seseorang itu tidak berpuashati dengan penjelasan yang dikemukakan, dia cuba membangkang misalnya dengan berkata: “Apakah dalil kamu bahawa hukum ini asalnya adalah berdasarkan asas (‘illah) tersebut?” Lalu teman debatnya menjawab: “Ini adalah apa yang jelas pada fahaman saya, jika sekiranya anda mempunyai hujah yang lain yang lebih jelas, maka kemukakanlah agar saya dapat menilainya”. Di sini akan terserlah sikap sebenar orang yang berdalil dan beralasan apabila dia menjawab: “Sebenarnya ada asas lain selain daripada apa yang kamu nyatakan itu dan saya mengetahuinya, namun saya tidak akan nyatakan di sini sebab ianya tidak perlu saya nyatakan”. Dan apabila dia dipohon agar menyatakan apakah hujah-hujah lain itu, dia terus beralasan bahawa dia tidak perlu menyatakannya. Akhirnya sesi debat sebegini akan berterusan dalam keadaan tidak menyelesaikan persoalan yang diperdebatkan.
Dalam ulasannya, imam al-Ghazali menegaskan bahawa mereka yang berdalih dan beralasan sebegini dikira sebagai menipu terhadap syarak. Ini kerana, jika dia sememangnya tidak mengetahui hujah dan dalil yang lain, tapi mendakwa mengetahuinya, maka dia adalah penipu. Jika sebaliknya, dia benar-benar tahu, namun tidak ingin berkongsi pengetahuannya, maka dia adalah fasiq kerana menyembunyikan hujah dan dalil, sedangkan temannya ikhlas ingin mengetahui dan menilai hujah tersebut agar dapat dicapai suatu kefahaman yang benar. Tambahan lagi, dari segi syarak, kita wajib menyampaikan kebenaran dan tidak boleh menyembunyikannya. Sikap berdalih sebegini adalah menyalahi syarak dan ia hanya dilakukan oleh mereka yang tidak ikhlas dalam debat; mereka yang berdebat demi ‘menang’, bukan demi mencari kebenaran. Budaya sebegini sama sekali tidak berlaku di zaman awal Islam kerana mereka sentiasa berkongsi hujah dan dalil, dan akan sama-sama menilai dan menyemaknya demi mencapai suatu kefahaman yang benar.
8) Syarat kelapan: Hanya berbahas dengan para ilmuwan yang boleh dimanfaatkan ilmunya
Syarat ini juga penting kerana jika misi debat itu adalah demi mencapai kebenaran, maka debat tidak layak dilakukan dengan sebarangan orang, tetapi hanya sesuai dilakukan di kalangan para ilmuwan, bahkan dengan orang yang lebih alim. Dalam konteks ini, ia bukan berdebat demi untuk menang tapi lebih bersifat berbincang demi menimba ilmu dan kefahaman dari orang yang lebih mengetahui dari kita. Malangnya menurut al-Ghazali, kaki-kaki debat umumnya mencari orang yang lebih rendah tahap ilmunya berbanding mereka agar dapat dipastikan mereka menang dalam debat. Mereka akan mengelak dari berdebat dengan para ilmuwan yang sebenar kerana apa yang mereka kejar bukanlah kebenaran tapi kemenangan dan populariti dalam berdebat.
Demikian lapan syarat debat kesemuanya yang diperkatakan oleh Imam al-Ghazali. Ia boleh dijadikan sebagai asas penilaian untuk membezakan di antara orang yang berdebat demi Allah SWT, demi kebenaran dan ikhlas, dengan orang yang berdebat demi mengalah dan menjatuhkan maruah orang lain, demi kemasyhuran dan pujian umum.
Imam al-Ghazali mengakhiri perbahasan ini dengan mengingatkan kita tentang cabaran yang lebih utama iaitu cabaran menghadapi syaitan dalam diri. Beliau ingatkan bahawa barangsiapa yang mengabaikan tanggungjawab memerangi syaitan dalam diri yang sentiasa berusaha menyesat dan menghancurkan manusia, tapi dalam masa yang sama sibuk berdebat dengan orang lain dalam hal-hal khilafiyyah secara yang tidak ikhlas, maka orang seperti ini akan menjadi bahan ketawa bagi syaitan dan contoh pengajaran (‘ibrah) bagi orang yang benar-benar ikhlas (al-mukhlisin). Semoga Allah SWT jauhi kita semua dari tergolongan dalam golongan ini.
WalLahu a'lam
Assalamualaikum tuan tanah...lama sudah tidak update blognya. Apa kabar ? Apa beritanya?
BalasPadam